Bila Husam Pakai Kopiah Macam P Ramlee
MINGGU lepas Husam Musa bersyarah di Bachok menjelaskan isu semasa. Tentu soal tuntutan royalti minyak menjadi isi ceramahnya yang utama. Apa yang saya nak catatkan di sini bukan soal isu tuntutan minyak itu, tetapi mengenai kedatangan Husam ke Bachok. Apa peliknya? Iya tidak pelik tetapi ia menjadi buah mulut. Apa-apa yang menjadi buah mulut, elok juga kalau saya kutip medengarnya. Tentu penjenguk blog saya yang pro saya suka mendengarnya.
Nak belanja tea tarik atau nasi kerabu kita duduk merata, berjauhan. Jadi bahan dalam blog saja lah sajian pagi untuk anda sekalian.
"Guana Husam dah dok sekali pula dengan Nasharudin?" begitulah satu pemanggil dari Kelantan. Juga asal Bachok, bertanya hal itu dan ingin memaklumkan kepada saya apa yang berlaku. Bimbang takut saya tidak tahu perkembangan terbaru. Pemanggil ini saya kenal sejak tahun 1978 lagi.
"Kenapa, salah ke?" tanya saya balik. Pemanggil itu mahukan saya ulas mengenai peristiwa itu. Kalau tak silap saya inilah kali pertama kali mereka duduk sepentas dan seintim itu selepas berperang saraf semasa merebut jawatan timbalan presiden tahun lepas. Walaupun mereka ada berjumpa dan duduk sekali dalam mahlis tetapi belum pernah saya melihat gambar mereka seintim ini.
Pada saya peristiwa itu bukan ganjil sangat. Husam orang Pas, Nasharudin Mat Isa pun orang Pas cuma bezanya dia berasal dari Negeri Sembilan, Husam orang Kelantan. Nasharudin adalah ahli Parlimen Bachok. Jadi kalau Husam pergi ke Bachok, masuk kawasan orang tak molek kalau Nasharudin tak ada sama. Husam tentu kekok dan macam-macam pula prejudis dan persepsi timbul nanti.
Khabarnya Husam yang beriya mahukan Nasharudin ada sama pada ceramah itu. Husam tidak minta sendiri tetapi melalui mekanisme dan bantuan orang tengahnya. Bukan itu saja khabarnya Husam juga minta Nasharudin datang berceramah di kawasannya, Kubang Kerian. Molek benarlah kalau Nasharudin memenuhi keinginan itu.
"Ada apa-apa percaturan baru ke dalam Pas?" tanya pemanggil itu sambil mengusik saya. Saya malas layan sebenarnya, nanti lain pula jadinya. Al maklumlah kalau saya ulas akan berlambaklah tuduhan masuk ke dalam meil blog saya. Banyaklah caci maki dan tuduhan yang akan dilemparkan kepada saya.
Pemanggil ini nampaknya tahu membaca kilau dalam kilat. Perisitwa di Bachok itu bukan sengaja. Sebenarnya tak hairan sebab dia orang lama dalam politik. "Iya ada, percaturan baru...," saya melepaskan jawaban acuh tak acuh mahu dia fikir akan kebenaran dan keperluannya.
"Lagu mana pulak?" soalnya sedikit hairan.
"Iyalah Husam kena berbaik dengan Nasarudin. Dulu pun mereka berada dalam satu pasukan sewaktu hendak singkirkan Hassan Shukeri...dan mewujudkan kem baru (liberal) dalam Pas. Jadi kali ini giliran Nasharudin pula kena membantu Husam untuk singkir Abdul Hadi Awang selaku presiden," kata saya.
"Aik... pelik bunyinya...," kata pemanggil itu. Saya sudah naik angin bila dia terus usik saya, mahu melihat bacaan politik saya berhubung perisitwa di Bachok itu.
"Sudah lama saya kata, Husam tidak perlu bergaduh dengan Nasharudin. Beliau tidak perlu lawan Nasharudin apa lagi mendedahkan keburukan Nasaruddin semasa kempen merebut jawatan dalam muktamar tahun lalu. Nasharudin bukan orang yang perlu beliau takuti dan fokus kerana Nasharudin bukan penghalang Husam untuk naik dalam Pas. Nasharudin bukan seorang pelawan. Apa yang Husam patut lakukan ialah dia mencuba jawatan presiden.
"Boleh ke..?" pemanggil itu tidak sabar dan tidak percaya dengan pendapat saya. Dia ni nampak merit kepada Husam. Sewaktu saya menyokong bekas kawan saya itu dia adalah pemberi semangat nombor satu. Malahan dia menjadi aktif semula disebabkan adanya watak politik persis Husam.
"Apa tidak bolehnya. Kan Pas sedang menuju ke era pemodenan dan liberalisasi. Abdul Hadi sudah agak tua dalam konteks politik hari ini dan pemikirannya pemikiran lama yang tidak tuntas untuk berdepan dengan kerencaman politik hari ini. Abdul Hadi tak macam Niki Aziz walaupun tua tetapi pemikirannya versatile dan bersikap progresif. Politik hari ini memerlukan seorang pemimpin yang cekap, konsisten ... dan tidak terlalu menghormati kepada kuasa lain sehingga kita hilang rupa diri dan kabur dalam menentukan kuasa yang dimandatkan ahli...," jelas saya. Belum habis saya menghurai dia memotong lagi.
