Friday, September 4, 2015

Buku ini akan menemani penerbangan saya esok

ULASAN BUKU

Lain orang lain perangainya, lain sifat dan lain juga kegemarannya. Saya juga tidak terkecuali tertakluk dalam kenisbian itu. Setengah orang apabila mendapat buku baru mereka akan menghabiskan masa untuk mengkhatami secepat mungkin sampai tidak makan dan tidak tidur atau mengabaikan kerja-kerja lain.

Saya juga mengalami situasi yang sama, terutama di masa-masa muda dahulu. Ketika itu sangat rajin mendampingi buku. Selalunya saya akan membaca buku dua buah serentak yang berlainan tema atau jenis. Bukan apa untuk menghilangkan rasa boring.

Pun begitu bukan semua buku akan dilayan begitu, sampai tidak makan minum dan tidak tidur; sebuah buku yang tebal 200 hingga 400 muka surat boleh dihabiskan dalam masa tiga hari sahaja. Wow... Ibu lenguh berlebel ajak makan atau minta membantunya, saya ralik dengan buku.



Saya begitu hanya dengan buku-buku tertentu, bukan semua bentuk buku dimakan secara boros atau mahu segera dilengsaikan.

Buku-buku roman (novel) percintaan tiga segi atau pun konflit percintaan antara orang kampung dengan gadis bandar, selalunya akan diratah tanpa henti. Rasa ingin tahu kepada nasib si miskin atau lelaki desa yang lemah dan kalah dalam pertaruhan cinta berlawan dengan jejaka perkasa kaya, ini sangat menarik dan mengsuspenkan.

Apa membuat saya ralik ialah apabila memadankan waktak-watak tertentu (protogonis) dalam roman itu, atau latar kisah dan propnya ke atas diri kita serndiri. Atau berangan-angan jadi demikian. Ini menyebabkan saya semacam sedang membaca citera sendiri. Inilah yang mengasyikkan.

Seperti dinyatakan tadi keasyikan itu tidak dengan buku-buku bentuk atau jenis lain. Misalnya buku pengurusan, kesihatan, agama dan lainya, lambat untuk dihabiskan. Bagaimana pun bagi saya buku sejarah, kajian dan adventure, serta politik semasa saya punya cara lain membacanya.

Buku ini dibaca dengan penuh penghayatan dan selalunya buku-buku ini saya sengaja melambat-lambatkan untuk menamatkannya. Bukan apa kerana terlalu sayang untuk berpisah dengannya. Setiap isu, permasalahan dan subjek yang dibawa akan dibahas secara monolog. Adakalanya saya menggalas dalam beg galas menjadikan teman akrab.

Mendapat penghormatan dari penulis buku ini.
Misalnya buku yang baru saya terima minggu lepas, masih belum habis dibaca. Masih ada beberapa bab yang sengaja saya tinggalkan. Buku yang dimaksudkan itu ialah buku berjudul; Sekularisme dan Proses Demokrasi Di Turki – Pemerkasaan Islam dan Kepimpinan Erdogan, yang dihasilkan oleh dua pakar sejarah politik Asia Tenggara dan Timur Tengah, Dr Mohamad Redzuan Othman dan Dr Mashitah Sulaiman dari Universiti Malaya.

Buku ini mengandungi 9 bab dengan ketebalan 411 muka surat sahaja. Kalau ikutkan hati ia boleh diberesi dalam masa dua tiga hari sahaja. Namun kerana ia sebuah buku sangat merangsang minda maka saya jimatkan pembacaanya dan membaca dengan tekun kerana ia sarat dengan fakta.

Sepintas lalu dapat saya rumuskan buku ini sebuah buku kajian sejarah yang sangat tinggi nilai ilmiahnya. Ia semacam tesis sarjana lanjutan. Membaca buku ini bagaikan menonton sebuah dokumentasi besar mengenai subjeknya itu, sejarah dan perkembangan politik Turki.

Bab atau topik yang dikemukakan dalam buku ini ialah
1. Islam dan Pembinaan Peradaban Turki,
2. Kemal Artaturk dan Negara Turki Moden,
3. Penglibatan Islam Dalam Proses Politik,
4, Politik Islam Pragmatik dan Kekuasaan,
5. Pemantapan Pembangunan Ekonomi dan Dasar Luar,
6. Politik Islam dan Institusi Tentera,
7. Perubahan Politik dan Cabaran Dalaman,
8. Politik Islam dan Cabaran Demokrasi, dan
9. Masa Depan Politik Islam Melalui Proses Demokrasi.

Kesemua bab dan tajuk ini mengasak minda kita untuk mengetahui setiap apa yang dikemukakan itu. Ada unsur drama dan perang yang terselit dalam setiap bab itu. Banyaknya sejarah mengenai Turki dan kehebatan pemimpinnya. Tajuk-tajuk itu juga amat menarik dan sesuai untuk dijadikan perbicangan dan diskusi, perbahasan secara lebih lanjut lagi dalam mengenali sejarah politik sekular dan Islam di Turki. Para pelajar atau mahasiswa yang mengambil pengajian politik antarabangsa dikira wajib membaca buku ini.

