Tuesday, January 5, 2010

Panas Tengah Hari

Pendirian Pas Macam Rokok Marlboro Light: Berangin Tetapi Tidak Menyengat

PAGI tadi saya menerima kiriman kenyataan akhbar Parti Islam se Malaysia (Pas) menerusi email berhubung kebenaran penggunaan kalimah Allah oleh mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur kepada Kristian. Kenyataan itu dikirimkan oleh sdr Roslan SMS. Malam tadi Pas telah mengadakan mesyuarat lujnah politik bagi membincang dan menyatakan sikap berhubung kalimah Allah yang riuh randah sekarang ini.

Media massa parti itu telah menguar-uarkan beberapa jam sebelum itu akan maksud Pas itu. Besar harapan saya (saya percaya orang lain juga) dengan pendirian ataupun sikap Pas berhubung perkara itu. Setidak-tidaknya Pas akan mengeluarkan kenyataan yang relevan dengan statusnya sebagai parti Islam. Masa inilah kalau Pas ingin menjuarai Islam bagi mengatasi projek Umno menjuarai rakyat!

Saya sendiri sudah pun meminta agar parti-parti politik, Pas, Umno dan PKR menyatakan sikap mereka. Jadi apabila Pas menyatakan akan bermesyuarat mengenai hal itu maka ramai yang ternanti-nanti dan tertunggu-tunggu keputusannya.

Sebagai parti Islam, saya kira Pas lebih tegas dan lantang dalam perkara ini. Apa lagi timbalan presidennya Nasarudin Mat Isa telah melontarkan pandangan peribadi yang agak tegas dan keras. Katanya, perkara kalimah Allah perkara bukan isu politik sebaliknya pencerobohan terhadap agama rasmi negara ini. Tahukan erti perkataan 'pencerobohan' yang digunapakai itu?

Iya, isu kalimah Allah ini tidak seharusnya dipolitiknya. Ia perlu dilihat dari sudut keagamaan dan keselamatan akidah umat Islam di masa depan. Tidak afdal kalau isu agama dilihat sebagai isu politik semata-mata walaupun apa juga isu tidak dapat dielakkan akan dipolitik oleh golongan partisan sampai ke bilapun.

Mesyuarat malam tadi dilaporkan berlangsung selama dua jam. Ia dihadiri oleh para “Shahibul Samaah” Abdul Hadi Awang, Nasaruddin Mat Isa, Musatafa Ali, Dr Mohd Hatta Ramli dan naib-naib presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, Sallahuddin Ayub dan Mahfuz Omar. Mereka inilah yang telah membuat keputusan sebagai menyatakan sikap dan pendirian Pas berhubung isu berkenaan.
Bagi saya kerana isu itu bukan isu politik adalah munasabah dan tepat kalau sikap dan pendirian Pas itu diambil oleh Majlis Syura Ulama bukannya lujnah politik yang tentunya banyak menimbangkan soal-soal siasah duniawi Pas bersama Pakatan Rakyat daripada menghitung soal perintah Allah dan juga tanggungjawab sebagai muslim. Saya tidak fikir sebahagian ahli lujnah politik arif mengenai agama dan berkelayakan untuk memutuskan soal kalimah Allah itu.

Hasil daripada perbincangan selama dua jam itu maka terbitlah kenyataan Pas seperti berikut;

PAS sebagai sebuah parti Islam amat menghormati prinsip kebebasan beragama sepertimana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama, melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah dimaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.Walaupun demikian, dalam kontek masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

PAS memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapat sokongan rakyat.Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah al-Imran ayat 64 yang bermaksud: Katakanlah hai ahli kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan dia, dengan sesuatupun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya, sebagai tuhan selain Alllah.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.
"Allah For All * Islam For All""Islam Adil Untuk Semua"

Saya tidak mahu tersenyum atau pun berkata lebih dengan kenyataan Pas ini. Sebaliknya saya tersenyum dengan pengakuan yang ditulis oleh Roslan SMS berhubung kenyatan itu yang berbunyi; Sebagai seorang ahli PAS yang wala' pada pimpinan saya akur pada kenyataan ini.” Tagline Roslan ini ada mesej dan ertinya tersendiri.

Saya faham dan mengerti dengan maksud Roslan itu. Saya akur! Maknanya kalaupun dia tidak setuju tetapi kerana dia ahli Pas dia kena akur dengan kenyataan berkenaan. Kena wala’ kepada keputusan yang telah dibuat oleh Pas. Di sinilah dilema sebagai ahli kepada sebuah parti.

