Friday, January 1, 2010

Belasungkawa

Mat Rahmat Meninggal Dunia!

BEKAS Menteri Penerangan, Mohamed Ramat, 72 kembali ke Rahmatullah pagi ini di rumahnya di Bukit Damansara. Beliau dikatakan meninggal semasa dalam tidur. Pemergian Mohamad disedari apabila isterinya mengejutkannya jam 8:00 pagi.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di perkuburan Bukit Kiara selepas Asar ini. Catatan Belasungkawa akan menyusul selepas ini. [wm.kl 1:40 pm 01/01/10]

Bung Rahmat Pernah Marahkan Saya...

BUNG Rahmat, begitulah nama panggilan sesetengah pelajar Malaysia di Indonesia kepada Tan Mohamed Rahmat. Ketika itu beliau berkhidmat sebagai Duta Besar (Dubes) Malaysia di Indonesia yang bertaraf menteri. Beliau dikirim ke Indonesia oleh Dr Mahathir Mohamed kerana beliau dikatakan bermasalah dengan timbalan perdana menteri, Musa Hitam ketika itu.

Bagi mengelakkan sengketa antara kedua itu melarat dan untuk meredakan keadaan beliau dihantar ‘berihat’ ke Indonesia. Bagi saya tindakan ini satu tindakan politik yang mencabar Tok Mat.

Semasa di Indonesia beliau seorang Duta yang aktif dan disenangi oleh rakyat dan pemerintah Indonesia. Sebagai Dubes tugas utama beliau menentukan hubungan Malaysia dengan Indonesia senantiasa baik. Peristiwa ganyang Malaysia yang dilancar Seokarno 1948 masih berkudis di hati rakyat kedua buah negara dan memerlukan perawatan rapi.

Di samping tugas besar itu beliau juga mematau gerakan pelajar Malaysia di Indonesia supaya tidak menentang kerajaan (Umno). Ketika itu kira-kira 3,600 pelajar Malaysia di seluruh Indonesia. Dalam rangka ini beliau mengambil langkah progresif menubuhkan Kelab Umno di seluruh propinsi yang ada Pusat Pelajar Malaysia (PPM).

Satu demi satu propinsi di Indoensia yang ada PPM, ditubuhkan dengan Kelab Umno. Propinsi terakhir yang menjadi misinya ialah di Sumatera Utara (Sumut). Untuk menubuhkan Kelab Umno di Sumut ini ada sedikit masalah kerana kebanyakan pelajar khasnya di Medan terdiri dari pelajar bersendirian yang tidak terikat dengan biasiswa kerajaan.

Hampir 70 peratus pelajar Malaysia di Sumut pula terdiri dari anak-anak Kelantan yang datang secara bersendirian atas inisiatif bekas tokoh Pas Kelantan dari Kuala Krai, Abang Z atau Zahari Awang. Justeru mereka kebanyakan anak-anak penyokong tegar Pas dari Kelantan.

Peristiwa kehadiran Bung Rahmat ke Medan tahun 1982 ini masih segar dalam ingatan saya. Kehadiran beliau di Medan disambut oleh pelajar di lapangan terbang Polonia. Saya juga turut sama menyambutnya. Melihat sambutan itu Bung Rahmat gembira bahawa misinya untuk menubuhkan Kelab Umno akan berjaya dan berjalan lancar.

Malamnya satu majlis perjumpaan dan dialog dengan beliau diadakan di PPM, Medan. Majlis ini diatur oleh pihak Konsulat di Medan. Ikut sama dalam rombongan beliau ialah Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indoensia, (JPMI) Yaacob Muhamad, (Pak Yaacob) iaini bekas Setiausaha Kerja Ibu Pejabat Umno.

Kehadiran malam itu agak lumaya, lebih separuh penuntut di Medan hadir. Sebelum dialog Bung Rahmat menjelaskan mengenai peranan dan tanggungjawab pelajar bila berada di luar negara. Beliau menasihati pelajar agar menjaga nama baik negara. Selain itu perlunya bersepakatan antara satu sama lain.

