SELAIN daripada masalah orang yang memohon untuk menjadi anak angkat dengan bakal bapa angkatnya, yang ‘kalut malut’ sehari dua ini di Kelantan, ada satu lagi cerita yang belum tersingkap ke muka dunia. Bagaimana pun isu ini sudah menjadi bualan dan soksek-soksek secara senyap di kalangan tertentu saja. Orang-orang kanan dalam kerajaan dan politik sudah pun mengetahui isu ini. Ia hanya menanti masa saja untuk gempar.
Isunya ialah mengenai seorang ahli politik yang menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk daripada Sultan Kelantan khabarnya akan ditarik balik darjah kebesaran itu. Kalau perkara ini benar ia tentulah menggemparkan dan umum akan melihat ada masalah berlaku di Kelantan waktu ini antara orang politik dengan istana?
Penarikan darjah kebenaran di Kelantan selalunya akan menjadi perhatian umum. Rakyat dan masyarakat akan melihat penarikan itu sesuatu yang mengaibkan bagi yang terlibat dengan penarikan itu. Ia akan dilihat orang berkenaan dimurkai pihak istana, kalau tidak masakan darjah kebesaran dan gelaran itu ditarik balik. Dan natijah seseorang dimurkai istana amatlah trajis dalam minda Melayu.
Sultan atau pun mereka yang berkuasa mengurniakan darjah kebesaran biasanya tidak mudah untuk menarik balik sesuatu anugerah, kalau bukan kerana sebab-sebab tertentu yang besar. Tetapi apabila penerimanya melakukan kesalahan, cara lain tidak ada melainkan menarik balik darjah kebesaran atau pingat bagi menjaga maruah dan juga kedaulatan isana, daripada memberi pengikhtirafan kepada mereka yang tidak berhak.
Penarikan itu bukan menunjukkan Sultan atau pihak yang memberi itu murka sepanjang hayat, tetapi adalah sebagai pengajaran dan dijadikan teladan membaiki diri. Tidak mustahil kalau penerima itu berkelaluan baik, dapat menunjukkan bakti dan perangai yang elok serta taat setia kepada Sultan ia dipulangkan semua.
Menyebut perihal kejadian ini ia berlaku sejak tahun 60-an lagi. Kalau tidak silap saya, orang politik pertama yang ditarik darjah kebesaran di Kelantan ialah Datuk Mohd Asri Muda, bekas MB Kelantan. Darjah kebesaran yang dianugerahkan kepadanya pernah ditarik balik. Bagaimana pun kerana Allahyarham menerima beberapa darjah kebesaran dari Sultan atau pembesar lain yang juga membawa gelaran datuk, maka gelaran Datuk itu terus kekal pada pangkal namanya dan ia semacam tidak terjejas.
Selain itu, Hussein Ahmad (kini Tan Sri) juga menerima nasib yang sama. Darjah kebesaran yang diberikan kepadanya membawa gelaran Datuk ditarik balik oleh Sultan Kelantan, Sultan Yahya Petra. Hussein diminta agar menyerahkan pingat kebesaran itu. Peristiwa ini berlaku pada awal tahun 1980-an. Kerana Hussein hanya menerima satu gelaran saja, maka gelaran Datuk tertanggal dari namanya. Untuk beberapa ketika beliau hanya dikenali dengan Cikgu Hussein semula. Bagaimana pun selepas itu, Umno telah mengrokemkan kerajaan Melaka untuk memberi darjah kebesaran kepada Hussein yang membawa gelaran Datuk.
Saya masih ingat kejadian ini telah dipolitizekan. Hussein bersama rombongan telah berarak ke Istana Balai Besar untuk menyerah sendiri darjah kebesaran itu dalam satu upacara yang disusun khas untuk mendapat publisiti. Sikap berani dan kejantanan Hussein menjadikan krisis beliau dengan pihak istana semakin membesar dan belum 'sendik' sampai ke hari ini.
Lain-lain kejadian seumpama itu, penarikan balik pingat dan darjah kebesaran di Kelantan, pernah menimpa dua orang ahli Exco Kelantan, Takiyuddin Hassan dan Mohamad Daud Iraqi. Pingat kebesaran yang dianugerahkan kepada mereka ditarik balik.
