Apakah untungnya pembangkang apabila Abdullah berundur?
BAGI mereka yang meletakkan keadaan negara yang sebam hari ini seratus peratus atas bahu Abdullah Ahmad Badawi, lega kerana Perdana Menteri itu akan berundur kira-kira lima bulan lagi. Selepas lima bulan lagi perubahan akan berlaku dengan pesatnya!
Semalam Abdullah dalam senyuman menjadam telah mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan presiden dan sekaligus akan menyerahkan Umno kepada timbalannya, Mohd Najib Razak.
Abdullah boleh istirehat dengan tenang tanpa memikirkan apa-apa lagi tentang negara. Rumah perihatan di Australia yang dibeli oleh anaknya Kamaluddin sedang menanti Abdullah. Pastinya Abdullah tidak akan jadi seperti bekas PM, bernama Mahathir Mohamad yang terus berperanan dan menganggu urusan pentadbiran Abdullah meskipun sudah mengaku bersara namun terus pecah liur untuk mengkritik dan menegur Umno dan kerajaan pimpinan Abdullah.
Jauh kalau hendak dibandingkan perwatakan, sahsiah dan pendekatan antara Abdullah dengan Mahathir ia sangat berbeza. Abdullah yang dikaitkan sebagai keturunan ulama amat sedarhaan dalam tindak tanduknya yang kadang kala kesedarhanaan itu menyebabkan orang melihat beliau lembek dan tidak berkeupayaan.
Mungkin juga kerana Abdullah tidak ada agenda lain selepas bersara maka beliau tidak perlu meniru perangai Mahathir. Berlainan dengan Mahathir. Beliau ada agenda peribadinya selepas bersara iaitu mahu menempatkan anak jantannya, Mukhriz dalam Umno sebagai menyambung perjuangannya yang belum selesai.
Saya tidak mengira selepas bersara kelak Abdullah akan mencampuri urusan parti ataupun mengajar menantunya Khairy Jamaluddin melakukan tindakan-tindakan kontras seperti mana ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir lakukan.
Biarlah. Soalnya apakah keuntungan bagi mereka yang mengecam Abdullah selama ini? Bagi Mohd Najib Razak dan kuncu-kuncu pengampunya ada untung bila Abdullah kecewa lalu melepaskan jawatan itu pada Mac depan. Mereka, para pengampu dan pembuat kertas kerja untuk menjatuhkan Abdullah akan mendapat habuan masing-masing. Yang menjadi ahli Parlimen akan dilantik menjadi menteri manakala yang duduk dalam bidang perdagangan akan diberi kontrek mega bernilai berbillion ringgit.
Sudah pasti menteri seperti Hishamuddin Hussein, Shafei Afdal bersama Jamaluddin Jarjis, Rafidah Aziz akan dinaikan pangkat. Kemungkinan juga Jamaluddin Jarjis yang dikatakan mastermind belakang tabir menjatuhkan Abdullah akan dibawa masuk semula ke dalam Kabinet. Begitu juga dengan Tengku Adnan Mansor yang dikenali sebagai pembela Najib tidak akan disia-siakan pasti mendapadat baksis.
Tetapi apakah untung yang akan diraih oleh pihak lain dengan tindakan Abdullah itu. Apakah yang diperolehi Pas yang mengambil sikap menentang dan memperlecehkan Abdullah dari awal Abdullah menjawab jawatan itu hingga ke saat-saat nazaknya. Apakah perhitungan salah seorang pemimpin Pas yang mengira parti itu akan lebih cemerlang jika Umno dipimpin Najib akan menjadi realiti?
Ada pemimpin Pas bereksprimen begitu dan berusaha keras agar Abdullah cepat turun. Kerana itu ura-ura untuk berunding dengan Abdullah bagi menyatu dan memperkuatkan Melayu dianggap sia-sia dan tidak memberi bekas. Apakah Umno di bawah Najib akan terbuka sehinggakan Pas dapat mempamerkan dirinya kepada rakyat? Atau Najib akan kembali kepada Islam syumul seperti Pas?
Jika dilihat kepada latar belakang dan juga pengetahuan Islam Najib ianya jauh panggang dari api. Najib bukan seorang berlatar belakangkan agama Islam yang kukuh. Pemikiran Najib adalah pemikir Barat dan sekular. Najib lebih mesra dan hampir dengan London atau Washington berbanding dengan Makkah dan Madinah. Apa yang disebut pemisahan agama dan politik dalam Umno akan hebat dilakukan Najib. Jadi apakah rasionalnya bagi Pas yang sukakan Najib dan dingin kepada Abdullah?
Pada perkiraan saya dengan sifat dan latar belakang itu Najib akan menjadi lebih keras dan kritis kepada Islam dan parti Pas sendiri. Kecualilah Pas dapat mengubah dirinya menjadi iras-iras Umno, moderate. Apa lagi kalau Najib memerintah menggunakan kepala Mahathir dan berbicara meminjam lidah Mahathir. Ibarat kata Umno akan kembali ke zaman babarian iaitu menggunakan kuasa, wang dan kekejaman bagi mengekalkan kekuasaan!
Pada hemat saya juga Najib akan mengambuskan momentum baik ketika ini yang dicipta pembangkang di zaman Abdullah. Abdullah sebenarnya memberi ruang besar kepada Pas dan pembangkang untuk bergerak dalam sistem demokrasi. Banyak kelonggaran yang diberikan Abdullah dan menguntungkan pembangkang berbanding di zaman 22 tahun sebelumnya. Antara boleh disebut kebebasan media massa dengan meluluskan berbagai permit untuk penerbitan.
Usahanya untuk mereformasikan sistem kehakiman dan membebaskan BPR juga antara keberanian dan keterbukaan yang dikira memberi keuntungan kepada pembangkang. Tetapi disebabkan kelonggaran itu terhasil kerana perjuangan lama pembangkang maka ia tidak nampak ianya dianugerahkan atas keterbukaan Abdullah.
Jika Najib menjadi pemimpin Kerajaan (Perdana Menteri) beliau akan tutup ruang itu. Langkah pertama yang akan diambil ialah dengan memenjarakan semula pemimpin rakyat dan pencetus pembaharuan Malaysia, Anwar Ibrahim. Pasti sekali penasihat politiknya atau berhala politiknya akan menasihat Najib melakukan itu. Mahathir akan membalas apa yang dianggap dilakukan Abdullah membebaskan Anwar dengan meminta Najib memenjarakan penasihat PKR itu semula.
Sudah pasti jika Anwar dihantar semula ke Sungai Buluh momentum hari ini akan terhenti. Suasana akan kembali dingin semula. Semangat rakyat untuk mengubah kerajaan akan terbantut kerana mereka merasakan tidak ada orang yang akan mengepalainya.
Apakah orang-orang seperti Kamaruddin Jaaffar, Dr Mohd Hatta Ramli, Syed Azman Syed Mohamad, Khalid Samad atau Husam Musa mampu menjadi Ahmad Al Fateh atau Sallehuddin al-Ayubi untuk memimpin kebangkitan rakyat? Mereka adalah pemimpin harapan masa depan. Namun pengalaman dan bekalan yang ada kepada mereka belum mencukupi. Panah atau pedang mereka mereka belum berbisa dan kuda politik mereka belum gagah dan pantas. Sebenarnya mereka harus belajar banyak lagi kerenah dan tektik perjuangan untuk menjadi wira takyat berbilang kaum.
Jadi, pengunduran Abdullah Ahmad Badawi yang dilakukan kerana desakan Umno dan pembangkang itu akan memberi kesan negatif kepada pembangkang. Pembangkang sedikit terkhilaf dalam hal ini kerana tidak mengambil kira kesan negatif berkenaan. Pasti antara tugas besar Najib ialah merampas balik lima buah negeri yang dimenangi pembangkang dalam pilihan raya lalu. Kemungkinan ini tidak mustahil apa lagi kalau beliau memenjarakan Anwar sebelum mengumumkan pembubaran Parlimen.
Sekiranya ini berlaku bermakna pembangkang harus memulakan pelarian di garis awal semula. Justeru untuk mengelakkan ini pembangkang harus mengambil bahagian dalam menyingkirkan Mohd Najib dari menjadi presiden Umno pada Mac depan. Walaupun Tengku Razaleigh Hamzah adalah sekuturunan dengan Mohd Najib penganut sekular dan bangsawan, namun Razaleigh dilihat lebih lunak berbanding dengan Najib apa lagi Razaleigh tentu tidak bersedia menggunakan acuan made in Mahathir untuk mentadbir negara kerana beliau ada visi dan wawasan sendiri! [wm.kl 6:00 am 09/10/08]
1 comment:
Bapa Najib pernah menahan dan memenjarakan Anwar.Waktu itu Anwar sebagai pemimpin belia.Tidak mustahil Najib yang masih berada dibawah naungan Mahatdir akan mengikut nasihat bekas bosnya.Apa lagi bila kita mengkaji latarbelakang Najib yang kosong dadanya dalam ilmu agama.
Apa pun manusia mampu merancang tetapi Allah maha perancang.
Post a Comment