Kebangkitan Semula Tunjuk Perasaan?
KETIKA kira-kira 2,000 para perwakilan konvensyen BN sedang membincangkan tujuh perkara pokok di Wisma MCA Jalan Ampang, KL lebih 5,000 rakyat marhaen dari berbagai kaum menunjuk perasaan di perkarangan Masjid Negara untuk memprotes cadangan memberi kebenaran kepada syarikat konsensi menaikan harga air di Selangor.
Dua himpunan ini dilihat kontras di antara satu sama lain. Satu melibatkan rakyat yang membela hak dan diri mereka kerana dimanipulasikan oleh pihak tertentu dengan cadangan kenaikan harga air itu, manakala satu lagi berbincang untuk mengekalkan hegemoni politik mereka bagi membolehkan para pedagang dan lintah darat terus menyedut darah mereka.
Kalau mengikut role sebenar seharusnya perhimpunan di masjid negara itu tidak perlu diadakan dan tuntutan rakyat itu sepatutnya diselitkan dalam konvensyen BN. Konvensyen itu seharusnya membangkit dan membincangkan masalah rakyat bawahan termasuk mengenai kenaikan harga air itu.
Sebenarnya banyak masalah rakyat bawahan di bawah tanggungjawab kerajaan BN masih belum selesai. Berbagai isu bertaburan dan menjadi perdebatan di mana-mana saja. Semua isu itu akan menjadi senjata yang bakal memakan diri BN dalam pilihan raya akan datang. Sepatutnya di sampin BN membincang mengenai kedudukan mereka dan mempertahankan Putrajaya mereka juga perlu membincang masalah rakyat.
Misalnya ia wajar kalau ikut sama membincangkan kenaikan harga minyak petrol yang akan berjangkit kepada kenaikan harga barangan lain. Namun tidak terjadi demikian. Sebahagian orang yang menghadiri konvensyen BN itu adalah mereka yang bertanggungjawab menentukan harga barangan. Sebagai pemimpin kerajaan mereka bertanggungjawab menentukan kadar harganya.
Malang tidak berlaku begitu.
Saya tidak jenguk ke tempat konvesnyen itu dan apakah resolusi yang diluluskan. Apakah 13 parti komponen BN sepakat menerima resolusi yang diputuskan. Ataupun ada yang tidak berpuas hati dan perdebatan yang ketika ini dirasakan masih diteruskan.
Tetapi yang jelas dan nyatanya protes kenaikan harga air di masjid negara itu berjaya. Ia memulakan momentum baru kebangkitan rakyat selepas pasca Abdullah Badawi menjadi perdana menteri. Apabila tunjuk perasaan itu dihalang dan disuraikan oleh polis dengan melakukan tangkapan seramai 48 orang, ia dianggap berjaya. Itulah yang diidam-idamkan oleh para demonstran.
Selalunya dalam siri-siri tunjukan perasaan kalau tidak ada demonstran yang kena tangkap atau kena pukul ia tidak dianggap berjaya. Mereka akan bangga kalau mereka ditangkap. Demostrasi tanpa ada polis tidak menarik dan mencabar. Sebab itu kalau ada yang kena pukul gambar mereka dianiaya polis akan diesploitasikan secukupnya dalam internet ataupun portal berita. Penganiyaan dan 'kezaliman terpaksa' itu dijadikan modal politik yang cukup enak.
Dalam ukuran dan sifir rakyat marhaen sesuatu tunjuk perasaan itu juga berjaya apabila kehadiran melebihi 5,000 orang dan dikawal oleh ribuan polis. Ia paling berjaya dan bermakna lagi bila polis melepaskan gas pemedih mata, menyembur water cannon ataupun mengejar penunjuk perasaan dengan cota oleh pasukan berkepala (topi) merah.
Nampaknya semua keadaan itu berlaku pada hari ini. Saya tidak dapat memasuki ke perkarangan Masjid Negara tempat menjadi lokasi utama demostrasi kerana semua jalan menuju ke rumah Allah itu disekat. Empat kawasan lokasi untuk penunjuk perasaan berhimpun, di Kampung Atap, Pasar Seni, perarangan Masjid Negara, Istana Negara dan Masji Jamek di kawal rapi.
