Sunday, October 4, 2009

Tertinggal Bagan Pinang

Hari-Hari Paling Sibuk Seorang Saya

DARI petang kelmarin membawa ke malam tadi adalah hari-hari paling sibuk buat seorang kecil seperti saya. Kalau Anwar Ibrahim mencatat dari stesen ke stesen di Amerika Syarikat kerana menghadiri syarahan, forum dan mengadakan perjumpaan dengan pelbagai pemimpin dunia sehingga tidak sempat menghadiri hari penamaan calon pilihan raya kecil Bagan Pinang semalam, saya juga begitu, kesibukan yang berkebetulan itu menyebabkan saya tidak sempat untuk melapor atau mencatat apa-apa mengenai Bagan Pinang.

Mungkin penjenguk blog ini merasa terkilan dan marah dengan keadaan ini. Saya pohon maaf kerana mengsia-siakan waktu anda untuk membuka blog ini sedangkan tidak ada laporan atau catatan terkini, apa lagi mengenai perkembangan di Bagan Pinang.
Semuanya ini kerana kesibukan melampau.

Kesibukan itu bermula pada petang kelmarin, 1 Oktober dengan mengunjungi beberapa sahabat dan juga veteran politik yang sudah lama tidak ditemui. Sengaja mencuri suasana hari raya untuk menemui mereka. Tujuan ialah untuk mendengar khabar dan juga pandangan mereka terhadap perkembangan dan trend politik hari ini yang mencemaskan!

Antara yang dikunjungi ialah veteran politik Umno, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abdin Zain di Ampang Jaya, Selangor. Zainal, yang lebih merasa dipanggil abah, bukan asing kepada sesiapa juga dalam politik khasnya penulis. Kebaikan, keramahan serta sikap rendah diri beliau bersama isterinya Datin Asima Abdul Latiff, yang dipanggil mama, menyebabkan sesiapa juga mengenalinya akan senang dengannya, dan bila mereka mengundang sukar pula untuk menolaknya.

Sungguh lama tidak mengunjungi ke rumah mereka dan merasai masakan mama. Kalau dulu semasa abah dalam parti Semangat 46 dan berhubung akrab dengan Pas, saya dan kekawan sering ke rumahnya, makan tengah hari atau malam yang dimasakkan mama. Masakan Pataninya sungguh menyelerakan. Menjadi tabiat saya pula bila seseorang itu sudah jatuh dan tidak mempunyai kuasa, saya akan mendekatinya. Dan bila mereka sudah ada kuasa saya akan menjauh diri dan ralik melihat mereka berlenggang lengguk di atas awan bagaikan wau bermain dengan angin..

Sebelah malamnya bersama isteri, menghadiri perkahwinan anak Allahyarham Rustam Sani, - Ariani dan Eddy L Suheri di Dewan Merak Kayangan, Felda di Jalan Gurney. Kehadiran ke majlis perkahwinan ini juga saya wajibkan kerana Kak Ani (isteri Allahyarham) datang sendiri membawa kad jemputan eksklusif ke rumah.

Tahniah kepada kak Ani kerana mendapat menantu dan kepada Ariani dan suaminya Eddy pemuda Aceh diucapkan selamat penganting baru semoga bahagia dengan zuiarat yang soleh dan solihah. Kerana Eddy juga seorang penulis dan pejuang, semoga dapat meneruskan tugasan Allahyarham bapa mertuanya, Rustam Sani yang masih belum selesai.

Majlis malam itu sungguh meriah dengan kedatangan ramai kawan-kawan Allahyarham. Panjang senarainya untuk dibilang satu persatu di sini. Antaranya Subky Latiff bersama isterinya, Kamadurdin Jaafar, Syed Shahir, Lutfi Otman dan isteri, Firdaus Abdullah, Aziz Deraman, Hassan Ahmad, Bahan Zain dan ramai lagi. Cuma bagi saya tetamu yang isitmewanya malam itu ialah Nurul Izzah dan suaminya Raja Shahril yang turut hadir dan berada di meja penggantin bersama Syed Husin Ali, Napsiah Omar dan lain.

Izzah lama tidak berjumpa dan berbual seperti sebelum kahwin. Semasa disinggah di meja saya sempat saya mengingatkan Nurul Izzal dan suaminya agar menjaga kawasannya, Lembah Pantai sebaik mungkin kerana Shahrizat Abdul Jalil dan Raja Nong Chik bersungguh mahu merampas kerusi berkenaan.

Di majlis itu juga tidak lama dan saya kurang selesa kerana seorang kawan dari Medan, Indonesia bersama 10 anggota keluarganya sudah pun tiba. Sebaik hendak menjamah hidangan kawan itu sudah telefon memberi tahu dia sudah sampai di hadapan Zoo Negara. Keadaan ini sungguh serba salah! Jadi dalam keadaan tergesa-gesa saya meninggalkan majlis perkahwinan itu sebelum ia sampai ke majlis penutupnya.

