Saturday, September 19, 2015

Bandar baru Dabong dimakan Baboon?

MSITERI BANDAR BARU (1)

Allahyarham Tokguru menanda tangani plak perlancaran.
Dalam satu majlis pertemuan di antara beberapa orang Exco dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah (Nik Amar) dengan pemain media baru (facebook dan bloger) yang berlangsung di ibu kota Kuala Lumpur pada 25 Mei 2014, kira-kita setahun kepimpinan Kelantan bertukar MB, Nik Amar memberi tahu kerajaan pimpinan Ahmad Yaakub sedang melaksanakan beberapa projek yang bakal merubah imej negeri Kelantan.


Antara projek itu ialah pembinaan beberapa buah bandar baru di Kelantan. Salah satu bandar baru yang dirancang dan sedang berjalan ialah bandar baru Dabong. Projek ini adalah peninggalan bekas MB Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Selain bandar ini dua lagi bandar baru yang dirancang bandar Sungai Terah, Gua Musang dan bandar Bagan di Machang. Pembangunan bandar ini melibatkan 4,000 hektar tanah dengan nilaian beratus juta ringgit.

Bandar-bandar ini bukan sahaja akan merubah landskap Kelantan tetapi ia menjadi daya tarikan baru apabila bandar ini yang dirancang mengikut konsep Islam dan ciri-ciri kota tamadun Islam siap kelak. Mercu tanda atau persekitaran baru itu akan menjadi lokasi wisata yang baru. Sejajar itu juga ia merealisaikan cita-cita Pas untuk memperkasakan Islam.

Perlancaran ditapak bandar baru Dabong.
Saya sungguh teruja dengan apa yang dijelaskan itu. Hati kecil berasa bangga dan megah sekali. Misalnya pembinaan bandar baru Dabong itu sendiri diluar pengetahuan saya. Saya tidak tahu kalau kerajaan Kelantan sudah berpandangan begitu jauh untuk masa depan yang lebih cemerlang dan kondusif.

Ketika menjelaskan perkara itu Nik Amar tidak memperincikan kapasiti projek ini, berapa nilai dan bila ia akan menjadi kenyataan. Cuma beliau tegaskan ia sedang berjalan, dan menegaskan apabila projek ini siap ia merubah muka bumi Dabong dan menjana serta memesatkan pertumbuhan kemajuan ekonomi dan sosial di kawasan itu dan sekitarnya.

Sejak mendapat maklumat itu saya selalu terbayang-bayangkan akan kewujudan bandar baru Dabong yang menjadi ikonik kepada kawasan pedalaman Kelantan itu. Sudah tentu bandar itu akan menjadi mercu tanda baru khasnya di kawasan itu. Ia juga dibayangkan hebat kerana kedudukannya yang amat strategi, di atas simpang jalan ke Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai, berhampiran gunung Stong yang memiliki air terjun tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 4,664 kaki.

Kombinasi pasti akan terjalin diantara ketinggian daya cipta manusia dengan keindahan semula jadi anugerah Allah air terjun berkenaan. Ini sudah tentu dibayangkan menyebabkan bandar baru itu hebat dan tidak ada tolak banding dengan bandar-bandar lain di Kelantan.

Apa yang merujakan lagi saya tatkala mendengar cerita Nik Amar itu konsep pembinaan bandar ini bercirikan konsep Islam, di mana ia mengutamakan kepada tuntutan Allah. Saya masih ingat lagi, ceritanya kedudukan masjid dalam bandar baharu ini unik dan adalah satu-satunya ada di Kelantan.

"Sebaik kita masuk ke bandar ini kita akan berdepan dengan masjid, ia luar biasa dengan pelan pembangunan di tempat lain dimana masjid berada jauh ke belakang ada kalanya menyusahkan untuk orang menggunakannya, solat. Kita reka pelan ini untuk melaksanakan syariat Allah yang mengajar kita cintakan masjid," begitu jelasnya dengan tersenyum puas, mulutnya sampai ke pipi. Aduh...