Akhirnya katanya para pelajar perlu berada dalam satu persatuan dan menyertai kelab parti. Tujuannya untuk memudahkan kerajaan memantau, memberi bantuan dan maklumat yang perlu. Banyak manfaat menyertai kelab ini.

Selepas itu majlis dialog dibuka. Beliau meminta pelajar bertanya apa-apa masalah bersangkutan dengan topik yang diperkatakan itu. Walaupun banyak masalah mengeliling pelajar ketika itu tetapi tidak ada yang berani bertanya. Melihat keadaan itu menyebabkan saya bangkit bertanya kerana untuk tidak diesplotasikan oleh Bung Rahmat sebagai pelajar bersetuju dengan agendanya.

“Datuk, saya ingin tanya sikit..!” saya angkat tangan sambil bangun. Semua mata tertumpu kepada saya.

‘Iya ... ni orang Rantau Panjang, Kelete anak buah Abe Sen.. (Hussein Ahmad).” kata Bung Rahmat mesra. Bung Rahmat sudah dapat mengecam saya sebaik kami berjumpa di Polonia saya memberi tahu yang saya dari Rantau Panjang dan menceritakan saya kenal baik dengan Hussein Ahmad. Buang Rahmat memang berkawan baik dengan Tan Sri Hussein Ahmad bekas Ketua Penerangan Umno.

“Saya nak penjelasan sikit, Datuk?” kata saya. “Saya nak tanya apakah selain dari kelab Umno kelab-kelab parti lain tidak boleh ditubuhkan di luar negara?” sambung saya.
Ketika ini saya nampak kilat kamera terpancar ke muka saya. Pak Yaacob Muhammad telah mengambil gambar saya beberapa kali. Srap...srap...

“Maksud kamu?” tanya Bung Rahmat sambil mencerlin tajam ke wajah saya.
“Maksudnya, apakah lelab parti-parti lain seperti MCA, MIC, Berjasa, Berjaya, Gerakan, PPP atau Usno ...”

Belum habis saya mengeluar kata-kata Bung Rahmat telah memotong cakap saya dengan berkata; “Apa kamu mahu tubuhkan kelab Pas di sini!?”

“Iya..!” jawab saya tegas sambil disambut tepukan gemuruh dari rakan-rakan. Ada yang melaungkan Allhuakbar... Allahuakbar...

Bung Rahmat kurang senang dengan telatah saya. Selepas itu majlis dialog ditamatkan dan para hadirin diminta ke meja jamuan. Sebelum beliau meninggalkan PPM di Jakan Kangkung 1A malam itu Allahyarham memanggil saya dan meminta saya ke penginapannya di hotel Tiara.

“Esok pagi jumpa saya di Hotel Tiara...!” katanya.

Saya jadi terkejut dengan permintaanya itu. Timbul macam-macam dalam kepala. Sebagai pelajar persendirian apa yang bermain dalam kepalanya, mungkin saya akan disuruh pulang atau dibatalkan sijil belajar di luar negara gara-gara sikap saya itu.

Esoknya saya ke hotel bersama Ahmad Bisteri dan beberapa yang lain seperti mana diharapkan. Bung Rahmat biasa saja menerima kedatangan saya. Mesra dan penuh bercanda. Dia ajak saya minum dan kami bersembang di cafeteria hotel.

“Sore nanti saya mahu pulang ke Jakarta. Saya harap kamu akan menghantar saya di airport.

Ambil duit ni dah beli baju batik...” katanya sambil menghulur wang RM500. Saya ambil.