Kalaupun kita tidak setuju dengan keputusan parti kerana kita ahli, bayar yuran seringgit dua kita kena sokong sepenuhnya kalau tidak kita akan dikatakan sebagai derhaka!

Saya tidak mahu komen banyak tentang pendirian Pas yang hambar dan ringan macam rokok Marlboro light yang selalu dihisap perempuan itu. Cuma nak tanya dengan merujuk kepada kenyataan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Haron Din (kalau tak silap). Katanya, kufur sesiapa yang membenarkan perkataan Allah digunapakai pada tempat tidak wajar? Apa maksud kufur? Dan apakah dalam konteks kenyataan dan sikap Pas itu Pas juga bersubahat dengan kekufuran?

Haron Din ulama tarafnya sama dengan Abdul Hadi Awang, Nik Abdul Aziz Nik Mat dan lain-lain, tetapi kenapa harus ada perbezaan pandangan dan terjemahan dalam hal ini. Kenapa? Kenapa kenyataan Pas tidak mengguna pakai istilah Haron Din? Atau berlaku pertelingkahan soal berani dan penakut di sini?

Apakah kerana Haron Din melihat kepada kepentingan agama sepenuhnya manakala Abdul Hadi dan Nik Aziz disamping melihat kepentingan agama tetapi lebih menimbangkan soal politik. Bimbang kalau bersikap keras dan tegas menyebabkan undi akan lari? Pada saya biarlah Pas kalah dengan kebenaran daripada Pas menang dengan kemungkaran!

Kalaulah dalam pandangan mengenaai penggunaan kalimah Allah ini Pas berbeza pendapat, apa lagi rakyat (ahli Pas) di bawah sana, lagilah haru. Ataupun untuk melindungi perpecahan ini maka ahli Pas harus jadi macam Roslan SMS, kena akur dan kena wala' walaupun jauh disudut hati terasa pedih?

Dan sekiranya Pas ingin berpolitik dengan pendirian itu saya lihat Pas bercakap atas air liur Tok Guru Nik Aziz itu (sebab Nik Aziz lebih awal memberi ulasan mengenai hal itu). Lujnah seakan berhati-hati dalam membuat keputusan agar ia tidak dilihat bercanggah dengan Nik Aziz. Mungkin Pas sudah perit akan timbul polimek baru gara-gara Nik Aziz.
Kalau benarlah begitu lebih baik Pas tidak membuat apa-apa kenyataan. Lebih bagus Pas serahkan saja kepada PKR atau DAP untuk mengulasnya. Dengan sikap Pas itu saya kira ia akan menenggelamkan Pas dalam isu agama kalau Pas ada niat bermain politik dengan kenyataan ‘light’ begitu. Dalam isu kalimah Allah saya lihat Pas tidak banyak mendapat political mileage sekiranya mereka ada bermaksud demikian. [d'kota kl 2:20 pm 05/12/09]

7 comments:

denaihati said...

Berdasar PENGALAMAN yang saya lihat dan analisa di Indonesia saya TIDAK SOKONG perkataan ALLAH digunakan oleh selain daripada ISLAM. Mungkin pemimpin atau umat Islam yang menyokong penggunaan perkataan ALLAH oleh agama lain IKHLAS berdasarkan fakta tetapi saya lansung TIDAK YAKIN bahawa agama lain yang bersungguh-sungguh nak menggunakan perkataan ALLAH itu benar2 ikhlas. Pengalaman di INDONESIA menunjukkan bahawa dengan menggunakan perkataan ALLLAH membuktikan bahawa TIADA BEZA antara ISLAM dan KRISTIAN. ISU ini telah dimaksimumkan untuk mempengaruhi penganut ISLAM terutama YANG MISKIN. Tiada beza masyarakat Malaysia dan Indonesia dan lansung TIDAK mustahil perkara yang sama akan berlaku di sini 10 - 20 tahun akan datang semasa pemimpin POLITIK yang ada ini mungkin sudah di alam kubur.

Apa yang berlaku ini adalah akibat lemahnya ukhwah umat ISLAM dan pasti akan banyak lagi perkara yang lebih teruk berlaku di masa akan datang sekiranya TIADA perubahan dibuat kerana kita bukan sahaja kelihatan lemah tetapi memang sebenarnya ISLAM LEMAH. Sudah tiba masanya pemimpin ISLAM berkompromi untuk ISLAM bukan hanya politik sahaja demi masa depan anak cucu cicit dan kelangsungan ISLAM di Malaysia.

Selipar Jepun said...

