Wang Ehsan Paparkan Akaun Terbuka Elak Prejudis
WALAUPUN kerajaan negeri menolak pemberian wang ehsan RM20 juta tetapi Umno tetap juga akan mengagihkannya. Persiapan untuk melaksanakan itu sedang giat dijalankan. Pengerusi Jawatankuasa Wang Ehsan Kelantan, Awang Adek Hussein pula akan menghantar surat tawaran kepada kerajaan Kelantan untuk melantik dua orang wakil kerajaan dalam jawatankuasa berkenaan.
Saya yakin tawaran itu akan ditolak kerajaan Kelantan sebab MB, Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah menegaskan mereka tidak mahu menerima wang ehsan tetapi tetap mahukan wang royalti.
Penolakan itu bukan bermakna wang itu dihalang untuk diagihkan kepada rakyat. Seperti mana jelas anggota Exco, Mohd Amar Nik Abdullah Pas tidak akan halang dan Pas tidak akan kisah kepada siapa wang itu hendak diagihkan. Tegasnya Pas tidak akan iktiraf pemberian itu.
Manakala menurut Awang Adek wang itu akan dapat diagihkan secepat-cepatnya April depan. Beliau memberi jaminan wang itu akan diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
Pas nampaknya berhati-hati dalam menjawab dan mengulas perkara ini. Pas tidak mahu dianggap rakyat sebagai cuba menghalang kebajikan yang hendak dibuat oleh Umno. Pas juga menyedari rakyat memerlukan wang berkenaan. Cuma kalau boleh Pas ingin sampaikan dengan tangan sendiri kepada rakyat.
Seperti mana Umno berhajat menjadikan wang itu untuk tujuan politik, begitu juga dengan Pas ingin menjadikan wang itu sebagai political mileage politiknya.
Masalah pemberian wang ehsan dan tuntutan royalti ini saya lihat tidak ada penyelesaian dalam waktu terdekat ini. Kedua pihak bertarik tali mengenai wang ehsan itu dan masing-masing mendakwa merekalah yang lebih berhak. Undang-undang dan perjanjian nampaknya tidak dijadikan sumber rujukkan lagi.
Dalam pada itu dimasa Umno bersiap sedia untuk mengagihkan wang itu Pas pula sedang menanti dengan penuh minat. Apa yang Pas tunggu ialah mahu melihat bagaimana wang itu diagihkan dan kepada siapa ia disampaikan. Apakah pengagihan itu telus dan menempati sasarannya.
Penyelewengan dalam pengagihannya akan jadi satu masalah kepada Umno dan ia akan dijadikan modal oleh Pas untuk dijual kepada rakyat. Pas akan mendedahkan kepada rakyat bahawa Umno tidak adil dan saksama dalam pemberian wang berkenaan.
Dalam hal ini saya tidak mahu bias kepada mana-mana pihak. Apa yang penting wang hasil bumi perut Kelantan itu akan sampai ke tangan rakyat negeri itu. Umno diharap tidak akan menyeleweng dan khianat dalam pemberian wang ini.
Ketidakadilan dan pengkhianatan dalam membahagikan subisidi kerajaan sudah berlaku sebelum ini. Misalnya perumahan rakyat termiskin, (PPRT) hanya orang miskin tertentu sahaja mendapat peruntukan itu. Bukan itu saja peruntukan sebanyak RM7,000 tetapi yang diterima tidak sampai RM3,000 dengan pemberian tiga keping papan atau zink saja. Itu bentuk penyelewengan yang pernah berlaku dan menggambarkan ketidakjujuran pengagihannya yang dilakukan oleh Umno.
Begitu juga dengan pembahagian baja padi untuk petani miskin. Orang Umno berguni terima baja sampai jadi bukit di bawah rumah kerana tidak kehabisan. Manakala penyokong Pas pula supik baja kosong pun mereka tidak dapat. Terpaksa punggah tahi lembu dan tahi kambing untuk dijadikan baja padi kerana peruntukan baja kerajaan negeri tidak mencukupi.
Hendaknya dalam pembahagian wang ehsan ini tidak akan terjadi seperti pengagihan wang untuk rumah PPRT dan baja subsidi baja itu.
Untuk mengelak ini dan memuaskan hati semua pihak saya cadangkan jawatankuasa wang ehsan adakan akaun terbuka mencatat pemberian wang berkenaan. Akaun ini boleh dipaparkan di papan iklan besar yang diletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu ataupun di setiap daerah. Semua perbelanjaan dan pengagihan dicatat di situ, biar semua orang tenguk dan 'kelih' sendiri. Catat dan tulis semua jumlah dan tarikh pemberiannya.
Sekiranya wang itu dalam bentuk projek, kontraktor yang menerima projek itu hendaklah disenaraikan siapa mereka dan sebut juga nombor lesen kontraktornya. Jangan pakai berikan projek itu ikut suka hati dan pilih kontraktor dari kalangan kroni.
