Friday, September 11, 2015

Bukan sahaja Umno, PKR juga hendak tukar Setiausaha Agung?


LENTANG ANGIN
Rafizi - mungkin gugur?

Dalam desas desus Umno akan menukar Setiausaha Agungnya, PKR juga turut terbawa dengan rancangan itu. Umno dikatakan akan menggugurkan Teuku Adnan Mansor sebagai Setiausaha Agung dan diganti dengan muka baru yang lebih bertenaga.

Nama disebut-sebut akan ditempatkan di ibu pejabat Umno dan menjadi nadi kepada parti kebangsaan itu ialah Ketua Umno Bahagian Mentakab Pahang Sharkar Shamsuddin. Beliau juga merupakan Exco kerajaan Pahang dan juga merupakan seorang ahli Majlis Tertinggi.

Sharkar dikatakan menjadi pilihan presiden. Katanya Najib pernah menghantarkan namanya kepada Sultan Pahang untuk dilantik menjadi MB menggantikan Adnan Yaacob selepas pilihan raya umum ke-13 lalu tetapi ditolak. Berdasarkan alasan itu nama Shakar katanya dipilihan untuk menerajui ibu pejabat Umno bagi menyuntik semangat muda. Teuku Adnan dah tua.


Sementara itu, PKR juga dikatakan akan membuat rombakan kecil di ibu pejabatnya dengan menggantikan Razifi Ramli yang memegang jawatan Setiausaha Agung sejak hampir dua tahun lepas dengan seorang nama lain. Tokoh disebut-sebut bakal meneraju ibu pejabat PKR diimport dari luar.

Tokoh berkenaan akan membuat pengistyharan menyertai PKR dalam waktu terdekat. Urusan pertukaran itu dan perbincangan dengan tokoh berkenaan juga sudah dilakukan dan tokoh itu yang pernah memegang jawatan setiausaha agung dalam beberapa gerakan termasuk parti politik juga dikatakan bersedia memikul tanggungjawab itu.

Alasan menggantikan Rafizi, dikatakan kerana ahli Parlimen Pandan tidak mampu untuk menjadi penggerak atau pun gagal menguruskan parti menjadi sebuah parti yang lebih progresif. Cara pentadbirannya juga lebih bersikap mengikut anginnya sahaja dan tidak sangat berpandukan kepada semangat parti dan perlembagaan.

Beliau juga dilihat lebih gemar atau pun seronok dengan pembongkaran isu-isu membabitkan negara khas Najib sehingga melupai tugas utamanya untuk memperkemaskan parti.

Rafizi dilihat lebih menumpukan kepada bukan kerja utamanya sebagai "komunikator" parti dengan ahli dan juga pihak-pihak lain di ibu pejabat PKR. Jawatan itu juga sepatutnya tidak pantas dilepaskan kepadanya kerana dia juga merupakan Naib Presiden parti. Perlantikannya itu menampakkan PKR kekurangan tokoh dan sehingga melonggokkan tugas kepada seseorang sahaja.

Pertukaran jawatan itu kepadanya daripada Saifuddin Nasution Ismail tidak banyak membawa perubahan bahkan beliau dilihat streotaip sahaja cara mereka berkerja, ala-ala elitis. Apa yang mendukacitakan juga ada cakap-cakap yang mengatakan Rafizi menuntut jawatan itu daripada Ketua Umum? Sejauh mana kebenarannya tidak dapat disahkan.

Kelemahan paling ketara Rafizi sebagai nadi parti ialah apabila gagal untuk menyatukan kumpulan atau individu-indivu yang berpecah dalam parti gara-gara pemilihan dua tahun lepas. Kewujudan kem, puak, kabilan dan pasukan dalam PKR tidak dapat diatasi. Kegagalan ini menyebabkan PKR kini dilihat dikuasai oleh tiga empat puak yang berbeza pandangan dan pendekatan politik.

Kelemahan dari segi perpaduan parti itu juga memberi kesan kepada pentadbiran Mohamed Azmin Ali selaku MB yang tidak begitu selesa menguruskan kerajaan Selangor. Azmin seolah-olah mentadbir Selangor bersama beberapa individu atau kumpulan kecil yang senafas dengannya. Isu-isu yang menghimpit Azmin di Selangor kurang, bahkan tidak ditangani langsung oleh Rafizi sebagai Setiausaha Agung yang seharusnya menggerakkan minda ahli dan pimpinan lain membela Azmin.

Serangan dan kritikan bertubi-tubi daripada pihak Umno dan bekas MB Khalid Ibrahim ke atas Azmin dibiarkan begitu sahaja, menjadikan Azmin menepis sendiri segala peluru dihala kepadanya dan memperlihatkan kadang-kadang MB itu keletihan.

Paling parah situasi di hadapai Azmin ialah apabila berlaku pergeseran di antara Pas dengan DAP, menyebabkan ombak itu turut sama mengelombangkan bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (pusat pentadbiran kerajaan Selangor) yang membuat Azmin kekok untuk membuat kenyataan-kenyataan akhabr berhubung Pakatan Rakyat ke belakangan ini.

Pemerhati yakin sekiranya PKR mendapat seorang setiausaha agung baru yang berpengalaman, bersifat mesra alam dan serius dengan tugas dan tanggungjawab, ianya bukan sahaja dapat menguatkan parti berkenaan, tetapi secara tidak langsung turut sama menjaga keutuhan kerajaan Selangor yang dikepalai PKR.

Paling penting pertukaran jawatan Setiausaha Agung itu juga untuk PKR mempersiapkan diri bagi menghadpai pilihan raya umum ke-14 kelak. [wm.kl.10:29 am 11/09/15]

No comments: