Friday, August 8, 2008

Hati Di Kota Bharu

Apabila menantu Nik Aziz Disiasat BPR?

MENURUT prinsip undang-undang seseorang itu tidak dianggap bersalah selagi mahkamah tidak memutuskan ianya bersalah. Bagaimana pun dari segi moral apabila seseorang itu ditangkap dan disiasat ia memberi persepsi yang kurang baik.

Dengan mengira tidak ada sebab polis menyiasat kita atau pegawai BPR mengerumuni rumah kita sekiranya tidak ada sesuatu yang boleh membawa mereka ke situ. Selalunya adalah masalahnya kalau tempua bersarang rendah!

Biasanya baik polis, BPR dan pegawai keselamatan lain akan bertindak, menyiasat, memantau dan menangkap apabila ada laporan dibuat. Itulah prinsip dan amalan dilakukan oleh badan penguasat kuasa (enforce) di negara-negara di seluruh dunia.

Apabila BPR dilaporkan memasuki ke pejabat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) ia memberi berbagai tafsiran. Mesti ada sesuatu yang tidak kena berlaku sehingga pegawai BPR bergegas ke sana. Jangan fikir ia sebagai satu strategi untuk memburukkan MB atau kerajaan, tetapi pegawai BPR berkenaan pastinya bertindak berpandukan asas-asas logik baginya.

Menurut laporan akhbar semalam BPR sudah mula menjenguk ke pejabat PMBK yang terletak di bangunan bersebelahan dengan kompleks Kota Darulnaim itu. Beberapa dokumen juga telah diambil. Kedatangan BPR itu ialah ekoran tersebarnya surat layang yang mencerca perbadanan yang dipengerusi oleh Tok Guru Nik Aziz itu. Orang yang menjadi sasaran dalam hal ini ialah menantu MB Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas itu, bernama Ariff Fahmi Abdul Rahman.

Sebenarnya kedatangan pegawai BPR ke pejabat-pejabat kerajaan seperti itu perkara biasa. Tetapi seperti juga dihuraikan tadi pemergian itu akan ditafsirkan dengan berbagai makna dan pengertian prejudis. Kedatangan ke pejabat PMBK itu bukan perkara baru, sebelum ini BPR juga pernah singgah di pejabat salah seorang Exco kanan dan mengambil beberapa fail dan dibawa ke pejabat BPR di Wisama Persekutuan Jalan Bayam.

Sekarang natijah daripada surat layang berkenaan dan kedatangan pegawai BPR ke pejabat PMBK itu umum sudah tahu yang seorang menantu MB Kelantan bekerja di situ. Tidak ada masalah kalau menantu MB bekerja di situ. Menantu Perdana Menteri bernama Khairy Jamaluddin juga bekerja di pejabat di bawah bidang kuasa Abdullah Badawi. Jadi kalau dicongkak dan dikalidharabkan sama saja.

Di sini saya tidak mahu mempersoalkan itu. Menantu MB itu berhak berkerja di mana sahaja mengikut kelayakannya. Dan kedudukan bapa mertuanya sebagai MB dan pengerusi syarikat itu sepatutnya tidak menghalangnya.

Hal sama pernah dikatakan Mahathir Mohamad, “maka sukarlah anak-anak saya untuk cari makan di Malaysia kerana bapanya Perdana Menteri. Ini tidak adil,” begitulah kata Mahathir. Kita faham dan mengerti maksud kata-kata Mahathir itu.

Bagaimana pun hadith Mahathir itu sepatutnya tidak dituruti atau diambil sebagai justifikasi. Mengambil kira kata-kata Mahathir atau apa yang berlaku di sekitar Abdullah itu untuk menjustifikasikan apa yang menimpa kita samalah seperti apa yang berlaku kepada Pak Pandir yang kematian anak dengan mengatakan anak orang lain juga mati walhal mayat yang ditemui dijalanan itu adalah anaknya sendiri yang tercicir dari keranda!

Sebenarnya kebimbangan mengenai akan berlaku konflik interest dalaman hal seperti ini sudah lama diwaspadakan. Pernah satu ketika anak beranak Tok Guru itu dikatakan membuat protes dalaman apabila MB itu bersetuju dengan satu cadangan untuk menggantikan Pengarah Eksekutif Syarikat Air Kelantan, Fauzi Abdullah yang ketika itu menghadapi masalah dengan Ariff Fahmi Abdul Rahman menantunya itu.

Nasib baik kejadian itu disedari anak beranaknya dan mencegah Tok Guru itu agar tidak melantik Ariff Fahmi. Bantahan itu pun katanya disaat-saat akhir di mana ketika Tok Guru sudah melangkah untuk turun rumah menuju ke pejabat dan menghadiri mesyuarat bagi tujuan perlantikan itu.

Katanya dengan berat hati beliau telah memaklumkan semula kepada orang yang mencadangkan nama Ariff Fahmi itu bahawa Ariff Fahmi tidak boleh dilantik mengganti Fauzi kerana dibimbang timbul masalah dikemudian hari.