Di rumah sepanjang malam berborak dengan Saiful dan keluarganya. Apa lagi topiknya ialah mengenai segelintir orang Indonesia yang membenci Malaysia. Saiful nampaknya membela negara dan saya pula membela negara saya, Malaysia.

Pagi semalam saya seharusnya ke Bagan Pinang melihat proses penamaan calon. Tetapi satu lagi upacara yang tidak dapat dielakkan, majlis konvokesyen anak perempuan ketiga Erma Esmah di PICC, Putrjaya. Acara itu bermula jam 8:00 pagi. Terpaksa dikirimkan isteri dulu ke PICC kemudian, saya menyusul kemudiannya. Ketika sampai majlis pertama sudah hampir selesai.

Di PICC tumpuan bukan kepada majlis konvokesyen, tetapi kepada Bagan Pinang. Apa lagi beberapa penjenguk blog Merah Tinta yang ada di PICC dan mengenali saya datang seorang demi seorang bertanyakan tentang Bagan Pinang dan juga minta ulasannya secara ringkas. Nampaknya upcara konvo di kesampingkan tetapi diganti dengan politik. Ah, politik di mana-mana saja sampai tak sempat hendak rihat.

Dari Putrajaya saya meneruskan kesibukan menghadiri rumah terbuka seorang kawan baik asal sedaerah di Pasir Mas, di Shah Alam. Kehadiran ke rumah kawan ini juga adalah wajib. Falsafah saya dalam hidup ini simple saja, kita tidak perlu mempunyai seribu kawan, tetapi cukup kalau memiliki lima kawan yang baik dan sejati.

Maksud kawan yang baik yang mengerti perasaan dan juga tahu hati budi kita. Yang berkawan bukan kerana materalistik tetapi berkawan kerana ilmu dan tahu menghiburkan kita. Dan bagi saya pula kalau mahu menilai baik dan buruk seseorang kawan itu, pinjamkan wang kepada mereka.

Kawan yang baik ialah yang tidak mencari alasan untuk tidak membayar wang kita dengan mencipta masalah dan kemudian bergaduh dengan kita! Saya kehilangan beberapa kawan yang asalnya baik tetapi terlerai apabila dipinjamkan mereka sedikit wang yang tak seberapa. Dan kawan yang baik yang bertanyakah apakah kita mahu wang atau tidak semasa mereka memilikinya.

Dari rumah kawan seorang pegawai kanan kerajaan itu saya bergegas pula ke Puncak Alam menghadiri majlis perkahwinan seorang kawan satu muassasah semasa mengerjakan Haji dua tahun lalu. Kehadiran ini bukan untuk makan melainkan untuk beraya dengan kekawan yang sama-sama satu muassasah yang dijemput oleh kawan ini.

Semasa melalui jalan ke Puncak Alam saya memberi taklimat kepada anak-anak mengenai tempat dan lokasi penghancuran mayat Altantuya Sharribbuu. Di sekitar jalan menuju ke rumah kawan saya itulah mayat Altantuya diletupkan dengan peledak C4 milik tentera di raja Malaysia yang hancur berkecai. Sehingga kini kejadian itu terus dibelit misteri siapakah ampunya cerita dan apakah tujuannya.

Ada lagi kesibukan, sebaik pulang dari Shah Alam, sesampai di rumah jam 8:5 malam, seorang lagi sahabat sudah menuggu di luar pagar untuk dibawa ke majlis sembahyang hajat dan bacaan Yassin sempena di rumahya anaknya yang memasuki rumah baru di Jalan Kucing. Walaupun capek, boring dan marah kerana tidak dapat mengemaskini blog, apa nak buat terpaksa juga mengikutinya. Dia sudah berada di luar rumah. Yang menjempur sunat yang kena jemput wajib memenuhi jika tiada keuzuran yang besar.

Dan malam tadi cuba menguatkan diri untuk mengisi blog jurufoto rajin, Zamzaria sudah pun mengirim beberapa keping gambar untuk tatapan penjenguk blog ini. Tetapi apakan daya badan terlalu letih, pengisian tidak dapat dilakukan malam tadi. Dan kini sesudah tenaga kembali pulih sebelum kesibukan tiba menjelang tengah dan petang ini, dipostingkan beberapa keping gambar di sekitar proses penamaan calon di Bagan Pinang semalam khas untuk penjenguk blog ini. [wm.kl.10:00 am 04/10/09]

Calon Pas Zulkefly diiringi presiden Pas, Abdul Hadi Awang dua dari kiri.

Dua orang kuat muslimah Pas ikut sama mengiringi calon Pas.

Gabungan dua generasi, muda dan tua turut memberi sokongan kepada Pas.


Apabila artis A Rahman Hassan bergambar dengan orang Pas apakah ianya memberi sesuatu alamat?

Hero DAP Gobind Singh Deo, turut sama mengiringi calon Pas.

Gerombolan para penyokong Pas penuh sesak!


Penyokong Mat Isa hanya ada empat orang saja?

Post a Comment