Monday, October 5, 2009

Analisa Pencalonan Mohd Isa

UBN Tidak Tanding di Bagan Pinang?

PROSES penamaan calon pilihan raya kecil N 31 Bagan Pinang, Negeri Sembilan sudah pun selesai Sabtu lalu. Kali ini tidak ada orang kurang siuman demokrasi yang ikut menyertai pilihan raya berkenaan. Walaupun awalnya ada ura-ura seorang kurang simuman demorkasi ingin mencuba nasib, tetapi tidak menjadi. Mungkin tidak ada pencadang dan penyokong serta wang deposit RM5,000 maka nawaitu itu dibatalkan.

Mujurlah... kejadian di Bukit Selambau, Kedah tidak berulang di Bagan Pinang. Kalau tidak haru juga dibuatnya.

Tanpa adanya penyertaan manusia demokrasi tidak siuman, (calon bebas) maka pilihan raya kali ini berlaku pertandingan dua penjuru menemukan musuh tradisi Pas dengan Umno. Pas meletakkan Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar, 45 manakala UBN meletakkan bekas MB, Mohd Isa Samad, 59.

Dari pandangan umum memperlihat perbezaan ketara antara dua calon ini seorang muda dan baru, seorang lagi usang dan tua. Seorang beriteri dan seorang menduda kerana kematian isteri. Seorang belum diketahui rekod kepimpinannya dan masih suci, manakala yang seorang lagi sudah diketahui rekod kepimpinannya selama 22 tahun dan tahu kegagalan dan kelemehannya.

Proses penamaan calon kelmarin juga berjalan lancar tanpa ada insiden yang menitiskan darah dijalan raya. Kalau pun ada hanya jerit menjerit dan caci maki antara satu sama lain. Perkara ini sudah biasa dalam ‘sabung’ politik di negara ini. Selagi tahap ketamdunan demokrasi kita ditakak Tadika, sabung politik yang rendah adat itu akan terus berlaku.

Kandatipun ada seorang ahli majlis tertinggi Umno, Abdu Azeez Abdul Rahim kononnya ditumbuk bertubi-tubi oleh beberapa orang namun keabsahan kejadian itu masih belum pasti. Walaupun ada kecenderungan mahu menyalahkan penyokong Pakatan Rakyat, ia perlu disiasat sedalam mungkin dan tuduhan itu bersifat mencurah minyak ke bara api.

Kalau benar dakwaan pihak berkuasa sudah mengenal pasti pelakunya, tunggu apa, bawa ke muka pengadilan dan pamerkan muka mereka. Jangan hanya sebut dan salahkan mana-mana pihak. Cara begitu hanya menimbulkan kesan buruk. Sekiranya pihak berkuasa gagal mendakwa dan mempamerkan wajah pelaku itu dalam tempoh kempen ini bermakna apa yang menimpa Abdul Azeez itu hanya satu sandiwara yang tidak cukup latihan sahaja untuk meraih simpati.

Tidak mustahil apa yang berlaku ke atas Abdul Azeez itu adalah perbuatan dia sendiri. Jika teori pemimpin agung Umno, Dr Mahathir Mohamad digunapakai apa yang terjadi itu tidak menghairankan. Mahathir pernah menuduh Anwar Ibrahim menghantukkan mukanya ke lutut sesama dalam penjara hingga lebam mata. Tujuannya dakwa Mahathir Anwar berbuat begitu untuk menarik simpati orang ramai.

Walhasil siasatan Suruhanjaya di Raja menunjukkan Anwar dibelasah oleh polis. Maka ternafikan dakwaan jahat Mahathir ke atas Anwar itu.

Orang yang bijak dan punya akal lebih sejengkal tidak akan mudah terpengaruh dengan kejadian didakwa yang bersifat provokasi itu. Banyak keanihan yang boleh dipertikaikan atas kejadian itu. Menurut dakwaan Abdul Azeez beliau ditumbuk bertubi-tubi. Bersamanya yang turut cuba ditumbuk ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Kepengunaan, Ismail Sabri Yaacob.

