"Kawan Boleh Berunding Dengan Demo Asalkan Buvi Royalti Dulu!"
[tambahan] Exco Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengatakan media massa puter belit kenyataan Nik Aziz berhubung cadangannya untuk berbincang isu kepentingan agama. Exco itu mengingatkan supaya media massa tidak memutar belitkan berita. Beberapa penjenguk blog ini juga marahkan saya kerana menulis tidak tepat dan ada yang memberi penjelasan. Terima kasih.
Seorang pejenguk mengirim klip video apa yang Nik Aziz cakap sebenarnya. Dia suruh saya dengar. Sayangnya tidak dapat dilihat. Tak apalah, kalau saya silap tidak mengapa. Tetapi penjelasan Mohd Amar mengatakan Nik Aziz sedia bincang soal agama dan bukan isu perpaduan sebelum dihebohkan sebelum ini mengesahkan apa yang dilaporkan oleh media massa itu ada asasnya.
Senang cerita, Mohd Amar atau sesiapa saja yang tidak mahu media massa 'haram' memutar belitkan kenyataan Nik Aziz, minta Tok Guru itu jangan bercakap kepada media berkenaan. Kawal nafsu dan mulut. Nik Aziz boleh bercakap kepada Harakah sahaja. Manakala media lain boleh memetik kenyataan ataupun laporan dikeluarkan Harakah. Dengan cara ini saja pemutar belitan terhadap kenyataan dan cakap-cakap Nik Aziz tidak akan berlaku.
Dan sebaik-baiknya Nik Aziz ba'la (cukuplah) sebut nama Umno kalau kita sudah tidak mahu dan membencinya. Kata benci tetapi sekejap-sekejap cakap, sekejap-sekejap cakap, macam kerat tak putus. Bila jumpa Najib minum air sekali di Pekan lain lagaknya puji Najib melangit, bila belakang Najib lain pula jadi. Mulai hari ini Nik Aziz berhentilah menyebut Umno dan segala macam pemimpinnya. Marilah kita bermusuh sampai ke mati. Kalau sekejap buka, sekejap tutup inilah yang mengelirukan orang. 5:35 Petang.
Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tiba-tiba menyatakan kesediaan Pas untuk duduk sekali dengan Umno bagi membincang masalah agama dan kepentingan berkaitan dengan Melayu. Saya tidak terkejut dengan kenyataan beliau itu. Tetapi bagi mereka yang tidak masak merasa ganjil dan hairan kenapa tiba-tiba Nik Aziz berlunak dengan Umno.
Sikap Nik Aziz itu kontras dengan pendirian beliau terhadap cadangan presiden Pas Abdul Hadi Awang untuk bekerjasama dengan Umno sebelum ini. Beliau hentam sakan Abdul Hadi bila Hadi memgemukakan cadangan itu juga atas maslahat agama. Bukan itu saja, timbalan presiden Nasharudin Mat Isa pun dihalau dari Pas dan diminta suruh masuk Umno kerana sekongkol dengan Abdul Hadi.
Bula Nik Aziz mengambil sikap terbuka anihnya tidak ada apa-apa bantahan dari kalangan pemimpin Pas. Cuba kalau yang menyuarakan demikian Abdul Hadi atau Nashardin mungkin berasap rumah Pas.
Al maklumlah dia Mursyidul Am boleh berkata apa saja dan menyaran apa saja. Kononnya jauh hari mengenal manikam. Abdul Hadi Awang pun turut sama memberi reaksi ringkas menyatakan persetujuaan kepada pandangan Nik Aziz. Nampak dia sini Nik Aziz ada kuasa veto dan diktator dalam memimpin Pas!
Bagaimana pun lain di pihak yang diajak, Umno. Pemimpin Umno begitu berhati-hati ingin menyambut kenyataan Nik Aziz itu. Najib Razak sendiri merasa pelik dan anih dengan sikap MB Kelantan itu. Kata Najib, Nik Aziz macam keadaan cuaca berubah-rubah. Aduh, kena sebiji atas muka dengan ulasan Najib itu.