Sebab-sebab penarikan balik tidak dinyatakan kepada umum, tetapi yang jelas pihak yang mengurniakan pingat dan darjah itu ada hak dan alasan untuk berbuat demikian.
Bagaimana pun setahun setengah selepas itu anugerah yang ditarikan itu dikembalikan semula dan Takyiddun selepas itu dianugerahkan pula dengan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk. Bagi Takiyuddin ada hikmatnya mengalami peristiwa itu kerana beliau mendapat untung berganda.
Dari sudut politik cerita penarikan balik gelaran atau anugerah kebesaran ini sangat sensitif. Ia boleh menjejaskan kredibiliti dan populariti orang berkenaan di mata rakyat. Orang yang terlibat juga akan dilihat buruk oleh rakyat. Ia juga dicapkan sebagai penderhaka.
Usahkan darjah kebesaran ditarik balik, kalau seseorang ahli politik itu tidak dibenarkan menghadap ataupun mengiringi Sultan atau Pemangku Sultan, atau menghantar Sultan ke lapangan terbang sewaktu Sultan hendak berangkat pun sudah memalu dan mengaibkan. Ketiadaan seseorang pembesar negeri dalam majlis umum Sultan tanpa sebab dilihat umum orang itu sebagai bersalah atau tidak disenangi Sultan.
Di Kelantan sebelum raya lalu telah tersebar cerita mengenai seorang Exco kanan tidak termasuk dalam senerai orang-orang kenamaan yang diminta untuk mengiringi Sultan atau Pemangku Sultan. Nama Exco ini juga tidak disenaraikan sebagai orang-orang kenamaan yang dibenarkan untuk menghantar Sultan ke lapangan terbang. Bagi pihak pejabat Sultan tentu ada kesalahan atau kekhilafan besar dilakukan Exco ini maka nama Exco berkenaan digugurkan dan dihalang daripada bersalaman dengan Sultan atau Pemangku Sultan.
Rasanya nama Exco ini akan turut terbongkar apabila nama orang politik yang dikatakan akan ditarik balik darjah kebesaran itu tersebar di media massa tidak lama lagi. Biarlah di sini kita tidak mendahului pihak istana dalam memaklumkan perkara ini kepada umum. Biarlah sesudah pejabat istana mengesahkan baru kita menyebut satu persatu dan juga melukiskan kesalahannya. Kerja sultan dan istana jangan dilangkaui.
Apapun di sini, ingin saya timbulkan apakah masih wajar lagi kejadian-kejadian menarik darjah kebesaran itu berlaku di Kelantan? Para penasihat Sultan atau Pemangku Sultan atau pihak istana eloklah berfikir banyak kali dalam soal ini sebelum mengambil tindakan seumpama itu. Atau kalau tindakan itu hendak juga diteruskan, cuba hitung kiri dan kanan jangan sampai ia menjejaskan nama baik Sultan atau Pemangku Sultan.
Saat ini nama Pemangku Sultan begitu indah dan manis dimulut dan mata rakyat. Di segenap penjuru negeri orang memuji dan kagum dengan sifat mulia dan prihatinnya kepada rakyat. Rakyat berdia agar beliau memerintah dengan baik, sempourna dan penuh keadilan. Beberapa tindakan demi rakyat yang baginda lakukan menunjukkan sesuatu yang positif dan sangat mendapat pujian.
Kita percaya Sultan atau Pemangku Sultan akan bertindak atas nasihat para penasihat dan orang-orang kepecayaan baginda saja. Kalau salah nasihat dan maklumat diberikan, maka salahlah tindakan dan keputusan diambilnya.
Sama-samalah menjaga nama baik Sultan, Pemangku Sultan, Raja Perempuan dan istana Kelantan seluruhnya. Jangan sesekali ada pihak-pihak yang licit menggunakan nama-nama institusi ini utuk kepentingan diri dan berlaku zalim pada yang lain.