Ekoran penolakan cadangan itu juga menyebabkan Fauzi Abdullah kekal sampai kini menjadi Pengurus Eksekutif Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd.

Beberapa persoalan timbul di sebalik isu yang boleh dikaji dan seharusnya difahami oleh YAB Menteri besar Kelantan itu. Apakah cadangan perlantikan Airff Fahmi sebagai Ketua Pegawai Operasi PMBK itu adalah atas cadangan orang yang sama mencadangkan agar Ariff Fahmi mengganti Fauzi Abdullah itu dulu?

Apakah cadangan itu mempunyai motif politik tersendiri yang dibuat secara penuh taktikal untuk memburukan imej dan maruah Nik Aziz sebagai MB Kelantan? Kalau anggapan ini benar maka ia kini telah membuahkan hasil. Apa yang berlaku kini sedikit sebanyak mencalarkan peribadi Nik Aziz sebab PMBK berkenaan adalah di bawah bidang kuasanya sepenuhnya. Calaran itu tidak boleh disapukan dengan mengambil sikap seperti Pak Pandir tadi dengan menuduh menantu PM juga bekerja dengan pejabat Perdana Menteri!

Dalam pada itu sudah pasti Nik Aziz tidak bertanggungjawab sepenuhnya ke atas PMBK itu. Tugasanya yang banyak tidak mungkin beliau dapat memantau perjalanan PMBK berkenaan hanya akan mengambil peduli apa yang penting saja. Dalam hal ini pasti beliau serahkan sepenuhnya kepada penasihatnya.

Yang memusykilkan kini apakah bahana dan kesan perlantikan Ariff Fahmi di situ tidak terfikir oleh para penasihatnya? Nik Aziz sering mengkhabarkan bahawa penasihatnya seorang yang cerdik dan pandai mencari ‘pitis’ untuk Kelantan. Apakah orang pandai juga boleh silap ke? Ataupun memang perlantikan berkenaan adalah agenda dwi penasihat yang dikatakan sering menggunakan lorong tikus ke Pejabat MB itu!

Adalah diharap dalam usia yan sudah lanjut dan sering keuzuran Nik Aziz tidak mudah menerima nasihat daripada sesiapa saja tanpa membuat pemeriksaan serapi mungkin terlebih dulu. Seboleh-boleh janganlah menggunakan dua tiga orang penasihat sahaja atau terus menerima khidmat penasihat lama, sebaliknya carilah seberapa ramai yang boleh.

Yang penting Tok Guru kena ingat kepada pepatah ada sokong yang membawa rebah. Hakikinya kini ada orang yang sudah lama terliur untuk duduk di kerusi yang kerangkanya dibuat dari kayu cengal merah yang terpilih itu! [wm.kl. 9:45 am 08/08/08]

6 comments:

Anonymous said...

bila anwar disiasat dan sbagainya, anda seolah2 mempertahankan anwar.. bila ada kes di klantan, anda katakan pasti ade sesuatu yg berlaku..

apepon terukan pembongkaran, kami terlalu ingin membaca sesuatu yg tdak diperkatakan d media alternatif lain..

well, its a free world..

Panglima Perang Cyber said...

saya setuju anda berani kerana benar takut kerana salah.

Teruskan menghunus pena kerana Allah dengan kuasa pinjaman Allah untuk menegakkan agama Allah.

Saya dan kawan2 doakan Allah akan membela orang orang kebenaran...yang berani berkata benar di depan pemerintah zalim.

oh ye kawan saya kata kereta MPV alphard ratusan ribu ada depan rumah tok guru milik menantu, betul ke?

walaupun akhir zaman orang benar akan dicop penipu.

Hidup Pak Lah !


http://penembak-tepat.blogspot.com

pamuk said...

raso doh benda ni akan berlaku....sebab tak pandai jaga maruah diri dan orang lain

pamuk said...

sepatutnya si arif tu tak patut duduk kerusi coo pmbk tu....bagi lah pada orang yang memang ada pengalaman dalam bisnes.ni tak, dia tu tak tahu hapa dalam pengurusan....dah la dengan staff bilih2 bulu dan tak mesra..,rasa kalau undi 80 peratus staff tak suka dia jadi boss...buat kerja bergantung pada orang lain....buat malu betul....ingat arif jaga nama baik bapa mertua anda tu

Anonymous said...

saya rasa ini satu lg strategi dri org yg x sabar2 nak jd MB kelantan supaya TGNA meletak jawatan ekoran perlantikan menantunya..dgr citer org menantu TGNA ni adalah anak buah kpd org yg x sabar ni..mgkn TGNA termakan nasihat dri org ini..

harap2 MSO dpt menasihat TGNA agar meminta menantunya meletak jawatan untuk membersihkan keadaan....

Anonymous said...

Pak Sayuti

Dalam PAS Kelantan, Kumpulan Universiti Malaya cuba menguasai situasinya- org paling cerdik dlm PAS(petak merah), orang rapat dgn putera mahkota, pemberi maklumat di pjabat MB.

Mungkin orang paling cerdik dlm pAS itu nak jadi TPM.

Moga berjayalah