Thursday, October 8, 2009

Malam Tadi Di Bagan Pinang

Keadaan Masih Belum Dapat Ditentukan

MALAM tadi selepas menyiapkan kerja rutin mingguan, menyiapkan penulisan editorial dalam Siasah bersama seorang aktivis sosial dan politik dari Rantau Panjang, Rushdan Mustafa saya mencemar duli turun ke Bagan Pinang. Sejak selesai penamaan calon dan kempen masuk hari ke lima saya belum lagi ke Port Dickson dan melihat suasana di sana dari dekat.

Hanya mendengar laporan dari dalam dan luar, dan juga dari pelapor-pelapor rasmi dan tidak rasmi. Perkembangan dari masa ke sesama mengenai Pas saya dapat secara langsung dari beberapa orang yang bertugas di bilik gerakan Pas dan juga yang mengawal di pintu markaz induk Pas. Pengawal di sini begitu tegas sekali tak uban seperti si bisu menjaga pintu masuk ke pesta dikir barat!

Begitu juga dengan perkembangan di sebelah UBN. Dua tiga orang kawan bloger dan wartawan yang memantau kempen UBN selalu menghubungi memberi tahu apa-apa maklumat dikira perlu. Dari berbagai sumber maklumat inilah saya saring kemudian diulas dan diberi pandangan dari Kuala Lumpur mengenai perjalanan pilihan raya berkenaan.


Semalam apabila turun sendiri ke Port Dickson dapatlah membayangkan suasana sebenar yang berlaku. Walaupun penjelajahan semalam tidak menyeluruh ke kawasan pilihan raya, namun pemandagan di Jalan Besar Teluk Kemang – Port Dickson memberi gambaran kasar apa yang sedang berlaku.

Saya sengaja tidak mahu menemui sesiapa di Bagan Pinang malam tadi, untuk mengelakkan mendapat maklumat yang bias atau berat sebelah. Jadi saya memerhati sendiri dengan naluri, pengalaman dan firasat politik.

Pertamanya, dari segi kemeriahan pilihan raya kecil itu ia tidak berapa jika dibandingkan dengan siri-siri pilihan raya kecil di tempat lain khasnya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ada perbezaan di antara negeri-negeri ini dengan Negeri Sembilan.

Sesudah lima hari berkempen sepatutnya Bagan Pinang sudah dipenuhi dengan poster kedua parti yang menjadikan Bagan Pinang gelap dengan kehijauan dan kebiruan. Bukankah imej siapa kuat dan siapa lemah dalam pilihan raya di Malaysia ini dilambangkan menerusi poster!

Nampaknya kedua pihak tidak begitu bersemangat atau bersedarhana dalam berpilihan raya kali ini! Atau keadaan ini wujud kerana ketegasan pilihan SPR yang bertindak ke atas elemen-elemen yang tidak profesional.

Bagaimana pun pemasangan biilboard agak banyak terutamanya di pihak UBN. Paling menonjol ialah billboard memaparkan gambar Najib Razak yang menjual slogan 1 Malaysia.
Pilihan raya ini diambil kesempatan untuk menjual idea Najib dalam merombak stigma rakyat yang kini sudah mula meletakkan Pakatan dalam kepala.

Sejauh manakah usaha ini berjaya. Dalam banyak billboard yang memaparkan gambar Najib terjumpalah saya satu billboard yang menerakan gamabr Najib bersama isteri sedang melihat seseorang yang terlantar sakit di katil hospital. Mulanya saya ingat gambar Mohd Isa atau orang tua mana yang uzur!

Apabila berhenti kereta dan menghampiri, sedikit mengejutkan saya kerana orang tua yang terlantar itu ialah Tok Guruku, Nik Abdul Aziz Nik Mat. Gambar ini dirakam semasa Najib bersama isterinya Rosmah, menziarahi Nik Aziz yang sakit diserang jantung beberapa tahun lalu. Dibawah gambar itu dicatat maksud sebuah hadith yang menceritakan kebaikan seseorang muslim yang membantu muslim yang lain. Apa yang hendak diceritakan dalam billboard ini, betapa Najib seorang yang prihatin, bersifat kasih mengasihi sesama insan.

Sementara unsur lain yang terselit didalam gambar ini mahu menunjukkan Nik Aziz tidak berterima kasih dan insaf atas kunjungan Najib itu. Saya sempat merakam billboard berkenaan. Dalam perjalanan saya mengomen sendiri, mengenangkan gambar itu menunjukkan UBN tidak ada modal besar di Bagan Pinang. Kenapa harus eksploitasikan amalan-amalan soleh Najib bersifat peribadi terhadap Tok Guru untuk meraih undi di Bagan Pinang?

Apakah kelakuan baik Najib itu dapat menghakis persepsi buruk ke atas Mohd Isa? Kalau Mohd Isa yang menjenguk Nik Aziz tidak memusykilkan, tetapi ini Najib. Apakah kerja-kerja kebajikan yang Najib lakukan berjangkit kepada Mohd Isa. Dan kalaulah UBN berniat begitu, ingin menunjukkan sikap prihatin Najib kepada rakyat, ia tidak kesampaian kerana Nik Aziz lebih prihatin dan lebih banyak dan tulus kebajikannya.

