Bertemu Pejuang Kemerdekaan Aceh, Tengku Hassan Tiro
SEMALAM lagi saya sudah tahu yang perjuang kemerdekaan Aceh terbilang Tengku Hassan Muhammad di Tiro,83 sudah berada di negara ini. Kawan itu bertanyakan saya sama ada ingin berjumpa atau tidak dengan pejuang Aceh itu. Bagi saya berjumpa perjuang hebat macam Tengku Hassan itu bagaikan pucuk dicipta ulam mendatang.
Kawan itu yang berulang alik ke Aceh dan mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Aceh tidak menjanjikan pertemuan itu berlaku. Dia akan usahakan untuk temu janji terlebih dahulu. Kalau ada rezeki bolehlah bertemu, katanya.
Saya kepinginan untuk bertemu Tengku Hassan kerana selama ini hanya mengenali namanya sahaja. Wajahnya pun sudah ingat-ingat lupa. Catatan dan tulisan mengenai perjuangannya untuk membebaskan tanah Aceh itu sudah lama saya baca, sewaktu belajar di Indonesia lagi.
Mahu tengok macam mana pejuang yang berani itu. Sejarah perjuangan Tengku Hassan sudah tidak asing lagi. Beliaulah yang meniupkan semangat perang untuk menghalau Belanda yang kemudiannya diikuti berperang dengan kerajaan Republik Indonesia. Rakyat Aceh berperang selama 132 tahun untuk membebaskan bumi mereka.
Untuk menyemarakkan perjaungan menentang penindasan kolonial Belanda kemudian disambung oleh kerajaan Indonesia itu, Tengku Hassan terpaksa melarikan diri ke luar negara di Sweden dan menubuhkan kerajaan Aceh di sana.
Beliau mula meninggalkan Aceh sejak tahun 1978 iaitu kira-kira 38 tahun lalu. Semasa Aceh mengadaka Pilkada (Pilihan raya daerah) sendiri dua tahun lepas Tengku Hassan masih di Sweden. Hari penobatan Irwandi sebagai Gabenor Aceh juga beliau tidak pulang dan memerhati dari jauh saja saat-saat manis untuk negerinya itu.
Jadi apabila beliau berada di Kuala Lumpur saya merasakan kesempatan baik untuk berjumpa dengannya dan jika terlepas peluang itu tidak akan hadir lagi.
Jam 2:30 petang tadi selepas turun dari pejabat, kawan itu menghubungi saya. Beliau memberi tahu Tengku Hassan boleh ditemui jam 5:00 petang bertempat di hotel Concorde di Shah Alam. Kerana beberapa pemimpin Pas akan ikut sama mengunjungi Tengku Hassan, kawan itu minta saya menghubungi pemimpin Pas terlebih dahulu agar boleh buat kunjungan serentak.
Tanpa tunggu masa saya menghubungi Setiausaha Agung Pas, Kamaruddin Jaaffar bertanyakan akan program itu. Kamaruddin segera memberi tahu dan memberi lampu hijau untuk hadir sama. Tentulah kehadiran saya atas sifat wartawan, bolehlah dilaporkan dalam Siasah kelak. Pertemuan itu akan jadi satu sejarah kecil!
Ramai yang ingin berjumpa dengan Tengku Hassan. Nasib saya dan rombongan kecil bersama pemimpin Pas agak baik. Pertemuan berlangsung seperti dijadulkan. Ikut bersama Kamaruddin ialah Bendahari Agung Pas, Dr Mohd Hatta Ramli, Ahli Jawatankuasa Agung, Abu Bakar Chik, Setiausaha Politik Presiden Pas, dan seorang pegawai di Ibu Pejabat Pas Jalan Raja Laut. Abdul Hadi Awang yang mulanya disenaraikan sama terpaksa membatalkan niat disaat akhir kerana beliau ada urusan dengan Pakatan Rakyat.
Kunjungan pemimpin Pas itu sangat dialu-alukan oleh Tengku Hassan dan rombongannya. Beliau merasakan satu penghormatan. Turut sama mendamping Tengku Hassan ialah dua orang kanannya yang juga Perdana Menteri kerajaan Aceh di buangan, Tengku Malik Mahmood dan Dr Zaini Abdullah, iaitu Menteri Luar merangkap Menteri Kesihatan.
Tengku Hassan yang dikatakan baru sembuh dari serangan angin ahmar tidak banyak bercakap atau tidak lancar untuk berbicara kerana masalah kesihatan. Beliau juga kurang fasih berbahasa Melayu (Indonesia). Maliklah bertindak menjadi jurucakap. Sepanjang pertemuan selama satu setengah jam itu Tengku Hassan begitu gembira sekali. Bibirnya tidak habis-habis melepaskan senyuman kepuasan.
Beberapa kali beliau melapazkan ucapan terima kasih atas kunjungan para pemimpin Pas itu. Bagi mereka Pas adalah rakan seperjuangan yang berjuang untuk menegakkan Islam menerusi sistem demokrasi dan memberi semangat kepada rakyat Aceh untuk membangun negari mereka sendiri. Tengku Hassan sangat mengharapkan Pas memberi tunjuk ajar dalam hal ehwal siasah memandangkan rakyat Aceh masih kurang ilmu dalam struktur politik.
Tengku Hasaan bersama rombongannya seramai kira-kira 15 orang sebenarnya singgah di Kuala Lumpur sejak dua malam lalu. Mereka dalam perjalanan pulang ke Aceh pada 11 Oktober, Sabtu depan. Kepulangan itu merupakan pertama kali sejak Aceh merdeka menerusi demokrasi dan juga selepas bencana tsunami.
Tengku Hassan berada di luar negara selama 30 tahun. Selama itu beliau telah berhijrah dari satu negara ke negara, termasuk Amerika Syarikat, Eropah, Timur Tengah dalam bergerak dan mencari sokongan untuk membebaskan Aceh dan mendapat kuasa otonomi dari kerajaan Indonesia.
Kepualangan Tengku Hassan ke Aceh itu sudah pun dimaklumi oleh penduduk Aceh dan juga pihak Jakarta sendiri. Rakyat Aceh khabarnya akan mengadakan majlis sambutan sedarhana terhadap pemimpinan keuturuan raja yang bergelar Wali Negara itu.
Seperti mana kata Malik, kepulangan Tengku Hassan itu diharap menjadi penyatu kepada rakyat Aceh khasnya dan memberi dorongan ke atas usaha murni memajukan Aceh seperti mana diharapkan. Tengku Hassan juga bercadang untuk menetap di tanah airnya jika keadaan mengizinkan.
Kepada Tengku Hassan dan rombongan diucapkan selamat berangkat ke tanah tumpah darahnya. [shah alam 8:00 pm 06/10/08]
No comments:
Post a Comment