Tuesday, October 13, 2009

Susupan Petang

Rasuah: Buatlah Umno Apa Yang Patut

BERMULA petang ini sehingga 16 Oktober Umno akan mengadakan perhimpunan agung tahunan ke-60. Jika usia nabi Muhammad s.a.w. boleh dipadankan usia yang perfect dan boleh dianggap sebagai penghujung kepada penghidupan parti itu bermakna Umno hanya ada dua tahun saja lagi untuk menentukan nasibnya.

Dua tahun lagi Umno akan berusia 62 tahun. Rasulullah s.a.w. telah wafat dalam usia 62 tahun. Apakah usia Umno sama dengan usia Rasulullah? Dua tahun tidak lama, pejam celik pejam celik sudah cukup 730 hari; dua tahun. Al Fatihah untuk Rasulullah kekasih agung.

Saya teringat kata seorang pegawai tertinggi Umno, katanya Umno hanya ada dua tahun saja untuk bertindak memulihkan diri. Dalam masa dua tahun ini katanya Umno kena melakukan apa saja untuk menyelamatkan diri.

Menurut pegawai itu kalau Umno masih leka dengan keadaannya hari ini dia tidak nampak Umno dapat survive lagi dan mungkin akan mengambil tempat oposisi dalam pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu tegasnya Umno kena kerah kekuatan, fikiran dan juga sedia berubah dan diubah. Kalau ahli Umno berdegil tunggu masa sajalah, sudah tidak ada cara untuk menyelamatkan Umno.

Persidangan tahunan Umno kali ini akan memberi tumpuan khas kepada pindaan perlembagaaan. Pindaan itu dibuat antara tujuan besar ialah untuk menghapuskan rasuah yang berlaku dalam parti berkenaan. Untuk tujuan itu Umno akan meminda perlembagaan bagi menghapuskan kuota pencalonan untuk semua jawatan tertinggi dalam parti berkenaan.

Dengan pindaan itu sistem kuota yang diperkenal dan diamalkan dan telah menyelamatkan banyak orang termasuk yang tidak layak menjadi pemimpin itu akan dihapuskan. Sering dikaitkan sistem kuota itu juga menunjukkan demokrasi sudah mati dalam Umno. Kalau begitu bermakna pemimpin yang ada dalam Umno hari ini tidak lagi dipilih secara demokrasi! Tetapi apakah mereka sedar bahawa status mereka tidak valid?

Seramai lebih 1,400 orang perwakilan akan membuat keputusan menentukan nasib parti mereka. Apakah amalan yang memberi rezeki tersepak kepada segelintir ahli Umno (memberi dan menerima rasuah semasa pemilihan itu) akan diteruskan ataupun tidak.

Secara umum, rasanya semua ahli akan bersetuju kalau usaha menghapuskan rasuah dilakukan. Kerana kalau rasuah berterusan ibarat kata Umno akan tinggal kerangka saja tidak lama lagi. Rasuah tidak ubah seperti penyakit TB atau dadah yang mengepah organ dan saraf si penghidapnya.

Soalnya kini apakah dengan mengubah sistem kuota itu kebejatan itu dapat diatasi? Dan apakah penyakit yang melemahkan Umno hari ini semata-mata kerana rasuah? Inilah yang perlu difikir dan dikaji. Selain dari masalah rasuah Umno juga harus penting soal wibawa dan qualiti kepimpinan para pemimpinnya.
Langkah diambil untuk melibatkan lebih ramai ahli terlibat dalam membuat pilihan pemimpin juga ia boleh menimbulkan masalah rasuah lebih besar lagi. Apakah tidak dikaji dengan membuka ruang itu menyebabkan rasuah akan berlaku ke peringkat akar umbi sampai ke cawangan?

Kalau dulu hanya perwakilan G7 peringkat bahagian yang menjadi perwakilan sahaja dirasuah untuk mendapatkan pencalonan tetapi dengan ruang lebih luas itu ia mungkin melibatkan rasuah itu akan merebak ke bawah lebih jauh lagi?

Mungkin Umno ada mekanisme untuk mengatasi masalah ini. Kita dengarlah nanti bagaimanakah mekanisme itu yang terangkum dalam pindaan itu. Yang jelasnya kalau pindaan itu tetap juga tidak mengubah keadaan Umno, pendek kata tunggulah masa sajalah untuk melihat Umno akan mati disebabkan dihidapi penyakit rasuah.

Umno mempercayai disebabkan sistem kuota maka berlakunya rasuah. Kerana masing-masing ingin mendapat kuota pencalonan bagi melayakkan pertandingan maka rasuah berlaku. Bekas seorang pemimpin Umno peringkat bahagian yang kini sudah ditohok (dipecat) dari parti itu pernah menyenaraikan jumlah wang yang perlu disediakan untuk bertanding sesuatu jawatan.

Menurut pemimpin itu berdasarkan pengalaman dan amalannya, perebutan untuk merebutan jawatan ketua cawangan memerlukan RM2,000 hingga RM3,000. Untuk jadi ahli jawatankuasa bahagian pula memerlukan RM5,000 hingga RM10,000 untuk jadi ketua bahagian memerlukan RM30,000 hingga RM50,000.

Cuba bayangkan berapakah pula wang yang diperlukan untuk mendapat jawatan yang lebih besar dan tinggi dari itu. Tentunya jumlah berlipat kali ganda. Jadi tidak hairanlah kalau ada orang membuat perkiraan untuk menjawat jawatan naib presiden calon harus sediakan RM5 juta ringgit.

Sistem kuota ini diperkenalkan sejak tahun 80-an di zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden Umno. Bayangkan kalau angka yang disenaraikan oleh bekas pemimpin Umno itu benar, berapa ratus juta wang rasuah sudah melayang dalam poket orang Umno pada setiap kali berlaku pertandingan? Yang perlu ditanya juga dari manakah wang yang dikaut oleh Umno untuk bertanding jawatan itu. Apakah mereka menjual ayam, lembu, kerau atau tanah atau menggadai rantai dan loket isteri, tidak! Jadi dimana wang itu diraut?

Yang menjadi kemusykilan kenapa Umno begitu lambat untuk mengenali sistem ini seterus bertindak yang menjadi masalah kepada Umno. Apakah kerana sistem itu boleh membantu kelangsungan jawatan dan kuasa presiden ketika itu menjadi presiden, maka ia dibiarkan walaupun ianya jijik. Inilah yang membingungkan.

Hairan juga bekas presiden itu dikenali orang paling benci dengan rasuah tetapi pandir untuk mengambil usaha untuk mengapuskan sistem yang mendorong rasuah yang kemudian dikonsensuskan sebagai perosak kepada Umno dan sistem politik negara ini!

Tak mengapa, kalau Najib sedia buat perubahan semua orang Umno dan setiap daripada rakyat yang benci rasuah kena sokong pindaan perlembagaan Umno itu. Sama-samalah kita tenguk apakah usaha ini membuahkan hasil. Kalau dengan pindaan ini masalah rasuah terus berlaku, maka tunggu sajalah untuk sama-sama kita menimbus tanah ke dalam lubang lahad Umno yang kini sudah hampir siap sedikit masa lagi. [wm.kl. 3:15 pm 13/10/09]

2 comments:

ANAFAKIR said...

Salam buat penjengok blog Tuan MSO...Selamat bersidang untuk UMNO, moga-moga berubah menjadi sebuah parti yang lebih baik selepas ini. Cuma saya berpendapat...UMNO tidak semudah itu untuk menghapuskan rasuah dalam partinya.Sekali mereka hidup dan mengamalkan cara hidup yang rasuah...selama-lamanya mereka akan kekal dan sebati dengan rasuah.Lihatlah pada keadaan dan kenyataan hari ini..dari peringkat cawangan di pelusuk negara, rasuah duit berlegar sampailah ke peringkat tertinggi.Beranikah pemimpin tertinggi UMNO menafikan bahawa mereka tidak pernah terlibat dengan rasuah walau satu sen?...Tidak ada.Usaha yang dijalankan sekadar mengabui mata rakyat [ tidak prejudis dengan niat baik segelintir pemimpin dan rakyat terbanyak dalam UMNO ] tetapi hakikatnya tidak akan berlaku pembersihan rasuah secara total.Selepas ini, kalau tidak mampu untuk 'hulur' yang besar, pasti ada permintaan dan penawaran secara kecil-kecilan.Budaya rasuah yang telah bersarang dalam UMNO hari ini sampai bila-bila pun akan tetap merebak...sukar untuk berkerja dengan ikhlas dan percuma sebagai satu ibadah.Malahan kalau berjaya dibanteras yang besar, debu-debu rasuah tetap melekat dan menjalari seni kehidupan UMNO dan ahlinya.Selagai mereka tidak berpegang teguh dengan hukum agama dan serius mengamalkan tuntutan agama selagi itulah UMNO dan ahlinya kekal dalam rasuah...
Meminda perlembagaan juga bererti sedang meniti hayat untuk bertukar posisi daripada pemerintah kepada pembangkang...bila perlembagaan dipinda bermaksud parti itu sedang nazak untuk meneruskan kelangsungan hidup...selamat menempuh PRU13 buat UMNO.Dan selamat bersidang...

firdaus said...

kesilapan terbesar politik melayu mereka sering hendak dan mampu melakukan operasi besar-besaran tetapi akhirnya akan gagal ditengah jalan

umum tahu poltik melayu penuh dengan keterujaan dan semangat berapi-api dan percaya akan ada harapan padi hari esok.. tetapi Tuhanlah yang lebih mengetahui akan hari yang esok

ianya akan gagal kerana politik melayu seperti tidak ada batu asas, samalah seperti tidak menanam cerucuk sebagai syarat untuk bina bangunan yang teguh, masuk telinga kanan keluar teilnga kiri, politik melayu tidak memiliki tauhid yang tinggi

politik melayu tidak seperti politik kaum lain - determination to do the right from start till the end

politik melayu, umno khususnya akan hanya terus beretorik, penuh keterujaan, penuh semangat, tetapi Tuhanlah akhirnya akan lebih mengetahui bahawa hari esok ada titik noktahnya yang tersendiri

mengapakah ini terjadi ? kerana tekad/determination untuk melihat dan membayangkan sesuatu yang diluar alaf pemikiran tidak ada dalam sanubari politik Melayu

akhirnya ia tidak lebih hanya sekadar suatu permainan, itulah politik melayu, politik main-main, politik funfair, politik pesta, politik monsoon, monsoon cup...