Ekoran berlaku beberapa kejadian yang menjejaskan kewibawaan kerajaan PAS Kelantan yang dikenali dan beriya-iya menunjukkan ia sebagai satu-satunya sebuah kerajaan Islam di negara ini, elok kalau kerajaan Kelantan dibawah pimpinan Ahmad Yaakub menubukan badan ombudsman yang dikenali sebagai Hisbah.
Ahmad perlu berjiwa besar. |
Janji untuk menubuhkan Hisbah ini dibuat dalam manifesto pilihan raya PAS tahun 1990 lagi, tetapi sayangnya ia tidak dilaksanakan sampai kini. Satu masa bekas MB Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui kerajaan Kelantan tidak mampu untuk menubuhkan Hisbah kerana tidak mempunyai kepakaran.
Apakah selepas 25 tahun kerajaan Kelantan dibentuk, soal kepakaran itu masih belum diatasi? Kalau begitu ini bermakna cadangan untuk mewujudkan Hisbah itu adalah retorik semata-mata. Juga apakah kegagalan menubuhkan Hisbah itu bukan satu pemungkiran janji kepada rakyat?
Mungkir janji adalah sesuatu perbuatan dosa yang tidak seharusnya berlaku dalam pentadbiran dipimpinan para ulama muktabar.
Kepimpinan PAS baru yang "digegaki" dengan orang bertaraf ulama dan ustaz perlu memikir perkara ini dan kegagalan mewujudkan apa-apa yang dijanjikan satu perkara memalukan.
Keperluan badan pemantau atau penyiasatan itu ketika ini sangat-sangat diperlukan apabila banyak kejadian-kejadian yang boleh menjejaskan kredibiliti dan mencalarkan maruah sebuah kerajaan Islam seperti Kelantan itu berlaku. Orang akan persoalkan kenapa kejadian, timbul berbagai persepi mengenai penyelewengan dan salah laku kuasa masih berlaku dalam sebuah kerajaan Islam?
Kegagalan membendung itu sedikit sebanyak ia menyebabkan orang bukan Islam meragui kepada sistem yang diperkenalkan oleh Islam.
Inilah yang dikatakan Islam dikhianti oleh orang Islam sendiri. Atau orang Islam hanya pandai bercakap tetapi tidak tahu berbuat. Ia umpama bawang yang rosak kerana jambaknya.
Misalnya kes-kes mahkamah yang dibawa oleh pihak tertentu menyebabkan kerajaan negeri Kelantan terpaksa membayar ganti rugi bernilai jutaan ringgit, ia memberi imej buruk kepada kerajaan Kelantan. Kejadian itu menujukkan bahawa kerajaan Kelantan gagal berfungsi sebagai sebuah kerajaan yang adil, bersih dan berintegriti. Misalnya kes-kes saman menyaman di mahkamah disebabkan langgar perjanjian sepatutnya tidak berlaku.
Kes saman terbaharu oleh sebuah syarikat terhadap Kompleks Perkayuan Kelantan (KPK) yang menyebabkan kerajaan Kelantan perlu membayar lebih RM2 juta. Sebelum ini juga seorang pegawai kerajaan Kelantan telah membawa kes penamatan kerjanya kepada mahkamah perusahaan menyebabkan kerajaan kena bayar RM200 ribu. Selain itu berjujut lagi kes mahkamah yang dalam proses perbicaraan, semua kes itu memburukkan dan membusukkan kerajaan Kelantan.
Demikian juga penahan seorang CEO syarikat milik kerajaan Kelantan oleh SPRM dan disiasat beberapa hari memberi imej buruk dan ia menimbulkan persepsi kohong kepada kerajaan Kelantan. Kandatipun individu itu tidak didakwa, tetapi siasatan itu menunjukkan ada keraguan besar terhadap pegawai kerajaan yang dikepalai Ahmad Yaakub.
Sekiranya kerajaan Kelantan diurustadbirkan dengan baik mengikut prinsip Islam "sengoti" sudah tentu kejadian-kejadian itu yang lazim berlaku dalam kerajaan UBN itu tidak akan berlaku di Kelantan.
Sekiranya kerajaan Kelantan sudah memiliki badan itu pasti kejadian seperti dicontohkan di atas itu tidak akan berlaku ataupun ia mungkin dapat diselesaikans sebelum dibawa ke mahkamah sehingga menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dan wang rakyat terpaksa dibakar begitu sahaja.