"Maksud sheikh...?'
"Nanti dulu, saya tidak nampak ada perbezaan besar antara Husam dengan Nasharudin, baik dari segi budaya pakaian, stail dan pemikiran politik. Kedua mereka adalah ahli Pas yang terbuka dan profesional. Mereka bukan saja berada di Ulu Nerus, Kuala Kedah ataupun Jeli, tetapi mereka pernah berada di Eropah dan Amerika. Mereka adalah pemimpin Pas yang global.
"Kalau Husam boleh sabar baru ni dia tunggu setahun dua, dan bukan melawan Nasharudin. Bila dia bertindak begitu orang akan melihat dia gopoh. Memang pun dia memerlukan jawatan lebih tinggi untuk dijadikan cagaran dia di Kelantan untuk jadi MB. Tetapi pendekatan yang dia ambil tidak berapa kena. Husam mendapat nasihat yang salah dalam muktamar baru ini. Mungkin kerana dia banyak berkawan dengan orang pendek atau budak-budak yang suka pakai jens. Sebab itu saya kata alang-alang nak lawan dia kena rempuh Abdul Hadi," kata saya.
"Kalau dia lawan boleh menang ke, tidakkah Nasharudin lebih mudah dikalahkan berbanding Hadi," persoal dia lagi.
"Di sini bukan soal mudah atau payah. Yang penting keperluan dan relevansinya dia berlawan. Melawan Nasharudin yang dianggap adik perbuatan yang kurang bijaksana. Baru ni dia sepatutnya berpakat dengan Nasharudin untuk menasihatkan si abang, Abdul Hadi Awang agar berundur membolehkan team mereka mengambil alih. Itu baru politik bijak, fatanah kata Najib,"
"Kalau dia rasa tak boleh menang maka dia kena tunggu. Tak sayup... (lewat). Adakah dia menang lawan Nasharudin, tidak bukan? Nasharudin adalah adik kepadanya. Bila dia kalah, menyebabkan dia malu besar. Jadi kalau hari ni kalau dia bermahasabah, nak berbaik semula dengan Nashardin menyusun strategi baru, molek benarlah, saya juga sokong..." kata saya.
"Maksudnya jatuhkan Haji Hadi?" pintas pemanggil itu.
"Saya tidak berkata begitu, mungkin menunggu sampai Haji Hadi berundur dan ketika itu baru Husam jangkau naik sebab dalam tilikan saya selepas Haji Hadi dah tak ada calon lain yang sesuai," sambung saya.
"Eish.. enta ni," dia kurang yakin dengan saya.
"Dan kalau Husam nak cari titik temu semula dengan Nasharudin waktu inilah. Isu royalti minyak boleh memadamkan parut yang terguris sewaktu muktamar baru-baru ini. Bukan saja Husam dan Nasharudin tetapi semua pemimpin Pas Kelantan kena berpakat mengenai tuntutan wang minyak itu. Perpecahan mewujudkan 'tiga tanah' rancangan dalam Pas Kelantan hendaklah diselesaikan dan tanah rancangan itu perlu disatukan. Langkah Husam berada sepentas dengan Nasharudin itu adalah langkah terbaik dan saya fikir satu keberanian dan perjudian bijak Husam. Ia menggembirakan bukan saja saya, tetapi orang Pas lain juga. Lainlah kalau ada orang hendak pecahkan Pas dengan membelahkan Timbalan Presiden dengan bekas Naib Presiden itu.." kata saya panjang lebar.
Keperluan semua pemimpn bersatu dan melupakan sengketa bukan saja untuk mendesak UBN agar bagi wang tunai 5% kepada Kelantan tetapi bagi menjamin pilihan raya umum akan datang juga selesa bagi Pas. Pas Kelantan khasnya jangan rasa selesa dengan keadaan hari ini. Perpecahan kecil dalam Pas boleh menyebabkan parti itu menangis tidak berlagu dalam pilihan raya umum ke 13 kelak. Apa yang saya nampak selepas meletupnya bom jangka yang dipasang oleh musuh Pas di bangunan PMBK baru-baru kini Pas sudah kembali tenang dan berpadu semula.
Dan semalam ada orang kirimkan gambar Husam bersama Nasharudin diatas pentas ceramah di Bachok tempoh hari. Cuma saya nak komen sikit saja gambar ini, mengenai kopiah Husam, nampak tidak kemas dan sekali tenguk macam kopiah Shawal (P Ramlee) dalam filem Ahmad Albab saja. Apakah Husam paksa kepalanya pakai kopiah untuk dilihat serasi dengan Nasharuddin, walahu'alam. Sepanjang pengetahuan saya kopiah yang ada lambang Pas inilah pertama kali Husam pakai, mungkin sebab itu ianya nampak canggung sikit. [wm.kl. 12:00 t/hari 27/02/10]
No comments:
Post a Comment