Salam to all

Tersenyum lucu dibuatnya apabila membaca laporan lajnah politik Pas mengenai keputusan penggunaan nama Allah. Nampak gaya-nya Pas cuba untuk bermain play safe demi mengemis simpati undi bukan islam. Tanpa disedari sebelah kaki terjuntai kelembah kekufuran, menanti jatuh sahaja sekiranya lalai. Walaupun saya bukan ahli Pas, saya tetap menyokong penuh keyataan Dato Harun Din dalam hal ini.Beginikah pendirian parti politik yang dianggap lebih islam dari parti politk lain dalam isu ini.

"Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini.PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi."

**********************************
Ada lagikah agama samawi selain dari pada agama islam pada akhir zaman ini.
**********************************

"Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini."
**********************************
Setelah bersetuju dalam isu ini, adakah Pas berani bertanggung jawab sekirnya perkataan Allah ini disalah gunakan oleh pihak kafirin pada masa akan datang.Apakah jaminan Pas bahawa isi ini tidak akan menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Mencegah lebih baik dari mengubati..

Rintihan Rakyat said...

Orang POlitik tidak boleh diharap untuk membela agama islam. Demi mengekalkan kuasa, mereka bertindak seperti lalang. Sekejap kesini dan sekejap kesana.

Demi mepertahankan kuasa, dasar perjuangan dan agama sangup mereka lacurkan walaupun ianya jelas bertentangan dengan agama dan dasar perjuangan mereka.


* Rintihan Rakyat *

Mazwandi Mustaffa said...

'PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam'.

Sabar dulu tuan MSO, ayat diatas perlu ditangkap maksudnya. PAS sedang mengorak langkah membuat sesi dakwah besar-besaran.

Bukan setakat melayu dan rakyat Malaysia, malah seluruh umat manusia yang mencari kebenaran Ad-Deen Islam.

Kufur itu jelas, iman itu jelas, tiada kelabu ditengah2nya.

Kita tunggu dan lihat. Malah sepatutnya bukan setakat tunggu dan melihat, malah kita umat Islam perlu wajib sama2 berdakwah. Dakwah itu wajib, bukan sunat.

Abu said...

Hem... amat mengecewakan ! Pertimbangan kepentingan "UNDI" melebihi kepentingan Agama.

Apa yang nak diharapkan lagi daripada PAS? Ia sama sahaja dengan DAP dan PKR kalau tidak sama dengan UMNO.

Pada saya, kenyataan PAS ini bukan seperti rokok Marlboro light tetapi ia sama dengan rokok daun tanpa tembakau seperti yang dihisap oleh budak-budak dikampong-kampong

teh..tarik said...

Amat kecewa dengan kenyataan pas. macam tak ada telor pak-pak lebai politik ni semua.

FZY said...

Dari blog: http://n32.blogspot.com/

Sebenarnya ayat ini jelas memberi “lesen” kepada penggunaan kalimah Allah (dalam bahasa Presiden PAS: “….cara yang betul menggunakan perkataan Allah…..”), oleh penganut agama Samawi 1400 tahun sebelum keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagaimanapun seperti mana kenyataan Presiden PAS (dan sebelumnya Mursyidul Am dan Timbalannya) serta Dr Hasan, ada “disclaimer” atau syarat pada “lesen” itu iaitu:

“………….iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah……..”

Atau

“………That we worship none but Allah; that we associate no partners with him; that we erect not, from among ourselves, Lords and patrons other than Allah………..”

Sekaligus di sini saya mahu mengulas tulisan sahabat saya Sdr MSO di dalam blognya di http://msomelayu.blogspot.com/2010/01/panas-tengah-hari.html
yang menyebut:

Saya tidak mahu tersenyum atau pun berkata lebih dengan kenyataan Pas ini. Sebaliknya saya tersenyum dengan pengakuan yang ditulis oleh Roslan SMS berhubung kenyatan itu yang berbunyi; Sebagai seorang ahli PAS yang wala' pada pimpinan saya akur pada kenyataan ini.” Tagline Roslan ini ada mesej dan ertinya tersendiri.

Saya faham dan mengerti dengan maksud Roslan itu. Saya akur! Maknanya kalaupun dia tidak setuju tetapi kerana dia ahli Pas dia kena akur dengan kenyataan berkenaan. Kena wala’ kepada keputusan yang telah dibuat oleh Pas. Di sinilah dilema sebagai ahli kepada sebuah parti.

Sekali lagi saya tegaskan berdasarkan pemahaman saya termasuklah kepada MSO bahawa saya wala’ pada pimpinan, pada Tok Guru Nik Aziz, Dr Harun Din dan Tok Guru Presiden serta di Selangor Dr Hasan Ali dan saya akur pada kenyataan mereka. Tidak berbangkit saya tidak setuju malahmenyokong penuh.

Wallahualam.