Jika diperhatikan kepada beberapa fungsi Hisbah seperti mana digariskan ia, sudah tentu dapat mengatasi masalah itu.
Antara tujuan Hisbah hendak ditubuhkan ialah
1. Melindungi dan memajukan nilai-nilai yang makruf dan membanteras yang mungkar.
2. Memulakan penyiasatan mengenai aduan rakyat terhadap kerajaan atau sebarang badan yang berkaitan.
3. Melindungi hak perseorangan.
4. Mengkaji semula tindakan dan keputusan pegawai kerajaan negeri dalam sesuatu perkara dan mengambil tindakan sewajar untuk membentuk tindakan yang salah laku, cuai atau yang terabai.
Jelas dengan berpandukan kepada garis matlamat itu penubuhan Hisban itu sangat baik bagi menjamin wujudnya sebuah kerajaan yang telus dan berintegriti serta hak dan harta rakyat terpelihara dengan baik.
Misalnya mengenai fungsi nombor 4 itu cukup mustahak sekali. Hisban akan membuat semakan ke atas apa-apa keputusan terhadap projek hendak dilaksanakan oleh kerajaan atau pun menyemak apa-apa tander berhubung kontrak kerajaan. Badan itu boleh membuat penilaian dan pengakuan yang segala keputusan ke atas sesuatu projek atau tander itu rasional dan tidak ada unsur-unsur penyelewengan. Cara ini ia boleh mengurang kebarangkalian berlaku ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.
Keperluan ini sudah terdesak apabila akhir-akhir ini dikatakan banyak sudut dalam pentadbiran kerajaan Kelantan ternoda dengan penyelewengan, salah laku kuasa serta rasuah. Manakala keputusan berhubung dengan sesuatu projek kerajaan, misalnya penjualan aset kerajaan meragukan. Satu demi satu aset kerajaan Kelantan dijual ataupun dilupuskan. Sebab-sebab perlupasan semuanya kerana tidak berdaya maju dan kerugian. Kerugian itulah yang perlu diteliti oleh badan seperti Hisbah itu.
Ada sesetengah kontrak kerajaan, atau pun tander misalnya pembalakan yang seharusnya dibuat secara terbuka tetapi dilakukan secara tertutup. Bukankah tindakan itu boleh menimbulkan keraguan. Dalam kes-kes seperti inilah Hisbah boleh memainkan peranan dan berfungsi.
Begitu juga dalam kes penganiyaan mana-mana rakyat di Kelantan yang terlepas pandangan atau pun individu berkenaan gagal mendapat keadilan, ianya boleh dipantau oleh Hisbah ini. Pendeknya Hisbah adalah suatu cadangan yang sangat baik bagi mennatijahkan kerajaan Kelantan berfungsi mengikut lunas-lunas Islam sejati.
Sudah sampai masanya untuk MB Kelantan, Ahmad Yaakub memikir serius untuk menubuhkan badan ini. Dengan adanya berbagai tuduhan, telahan terhadap kerajaan dan juga di kalangan wakil rakyat, maka kewujudan Hisbah sangat-sangat diperlukan.
Apa lagi dizaman fitanh sudah masuk ke peringat gila ini, dengan meluasnya media baharu dimana fitnah atau adu domba boleh dimainkan bila-bila masa dan di mana sahaja, kewujudan Hisbah sangat-sangat diperlukan.
Malahan Ahmad Yaakub sendiri sudah dituduh dengan pelbagai tohmohan buruk berhubung dengan pembinaan rumah-rumah bagi anak-anaknya. Kalau Hisbah ada, badan itu boleh membuat pengesahan atau pun penyucian terhadap tuduhan ini.
Berapalah sangat peruntukan untuk menguruskan badan ini. Kalau kerajaan negeri boleh membenarkan setiap PBT di Kelantan menggunakan wang ratusan ribuan setahun untuk membuat lawatan ke luar negeri yang lebih kepada makan angin dan berselfie dengan anak isteri, elok peruntukkan itu ditarik balik dan dikhas untuk badan pemantau ini.
Ahmad Yaakub boleh melakukannya kalau dia berjiwa besar. Dan kalau Ahmad berjaya menubuhkan Hisbah beliau akan dilihat sebagai MB yang menetingkan kepada ketelusan dan kebersihan pentadbirannya, dan secara tidak langsung juga beliau berjaya memecah rekod Nik Aziz yang menjadi MB selama 23 tahun tetapi tidak berjaya menubuhkan Hisbah. [wm.kl.7:23 pm 08/09/15]
No comments:
Post a Comment