Allah selamatkan Kelantan dan kepada-MU kami berserah! [wm.kl. 1:10 /thari 04/10/09]
2 comments:
salam buat semua..Anugerah diberi dan ditarik sudah lumrah..Cuma kekadang gelaran datuk sejak akhir-akhir ini sudah begitu tidak bernilai kerana begitu mudah dan pelbagai peringkat umur boleh mendapatkannya.Ada umur 26 tahun pun dah dapat datuk, umur semuda itu apa jasanya?sehingga melayakkannya mendapat datuk?..sedangkan orang lain umur dah separuh abad, jasanya macam-macam, tawaduknya, zuhudnya tidak dapat dipertikai tetapi tiada siapa yang bercadang untuk memberinya gelaran datuk..Kenapa tidak dihadkan peringkat umur yang layak untuk mendapat gelaran datuk..setidak-tidaknya mesti berumur 45 tahun dan ke atas ke?..Sedangkan sekarang ini..umur 26 tahun, malahan ramai yang belum mencecah 40 tahun pun dah berlambak yang mendapat title datuk..heran juga,apa jasa dan khidmat mereka untuk masyarakat?Dan selalunya yang mendapat datuk di usia mudan ni kebanyakkannya ahli perniagaan..jangan ada unsur 'membeli datuk' sudah la kelak orang akan beranggapan gelaran datuk tidak ada apa-apa keistimewaan langsung.Sedangkan tidak semua yang bergelar datuk itu melalui jalan belakang.Saya ada kenal beberapa orang yang bergelar datuk, sekadar kawan biasa la, mereka pada pandangan saya tiada apa-apa jasa pun untuk masyarakat, umur pun baru masuk 40-an dan dapat gelaran datuk sebelum umur 40 tahun..cukup mudah mereka tu dapat 'datuk'.Berbalik kepada isu gelaran datuk yang akan ditarik balik..saya setuju jika insan yang bakal ditarik gelaran datuk tu jenis manusia yang menjual dan melacurkan gelaran datuk yang diberi oleh Sultan untuk kepentingan peribadi dan melibatkan diri dalam kegiatan tidak sihat..memang padan muka kalau ditarik balik gelaran tu.Biar mereka sedar dan insaf.
Cuma apalah salahnya kalau kita berlumba untuk mendapatkan anugerah Allah..lebih mulia, lebih bahagia dan diberkati daripada terhegeh-hegeh mencari 'datuk'.Kebanyakan pula mereka yang mendapat datuk sekarang ini, mula berubah sikap..menjadi angkuh,sombong, berlagak dan mula memilih bulu untuk berkawan.Sedangkan sebelum itu..semua orang dia berkawan tetapi bila dapat datuk, telefon je kat padang golf, telefon je kat kelab malam, sedangkan kawan lain yang bersama dia pada masa itu mengatakan si datuk tu sebenarnya tak kemana-mana pun ada kat warung biasa-biasa je..ada juga manusia macam ni...tetapi ada yang memang berada kat kelab malam dan seumpamanya..itulah bezanya antara yang mendapat anugerah dari manusia yang kena jadi berbanding mendapat anugerah dari ALLAH.Mendapat anugerah dari Allah sikap mereka, luhur, baik hati, sopan santun dan menyayangi sesama manusia..wajah pun 'berseri' ada cahaya [ nur ] kat mukanya walaupun berkulit gelap..sekadar renungan..fikir-fikirkanlah. Tuan MSO..siapa yang bakal ditarik gelaran 'datuk' tu ?..'musuh tradisi' MSO ke? ke yang 'melompat-lompat' tu?..
Inna lillaahi wa inna ilahi raaji'uun.
ucapan ini ialah kesedaran bahawa kita ini dari Allah dan akan kembali kepada Allah. Asal balik ke asal. Kita tidak ada apa2 gelaran pun kecuali selaku makhluk @ hamba Allah. Seorang suami akan ditarik balik title 'suami' itu bila bercerai; begitu juga gelaran isteri akan ditarik balik gelaran itu apabila diceraikan. Banyak lagi. Namun begitu ada gelaran terbaik iaitu mukhlisiin, tawwaabiin, solihiin dan gelaran2 mu'minin yang lain. Mari kita sama2 pertahankan gelaran yang wajar mendapat janji2 Allah iaitu muttaqiin.
Allahummaj'alna min 'ibadikassolihiin.
Post a Comment