Sunday, December 25, 2011

Perikemanusiaan

Kalau Tuhan Masih Sayang
Mangsa Tsunami Hidup Kembali

ESOK (26 Disember) genaplah tujuh tahun tragedi tsunami di Aceh yang telah meragut lebih 200,00 nyawa. Meskipun sudah hampir satu dekad peristiwa itu berlalu masih terasa panas dan hangat dalam ingatan. Berita mengenai pengembalian mangsa Aceh bernama Wati kini berstatus gadis sunti ke keluarganya di Meulaboh Aceh mengembali ingatan saya kepada panorama tsunami di Aceh.

Semuanya apa yang terpanah ke dalam mata semasa menziarahi kejadian itu berbalam-balam dengan tiba-tiba dalam mata dan kepala tatkala terdengar kisah si gadis malang itu. Terlihat dan ternampak mayat yang bergelimpangan tersangkut di mana-mana pada hari keempat kejadian. Saya sempat merakam lebih 200 keping gambar. Peristiwa itulah menjadikan saya akrab dengan Aceh sampai kini dan punyai perasaan dukacita mendalam kepada negeri Aceh Darulsalam.

Apa yang hendak saya katakan di sini ialah kuasa Allah s.w.t. Benar dan sahihlah jodoh perkahwinan, ajal maut dan tanah kubur tergenggam erat di tangan Tuhan. Misalnya jodoh kalau pun isteri melarang dari berkahwin satu lagi kalau ada jodoh apa boleh buat, (gurau). Saya tidak fikir setelah tujuh tahun orang tua Wati masih mengira anaknya masih hidup dan kembali ke pangkuannya. Bayangkan tiba-tiba anak yang dirindui dan sudah dihantar ke alam barzakh itu tiba-tiba tercokol di depan mata.

Siapa tidak terperagah, hiba, sayu dan sebak dengan kejadian itu. Tidak kecukupan tempat rasanya untuk ibu Wati dan keluarganya menjatuhkan kepala untuk mensyukuri apa yang berlaku. Wati dikatakan terlepas dari dakapan ibunya dan hanyut dalam arus tsunami menggila.

Saya terlihat dalam kaca tv tadi, macam mana sebak dan sayu perasaan si ibunya mencerita kisah anaknya. Seakan tidak cukup bahasa dan suara untuk menggambarkan kegembiraan dan kesyukuranya.

InsyaAllah selepas DNA Wati disahkan, saya akan mengunjungi keluarga yang bernasib baik dan disayangi Allah kerana menemui semula anaknya itu bila ke Aceh nanti. Doakan semoga hajat saya ini kesampaian dan saya akan pergi dalam masa terdekat. Mana-mana kawan yang ingin ikut serta boleh kita rombongan khas.

Saya akan membeli baju baru dan keperluan lain untuk gadis sunti itu dan membantu keluarganya. Dan kalau diberikan rezeki akan saya adakan kenduri kesyukuran untuk keluarga berkenaan. Doalah hajat yang murni dan kudus ini direstui Allah s.w.t. [wm.kl.8:33 pm 25/12/11]

No comments: