Jawatan Timbalan Presiden
Orang Johor Tak Suka Zahid Hamidi?
ORANG Johor nampaknya telah menghantar mesej untuk tidak sedia menerima orang negeri lain menjawat jawatan Timbalan Presiden Umno. Langkah ahli Parlimen Pulai, Ahmad Jazlan Mohamed menyatakan kesediaan untuk merebut jawatan itu menjelaskan orang Johor tidak menerima Ahamd Zahid Hamidi atau Mohd Ali Rustam yang telah menyampaikan hasrat masing-masing untuk merebut jawatan berkenaan.
Ahmad Jazlan menawarkan diri kerana ingin membawa perubahan kepada Umno. Beliau juga memberi alasan sesiapa saja berhak bertanding apa juga jawatan. Tindakan beliau itu disokong oleh bapanya bekas Setiausaha Agung Umno, Mohamed Rahmat.
Memang sesiapa pun boleh bertanding. Mencuba untuk merebut jawatan itu samalah kita berhak untuk mencuba pakai baju atau seluar dijual di kedai atau super merket. Kalau ianya padan dan kebetulan kita mampu untuk membelinya tidak ada siapa yang melarangnya. Tetapi kalau ada duit saja tetapi saiznya tidak cukup ia tidak boleh berbuat apa-apa. Kalau seluar atau baju yang kelonggaran atau kekecilan itu dibeli juga kerana semata-mata kita ada duit, itu bermakna kita tidak berapa sihat.
Orang tua ada mengatakan kalau hendak beli baju kena ukur badan sendiri.
Apakah Ahmad Jazlan merasakan dia layak, berwibawa dan sesuai dengan jawatan itu? Jawatan timbalan presiden bukan sebarangan. Dalam tradisi parti itu mereka yang menjawat jawatan itu biasanya akan dilantik menjadi timbalan perdana menteri.
Apakah Ahmad Jazlan cukup pengalaman dan keupayaan untuk memegang jawatan itu? Umum tahu beliau adalah orang baru dalam politik. Ubun-ubunnya pun masih lembut. Beliau masih berada di lantai bawah. Beliau naik pun kerana menumpang tuah ayahnya, Mohamed Rahmat. Belum tentu kalau beliau bukan anak Mohamed Rahmat beliau boleh berada di tempat yang diduduki hari ini selaku Ketua Pemuda dan ahli Parlimen Pulai.
Kerana itu pada saya tindakan Ahmad Jazlan itu bukan serius. Ia lebih kepada satu sinikal dan ejekkan kepada pemimpin Umno Johor mungkin yang teragak-agak untuk samada hendak atau tidak merebut jawatan itu. Pemimpin Johor yang pecah liur untuk merebut jawatan itu ialah Muhyiddin Yassin.
Tindakan Ahmad Jazlan itu juga nampak disengajakan bagi menunjukkan orang Johor tidak akan berkompromi dengan mana-mana tokoh negeri lain untuk jawatan itu. Ahmad Jazlan mungkin juga seperti kebanyakan orang Johor lain yang merasakan Umno adalah haknya.
Jika hendak diukurkan dari segi kelayakan dan senioriti Syed Hamid Albar lebih layak dan pantas menawarkan diri ke jawatan itu berbanding dengan Jazlan atau pun dengan mana-mana tokoh Umno Johor termasuk Muhyiddin sendiri. Setidak-tidaknya Syed Hamid mempunyai pengalaman yang menjangkau ke peringkat antarabangsa yang dihimpunnya ketika menjadi Menteri Luar.
Politik Syed Hamid yang mampan, berkualiti sesuai kalau beliau hendak mencuba jawatan itu. Ahmad Jazlan dalam konteks ini tidak lebih daripada kancil yang cuba berak besar apabila dia melihat gajah berak besar. Justeru langkah Ahmad Jazlan itu tidak lebih daripada satu gimik murahan untuk memperkenalkan dirinya kepada publik politik negara ini. [wm.kl. 9:00 pm 05/10/08]
1 comment:
Saudara MSO..Selamat hari raya dan maaf zahir batin. Alhamdulillah, saudara telah selamat kembali dari menunaikan umrah dan meneruskan tulisan dalam blog yang saya selalu ikuti ini.
Saya setuju dengan pandangan saudara mengenai perebutan jawatan no.2 dalam UMNO ini. Lebih menarik lagi, kalau masing-masing cuba berebut untuk untuk jawatan no.1 supaya Pak Lah atau Najib gelabah. Mungkin akan ada peraturan baru pencalonan ke jawatan tertinggi supaya tidak ramai yang berani menawarkan diri dimasa akan datang.
Wallahuaklam.
Post a Comment