Saya Mahu Cabar Orang Melayu!
SUDAH berdengung telinga kita bila bercakap fasal Melayu. Ketuanan Melayu, politik Melayu, budaya Melayu, Bahasa Melayu dan entah apa-apa saja mengenai Melayu termasuk tahi Melayu. Paling berdengung ialah sikap panas-panas tahi ayam orang Melayu. Sikit-sikit kalau bercakap fasal Melayu maka terbitlah kata peninggalan entah wujud entah tidak kononnya ditinggalkan oleh Hang Tuah; tak akan hilang Melayu di dunia!
Sikit saja timbul mengenai fasal Melayu maka latahnya jadi berkawah-kawah. Masing-masing Melayu melompat dan mengamuk hendak membela kedudukan mereka. Terhunuslah keras di dinding dan keris dalam kain.... Macam-macam sudah kita ada badan atau organisasi membela Melayu. NGO sudah beratus, badan bertindak pula wujud macam cendawan selepas hujan.
Hujan belum turun, berbunyi suara katak saja, NGO atau badan betindak sudah wujud. Semuanya untuk membela, mempertahan, memperkuat, mempersatu, memperkasa dan entah apa-apa mem... lagi untuk Melayu. Walhasil balik asal semuanya nihil kabe nihil...
Jika diperiksa dan dicheck mereka yang duduk dalam NGO atau barisan bertindak itu orang yang sama. Muka tu juga. Cuma mereka tukar nama dan salin baju saja. Kalau diwarung pakai t shit dan jens bila jumpa raja pakai baju cekak musang dan bersamping. Samping itu pun pinjam dari butik!
Hati, pedal dan perut, semuanya sama. Sebab itulah, buatlah berjuta NGO atau badan bertindak natijahnya sama saja. Panas setakat pukul enam petang saja, lepas jam 11 malam, bila jumpa anak bini atau diberikan tea tarik secawan dengan roti kosong mamak yang sudah basi semuanya jadi sejuk dan lemah longlai.
Apa nak jadi dengan Melayu hanya Tuhan saja yang tahu.
Terbaru, sekumpulan Melayu, saya yakin separuhnya orang Umno dan bekas Umno telah menghadap Duli Yang Maha Sultan Perak menyerahkan memorandum menyokong pernyataan khas yang dikeluarkan oleh Raja-Raja Melayu di Terengganu baru-baru ini.
Memorandum itu menyatakan sokongan kepada kenyataan Raja-Raja Melayu. Bagi saya kerja itu membuang masa sahaja. Tidak payah serah memorandum lagi kerana kerja dan tanggungjawab menjaga Melayu itu adalah tanggungjabwab bersama. Raja Melayu sudah pasti akan bertanggungjawab menjaga Melayu. Kalau tidak masakan ianya di namakan Raja-Raja Melayu. Kalau tidak mahu jaga Melayu namakah saja Raja-Raja Malaysia.
Hairannya kenapa pula Raja dan Sultan pun perlu diberi ingatan? Apakah kesemua Raja-raja Melayu pelupa tersampuk penyakit nyanyuk?. Menjadi bangsa yang mudah lupa seperti mana kata Mahathir Mohamad?
Sebenarnya tidak payah berarak menyatakan sokongan. Secara automatik sesiapa sahaja orang Melayu atau merasakan darahnya Melayu kena sokong dan kena pertahankan Melayu. Apabila kita tiba-tiba jadi sibuk macam kucing jatuh anak setiap kali orang perkatakan dan ungkitkan soal Melayu, seolah kita tidak tahu selama ini apakah peranan dan kewajiban kita. Kita tidak tahu apakah yang harus kita lakukan.
Pada masa ini berarak dan meluahkan kemarahan bukan caranya lagi. Apa yang patut dilakukan ialah tindakan dan perbuatan. Ini yang penting. Kita ada kuasa, gunakan kuasa. Dalam era manusia jadi gila dan mabuk, budibicara dan lemah lembut, nasihat sudah tidak diperlukan lagi. Manusia hari ini boleh dilentur dengan undang-undang (hukuman) bukan lagi nasihat!
Kalau dikatakan Melayu bodoh, marah! Dikataknya kita kurang garam dan tidak beradab. Kalau agak keras dan lantang dibilangnya kita perkauman dan dicas di bawah akta hasutan! Kalau dikatakan tidak cerdik, kuranglah marahnya. Begitulah Melayu boleh disejukan dengan bahasa dan kiasan. Sebenarnya Melayu ini bodoh dan tidak cerdik. Kurang akal dan banyak beretorik. Sama-samalah kita menerima hakikat ini tanpa rasa segan dan kesal.
Kerja-kerja mempertahankan Melayu itu dibuat secara bermusim dan bukan istiqamah. Tindakan juga lebih kepada untuk mencari political milaege sahaja. Untuk dapatkan modal politik. Apa lagi di saat-saat hendak bertanding merebut jawatan tetinggi dalam Umno ini semuanya nak tunjukkan diri sebagai hero dan pahlawan Melayu. Semua kononnya keturunan Hang Tuah, Datuk Lela, Datuk Sago, Mat Kilau, Tok Janggut dan lain-lain.
Mereka yang mempertahankan Melayu bukan suci dan ikhlas niatnya. Tetapi mereka mahu menjadikan modal politik. Inilah orang Melayu yang oportunis dan munafik kepada dirinya sendiri dan bangsanya sekali.
Semua itu karut belaka. Begitu juga sebahagian yang menghadap Sultan Perak menyatakan sokongan itu pun karut dan munafik. Merekalah munafik Melayu! Bukan semua sesetengah sahaja, muka mereka boleh dicamkan. Semangat Melayu bukan main lagi tetapi perangai lebih teruk macam orang tidak tamadun. Usah ambil banyak contoh ambil saja dalam gelanggang politik.
