Wednesday, December 14, 2011

Selepas Subuh

Sudah Masakkah Pemikiran Pas Kelantan?

DI KELANTAN sudah tidak menjadi rahsia umum lagi dua tokoh pelapis Pas sebaya Husam Musa, 52 dan Takiyuddin Hassan, 50 akan dipindah bertanding ke kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Husam katanya akan diminta bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian, kerusi yang pernah disandangnya pada tahun 1999 - 2004.

Manakala Takiyuddin akan diletakkan bertanding di kerusi Parlimen Kota Bharu. Takiyuddin adalah Timbalan Yang Dipertua Pas Kota Bharu di mana ahli Parlimen kini, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah adalah Yang Dipertuanya.

Wan Rahim dikatakan sudah bersiap sedia untuk memberi laluan kepada muka baru di kerusi Parlimen Kota Bharu. Beliau kemungkinan besar akan menjadi penasihat politik Pas sepenuh masa.

Penghijrahan kedua mereka itu bukan di atas kehendak dan pilihan mereka. Tetapi sebagai ahli mereka khabarnya akur saja apa arahan parti. Tidak ada usaha dari mereka berdua untuk menghalang perpindahan itu mereka pasrah kepada parti.

Tidak jelas alasan atau sebab musabab kenapa mereka berdua perlu diletakkan di Pusat. Menurut cerita kalau Husam, ialah untuk memboleh beliau menjadi pemimpin pusat. Kedudukannya sebagai Naib Presiden Pas sesuai kalau beliau bermain angin di peringkat nasional. Tertakdir Pakatan Rakyat menang beliau akan dilantik menjadi menteri kanan. Alasan itu tidak lebih daripada satu ejekan semata-mata atau pun cuba memberi ikan besar kepada Husam sedang pancing belum ke air.

Begitu juga barang kali dengan Takiyuddin yang akhir-akhir ini bernyak bermain di Kuala Lumpur dengan jawatannya selaku Penolong Setiausaha.

Ingat kenapa Takiyuddin acap ke Kuala Lumpur ialah kerana tugas dan tanggungjawab. Selepas beliau tidak diperlukan untuk berkhidmat dalam Dewan Harian Kelantan - dipecat sebagai Setiausaha Badan Perhubungan dan sebelum itu sebagai ketua penerangan, maka beliau diminta oleh presiden agar membantu tugas-tugas Setiausaha Agung yang berlambak di pusat. Sebagai orang parti dan pekerja yang rajin Takiyuddin akur tanpa bantahan dan pencapaiannya di peringkat pusat agak menarik.

Itu sahajalah alasan kenapa kedua mereka dipindah. Tetapi atas sifat mereka orang politik, saya tetap yakin perpindahan itu ada agenda tertentu yang tidak sukar untuk ditafsirkan. Politik Kelantan hanya ada dalam telapak tangan saya. Dalam tilikan saya tidak ada sebab lain perpindahan itu, khasnya Husam kerana ingin meredakan politiking dalaman di Kelantan. Husam dijual sebagai tokoh bermasalah di Kelantan. Apa masalahnya? Kurang mesra alam, itu bukan sebab kalau beliau hendak dibawa ke pusat kerana kerajaan atau Pas Kelantan harus melihat bagaimana dia berfugsi sebagai striker di Kelantan.

Bagi saya itu hanya alasan semata-mata untuk mengasingkan beliau jauh dari pusat. Dalam firasat saya masalah yang ditimbulkan Husam di Kelantan teramat rendah kalau dibandingkan dengan bebanan atau pun risiko yang bakal di hadapi Pas tanpa beliau di Kelantan. Ia lebih parah lagi kalau Takiyuddin juga turut sama dianjak ke pusat. Kelantan akan banyak rugi dari untung kalau kedua tokoh ini dipindah ke pusat. Jika diumpamakan pemain bola Husam striker Takyuddin full-back.

Perlu diingat kedua mereka adalah Exco kanan dan menjadi pengimbang kepada Tok Guru Nik Aziz dalam kerajaan. Di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) mereka berdualah bertindak menjadi penasihat politik kepada kerajaan dan Menteri Besar. Banyak tugas-tugas atau urusan MB berhubung kerajaan baik di dalam dan di luar di dokong atau diperan oleh mereka berdua.

Misalnya perihal undang-undang Takiyuddin sebagai seorang peguam berpengalaman menjadi rujukan Pas dan juga kerajaan. Begitu juga Husam yang mahir dalam bidang ekonomi dan seseorang lulusan Ijazah Ekonomi berpengetahuan tahu serba sedikit mengenai ekonomi dan kewangan.

Mereka berdua juga merupakan Exco kanan berpengalaman bersama seorang lagi Exco Mohd Amar Nik Abdullah Arahad. Saya sering menganologikan mereka sebagai tiga tungku menegakkan dan mengukuhkan kedudukan Menteri Besar Nik Aziz selepas tiga tungku sebelum ini tumbang atau pun jatuh kerana dimakan ulat gonggok.

Mungkin sesetengah pihak merasa seronok bila mana Husam ke Kuala Lumpur. Kerana Husam tidak lagi dilihat sebagai penghalang kepada mereka. Husam tidak lagi akan berserabut dengan pelbagai idea ekonomi untuk menjana pendapatan rakyat dan negeri. Kalau sebelum ini mereka merasa 'semel' muka untuk berbuat sesuatu apabila Husam ada. Dengan tiadanya Husam mereka bebas dan tidak terikat dengan apa-apa halangan.

Kerja untuk membawa Husam ke Kuala Lumpur tidak menjadi kalau bukan atas kehendak Tok Guru Nik Aziz. Mungkin Tok Guru sudah dibayangkan dengan gambaran-gambaran indah untuk tujuan itu. Sebagai anak didiknya tidak mudah juga Nik Aziz untuk merelakan Husam. Suka tidak suka ataupun senang tidak senang Husam sudah banyak memberi kegembiraan kepada Tok Guru Nik Aziz. Husam pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar, setiausaha politik dan Exco. Siapa boleh nafikan jasa dan budi Husam baik kepada Kelantan dan Nik Aziz selama 20 tahun?

Justeru apakah tangkai yang digunakan untuk mempengaruhi Tok Guru supaya bersetuju Husam dipindah ke Kuala Lumpur? Kalau bukan kerana sesuatu alasan yang konkrit sukar untuk Tok Guru melakukannya. Tok Guru bukan jenis mudah mendengar kata dan hasutan orang. Dia kahsyaf.

Di sini ada juga yang menyendak ke lubang telinga saya kononnya perpindahan itu untuk tidak memalukan Husam nanti. Kononnya kalau Husam terus bertanding di Dun beliau tidak lagi akan dilantik menjadi Exco kerana ada halangan besar? Jadi untuk tidak memalukan Husam maka Husam perlu diselamatkan dari malu. Betulkah? Kenapa harus difikirkan sesuatu perkara yang masih kabur dan tidak jelas. Kalau Husam hendak malu dengan apa yang berlaku nanti biarlah dia malu sendiri. Sebaliknya dengan apa yang berlaku kini Husam boleh beranggapan perpindahan itu sengaja mahu menyusahkannya.

Sebenarnya dalam keadaan Kelantan hari ini tidak seselesa sebelum ini bukan perkara mudah hendak dicaturkan. Melakukan rombakan dan perpindahan seharusnya dikaji secara mendalam apakah kesan dan implikasinya. Janganlah membuat rombakan dan pertukaran itu kerana semata-mata kita ingin memenuhi kehendak kita sehinggakan menggadai kepentingan-kepentingan lainnya. Kepentingan parti dan jihad perlu diutamakan.

Buruk baik perlu difikir dan direnungi secara mendalam. Apakah kalau Husam dan Takiyuddin berada di luar Kelantan ia tidak boleh melemahkan kerajaan? Apakah dengan barisan Exco yang ada kini mampu untuk berdepan dengan kerenah para pegawai kerajaan kelak. Kalau berkebetulan Putrajaya dapat ditawan, mungkin ia tidak memberi masalah, tetapi apa kata kalau Kelantan menang tipis seperti tahun 2004, bagaimana kalau pegawai Kerajaan membuat perangai?

Bukan pelik kalau pegawai kerajaan tidak sedia mengikut kehendak arahan parti dan kerajaan. Pernah berlaku satu masa dulu para pegawai kerajaan tidak akur kepada keputusan kerajaan. Saki baki Umno masih ada dalam meja para pegawai kerajaan Kelantan. Dalam kes-kes seperti inilah ia memerlukan seorang Exco yang bijak melayani atau sedia untuk berdepan dengan pegawai kerajaan dengan segala macam fakta dan hujah. Dalam hal ini saya kira Takiyuddin dan Husam adalah tokohnya.

Saya tidak mahu perkecilkan kebolehan wakil rakyat atau anggota Exco lain. Tetapi mereka masih mentah dan belum ada kekuatan dari segi pengalaman dan pengaruh di kalangan pegawai kerajaan seperti Husam dan Takiyuddin. Mereka sebenarnya belum bertempur dan tidak pernah berasap kepala memikir kerenah pegawai kerajaan. Apa yang dibimbangkan bila mereka tidak ada takut tokoh-tokoh muda yang ada tidak berdaya untuk menghadapi masalah bakal dicetuskan nanti. Mungkin Mohd Amar cukup pengalaman tetapi apakah mampu kalau beliau berseorangan, untuk mengandar sesuatu yang berat tidak boleh bersendirian.

Bukan itu saja mereka berdua juga diperlukan untuk berdepan dengan kemaraan Umno yang semakin ghairah untuk menawan Kelantan. Saya percaya Mustapa Mohamed tidak gerun dengan tokoh-tokoh muda lain tetapi mereka begitu tercabar dengan penampilan dan tektikal politik kedua tokoh ini.

Kesimpulan Pas Kelantan perlu memikir semasak-masaknya untuk membawa Husam dan Takiyuddin ke pusat. Fikir dengan hati dan jangan melakukan perpindahan itu kerana dendam atau pun perasaan marah. Utamanya kesejahtraan parti dan kerajaan dan jangan ianya dilakukan semata-mata kerana ingin melakukannya kerana kita ada sedikit perasaan terkilan dengan mereka. Kalaupun tidak keduanya dikekalkan saya berharap sangat salah seorang perlu dikekalkan di Kelantan untuk terus menyambung perjuangan Tok Guru. [wm.kl.10:41 am 15/12/11]

2 comments:

Inoza said...

Salam,apa yang terbaik adalah meletakkan Dato Husam di Dun dan Parlimen. Usaha menyingkirkan beliau giat dilakukan oleh orang Pas sendiri yg berkepentingan. Teruskan menulis Tuan MSO. Sesungguhnya mata pena tuan dapat membuka kepimpinan parti yg terlalu jumuj untuk kepentingan peribadi berbanding parti.

Nor Hasin said...

Saya sangat bersetuju dengan komen MSO... Satu kerugian besar buat PAS Kelantan sekiranya mereka berdua ini dipindahkan ke pusat.

Semua orang tahu bagaimana Husam bekerja untuk Kerajaan Kelantan. Bagaimana beliau berusaha bersungguh-sungguh menuntut Royalti Minyak dari Pusat. Karaktor seperti Husam harus ada dalam kerajaan PAS Kelantan.

Batul Kata MSO, jangan terlalu mengharap apa yang kita tidak pasti. Untuk menawan Putrajaya bukan kerja mudah.. Untuk PAS terus menguasai Kelantan Insyaallah amat mudah.

Sebelum ni TGNA pernah berkata dan inilah ucapan TGNA “Husam ni saya nak sebut, Allah Taala buat dia bukan sahaja untuk Kelantan, tetapi untuk Malaysia, budaknya cerdik, pengalamannya banyak, dan pemikirannya jauh ke depan.

“Dan sekarang ni rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik dari Husam termasuk dengan mengambil tanah Felcra, termasuk mengadakan kifalah yang banyak sehingga dapat dimanafaatkan oleh wasi…OKU dan ramai lagi yang terima banyak manfaat hasil pemikiran Husam.

Sebelum ni, tambahnya beliau tidak pernah menyebut perkara itu, (keistimewaan Husam) sebab takut perasaan anggota exco lain berkecil hati, lagipun exco lain mempunyai portfolio masing-masing.

Saya menyokong kenyataan MSO dan Diatas kenyataan TGNA ini lah saya rasa tidak ada sebab untuk TGNA pindahkan Husam ke pusat, kalau alasan nak kata bagi mengelakkan Husam menjadi MB Kelantan rasanya sebelum ni Husam dah kata beliau tidak berminat untuk memegang Jawatan tersebut.. Bagilah kepada mereka yang berminat.

Justeru itu saya mengharapkan TGNA sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri harus memikir beribu kali untuk melepaskan Husam ke pusat demi masa depan politik kelantan. Jangan terlalu mendengar nasihat2 dari syaitan yang bertopengkan manusia yang mempunyai hasad dengki dan tidak senang melihat Husam terus bertapak dalam Barisan EXCO Kerajan Negeri Kelantan..