Tersenyum saja Najib ketika membuat ulasan itu. Mungkin dia juga tidak tergamak untuk komen Nik Aziz lebih-lebih dengan sikap tidak konsisten itu. Tetapi kerana beliau diminta memberi komen maka Najib terpaksa komen dalam keadaan geli geliman terhadap apa yang dilihatnya sendiri.
Mengapa tidak, macam-macam ulah dan sikap Nik Aziz. Benarlah kalau macam keadaan cuaca, sekejap cerah sekejap gelap. Ada kalanya diselang seli dengan petir dan guruh serta hujan yang di beberapa kawasan. Paling teruk bila cuaca di musim tengkujuh menyebabkan berlaku bajir banyak burung dan katak mati.
Kalau nak senaraikan kenyataan tak konsisten dan dolak dalih Nik Aziz banyak sekali. Tetapi bagi Pas dan penyokong taksudnya menerima itu sebagai kebijaksanaan Nik Aziz sebagai ahli politik.
Bila Nik Aziz menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Umno sebenarnya jangan rasa anih. Umno pula tidak usah memberi reaksi berlebihan kepada cadangan itu. Saya yakin bila Umno bersungguh Nik Aziz akan tukar pula keadaan 'cuacanya'. Lain pula nanti nadanya dan dia akan menafikan apa yang diucapkan dan juga akan mengugut akan saman media yang menyiarkan kata-katanya itu.
Apakah beliau sengaja memancing Umno dengan kenyataan itu? Nik Aziz bukan berubah sebenarnya tetapi dia sengaja acah Umno! Apabila Umno beriya untuk bersama Pas kerana nak selamatkan diri, Nik Aziz mungkin akan berkata begini pula; "demo boleh berunding dengan kawan asalkan demo bui (beri) wang royalti dulu ke kawan". Tak mustahil. Tak percaya Umno boleh cuba.
Apa yang nampak di sini perubahan cuaca Nik Aziz seperti mana diistilahkan Najib itu kerana menguji dan bersandiwara dengan Umno. Nama lagi orang politik Nik Aziz boleh bercakap melewati batas dan kadang-kadang tergelecah dari ril sebenarnya. Siapa yang seberani beliau untuk menggunapakai istilah Tuhan mencarut?
Tenguklah dulu dia mengharamkan tilawah membaca Quran oleh kaum wanita. Hari ini dia kata perkara itu boleh dikaji semula. Alasannya dulu mengaji Quran sama naik dengan penyanyi. Kesediaan Nik Aziz mengkaji untuk membenarkan wanita sertai tilawah Quran itu menunjukkan progresifnya Islam dan terbukanya Nik Aziz dalam beragama. Dia tidak berpegang kepada peraturan lapok atau fahaman yang rigid menyebabkan Islam mundur dan lemah.
Itu alasan. Tetapi yang nyata Nik Aziz terlewat dalam memahami ini kira-kira 20 tahun. Bagaimana pun Alhamdulilah akalnya terbuka untuk menjadi rasional sebemula. Apakah hari ini tilawah Quran tidak seglamour penyanyi? Bukankah dengan hadiah dan berbagai insentif yang diberikan kepada Qari dan Qariah menunjukan tilawah itu lebih glomour dari dulu? Pandangan Nik Aziz terbalik dalam hal ini.
Apapun Tok Guru buatlah tidak ada siapa yang hendak membantah melainkan mereka akan menyebut dalam perut saja; apa dah jadi dengan Nik Aziz ini? Satu hendak diingatkan kalau Tok Guru sering berubah cuaca lama kelamaan orang akan jadi tidak stabil dan gila berada dalam negeri Tok Guru kerana tidak dapat nak duga keadaan cuaca yang sebenarnya.
Lebih malang lagi mereka ramai-ramai akan usung Tok Guru letak dalam sungai dan hanyutkan ke laut! Sebelum terjadi apa-apa baik serahkan saja jawatan MB kepada budak cerdik. [wm.kl. 1:05 t/hari 07/02/10]
No comments:
Post a Comment