Kisah Pemakai Locing Di Leher
BILA Dr Rosti Sarwono telah melepaskan jawatan Naib Censelor Unisel, maka bergemercingan locing di leher sesetengah pemimpin Umno dan juga cendekiawan yang selama ini mengambil upah atas segala kerjanya untuk menjaga Umno. Macam-macam kritikan dan ulasan yang dibuat atas apa yang berlaku itu.
Padahal Dr Rosti telah menjelaskan beliau melepaskan jawatan itu kerana tidak sebulu dengan pihak penguasa universiti berkenaan. Katanya dia melepaskan jawatan disebabkan beliau tidak sedia untuk menurut arahan yang mengikutnya tidak adil dan berlandaskan Islam. Amboi..
Dr Rosti mendakwa beliau diarah pecat tiga orang pegawai dibawahnya. Beliau tidak menyebut nama-nama itu, tetapi Exco Pendidik Dr Halimah Ali menyebut salah seorangnya adalah ibu saudara bekas MB Selangor, Khir Toyo.
Cadangan agar pegawai itu dipecat dikatakan atas arahan berunsur politik. Menurut Halimah mereka yang terbabit itu setelah diadakan penyiasatan dalaman yang menunjukkan mereka tidak profesional dan gagal memenuhi hasrat Unisel.Kalau dilihat dari sudut lazimnya maka wajar tiga pegawai itu dipecat atau ditukar.
Memanglah sebagai seorang berprinsip Dr Rosti tidak akan melakukan 'suruhan' itu dan semua orang kena hormat atas keputusannya. Dia hendak berhenti, biarlah. Sepatutnya ramai orang macam Dr Rosti yang tegas dan bukan sedia menjadi 'pak ka' atau pun kaldai tua.
Perkara ini biasa berlaku dalam dunia Malaysia ini. Campur tangan politik telah meluas dalam apa juga aspek, tidak kira dari parti mana dan kerajaan mana sekali pun. Bukan saja di peringkat universiti, tetapi di sekolah rendah juga ada campur tangan politik. Banyak cikgu besar atau pengetua ditukar kerana campur tangan politik.
Kalau di Kelantan hari-hari cikgu yang tidak sewarna simbol politik dengan guru besar atau pun penghulu akan dipanggil dan dinasihatkan. Kalau degil juga akan ditukar. Perkara ini sudah lama berlaku di Kelantan dan sudah mangli. Di Kelantan penghulu boleh tukar cikgu tau! Anihnya bila ini berlaku di Kelantan tidak ada pula orang menggelengng-gelengkan kepalanya agar bergemercing locing sebagai memprotes campur tangan politik itu.
Apakah kerana ia terjadi kepada parti pembangkang? Woi... kalau kita nak tegakkan keadilan tegaklah kepada semua. Jangan pilih bulu dan tenguk kepada mirip dan miring siasahnya. Jangan kalau jadi kepada kroni kita maka kita melenting dan marah-marah macam babi disapak penyakit.
Saya tidak mahu pergi jauh membawa contoh apa yang berlaku di Kelantan. Tetapi cuba ingat kembali kepada apa yang berlaku kepada di beberapa buah universiti sebelum ini yang menghadapi masalah sama. Pertukaran NC di IPTA milik kerajaan biasa terjadi dan tidak pernah pun dikalutributkan walaupun pertukaran itu banyak tempang dan cacatnya atau tidak profesional.
Macam-macam sudah berlaku yang dilihat diluar adat dan budaya. Ada juga orang yang dilantik menjadi NC universiti tidak pun layak dan langkau orang lain yang lebih layak, tetapi kerana ia dilihat bukan penganut sesuatu parti (Umno) ia dipinggirkan. Sepatutnya kejadian ini diberi perhatian sama. Tetapi semua diam membisu. Locing di leher orang Umno tidak pun berbunyi bila ini berlaku.
Gara-gara banyaknya campur tangan politik inilah menyebabkan kualiti IPTA kini makin merosot dan makin merudum. Kenapa tidak kerana politik terlantiklah mereka yang tidak berpengalaman atau pun sesuai dengan bidang-bidang yang mereka akan kendalikan.
Satu masa dulu seorang pendaftar sebuah IPTA di lantik menjadi NC di sebuah IPTA. Ada pengarah BTN dilantik menjadi NC di IPTA. Semua perlantikan ini kalau hendak dikira jelas campur tangan politik untuk kepentingan Umno kerana mereka tidak berkelayakan dan tidak sewajar berada di situ. Tetapi kenapa tidak ada yang menyalak yang marahkan kerajaan atas alasan perlantikan itu tidak sesuai dan menganggu urusan pendidikan negara? K..e..n..a..p..a?
Kalau apa yang berlaku di sebelah pembangkang nampak sangat. Mata pemakai locing gila menjadi terang benderang dan cerah cuaca seperti bulan purnama. Mungkin kritikan dan teguran pemakai locing ini betul dan benar, tetapi bila mereka bersikap tidak adil, mengkritik berat sebelah maka kebenaran mereka yang berlandaskan profesional itu tidak lagi akan dihormati.
Lain kali kepada mereka yang mengkritik dan cuba menimbulkan isu-isu seperti dihadapi Dr Rosti itu hendaklah berhati-hati. Mereka peluk jenguk ke perut mereka dan cuba bayangkan apa yang ada dalam perut mereka. Kalau di dalam perut itu busuk membusung jangan cuba hendak menunjuk bijak, arif dan pembela nanti kelak diketawa dan ditejel orang.
Tidak salah kalau kita hendak memakai locing apa saja dileher, tetapi fikirlah waktu dan ketika saat kita hendak membunyikannya. Bunyilah pada ketika dan masa yang sesuai kalau tidak kita akan dikatakan pemakai locing gila. Jangan jadi gila dan jangan suka mengacau. [wm.kl.11:45 am 04/08/11]
No comments:
Post a Comment