Persoalanya apakah bersama menteri dan Abdul Azeez itu tidak ada polis atau pengawal keselamatan. Biasanya seorang menteri dan seorang vvip seperti Abdul Azeez itu akan diberi kawalan rapi oleh polis dan pasukan keselamatan partinya sendiri. Bukankah banyak pemuda Umno yang memakai vest bertulis “Pasukan Keselamatan”. Apakah mereka tidak nampak kejadian itu?

Ataupun polis nampak kejadian itu tetapi sengaja membiarkan saja? Soalnya kenapa mereka biar? Inilah menyebabkan timbul tanggapan kejadian itu sebagai provokasi. Ia dilakukan sendiri dari kalangan Umno kerana motif tertentu seperti mana motif yang Mahathir tuduhkan kepada Anwar itu.

Berbalik kepada perihal calon UBN di Bagan Pinang, iaini Mohd Isa Samad, sebelum ini Umno Kuala Lumpur bertegas tidak mahukan Isa. Pemimpin agung Umno itu sendiri telah mengeluarkan gesaan terbuka agar menolak Mohd Isa. Beliau berbuat begitu difahami kerana mahu menjaga imej Umno.

Sebab Mohd Isa dilarang dari diambil menjadi calon ialah kerana latar belakang dan calaran hitam beliau yang terlibat dengan rasuah dalam politik. Mohd Isa pernah digantung keahlian selama tiga tahun dan jawatan yang dimenangi dengan rasuah juga dinafikan. Beliau adalah banduan rasuah politik. Sebagai banduan politik rasuah Mohd Isa dilihat akan mecemarkan Umno. Kalau dia dipilih menjadi calon, menunjukkan Umno hanya menanam tebu di bibir mulut saja mengenai soal rasuah. Inilah yang Mahathir pertikaikan.

Ada munasabahnya kalau pemimpin agung Umno berpendapat demikian. Bagi Dr Mahathir, Umno harus meletakkan seorang calon yang bersih dan bebas rasuah. Baginya Umno kalah tidak mengapakan kerana kekalahan itu masih dapat menjaga keutuhan Umno. Apa guna Umno menang kalau kemenangan itu dari tangan seorang banduan?

Tetapi lain dengan pemikir sesetengah pihak dalam Umno. Kerana mereka memikirkan calon bersih, tidak pasti akan membawa kemenangan maka mereka harus letakkan Mohd Isa yang dianggap sebagai dapat mempertahankan kerusi UBN itu. Mereka juga suka kalau Isa menjadi calon kerana mereka akan mendapat manfaat kilat darinya. Mohd Isa seorang pemurahan dan 'dermawang'.

Dalam konteks ini Umno tidak lagi mengambil kira impak ke atas intergriti Umno yang didakwa sebagai memperjuangkan Islam sebaliknya semata-mata memantingkan kuasa (kemenangan). Kalau Umno meletakkan soal intergiti Umno tidak akan tergamak walaupun mengambil Mohd Isa sebagai pencadang atau penyokong apa lagi untuk diletak sebagai calon.

Keputusan Umno memilih Isa itu menunjukkan parti itu benar-benar terdesak dan hilang kompas. Soal keperibadian, kesucian pemimpin bukan menjadi perhitungan lagi. Apa yang penting Mohd Isa boleh membawa kemenangan, itu saja difikirkan.

Sekiranya ada seorang pembunuh lebih berpengaruh dari Mohd Isa di Bagan Pinang Umno rela mencalonkannya sekiranya pembunuh itu dijamin akan membawa kemenangan.

Bagi Umno kemenangan penting untuk menjaga agar zon selatan di mana satu-satu zon dianggap selamat dan masih utuh. Implikasinya besar kalau Bagan Pinang yang berada di zon selatan sudah roboh ia menandakan semua zon yang menjadi milik Umno sebelum ini akan berkecai dalam pilihan raya umum akan datang.

Sesungguhnya Umno dan Barisan Nasional (UBN), tidak bertanding di pilihan raya kecilk Bagan Pinang 11 Oktober ini. Ini kerana Isa bukan atas kehendak Umno tetapi atas kehendak kaum keluarga dan penyokong Isa yang diberi makan macam ayam daging sejak lebih 30 tahun lalu. Isa dipilih oleh ‘para ayam daging’ bukan dipilih oleh Umno.