Saya bertepuk tangan dan bangga dalam hati mendengar penjelasan Nik Amar ini dan saya percaya juga mereka lain yang hadir yang tidak sampai 30 orang turut bangga dan kagum dengan pembangunan bikinan Kerajaan Pas Kelantan. Cerita yang ditabur Nik Amar itu secara tidak langusng membunuh sesetengah persepsi bahawa pimpinan Pas Kelantan kekeringan idea.

Makanya selepas mendengar penjelasan Nik Amar itu saya sering kali membayangkan akan kehebatan bandar baru Dabong berkenaan. Cuba meramalkan macam mana bentuk dan rupanya. Ini kerana pelan induknya tidak terlihat oleh saya. Nik Amar tidak mengadakan pertunjukkan slide ketika bercderita. Saya memikirkan keindahan dan kehebatan bandar baru Dabong itu melebihi apa yang berlaku di Jeli.

Dalam kotak fikiran saya dengan mendengar celoteh Nik Amar itu, betapa bandar baru itu akan mengubah landskap Dabong menjadi sebuah kawasan baharu yang serba moden dan membangun. Dabong akan meninggalkan phobia orang sebelum ini yang beranggapan sebagai kawasan tempat jin bernikah dan beranak pinak. Orang akan berfikir segala haiwan liar, gajah, harimau, babi dan sebagainya tidak lagi berkeliran di Dabong kerana mereka terkejut dengan kemunculan dunia baharu bikinan kerajaan mencari keredhaan Allah.

Saya akui mengenai kejahilan saya terhadap projek itu. Saya tidak sangka bahawa pemimpin politik dan kerajaan Pas di Kelantan mempunyai pemikiran dan idea besar dan seglobal begitu.  Mungkin ini adalah hasil dan kesan daripada aktiviti lawatan ke luar negara yang kerap dianjurkan selepas ketiadaan Nik Aziz.

Apabila Nik Amar menjelaskannya baharulah saya mengetahuinya. Syabas. Malahan saya mendesak Nik Amar dan kerajaan negeri lebih kerap lagi memberi tahu apa-apa perkembangan, pembangunan yang berlaku di Kelantan untuk anak-anak luar Kelantan dari masa ke semasa agar ia tidak timbul tanggapan salah, yang Kelantan tidak membangun. Pembangunan sebagai mana hebat sekali pun kalau tidak dihebahkan ia tidak akan sampai ke pengetahuan rakyat, sementelahan pula kalau tidak ada apa-apa pembangunan dilakukan.

Sejak Nik Amar menjelaskan perkara itu sehingga ke hari ini ia sudah memasuki satu tahun empat bulan. Saya difahamkan perletakan batu asas projek berkenaan dilakukan pada Oktober 2012 lagi. Ini bermakna sudah tiga tahun masa berlalu.

Sesudah tempoh itu, apakah yang jadi kepada bandar berkenaan? Kalau ia dibina secara fasa demi fasa sudah tentu fasa pertamanya sudah disiap. Setidak-tidaknya orang sudah dapat melihat akan kerja-kerja awalnya. Sudah tentu juga keadaan di sekitar pekan Dabong itu sudah sibuk dengan lori dan jentera besar yang keluar masuk membawa dan memunggah barangan projek.

Pihak bertanggungjawab dengan projek itu juga sudah tentu akan memaklum perkembanganya dari masa ke semasa. Ini perlu untuk menyakin dan mempengaruhi rakyat supaya memperyai kewibawaan kerajaan.

Tetapi dalam pemerhatian saya tidak ada pula perkembangan mengenai projek itu dibuat? Atau pun ia tidak terlantas ke telinga dan mata saya. Makanya kerana sunyi dengan cerita itu semua ia membuat saya mengambil tindakan untuk menyiasat sendiri perkembangan projek berkenaan. Saya mahu melihat sendiri kemajuan (progres)nya dengan mata kepala sendiri. Saya orang yang jenis tidak suka mendengar dari jauh.

Dan minggu lepas saya ke Dabong. (Bersambung ke siri 2). [wm.kl. 10:43 am 19/09/15]

No comments: