Friday, October 31, 2008

Susupan Malam

Dr Awang Sariyan Selar Resolusi Meja Bulat Ke-4 PPSMI

PENYANDANG Kerusi Pengajian Melayu Malaysia – Cina, Prof Awang Sariyan (foto) mempersoalkan resolusi Pertemuan Meja Bulat ke Empat PPSMI yang diadakan di Terengganu yang mempunyai kecenderungan untuk menggesa kerajaan agar meneruskan perlaksnaan PPSMI sebagai tidak insaf tentang peranan bahasa Melayu.

Katanya isyarat pernyataan Majlis Raja-Raja di Terengganu baru-baru ini tentang betapa pentingnya kontrak sosial, termasuk kedudukan bahasa Melayu, tidak sampai ke dasar jiwa nurani mereka dan masih ghairah untuk mencapai kemajuan dan teknologi dalam bahasa Inggeris.
Beliau juga mendakwa resolusi yang digubal menerusi pertemuan itu sebagai sengaja meremehkan peranan bahasa Melayu.

"Isyarat pernyataan Majlis Raja-Raja yang bersidang di Kuala Terengganu baru-baru ini tentang pentingnya kontrak sosial, termasuk tentang kedudukan bahasa Melayu, tampaknya tidak sampai ke dasar jiwa nurani mereka atau sengaja diremehkan oleh penggubal resolusi meja bulat kali keempat itu," ujarnya dalam pernyataan media yang dikeluarkan 30 Oktober dan dikirimkan kepada blog ini.

Beriktu disiarkan sepenuhnya pernyataan Dr Awang berkenaan. [wm.kl 9:00 pm 31/10/08]

PERNYATAAN MEDIA
RESOLUSI PERTEMUAN MEJA BULAT KEEMPAT PPSMI

Resolusi Pertemuan Meja Bulat keempat PPSMI di Terengganu sebagaimana yang dilaporkan oleh media baru-baru ini mememperlihtkan kecenderungan untuk menggesa kerajaan meneruskan pelaksanaan PPSMI.

Semua alasan dan hujah yang dikemukakan dengan jelas berasaskan keperluan pragmatis semata-mata dan tidak tampak keinsafan tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang menyeluruh.

Sebagai contoh, apabila dikemukakan hujah bahawa bahasa Melayu masih menjadi bahasa penghantar lebih daripada 50 peratus dan bahasa Inggeris hanya menjadi bahasa penghantar lebih daripada 40 peratus, pihak yang berhujah itu tidak memahami peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan di negara ini, sebagaimana yang dirumuskan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956, Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996.

Selisih tidak sampai 10 peratus antara peranan bahasa Melayu dengan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar ilmu itu sebenarnya telah membentuk sistem dwibahasa dalam sistem persekolahan di negara ini, bukan lagi melanjutkan dasar pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama.

Isyarat pernyataan Majlis Raja-raja yang bersidang di Kuala Terengganu baru-baru ini tentang pentingnya kontrak sosial, termasuk tentang kedudukan bahasa Melayu, tampaknya tidak sampai ke dasar jiwa nurani mereka atau sengaja diremehkan oleh penggubal resolusi meja bulat kali keempat itu.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan semata-mata pernyataan dokumentasi di atas kertas, tetapi memerlukan pengamalan dalam bidang-bidang utama kehidupan bernegara, termasuk dalam bidang pendidikan. Tampakanya golongan yang ghairah untuk mencapai kemajuan dalam sains dan teknologi dan dalam penguasaan bahasa Inggeris tidak sama sekali menghayati perancangan pemimpin awal kemerdekaan, khususnya Tun Abdul Razak yang merupakan arkitek konsep kenegaraan Malaysia, termasuk dalam bidang pendidikan.

Saya dan rakan-rakan pejuang bahasa Melayu tidaklah buta hati dalam memahami peri pentingnya sains dan teknologi serta bahasa Inggeris dan bahasa asing lain dalam pembinaan dan pengembangan tamadun negara.

Namun, sekali lagi kami tegaskan bahawa strategi yang munasabah hendaklah diperhitungkan, iaitu kekalkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang meletakkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dan pada waktu yang sama perkukuh pengajaran bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa asing lain yang penting melalui mata pelajaran bahasa asing itu sendiri.

Kemajuan sains dan teknologi merupakan suatu keperluan dan di sisi itu, meneguhkan jati diri serta mencapai cita-cita menjadikan bahasa Melayu bahasa ilmu yang merentas semua bidang ilmu pun hendaklah dilihat sebagai suatu keperluan juga.

Prof. Dr Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia – China
Universiti Pengajian Asing Beijing
30 Oktober 2008

2 comments:

CUCU TOK KEDU said...

Kon nak tanya sikit.

Mana dia hero-hero Gapena pimpinan jaguan Prof Ismail Hussin? Kenapa dah tak bertempik lagi?

Inilah masanya! Apa? Takut Najib jadi PM nanti, tak ada sumbangan pada Gapena untuk melawat keluar negara?

Kon ingatkan harta benda barang dagangan. Rupa-rupanya Bahasa pun jadi barang dagangan juga!

Demang Lebar Daun said...

Perlukah semua rakyat Malaysia mahir dalam bahasa Inggeris?

Memang, Hang Tuah menguasai 12 bahasa dan beliau salah seorang yg menjulang Melaka ke puncak kegemilangan. Namun kita tidak perlukan terlalu ramai orang seperti Tun Tuah.

Dalam soal bahasa asing termasuklah BI, kita perlu realistik. Bukan sahaja si pembancuh simen, penangkap ikan, penebang pokok, dsb tidak perlukan BI untuk hidup. Malah guru BM, Pembantu Tadbir, pengurus FELDA dan banyak lagi jawatan yg tak memerlukan penjawatnya fasih berbahasa Inggeris.

Setiap nusia ada melakukan kesilapan walaupun tak banyak. bagi saya inilah kesilapan TDM yg terbesar.