Wednesday, October 14, 2009

Sampah Di Birai Mata

Wakil Rakyat PR Harus Kreatif Mengambil Hati Rakyat

SAYA turut tertarik dengan komen dan alasan diberikan ahli Parlimen, Kuala Selangor, Dr Zulkefli Ahmad (foto) mengenai kekalahan parah Pas di Bagan Pinang Ahad lalu. Katanya kenapa pengundi (bukan Melayu) menolak Pas ialah kerana kegagalan wakil rakyat menangani masalah mereka selepas mereka diberikan kemenangan dalam pilihan raya umum lalu.

Menurut gambaran Zulkefli, wakil rakyat Pas atau Pakatan Rakyat di Bagan Pinang atau pun ditempat lain tidak mempedulikan nasib untung mereka. Selepas meraih kemenangan memberangsang dalam pilihan raya 2008 mereka dilupakan begitu saja. Ada yang dapat dibayangkan di sini, kebajikan mereka diabai, masalah mereka tidak ditangani dengan baik, rakyat ditinggalkan seperti penolak kereta mogok di jalanan yang ditinggalkan driver.

Memang saya sendiri banyak mendengar masalah ini. Banyak rintihan rakyat mengenai kelemahan ini masuk ke dalam telinga saya. Ada yang sudah saya laporkan dalam tulisan dan ada yang saya sampai terus kepada mana-mana wakil rakyat yang sudi dan tebal telinga mendengarnya.

Perkara ini memang dirasai. Apa lagi bila rakyat terbiasa mendapat bantuan dan habuan daripada wakil rakyat terdahulu menyebakan mereka dapat merasai perbezaan dari segi penjagaan kebajikan mereka atau pun habuan buat mereka.

Kita faham kenapa kalau ada wakil rakyat PR tidak dapat memenuhi kehendak rakyat kerana mereka tidak ada peruntukan untuk melayani rakyat. Sebagai wakil rakyat yang tidak mempunyai kerajaan Persekutuan susah bagi mereka hendak dapatkan peruntukan dan bantuan bagi diagihkan kepada rakyat.

Bila ada setengah rakyat yang jahil mengenai situasi ini dengan mudah mereka akan menyalahkan wakil rakyat PR. Mereka akan kata wakil rakyat kedekut dan tidak pedulikan mereka. Mereka tidak tahu yang kedudukan kewangan wakil rakyat berkenaan begitu parah. Setengahnya masih ada yang terpaksa menanggung hutang pilihan raya sampai ke hari ini.

Pun begitu rakyat tidak boleh dipersalahkan. Pengetahuan mereka setakat itu saja. Jadi mereka perlu diberikan penjelasan mengenai kedudukan kewangan, projek yang boleh disalurkan. Wakil rakyat tidak boleh mendiamkan diri daripada terus mendekat rakyat kerana masalah hutang peribadi itu. Kehebatan seseorang pemimpin itu ialah apabila dia dapat ketawa di hadapan rakyat di kala kesusahan dan dihimpit masalah.

Jangan jadikan masalah ketiadaan wang sebagai helah untuk melarikan diri daripada rakyat. Itu bukan sikap yang bijak.

Wakil rakyat tidak perlu culas dengan rakyat. Mereka harus rajin mendengar runggutan dan rintihan. Kalau tidak dapat membantu tetapi setakat mendengar sunggutan rakyat sudah kira cukup. Malangnya sesetengah wakil rakyat usahkan nak membantu, nak mendengar pengaduan rakyat pun malas. Ada yang meninggalkan kawasan hingga dua tiga bulan, sampai rakyat tertanya-tanya apakah wakil rakyat merreka hidup atau sudah mati.

Rakyat kalau diberi pemahaman dan penjelasan mengenai kesulitan mereka boleh terima. Mereka boleh sabar dan terus berjuang sehingga dapat kuasa penuh (kerajaan persekutuan). Rakyat bukan lanun atau orang yang begitu pelahap mengenai harta benda. Tetapi cara dan penjelasan itu haruslah bijak. Mereka tidak akan mengamuk kalau sesuatu itu dijelaskan dengan baik.

Salah satu contoh keprihatinan yang paling mudah dilakukan oleh seseorang wakil rakyat ialah dengan bertanya nasib rakyat di kawasannya. Rajin sampaikan salam atau SMS. Ini kerja paling mudah. Sesetengah rakyat tidak memerlukan batuan kebendaan tetapi mereka mahu melihat perangai baik wakil rakyat mereka sudah cukup.

Kenapa sesetengah wakil rakyat Kelantan mesra dan disukai rakyat berbanding dengan wakil rakyat Umno. Walhal wakil rakyat Kelantan bukan kaya dan mempunyai projek untuk disalurkan. Sebabnya mereka hidup dalam kampung bersam rakyat. Mereka menampilkan diri di khalayak berada dalam masjid, surau dan kedai kopi bersama rakyat. Dunia mereka ialah bersama rakyat bukan terbang ke serta dunia sepanjang bulan!