Petangnya saya ke Polonia untuk hantarnya pulang ke Jakarta. Saya pakai baju dan seluar biasa, tidak beli pun baju baru (batik) seperti mana diminta. Begitu berjumpa dengan saya Bung Rahmat bersalam dan menggeleng-geleng kepala. “Kenapa tak beli baju?” tanyanya semacam mengherdik. Saya diam. “Saya tidak ada pilihan lain, kecuali kamu untuk menjadi Presiden kelab Umno di Medan,” katanya dan berlalu masuk ke bilik berlepas.
Saya tahu dia marah kepada saya. Tetapi sebagai seorang ahli politik beliau selamba saja. Beliau tidak tunjukkan kemarahannya. Kelab Umno di Medan tidak berjaya ditubuhkan kerana ada penentangan dari pelajar. Bagaimana pun selepas saya meninggalkan Medan setahun kemudian barulah kelab Umno di Medan ditubuhkan.
Kemarahan Mohamad Rahmat ini baru saya tahu setelah saya ke pejabatnya di Angkasapuri sekitar 1987 sewaktu beliau menjadi Menteri Penerangan.
Sebaik masuk ke pintu pejabatnya, belum sempat saya duduk beliau menyergah saya. “Arkh...... inilah orang yang menganggu tugas aku di Indonesia. Gara-gara kau dua tahun Kelab Umno tidak boleh ditubuh,” rakan-rakan yang ada sama dalam pertemuan itu terkejut dengan telatah Tok Mat itu.

Tetapi semua tahu marah marah politik tidak pernah sampai ke hulu hatinya. Selepas itu beliau minta PA siapkan kopi dan kami minum kopi bersama dan dia terus bercerita mengenai telatah saya di Indonesia yang ‘menyerangnya’. Sewaktu meninggalkan pejabatnya beliau menghulurkan RM50 seorang untuk makan tengah katanya kerana beliau tidak sempat makan bersama kerana ada mesyuarat.

Awal pagi tadi, Bung Rahmat yang mesra, yang pemurah dan suka bergurau sudah pun menutup buku hayatnya. Dia telah dijemput Allah s.w.t. kembali ke pangkuan-Nya. Semoga Allah merahmati segala jasa, budi dan perjuangan Bung Rahmat. Al Fatihah. [wm.kl 8:30 pm 01/01/10]

4 comments:

ANAFAKIR said...

Bila sampai saat dan ketikanya maka kita akan dijemput 'pulang'.Sampai janji dengan Allah kata orang kampung, kita tidak boleh mengelaknya lagi.

Segala usaha dan pekerjaan di dunia dibawa bersama untuk 'dinilai'YB ke, datuk, ke tan sri, tun, Duli Yang Mulia ke..di sana semuanya sama.Hamba yang dijadikan oleh DIA semuanya.Barang siapa yang bertaqwa maka dialah yang beruntung....Takziah untuk keluarga arwahyarham.Allah lebih menyayanginya.Hak DIA.

miesuid said...

takziah buat keluarganya,mudah-mudahan allah mencucuri rahmat keatas rohnya,setiap yang bernyawa pasti akan mati ingatlah wahai sahabat semua mati itu pasti

Unknown said...

Takziah kepada keluarga beliau. Kita berdoa moga-moga roh beliau dicucuri rahmat dan diampunkan segala dosa-dosanya.Amin

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum. Tuan, Walau pun siapa beliau, semasa hayatnya beliau telah menabur jasa pada negara. Sebagai rakyat, jasanya pada negara mesti dikenang dan kalau itu adalh amal baik beliau moga Allah akan menerimanya sebagai amal baik beliau di alam kemudian. Bagi saya, usaha beliau mewujudkan siaran Radio Irama Melayu Asli (RIMA) di 93.9 (yang kini jadi gelombang Radio Bernama) amat berkesan sekali kerana melalui siaran itu saya banyak mengenali lagu-lagu Melayu dan kepelbagaian irama Melayu. Beliau juga cukup istiqamah dengan hasratnya terhadap siaran tersebut sehinggakan apabila menteri-menteri penerangan kemudiannya menukar nama siaran tersebut kepada Klasik FM dan kini Klasik Nasional, beliau terus cuba meminta agar siaran RIMA dikekalkan dan saya amat menyokong hasrat tersebut. Apa pun beliau telah pergi dan sesungguhnya kehadiran tahun baru bermakna kita juga semakin hampir untuk mengikut jejak langkah tan Sri Muhammad Rahmat