Tidak terlepas mereka yang berjinak dengan dunia politik dan mengangankan akan muncul sebagai pemimpin masa depan negara harus khatam kitab ini kerania ia sangat membantu kerjaya anda.

Buku ini menurut penulisnya dihasilkan dalam tempoh tujuh tahun. Jelas tempoh ini menyerlahkan akan keluasan skop dan kedalaman kajian buku ini. Berbaloi apa dipersembahkan dengan jangka masa itu. Melihat kepada bibliografinya mencecah ratusan bahan rujukan menggambarkan buku ini disiapkan dengan membutuhkan kerajinan dan ketekunan luar biasa. Saya kata begitu kerana saya tahu tribulasi dan penyakit yang menghidapi diri seseorang penulis, malas.

Kajian ini bukan sahaja tertumpu kepada politik dan ketamadunan bangsa Turki tetapi ia memaparkan pencapaian Tukri sebagai sebuah kuasa besar pada abad ke-16. Dinukilkan juga zaman malam Tukri dan sebab-sebab hilang kehebatan itu.

Suatu perkara yang mungkin kita terlupa dan dapat ditemui (mengenang) dalam buku ini apabila ia turut menghubungkaitkan perkembangan Islam di Turki dengan Malaysia. Ramai yang tidak tahu bahawa kerajaan Turki di zaman daulah Uthmaniah pada abad ke-16 dahulu turut sama menggumba kebangkitan semangat nasionalis di negara kita. 

Dari sudut lain Turki turut berjasa kepada kita terutamanya dalam menentang kuasa penjajah. Kejatuhan kesultanan Melaka 1511 ke tangan Portugis membuka ruang untuk Turki datang ke Alam Melayu dan membantu mengembangkan Islam. Wap keIslaman yang dinyalakan oleh daulah Uthmaniah itu berasap hingga ke Nusantara, termasuk negara kita.

Sesuatu yang amat dirasai ialah suatu budi Turki ke atas Alam Melayu khasnya Malaysia apabila bangsa itu meninggalkan setitik benih di negara ini bagi memungkinkan lahir seorang putera yang berjuang untuk mencapai kemerdekaan negara. 

Saya rasa setengah kita sudah mengetahui siapa tokoh itu, tetapi lebih baik kalau anda menggalinya sendiri dari buku ini. Saya sengaja tidak mahu menyebut nama tokoh berkenaan. Antara rahsia besar yang dikandung dalam buku ini ialah mengenai hal ini. Pembaca akan berterima kasih dengan sumber ini.

Bagi saya buku ini sebagai satu "Atlas" besar tentang Turki dan sejarah ketamdunannya yang dihasilkan oleh pengkaji diluar Turki. Kenapa ia dipanggil "Atlas" kerana buku ini sarap dengan carta, peta, gambar-gambar yang penuh nostalgik yang tidak kedapatan dalam buku-buku lain. Kerajinan penulis mengumpul dan mencari semua ini merupakan sesuatu kerajinan yang luar biasa.

Kesimpulan atau hepotesis dibuat dalam buku ini mengenai perkembangan di Turki itu lebih adil dan tuntas kerana ia adalah pandangan dari luar yang tidak bias. Tidak ada pengkultusan atau pengkaguman berlebihan kepada Turki dan tokoh-tokoh tertentu apabila yang mengkajinya orang luar yang tidak berkepentingan.

Selain kita dapat mengikut perkembangan kewujudan Turki, dari zaman kehebatan empayarnya, abab ke-16 membawa ke zaman kejatuhannya, abad ke -18 dan terbelenggu sebenar pada zaman pengaruh kolonial dan sekularisme bikinan Kemal Altatruk, hinggalah ke zaman demokrasi kini, zaman Turki dikembalikan kepada Islam syumul menerusi demokrasi dibawah Recep Tayyip Erdogan. Kronologi dan perkembangan itu dipaparkan dengan jelas dan sangat kemas teratur.

Kesimpulan yang dapat saya tarik dari buku ini, maksud sebenar kajian ini ialah untuk menceritakan mengenai jatuh bangun kerajaan atau pemerintah Islam di Turki di abad sebelum ini dan kebangkitan kembali di muasir ini. Sekaligus menjelaskan akan kesungguhan dan komitmen rakyat Turki yang 96.1% beragama Islam dalam memperjuangkan agama.

Pengajaran yang dapat dikutip betapa hebat sesuatu kuasa itu apabila ia tidak dijaga dengan baik, dan apabila rakyat menolaknya kuasa itu akan musnah juga.

Natijah paling besar buku ini pula ialah untuk memberi semangat dan keyakinan bahawa Islam boleh dan dipercayai untuk memimpin dunia asalkan ianya dilaksanakan mengikut apa yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. sebenar-benarnya. Saya akan membawa buku ini terbang bersama saya esok sebagai teman.
Mereka berminat untuk mendapatkan buku ini boleh hubungi sdr Mohd Halidi ditelefon 037967591 atau hp 0163984250 / 0126450974. [wm.kl.7:28 pm 04/19/15]

No comments: