Monday, December 19, 2011

Susupan Pagi

Haron Din Perlu Beri Air Jampi Kepada Pas

DUA tiga orang penjenguk blog Merah Tinta dan juga kenalan politik bertanya saya mengenai Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa. Semua pertanyaan agak skeptikal kepada kedua pemimpin berkenaan. Semuanya kerana kenyataan balas mereka berdua terhadap kenyataan-kenyataan atau komen mengenai mereka yang dimulai oleh Ketua Penerangan Pas Selangor Saari Sungib yang mendedahkan Hasan tidak mendapat cukup pencalonan untuk dicalon dalam pilihan raya ke-13.

Saya awal-awal sudah mengatakan tindakan Saari itu tidak bersifat politik dan beliau jujur yang tidak bertempat. Gara-gara kenyataan beliau atau lebih tepat kerana gatal mulut (berdasarkan atas fakta) menyebabkan timbul polimek mengenai kedudukan Hasan Ali dalam Pas dan sempat mengelisahkan ahli dan penyokong bawahan.

Ia menjadi tambah 'rewel' lagi apabila Hasan membuat kenyataan sinis kepada Pas yang kemudian membuka hati Mustapa Ali untuk menjawab sama yang menghangatkan lagi situasi.

Barang kali tidak pelik kalau Mustapa Ali membelasah Nasharudin dan Hasan Ali. Politik yang licit dan munafik begitulah. Kita perlu mengodam kawan yang dilihat bersalah untuk menampakkan kita benar dan tidak bersubahat. Mustapa terkenal sebagai seorang ahli politik yang pandai mengambil kesempatan, menyelam dan menggali pasir dari bawah dasar laut.

Saya sendiri faham kenapa kalau Mustapa baham Hasan Ali dan Nasharudin Mat Isa. Walhal beliau boleh mengambil sikap mendiamkan diri dari membuat kenyataan seperti tikus membaiki labu. Itulah kalau kita ada masalah kesihatan yang cuba hendak memberi nasihat kepada orang lain makan ubat sama. Hasilnya kita akan diserang balik ataupun menyebabkan sakit kita akan kelihatan.

Menyentuh isu Hasan Ali dan Nasharudin ini saya ada sedikit pandangan. Keadaan hari ini mungkin reda tetapi ia tidak menamatkan sengketa. Hasan Ali dan Nasharudin boleh berakhir dengan mereka tidak akan bersama Pas kalau pun tidak menyertai Umno. Jaminan "saya sayangkan Pas, sukar untuk saya tinggalkan Pas dan bla-bla", bukan jaminan mutlak. Orang Pas tidak boleh merasa yakin dengan pernyataan begitu dari Hasan dan Nasharudin.

Atas sifat politik sesiapa pun tidak akan jujur dalam percakapan melainkan ia akan dipolitikkan. Beza sedikit dan banyak saja.

Bagi Pas walaupun busuk mana Hasan Ali dan Nasharudin kalau mereka tidak bersama Pas ia merugikan Pas. Politik itu berhubung dengan angka! Sikap dingin mereka atau penjauhan dari Pas akan digunakan oleh Umno untuk memburukan Pas kepada mata umum. Sebagai musuh Umno akan melihat Hasan Ali dan Nasharudin sebagai intan dan permata. Mereka akan puji kilauan Hasan dan Nasharudin kandati mereka sendiri tidak begitu berminat untuk mengambilnya sebagai mata cincin dalam politik.

Tetapi rakyat dibawah akan menjerit dan mengeluh kesal. Apa lagi rakyat yang melihat jasa-jasa kecil mereka berdua akan merasa kecewa kalau Hasan dan Nasharudin sudah 'terkanyar' dari jemaah Pas. Kalau hati rakyat begitu diusik boleh menyebabkan rakyat (penyokong) Pas tawar hati untuk aktif dalam Pas. Suatu hakikat yang perlu diterima baik Hasan dan Nasharudin mereka juga ada pentaksud masing-masing.

Adalah tidak bijak kalau Pas membiarkan Hasan dan Nasharudin apa lagi menghalau mereka keluar dari jemaah Pas. Biarlah mereka. Kalau pun tidak mahu guna jangan kecam dan burukan mereka. Dengan cara itu mereka tidak akan melakukan sesuatu merugikan Pas kalau pun mereka tidak menjadi pembela setia Pas.


Hendak tidak hendak isu Hasan Ali dan Nasharudin kena diselesaikan. Dalam hal ini orang yang boleh mendamaikan hati mereka berdua ialah Timbalan Mursyidul Am Pas, Dr Haron Din. Inilah tokoh yang akan boleh diterima pandangannya oleh banyak pihak. Dengan pendekatan, zuhud dan tawaduk, ketokohan sebagai pemimpin dan ulamak Haron Din boleh jadi pendamai.

Saya juga yakin dan percaya Hasan dan Nasharudin lebih berwala' dan mesra kepada Haron Din berbanding dengan Nik Aziz atau Abdul Hadi Awang. Bagi mereka Haron Din adalah mursyidul am dan presiden Pas. Jauh dari itu kawan yang senantiasa mereka hormati dan segan serta tempat merujuk atau melepas rajuk. Atas kedudukan ini Dr Haron Din boleh memainkan peranan menyelesaikan isu mereka. Haron Din boleh menggunakan perubatan Islam (Darul Syifat) untuk menyembuhkan hati Hasan, Nasharudin serta individu lain yang juga kelihatan sama sakit.

Elok Haron Din panggil mereka dan bagi sebotol seorang air jampi. Kalau tidak Haron Din boleh jampi di udara dan biarlah angin yang sudah siap dijampi itu memasuki rongga mereka itu semua.

Saya merindui untuk mendengar komen Haron Din dalam hal ini. Walaupun Ketua Dewan Ulamak Harun Taib memberi komen dan nasihat tetapi ia tidak berapa didengari sangat kerana orang juga mengenali siapa dia Harun Taib yang menjual kambing kepada Mat Said itu. Kalau boleh dan tergamak Harun Taib juga perlu meminum air tawar Haron Din. [ttdi.10:57 am 19/12/11]

2 comments:

fadil said...

Terbaek la Tuan MSO. Macam orang tua-tua bilang "Pukul Anak Sindir Menantu". Ha Ha Ha

Ustaz Haji Fikri Awang Al-Kelantani said...

PAS atau Hasan Ali atau Nasha mungkin sudah rasa cukup kuat ke? ..,akhirnya UMNAJIB yg menang...!