Apa sebnenarnya yang berlaku di Bagan Pinang, Umno telah menswastakan pencalonan itu kepada Isa kerana Umno sudah tidak mempunyai wibawa dan modal untuk berhadapan dengan Pas dan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat sokongan dan modal dari rakyat bebilang kaum.

Jadi kalau pun Mohd Isa kalah dalam pilihan itu kelak Umno tidak perlu merasa sedih dan kecewa kerana Mohd Isa bukan calon mereka yang sebenarnya! Kalau Isa menang juga, kemenangan itu tetap mengalahkan Umno kerana parti itu tunduk kepada tekanan para ayam daging di Teluk Kemanng. [wm.kl. 8:45 am 05/10/09] PERINGATAN: Tulisan ini bukan untuk dicutpage untuk disiar mana-mana blog pengumpul. Bagaimana pun pengambilan secara link terus dibenarkan. Larangan ini kerana pengambil secara cutpage menyebabkan komen-komen terhadapnya tidak dapat dipantau dan diberikan ulasan langsung oleh saya jika ianya perlu dibuat demikian. Salam MSO.

2 comments:

Unknown said...

salam aidilfitri kpd tuan MSO dan semua pengikut blog merah tinta.

sejak 2 minggu saya tak berkesempatan meninjau tulisan tuan, dan hari ini ada sedikit ruang untuk berkongsi info daripada blog tuan. Semasa di kelantan, saya difahamkan oleh pihak UMNO sendiri bahawa pemilihan DSIS sebagai calon pilihanraya di bagan Pinang adalah merupakan kerana pertembungan dan persaingan kuasa antara UMNO di pihak DSIS dan DSMY, demi menaikkan semula DSIS dalam arena politik yang telah dijatuhkan oleh pihak tertentu, pihak kroni DSIS bertegas ingin meletakkan DSIS sebagai calon dan mempamerkan sokongan mereka kepada DSIS, dan sekiranya keadaan tersebut bertentangan dengan hasrat UMNO pusat, itulah hasrat sebenar mereka. nampak gayanya, agak sukar untuk UMNO menng kali ini kalau inilah yang tertanam dalam minda puak UMNO.

Semasa bercuti raya di kampung baru-baru ni, saya juga dikhabarkan bahawa
ramai penduduk kampung di dalam daerah P.Puteh telah ditahan bantuan subsidi baja padi, daripada percakapan penduduk kampung, bantuan subsisi baja padi sehingga hari ini masih tidak diberikan kepada mereka walaupun musin menanam telah tiba, dan daripada sumber tidak rasmi, ianya ada kaitan dengan UMNO Bahagian pasir puteh yang marah kepada penduduk yang tidak menyokong UMNO dalam PRU12, dan sebagai balasannya, mereka tidak diberikan bantuan baja subsidi. Dikhabarkan juga bahawa beberapa orang penduduk dalam kawasan DUN Gaal(penyokong PAS) telah membuat laporan polis dan tidak membenarkan penduduk kampung(Penyokong UMNO) yang mendapat baja melalui kawasan tanah sawah mereka bagi menjalankan aktiviti menanam padi dan membajak sawah mereka. Sekiranya betul apa sebagaimana yang dikhabarkan, UMNO sebenarnya telah mencetuskan api perpecahan kepada orang melayu itu sendiri, bukannya pihak lain yang memecahbelahkan orang melayu. sekiranya tidak keberatan, saya syorkan sudi kiranya tuan meninjau isu ini dan mengupasnya daripada pandangan pihak tuan.
terima kasih.

Nor Hasin said...

Apa yang ditulis oleh Ayamitogei adalah perkara yang sering berlaku di kelantan semenjak 19 Tahun yang lalu. Pada kami rakyat kelantan yang menyokong kepimpinan TGNA tidak hairan dengan apa yang UMNO lakukan. Bagi kami ialah satu aje iaitu Allah tetap bersama kami...

UMNO melakukan penderaan mental supaya rakyat kembali memberi sokongan kepada mereka tetapi telahan mereka adalah silap. Dengan cara sebegini akan melenyap terus UMNO dari persada politik tanahair.