Adalah dibimbangi kalau sikap wakil rakyat PR tidak perihatin kepada nasib rakyat mereka akan dicemuh dan akhirnya ditolak pada pilihan raya nanti. Manifesto Pakatan Rakyat yang berbunyi Kerajaan Berkebajikan sedang ditunggu oleh rakyat dari semua lapisan. Mereka menanti apakah bentuk kebajikan yang dijanjikan itu.

Tidak mustahil kalau kebajikan yang dijanjikan itu tidak sampai sebesar tahi hidup pun kepada mereka, tungguhlah penghukuman dari mereka. Mungkin kenapa masyarakat India di Bagan Pinang menolak calon Pas disebabkan nasib mereka tidak dipedulikan seperti mana yang dipancarkan bersinar banar dalam manifesto. [wm.kl. 11:30 am 14/10/09]

5 comments:

NH Shah Alam said...

Satu ulasan yang cukup baik dari MSO..

Saya setuju dengan rangkap ini "Salah satu contoh keprihatinan yang paling mudah dilakukan oleh seseorang wakil rakyat ialah dengan bertanya nasib rakyat di kawasannya. Rajin sampaikan salam atau SMS. Ini kerja paling mudah. Sesetengah rakyat tidak memerlukan batuan kebendaan tetapi mereka mahu melihat perangai baik wakil rakyat mereka sudah cukup".

Situasi SMS daripada wakil rakyat ini hanya banyak diterima masa dekat pilihanraya. Kadang-kadang kita pelik mana dia orang dapat no HP kita. SMS dihantar ucap selamat dan jangan lupa untuk pulang mengundi dan sebagainya.. Tapi sekarang usah nak harapkan SMS dari YB, SMS yang kita hantar pun tak dibalasnya...

Saya ada juga mengenali beberapa orang wakil rakyat UMNO. Walaupun mereka tidak lagi menjadi wakil rakyat namun SMS tetap dihantar bertanya khabar. Sedangkan mereka tahu haluan perjuangan berbeza. Ini lah namanya saikologi....

Apa pun thanks kepada Sdr MSO kerana membuat alasan yang cukup baik ini.

* NH Shah Alam *

InsanMarhaen said...

Salaam,

itulah dia politik, itulah namanya wakil rakyat.

bukankah Nabi SAW ada menasihati seorang sahabat supaya jangan terbabit dengan kepimpinan politik kerana dia itu adalah orang yang lemah.

Nak jadi wakil rakyat ni kena competentlah. Kena kuat jasmani, rohani dan material. Kalau tuan cerita ada wakil rakyat yg parah kewangannya sampai begitu sekali, pada pandangan saya dia itu tidak layak menjadi wakil rakyat.

Wakil rakyat ini tugasnya menyelesaikan masalah rakyat. Macam mana dia nak selesaikan masalah rakyat kalau diri sendiri pun masalah keliling pinggang. Tu sebab Md Isa menang. Ada yang sindir yg dia undi Isa walaupun Isa banyak duit.

Secara logiknya mana ada rakyat pilih wakil rakyat untuk jadi susah. Kalau tak mampu atau takda dana ka, sekurang-kurangnya bertapis-tapislah janji2 tu.

suparjo said...

Semua wakil rakyat PR, atau yang tidak ada duit peruntukan daripada kerajaan patut belajar daripada Lee Lam Thye semasa menjadi wakil Bukit Bintang. Dia wakil DAP,tapi bagaimana dia menjadi harapan kepada puluhan ribu rakyat di sana. Adakah semuanya disenyumkan dengan wang? Tidak...

Love Islam said...

Setuju yg amat sangat!

seli said...

setuju dgn MSO...cuma saya tidak setuju bila kes di bagan pinang ini, kita terlalu fokus kepada pengundi bukan melayu sedangkan pengundi utamanya ialah pengundi melayu..

mengapa kita hanya berkata "jangan ambil mudah sokongan bukan melayu"?? Adakah kita begitu yakin dgn hanya pengundi bukan melayu kita boleh mengalahkan UMNO??selama mana kita hanya berharap kepada pengundi bukan melayu??

Harap pimpinan PAS tidak ambil endah perkara ini..

kita jangan lupa, Strategi UMNO skrang cuba menarik seramai mana pengundi melayu dgn memainkan isu kononnya PAS telah terpesong dari landasan perjuangannya apabila bersama dgn PKR dan DAP. UMNO tidak kisah pun sekiranya pengundi cina dan india tidak ramai bersama mereka,kerana untuk memerintah pengundi melayu masih merupakan teras yang utaman..

fikir-fikirkan