Nik Aziz bukan sahaja setakat menjenguk orang sakit, tetapi jauh dari itu dia juga berdoa untuk orang sakit. Saya tidak pasti apakah semasa Najib menziarahi Nik Aziz di hospital USM itu beliau sempat berdoa untuk kesejahtraan Nik Aziz?

Tinggalkan itu... malam tadi saya sempat memasuki ke beberapa lokasi ceramah Pakatan Rakyat. Di markaz DAP di tepi jalan besar, ketika saya sampai Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasruddin Hassan Tantawi sedang berucap.

Bukan main berapi-api lagi anak muda ini menjulang kerisnya. Seperkara yang menarik yang masuk ke dalam telinga ialah, ketegasan beliau bahawa Pemuda akan membela mana-mana askar yang teraniaya. Katanya kalau ada tentera yang teraniaya disebabakan bersikap adil dan berani menentang kejahatan, pemuda Pas akan membela.

Hadirin di majlis itu tidak begitu memuaskan, sekitar 200 orang sahaja. Kebanyakannya kaum Cina. Tetapi yang paling merujakan sikap orang Cina yang serius membantu calon Pas.

Selepas Nasruddin selesai berucap punggutan drama dilancarkan. Beberapa anak muda keluar sambil membawa kotak lut sinar menghampiri setiap orang yang ada. Mendampingi anak muda yang membawa kotak itu seseorang yang bersalaman dengan setiap yang hadir dan memohon derma.


Dalam majlis ceramah Pas kutipan derma perkara biasa. Tetapi tidak ada taukeh yang mengiringi sambil bersalam dan meminta derma ikhlas. Tetapi ini berlaku malam tadi. Melihat ini menunjukkan betapa orang Cina begitu serius dan komited dengan kerja mereka. Nampak kesungguhan mereka membantu Pas.

Dari situ saya beredar ke satu lagi tempat ceramah. Kali ini di markaz Dewan Ulama. Ketika itu Presiden MTUC, Syed Shahir sedang menayampaikan ceramahnya. Boleh tahan juga ceramah Syed ini. Beliau sempat mempromosikan Selangor sebagai negeri yang mempunyai banyak kekosongan pekerjaan.

Katanya kalau pengundi di Bagan Pinang mahukan kerja, pergi sahaja ke Selangor. Moral of the storynya apa yang hendak dikatakan Syed, Selangor lebih maju daripada Negeri Sembilan yang diperintah UBN. Jumlah kehadiran boleh tahan. Kira-kira sekitar 1500.

Saya percaya jumlah pengundi tidak sampai 300 kebanyakan orang luar, petugas dan juga pemantau bebas dan peminat pilihan raya kecil. Situasi ini berlaku di mana-mana sahaja. Tetapi kalau 300 orang tempatan dan pengundi dikira sudah cukup lumayan. Saya meninggalkan tempat itu sebelum sempat mendengar ‘lawak jenaka’ oleh Mahfuz Omar yang dijangka berucap untuk ke tempat lain.

Dari beberapa tempat yang dikujung malam tadi, keadaan tidak seteruk yang digambarkan. Sebelum ini ada laporan mengatakan ceramah Pas lenggang. Mungkin keadaan ini akan jadi lebih meriah lagi pada malam ini dan sehingga malam mengundi bila mana ceramah akan melibatkan dua tokog agung Pakatan, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dan Anwar Ibrahim. Suasana di ceramah mereka nanti dapat menjelaskan keadaan sebenarnya dan dijadikan kayu ukur untuk melihat siapa lebih kuat dan mendapat sokongan.

Mereka juga dipercayai akan memberi kunci dan kata-kata perangsang untuk pengundi Bagan Pinang membuat pilihan. Walaupun saya tidak sempat untuk mengunjungi ke tempat ceramah UBN, tetapi dari gambaran di ceramah Pakatan itu dapat dibayangkan bagiaman rupa ceramah UBN. Kalau ceramah Pakatan juga tidak begitu memberangsangkan, apa lagi dengan ceramah UBN, jumlahnya mungkin suku daripada itu. Kalaupun ceramah UBN ramai, tentulah ada umpan yang ditabur untuk menarik perhatian.

Boleh jadi juga suasana ceramah dalam siri pilihan raya ini tidak hebat kerana latar belakang pengundi dan juga sikap politik orang Bagan Pinang. Penduduk tempatan yang arif dengan politik, atau pegawai kerajaan dan askar mereka tidak perlu keluar meraikan ceramah lagi.
Mungkin dengan berpandukan apa yang berlaku dulu dan perkembangan sehari dua ini mereka sudah pun membuat keputusan. Yang ramai-ramai berjajar-jajaran ke tempat ceramah ialah golongan muda yang sememangnya menjadikan politik gelanggang kesukaan mereka yang baru. [wm.kl.111:30 am 08/10/09
Post a Comment