HARI Ahad lalu saya ke kampung Rong Chenak, To Uban, Pasir Mas kerana menghadiri kenduri kahwin anak saudara sahabat saya Ramli Abdul Halim (Melipriapapa MH). Walaupun agak 'lorat' (sibok) saya paksakan juga menghadiri majlis berkenaan. Dalam Islam orang yang kena jemput wajib hadir manakala yang menjemput sunat, kecualilah ada keuzuran syarie.
Kampung Meli ini sebuah perkampungan yang serba daif dan susah jika dibanding dengan kampung saya, Gual Nibong, Gual Periok. Dari segi kemudahan eletrik masuk ke kampung saya dulu berbanding kampung Meli. Ketika itu di kampung itu rumah masih belum banyak. Hanya dua tiga buah saja. Rumah batu belum ada, yang ada rumah kayu beratapkan daun nipah saja. Kalau ada rumah kayu beratapkan bata tanah hanya sebuah dua sahaja. Kebanyakan dapur rumah orang kampung Meli robek.


Kami terpaksa mennyusuri jelujur berkenaan untuk sampai ke kampung Ramli. Selepas jelujur kena merentangi hutan kecil, kebun getah dan sawah padi. Melalui jalan denai. Sambil berjalan kami makan buah-buah kayu, seperti kemunting, kerian dan buah teratai. Untuk mempercepatkan langkah kami mengejar belakang perah.... mana-mana belalang yang terbang ke arah rumah Meli kami akan kejar.
Menurut Meli sungai berkenaan penuh dengan buaya. Tetapi buaya di situ tidak nakal dan jahat. Malahan mereka yang ada ilmu buaya termasuk datuk Meli boleh menggunakan buaya untuk menyeberang sungai. Menurut Meli datuknya akan panggil buaya, dua tiga ekor berhimpun dan datuk Ramli meniti atasnya.
Itulah gambar kampung Ramli Abdul Halim penulis, penerbit dan penganalisa politik yang gigih dan cekal kira-kira 30 tahun lalu. Hari ini kampung itu sudah berubah sama sekali. Sudah ada jalan raya, sudah ada eletrik. Tiga jalan raya berturapkan tar sira tersedia, dari Bukit Perah atau dari Padang Hangus. Masjid juga sudah besar tersergam indah di pinggir jalan bertar.
Melilah yang mengecat masjid berkenaan. Ada duit sikit sebanyak untung meniaga buku dan surat khabar dilambakkan ke masjid berkenaan. Rumah beliau sendiri tidak dibuat, sebaliknya dihabiskan untuk mengindah dan mencantikan masjid berkenaan. Sesekali sekala Meli akan tumbangkan lembu atau kerbau untuk kenduri arwah di masjid berkenaan, panggil orang kampung dan saing sobat makan.
Rumah-rumah juga kini sudah banyak. Besar-besar pulak. Jalan raya tar sudah sampai ke tangga dan belakang rumah. Di hadapan rumah sudah ada garaj kereta, basikal unta atau motosikal honda buruk sudah tidak ada. Yang tinggal hanya kerangka saja terperuk bawah rumah.
Sawah padi terbentang luas juga dijaga dengan rapi. Pertanian sudah dilakukan secara sistematik. Kerbau dan lembu sudah lama dirihatkan.Perkakas tenggala, seperti nanggal, nayan, igu, gerap, nolak, gebeng dan sebagainya sudah punah atau hilang. Anak cucu dan generasi baru sudah tidak kenal lagi dengan 'jentera' pertanian zaman lampau itu. Di hadapan rumah Meli sawah terbentang bagaikan permaidani dalam balai rong istana. Kemilau kekuningan.
Rong Chenak banyak cerita dan sejarahnya. Sebuah danau yang luas boleh diusahakan menjadi pusat pelancongan menarik. Tetapi agak malang kini, danau berkenaan terbiar, permukaannya ditutup kiambang dan penuh dengan selut. Para pemimpin politik tidak kreatif bagaimana untuk memajukan tempat berkenaan. Danau itu terbiar begitu saja. Apa yang boleh dinikmati ialah khazanah semulajadinya seperti ikan dan udang.


Misalnya kenduri kahwin hari itu yang memotong seekor kerbau dan seekor lembu dikerjakan oleh orang kampung. Tidak payah catering, mereka sembelih, lapah dan siang serta gulai sendiri. Lepas itu pakat-pakat makan ramai-ramai. Sambil meraikan pengantin, orang ramai boleh makan. Dan majlis kenduri seperti itu selain daripada pesta di kampung terpencil begitu ia juga menjadi medan pertemuan anak beranak. Kala inilah waris waras yang berada jauh di serata tempat akan pulang.
Dan bila menyebut tentang kampung itu satu kenangan yang tak mungkin terlerai dari ingatan saya mengenai projek Jihad Ternak pemeliharaan kambing Jamnapari yang menjadi ikon blog ini satu masa dulu. InsyaAllah saya akan mencatat dan melaporkan mengenai perkembangan terkini projek berkenaan yang dibiayai secara simbolik oleh kerajaan negeri itu. Tunggu! [wm.kl.10:15 am 19/02/10]
1 comment:
Seronok tuan kalau kenduri kendara di kampung.Semua kerja secara gotong royong.Terkadang seekor lembu tu lesap masa 'hari sap kija' jah.Nak royaknya ramai adik kakak, sedara mara datang menolong.
Tok Uban tidak asing juga dari saya kerana pernah seketika berada di Pondok Tok Uban tu masa kecil-kecil dahulu.Kampung saya hanya di Padang Kijang, masih berjiran dengan kampung tuan walaupun masih berjarak lagi.Cuma kini saya telah merantau ke ibu kota setelah ibu dan ayah dah tiada, adik beradik juga berselerak di merata negeri.Hanya yang tinggi makcik-mackik dan sepupu sepata semata.Kadang kala pulang juga menjenguk mereka, sementelahan pula pusara ayah dan bonda masih di sana...terimbau kembali kenangan bersama mereka.Perit dan seksanya bergelar anak tani.Di keji di hina perkara biasa..bila kita dah berjaya lain pulak nada mereka.Itulah manusia..memandang harta dan pangkat cuma.Mana mulianya mereka kecuali yang tetap dengan tali-Nya.
Post a Comment