Saya rasa kalau ini dapat disediakan keraguan orang ramai akan berkurangan. Kejujuran dan keikhlasan Umno juga dapat dilihat umum. Kerajaan negeri atau Pas yang kini sedang menanti untuk kritik akan berhati-hati dan tidak akan mengkritik dan menuduh secara sembrono kerana semua perbelanjaan dan penerimaan wang itu ada dicatat di papan akaun gergasi itu. Sebaliknya kalau pengagihan itu dipertikai dan diragui ia akan bakal membawa musibah kepada Umno Kelantan. [wm.kl. 8:00 pm 27/02/10]
3 comments:
Apalah gunanya diadakan pilihanraya, jika pihak yang menang dan mentadbir negeri tidak dibenarkan mengurus dana negeri. Kenapa perlu pihak pusat menguruskan bagi pihak kerajaan negeri? Sudah darurat ke?
Kalau macam tu bolehkah PR menguruskan kewangan, segala hasil cukai dan pendapatan negara Malaysia dan BN menjadi penonton saja dan tiada hak campur tangan?
rasanya agak sinikal tuan mengatakan "Kejujuran dan keikhlasan Umno juga dapat dilihat umum", sedangkan ayat "Undang-undang dan perjanjian nampaknya tidak dijadikan sumber rujukkan lagi" memang sangat wajar diberi perhatian
Kerajaan Kelantan diterajui PAS sememangnya ada sebab untuk terus mengamuk pasal hal royalti minyak ini, mereka takkan mengalah kerana dokumen perjanjian tahun 9 Mei 1975 sememangnya solid
Kerajaan Kelantan disuruh berkompromi kepada mereka yang langsung tidak menghormati perjanjian dan sesuka hati menggunakan kekuasaan yang ada pada mereka
mereka telah melanggar perjanjian, bukankah tidak mengotakan janji itu satu dosa besar dalam Islam dan sudah pastilah dilaknat Allah, jadi mengapa TGNA harus berkompromi kepada mereka yang mengaku mengucap berhari-hari bahawa tiada Tuhan selaainNya dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah..
keikhlasan umno hanya akan nampak apabila perjanjian 9 Mei 1975 itu dikotakan oleh umno itu sahaja dan itu juga yang dituntut kerajaan negeri, kerajaan Kelantan dan TGNA mahu lihat kearah itu sahaja dan takkan pilih mana-mana jalan alternatif walaupun nampak bagus
inilah nasib negara Malaysia apabila jahil undang-undang malah bukan jahil tapi niat mahu dia sahaja yang betul mengatasi segalanya, sekiranya perkara ini berterusan apakah yang akan tinggal kelak kepada semangat federalisme dan kerajaan negeri..
undang-undang dan keadilan boleh diranap musnahkan melalui ego dan amarah politik begitu sahaja, langsung kebenaran hanya dipaparkan mengikut suka hati mereka sahaja...
Assalamu alaikum tuan. Cadangan tuan hanya akan tinggal cadangan. Ketulusan adalah suatu yang perit untuk UMNO dan BN lakukan berdasarkan pengalaman sebelum ini.
Di pihak Kerajaan Kelantan pula memang wajar menolak apa pun bentuk kompromi atau tolak ansur yang mengenepikan semaangat Perjanjian 1975 dan PDA 1974 yang ditafsirkan secara jelas dalam undang-undang antara bangsa 1982 )Saya lupa nama undang-undang tersebut). Tindakan melewatkan kes ini dibawa ke mahkamah juga merupakan satu kebijaksanaan kerajaan negeri Kelantan kerana sekiranya kes ini berada dalam mahkamah maka sudah tentu perbahasan mengenai royalti ini tidak dapat dilakukan kerana akan dikata menghina mahkamah. Biasalah "menghina mahkamah" ini hanya tertakluk kepada "Pakatan Rakyat" sahaja sedang orang yang berada di luar pengikat kata bebas berkata apa pun. Jadi lambatkan lagi kes ini kerana ini peluang kita melihat pemungkiran janji dan boleh dipedebatkan di peringkat awam.
Satu lagi, kalau di bawa ke mahkamah sekarang terjaminkah keadilan dalam perbicaraannya. Tanpa diulas kita pun tahu jawapannya. Jadi yang terbaik bicarakan kes ini di mahkamah rakyat.
Sampai masanya nanti andainya kes ini tidak selesai tentu akan ke mahkamah juga. Ketika itu kes ini sudah berlanjutan bertahun-tahun. Nagijahnya, kalau Kerajaan Kelantan menang dan memang boleh menang pun, maka Kerajaan Kelantan juga pasti akan menerima tunggakan termasuk dengan interestnya sekali. Seandainya tidak dibayar tunggakan kerana alasan ehsan telah diberi maka ketika itu mahkamah akan dikata mengiktiraf wang ehsan dan mahkamah yang adil tentu tidak bersikap demikian. Kan laba tu namanya.
Jadi buat rakyat Kelantan, terima sahaja wang ihsan itu sementara menunggu royalti akan datang nanti.
Post a Comment