Tuesday, December 13, 2011

Melayang Rasa

Pas, PKR Kelantan Sedialah Bertukar Kerusi

JAWATANKUASA syura ulama peringkat negeri Kelantan sudah pun membuat penyemakan zahir ke atas semua nama-nama yang diangkat untuk menjadi calon Pas pada pilihan raya akan datang. Adalah diyakini dari kesekian nama yang dihantar itu semuanya lulus dan tidak sangkut. Kalau ada nama-nama yang sebelum ini kelabu mungkin sudah clear, selepas tuan punya melakukan taubat nasuha ataupun insaf atas keterlanjuran baik sengaja atau tidak sengaja. Maaflah mereka.

Bagaimana pun pengagihan kerusi belum dibuat dan muktamad lagi. Kerusi biasanya akan muktamad pada 24 jam terakhir. Untuk satu kerusi ada tiga nama yang dikirimkan. Apakah nama yang tidak ada dalam perhatian Yang Dipertua Kawasan tidak diangkat?

Pemilihan terakhir ialah skan batin yang akan dilakukan secara spritual oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tok Guru ada kaedah dan caranya sendiri. Kelebihan ini hanya ada kepadanya seorang dan beliau berkelayakan! Sebagai ahli yang patuh tidak akan mempersoalkan apa-apa yang akan diputuskan nanti.

Inilah situasi dalam Pas. Ahli Pas yang patuh serta taat tidak akan mempertikaikan apa-apa keputusan yang dibuat. Di sinilah juga terletaknya kesaktian Pas. Perpaduan dalam Pas menyebabkan tidak ada ruang dan lubang yang boleh dikobek dan dijenguk masuk oleh musuh. Selama ini, inilah azimat dan tangkai yang dipakai Pas menyebabkan parti itu kuat, teguh dan sukar digugah musuh.

Sebelum ini Timbalan Pesuruhjaya Pas II Mohd Amar Nik Abdullah mengatakan pengagihan kerusi dengan PKR Kelantan juga sudah selesai. Kedudukannya status quo, Pas akan bertanding di 38 kerusi Dun dan 11 Parlimen manakala PKR akan bertanding di lima kerusi Dun dan tiga Parlimen. Kouta kerusi-kerusi itu seperti sebelum ini.

Sebenarnya perkembangan itu bagus, tidak ada apa-apa kekurangan dan pertambahan. Penerimaan kedua-dua pihak terhadap kerusi sedia ada menunjukkan ketinggian esprit de crop dan faham memahami antara Pas dengan PKR.

Pas tidak rugi dalam erti kata sebenarnya begitu juga dengan PKR. Nampak lendik dan sendik molek belaka. Tetapi apakah dengan kedudukan itu ia memberi peluang dan harapan cerah kepada Pakatan Rakyat di Kelantan? Tidak ada guna kalau status quo boleh dikekalkan tetapi ia tidak menjamin kemenangan. Seperti mana tidak ada guna pokok subur menghijau kalau ia tidak berbuah. Inilah perkara yang hendak saya bangkitkan untuk mendapat perhatian kalaupun tidak sedia menurutinya.

Pindah kerusi dan pindah kawasan

Mungkin dengan situasi – pembahagian kerusi yang ada hari ini Pas merasakan ia mampu untuk mengekalkan kerajaan Kelantan. Hampir semua kerusi yang ditandingi Pas kerusi yang cerah dan peluang melebihi 55 peratus, berdasarkan sejarah dan prestasi dalam pilihan raya lalu. Berbeza dengan kerusi PKR dengan kekuatan yang ada kepadanya kerusi-kerusi itu di bawah 45 peratus untuk menang. Kerusi-kerusi yang diserahkan kepada PKR adalah kerusi gelap seperti di Nenggeri, Paloh, Kuala Balah kecuali di Pengkalan Kubur. Tetapi tidak mustahil ia boleh menang kalau ada kerjasama dan strategi yang betul.

Nenggeri, Paloh atau Kuala Balah bukan sangat merupakan kubu kuat Umno, apa lagi wakil mereka sekarang ini dikatakan bermasalah dan sedang menghadapi proses pencemuhuan rakyat secara meluas. Ertinya kalau kerusi-kerusi ini diurus tadbir dengan sempurna harapan untuk menang besar. Kemenangan juga makin terjamin kalau tokoh-tokoh besar atau berpengaruh diletak bertanding di kerusi berkenaan.

Soal pembahagian kerusi ini mungkin boleh dipertikaikan dari sudut keadilan dan atas semangat kerjasama. Tetapi hakikat yang kena terima di Kelantan yang menjadi bosnya ialah Pas dan PKR hanya kuli saja. PKR perlu menerima apa saja yang dihulurkan kepadanya. Namun dalam politik yang perlu ada percaturan dan strategi, menerima dan memberi, keberadaan itu tidak boleh diterima begitu saja. Adakalanya pandangan kuli menjadi lebih penting dari pandangan bos. Bos pun besar dan keramat kerana kuli.

Kita tahu cita-cita bersama Pakatan Rakyat – Pas dan PKR bukan saja untuk menang di Kelantan. Yang diingini kini bukan saja memeprtahankan kerajaan Kelantan. Kelantan bukan lagi sesuatu yang membanggakan kalau Pas berjaya mempertahankannya. Ia bukan klimiks politik lagi dalam suasana politik negara sudah menyelerakan kini. Apa yang penting dan menjadi buruan juga ialah Putrajaya dan menjatuhkan kerajaan ‘lembu bemuk’, UBN. Kejayaan merampas Putraja adalah satu piala buat Pas dan mahkota untuk PKR.