Kelihatan polis macam turus pagar bercacangan, mengawal keadaan. Semua jalan menuju ke Masjid Negara dan Istana Negara dikawal ketat macam hendak berdepan dengan lembu matador (bull) terlepas dan gila. Polis FRU dijadikan perisai menghalang kemaraan para penunjuk perasaan untuk bergerak ke Istana Negara. Sementara di udara pula berlegar helekopter polis meninjau apa yang berlaku di bumi. Tidak pula dapat dipastikan apakah helekopter juga turut berlegar di Jalan Ampang?
Ketika saya turun komuter polis sedang mengamuk menyembur watar cannon dan melepaskan gas pemedih mata. Ini menyebabkan penunjuk perasaan bercemperaian lari dan ada yang masuk ke stesen keretapi. Beberapa penujuk perasaan yang membawa anak kecil juga lari melindungi anak mereka di kawasan stesen keretapi.
Saya hanya memerhati dari dalam pagar stesen kereta api kerana tidak dapat untuk mara lebih dekat. Semua pintu pagar keluar menghala ke masjid ditutup rapat. Beberapa warga emas dan perempuan bersama anak juga turut melarikan diri. Kelihatan baju mereka basah kerana disembur water cannon.
Mereka tidak sedih tetapi gembira dan seronok. Sambil berjalan mengilai dan ada yang mencaci polis dan BN.
Seorang anak muda dengan muka merah, mata berair menyapa saya dan meminta air mineral untuk membasuh mukanya. Mungkin dia tidak biasa berdemostrasi.
Dari percakapan dengan sekumpulan anak muda yang 'melarikan' diri saya dapat gambaran tunjuk perasaan itu berjaya. Katanya yang paling mengejutkan ialah ramai orang Cina dan India ikut sama mengambil bahagian. Seorang lelaki Cina mengaku datang dari Perak melaungkan ke arah trak polis dengan kata-kata, kenapa buat jahat kepada kami? Geram betul dia.
Sebelum ini yang mendominasi tunjuk perasaan ialah anak muda Melayu. Selalunya tidak sampai 10 persen orang Cina dan India yang mengambil bahagian. Kalaulah dakwaan anak muda itu benar ia memberi petanda baik bahawa tunjuk perasaan di masa depan ada potensi untuk menjadi lebih hebat. Apakah tunjuk perasaan hari ini sebagai muqadimah kepada beberapa siri tunjuk perasaan lain?
Mungkin berdasarkan suasana dan kejayan hari ini sudah ada terpeta di dalam kepala Mohammad Sabu untuk menganjurkan tunjuk perasaan lebih besar dan lebih tersusun selepas ini. Mat Sabu juga dilaporkan hadir. Katanya ada ura-ura untuk mengadakan tunjuk perasaan Bersih kali kedua. Apakah keadaan akan memberi inspirasi kepada Mat Sabu?
Dan apa yang dapat saya simpulkan dengan tunjuk perasaan hari ini ia memberi petanda bahawa kebangkitan rakyat masih berterusan. Walaupun ada perubahan dan transformasi dilakukan Najib namun ia tidak mampu mendamaikan keadaan. Begitu juga kecaman hebat dan pemanipulasi isu ketuanan Melayu oleh UBN tidak memberi bekas.
Bahawa serangan peribadi ke atas Anwar dan usaha melagakan pemimpin Pakatan Rakyat tidak memberi hasil. Begitu juga pendakwaan kali kedua Anwar atas tuduhan liwat juga tidak mudah mematikan semangat anak-anak muda untuk bangkit mempertahankan hak mereka yang mereka sandarkan kepada Anwar sebagai ikon pejuang rakyat marhaen. Apa yang akan berlaku makin ditekan dan diseksa mereka, mereka akan jadi makin murih dan sedia untuk bangkit dengan lebih bengis lagi.
Dari kejauhan dan ketika berselisih ketika hendak ke komuter saya nampak beberapa muka demostran yang mengambil bahagian dalam siri tunjuk perasaan tahun 1998 - 1999 juga kelihatan dan masih bersemangat. [wm.kl. 5:00 pm 05/12/10]
P/s: Maaflah kerana tidak dapat gambar real (dari dekat), gambar ini pun diambil dengan BB.
1 comment:
Kenapa demo rakyat 5 Disember dianggap berjaya?
http://ruangbicarapriamalaya.blogspot.com/2010/12/kenapa-demo-rakyat-5-disember-dianggap.html
Post a Comment