Politik wang dan rasuah itu bukan budaya Melayu. Melayu sangat benci kepada perbuatan tumbuk rusuk. Tapi tengok apa yang berlaku dalam politik Umno hari ini. Hari-hari orang cakap fasal rasuah. Pemimpin Umno pula sampai ada yang bergadai bergolak kerana nak dapatkan wang untuk menjamin dipilih dalam mesyuarat cawangan dan bahagian. Malah ada yang bawa wang dengan kapal terabng. Kalau tak hulur wang sesen dua belum tentu akan dicalonkan, menang masih jauh lagi.
Bagi saya formulanya senang saja kalau Melayu benar-benar nak jaga Melayu. Pertama, Melayu kena berpakat jangan bercakar macam anjing dengan kucing. Buang perangai anjing dan kucing. Kalau kucing dan anjing sudah lama membuang tabii mereka kenapa tidak dengan manusia Melayu Pas dan Melayu Umno.
Politik orang Melayu kena satu jangan ada dua atau tiga. Cadangan untuk bubarkan Pas dan Umno, seperti mana kata Tok Guru di Kelantan itu adalah tepat; bubar Umno, bubar Pas dan wujudkan satu parti. Tambak Berlin sudah lama dirobohkan untuk menyatukan Jerman.
Dulu saya mengira baik kalau orang Melayu ada banyak parti macam orang Cina; ada DAP, MCA, Gerakan dan lain-lain. Tetapi kerana kebodohan akal orang Melayu, cara itu nampak tidak boleh dan menjamin keuntuhan orang Melayu. Lagi banyak parti lagi banyak celaru dan harunya. Bertambah-tambah politikingnya.
Orang Melayu tidak sebijak orang Cina dalam berpolitik. Mereka (Melayu) akan mempertahankan parti mereka macam mempertahankan agama. Bila masing-masing mempertahankan parti sebagai agama inilah yang mencelarukan. Sebab itu satu masa dulu ada orang Melayu menganggap kalau memilih parti lain dari parti mereka orang itu dituduh kafir atau pun disifatkan sebagai menderhaka.
Bila sudah jadi satu barulah boleh sepakat. Tetapi ini tidak mungkin berlaku. Orang Pas dan Umno masing-masing degil dan keras kepala. Masing-maisng yang Melayu berusaha nak menegakkan tenaga batin yang lemah. Sebab itulah bangsa paling suka mencari penawar dan herba bagi menguatkan semangat ialah Melayu. Walhal penyatuan kedua parti ini penting. Sebab apa-apa pun keduan parti inilah yang menjadi ikon orang Melayu. Kalau mereka bersatu maka akan bersatulah Melayu dan kedudukan Melayu akan jadi kuat.
Saya tidak pastikan apakah Melayu berbangsa Umno dan Melayu berbangsa Pas menyedari akan kerugian disebabkan tindak tanduk mereka itu. Kenapa bangsa lain jadi besar kepala menuntut itu dan ini kerana Melayu berpecah. Kalau Melayu kuat, bersatu, tidak ada ruang untuk apa-apa anasir masuk mencelah kemudian membelah seterusnya memerintah.
Dengan ada dua puak, Umno dan Pas maka mereka mencari ruang dan mengambil kesempatan. Merekalah menjadi syaitan, sepuak menghasut Pas dan sepuak lagi meghasut Umno. Tujuan mereka mahu melihat Umno dan Pas bergaduh dan bila keduanya berkekah, (bergaduh) senanglah untuk mereka menguasai keadaan atau bermain tarik tali. Unsur ini tidak disedari kerana orang Pas dan Umno tidak mengamalkan membaca surah al-Ikhlas!
Apakah Melayu Pas dan Melayu Umno sedar hakikat ini? Saya tidak nampak kalau hanya setakat NGO yang keahliannya berapa kerat saja itu menuntut kepada penyatuan Melayu ia akan membawa kejayaan. Buatlah berapa banyak NGO dan badan bertindak ia tidak membawa kejayaan. Selagi Umno dan Pas tidak bersatu maka selama itulah perpecahan akan berlaku.
Mungkin pada perkiraan saya orang Melayu suka kepada perpecahan kerana hasil perpecahan itu beberapa kerat dari mereka mendapat keuntungan. Mereka yang untung itulah keturunan Mandaliar, Patih Karma Wijaya dan sejenis dengannya manakala yang bakal menanggung kerugian adalah anak cucu cicit sang Pak Pandir, Lebai Malang, Pak Kadok dan bangsa sejenis dengannya. [wm.kl 11:45 am 07/11/08]
3 comments:
Saya berstuju benar dengan pendapat ini. Saya memang peminat setia blog saudara cuma mungkin saya tidak pernah komen. Ikhlas saya katakan blog saudara lah yang akan saya baca dahulu setiap hari sebelum saya membaca akhbar dan blog yang lain. Mungkin agak fanatik sikapnya. Saya mohon kebenaran saudara untuk meletakkan posting ini di blog saya. Terima kasih.
Salam Tn Hj.
Dah lama saya menunggu komen atau ulasan sebegini. Ulasan yang berani dan jujur. Hampir semua yang beria-ia konon mempertahankan ketuanan melayu TIDAK IKHLAS. Semua ada kepentingan yang mereka sendiri sahaja yang tahu. Tahniah Tuan Haji.
Fendy.
Inilah barangkali komentar terbaik tuan sepanjang tahun ini. Izinkan sy petik untuk di muatkan didalam blog saya.
Salam takzim
Post a Comment