Bahkan kehebatan Pas menguasai Kelantan selama lebih 20 tahun tidak memberi apa-apa erti dan nilai tambah kalau Putrajaya tidak berjaya ditawan dalam pilihan raya ke 13 nanti. Sebab perjuang Pas bukan saja untuk Kelantan tetapi untuk seluruh negara, cita-cita itu sesuai dengan slogan Pas Ganti Umno.

Justeru, Pas harus fikirkan soal kerusi parlimen juga. Mungkin Pas mampu menang di semua kerusi parlimen yang ditandingi, tetapi apakah kerusi-kerusi ditandingi PKR itu selamat. Bagaimana dengan kerusi Ketereh, Machang dan Tanah Merah. Apakah kedudukan kerusi itu sama kuat dan sama gagah dengan kerusi Rantau Panjang, Pengkalan Chepa, Tumpat, Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pasir Mas?

Dalam penilaian saya berdasarkan pencapaian dan gerak kerja hari ini, hanya lima kerusi Parlimen sahaja yang ditandingi Pas selamat; Kubang Kerian, Pengkalan Chepa, Tumpat, Rantau Panjang dan Kota Bharu. Manakala kerusi-kerusi lain Pasir Puteh, Gua Musang, Kuala Krai berada dibawah 50 peratus untuk menang. Bagaimana pun dari segi prestasi kerusi-kerusi itu jauh lebih baik dari tiga kerusi yang kini disandarkan kepada PKR.

Makanya kalau Pakatan Rayat benar mahu menawan Putrajaya kerusi-kerusi ini juga hendaklah diletak pramatcure tinggi untuk menang kerana ia akan menjadi angka yang mengenapkan majoriti untuk menguasai Parlimen. Dalam politik yang sifatnya apa saja boleh berlaku, kalau kerusi-kerusi ini diabaikan menyebabkan harapan untuk menumbangkang UBN akan jadi angan-angan saja.

Bertolak dari hakikat itu maka Pakatan Rakyat kena peduli kepada kerusi ini. Satu formula khas boleh dikemukakan untuk menjamin kerusi-kerusi itu menang. Formula ini mungkin boleh dibawa ke atas untuk dibincangkan dan ia tidak sepatutnya diserahkan kepada pimpinan negeri sahaja. Misalnya Anwar Ibrahim boleh berbincang dengan Abdul Hadi Awang ataupun dengan Tok Guru Nik Aziz sendiri. Sikap malu mata, mungkin tidak elok waktu ini kerana ia boleh merugi dan menyebabkan berlaku kerterkilanan di masa akan datang.

Tanpa menyebut Machang, saya ingin menyentuh tentang kerusi Ketereh dan Tanah Merah. Wakil Ketereh kini Abdul Aziz Kadir tampak tidak berdaya untuk berhadapan dengan tokoh Umno di kerusi berkenaan yang relatif kaya dan mewah dari segi menggunakan wang. Ketokohan wakil Umno perlulah dihadapi dengan kekuatan kewangan juga dan tidak cukup setakat tokoh yang baik dan suka senyum. Lantaran itu bagi mengelak ini Aziz perlu dipindah ke mana-mana kerusi di peringkat Dun.

Pas perlu mengambil alih parlimen Ketereh. Cari dan pilihlah mana-mana calon yang sesuai yang boleh memberi pukulan maut kepada calon Umno. Untuk mengharapkan kemenangan jangan persoalan akan jasa dan bakti calon itu kepada Pas. Yang penting boleh menang dan boleh menggeletarkan calon Umno. Dalam soal mencari seorang calan winnabale untuk berhadapan dengan Umno ini jangan pedulikan sangat track record dan masa lampau seseorang.

Mungkin bekas ketua pemuda Umno Ketereh Sobree Shafii yang kini sudah berhijrah kepada Pas boleh dipertimbangkan. Apa salahnya jangan fikir beliau orang lama atau orang baru asalkan boleh memberi pukulan dan mengekang kemaraan calon UBN, tak salah kalau Pas mempertauhkannya. Sobree ada kelebihan tersendiri yang mungkin tidak ada kepada tokoh Pas lain.

Tilik sejauh mana dan kaji kiri dan kanan kemampuannya untuk menghalang kemaraan calon Umno. Saya kemukakadan idea ini kalau Pas dan PKR mahukan kemenangan.

Aziz seorang yang setia dan sabar dalam parti tidak sukar untuk menang di mana-mana kerusi Dun dalam Ketereh. Kerusi paling baik ialah Melor kebetulan kampung halamannya juga di situ. Sekali lagi berkebetulan Adun Melor waktu ini Wan Ismail Wan Jusoh sudah sedia untuk memberi laluan kepada muka baru di kerusi itu.

Begitu juga dengan kedudukan Amran Abdul Ghani di Tanah Merah. Amran boleh dipindahkan ke mana-mana kerusi state dan berikan kerusi Parlimen kepada calon Pas. Tokoh pelapis yang saya kira sesuai untuk diletakkan di Tanah Merah ialah Abdul Fatah Mahmod yang kini Adun Bukit Panau yang juga Exco Kelantan. Dan untuk menghormati Amran berilah kerusi Bukit Panau.

Kedua pihak terutamanya Pas tidak perlu memikirkan kemenangan peribadi tetapi fikirkan untuk kemenangan Pakatan Rakyat. Saya optimis kalau berlaku perubahan dan persefahaman ini kerus-kerusi Parlimen yang kini ditandingi PKR yang agak mencemaskan itu mungkin boleh diselamatkan. Penyelamatan ini seperti saya katakan tadi penting untuk memastikan korum ke Putrajaya mencukupi. [wm.kl.12:27 t/hari 13/12/11]

No comments: