Sunday, August 7, 2011

Sesudah Subuh

Hasan Tidak Patut Jinakan Diri Dengan Utusan

HARI ini ada dua berita yang disiarkan oleh Mingguan Malaysia (MM) yang saya merasakan penyiarannya bermotif politik yang sangat jelas, bukan atas semangat kebebasan bersuara ataupun menempati prinsip-prinsip journalisme. Dua berita itu ialah, penegasan Exco Selangor Hasan Ali yang mengatakan dia rela dipecat demi kepentingan akidah umat Islam. Berita berkenaan disiarkan di muka hadapan di jadikan headline dengan judul "Saya rela dipecat."

Berita kedua di sebelah dalam mengenai kenyataan Timbalan Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Antara lain berita itu melaporkan Nik Abdul menggesa supaya pemimpin Islam sepakat dalam isu akidah. Berita itu dibawah tajuk "Pemimpin Melayu perlu bersatu dalam isu akidah."

Kalau dibaca kepada tajuk laporan itu tidak menyeleweng ia merupakan pendirian dan sikap yang terpuji dan hasanah. Misalnya Hasan sedia untuk dipecat oleh parti dan juga digugurkan dari jawatan Exco kerana tindakannya itu. Ini bermakna beliau yakin dengan apa yang dilakukan. Laporan itu juga memberi gambaran Hasan adalah hero dalam membela Islam di Selangor.

Saya setuju atas ketegasan dan tanggungjawab Hasan. Sesiapa pun dan pada bila-bila masa tidak boleh bertolak ansur dalam soal agama atau akidah. Bila ada unsur cuba merosakkan keimanan orang Islam ia hendaklah diperangi habis-habisan. Apa lagi kalau orang itu mempunyai kuasa. Dalam konteks ini peranan dan tanggungjawab menjaga kesucian agama lebih penting dari menjaga kuasa politik.

Benar begitu. Kerana Allah dan Nabi menuntut menjaga kesucian dan maruah itu. Tahap penjagaan bukan saja setakat kena pecat dari jawatan hatta walaupun terpaksa menggadai nyawa sekalipun. Kerana mati di dalam agama adalah mati syahid. Kebanyakan para tabin dan sahabat Rasulullah s.a.w. syahid kerana mempertahankan kesucian agama Islam. Dan semua kita merindui syurga akhirat.

Bagaimana pun di sini satu perkara yang Hasan kena fikirkan dan orang lain juga; dalam konteks Hasan itu bukankan dia bersuara itu dari kuasa politik? Maksudnya kedudukkanya itu terhasil dari kuasa politik. Setelah partinya menang kemudian membentuk kerajaan PR Selangor lalu melantik beliau sebagai Exco? Kuasa politiklah yang melantik beliau dan beliau berada di situ adalah kerana politik.

Kita faham perlantikan itu amanah yang perlu dipikul. Satu tanggungjawab yang bukan boleh dimain-mainkan. Tetapi apa yang perlu diawasi ialah beliau harus bijaksana dalam melaksanakan tanggungjawab menerusi kuasa itu. Tanggungjawab Exco dalam membela agama bukan setinggi tanggungjawab Mufti yang dilantik khas oleh Sultan yang mempunyai bidang kuasa mutlak ke atas agama. Perlantikan Hasan adalah perlantikan menerusi instrumen politik.

Di sini kepentingan politik (kuasa) itu tidak kurang peri mustahaknya. Hasan tidak boleh bercakap seperti hari ini dan nilai suaranya tidak sehebat hari ini kalau beliau tidak seorang anggota Exco. Kalau tidak percaya cuba.. Hasan bercakap atas kapasiti dan kediriannya sebagai Hasan atau sebagai seorang fasilitator atau moderator yang handal. Nescaya kenyataanya tidak ada nilai langsung. Dia tidak pun akan diberikan ruang prime di akhbar berkenaan.

Apa yang saya hendak katakan di sini, maslahat mendapat kuasa politik (seperti hari) ini dan maslahat hendak menjaga agama itu sama penting. Jadi apabila Hasan mengatakan dia sanggup digugur atau dipecat adalah satu kenyataan yang merugikan dirinya dan merugikan umat Islam seluruhnya kandati pemecatan demi agama. Dari sudut lain kenyataan itu ada nada angkuh dan sombong.

Untuk menunjukkan keberanian dalam menegakkan kebenaran Hasan tidak perlu menjawab pertanayan soalan wartawan yang dipetik dari satu andaian direka-reka oleh manusia yang rosak akidah politik itu. Wartawan MM itu melontarkan pertanyaan itu setelah mementik andaian dibuat oleh seorang blogger yang juga ahli Parlimen yang kini demam akan kehilangan kerusi.

Sepatutnya Hasan tidak melayani persoalan itu dengan mengeluarkan pengakuan sejujur itu. Beliau boleh berhenti setakat mengatakan sekiranya parti merasakan tindakannya tidak benar dan bertentangan, terserah kepada parti. Tetapi apabila beliau meluahkan pengakuan begitu seolah beliau mencabar partinya dan meletakkan beliau dalam keadaan 100 peratus betul. Sikap merasakan kita betul, hebat dan tepat adalah bukan sifat mazmumah.

Kita memahami perasaan pejuang seperti Hasan. Dia mahu membela Islam dan bangsa. Mungkin luahan itu dilayani kerana kekecewaannya kepada parti yang tidak menyokongnya. Itu tidak menjadi masalah, sebagai pemimpin dan orang mukmin Hasan sudah terlepas dari dosa. Mempertahankan kesucian agama dalam bentuk itu adalah kewajiban umum (fardu kifayah). Hasan harus merasa senang kerana usaha itu telah memerdekakan orang lain dari menanggung dosa. Tindakannya sudah mendapat pahala.

Hasan tidak boleh mengharap segala masalah selesai dalam satu malam saja. Kain tidak akan kering kalau disidai di hari senja. Kuasa politik yang ada kepadanya adalah sedikit saja. Beliau sangat mengharapkan keberanian dan conscience beliau terhadap Islam beliau disokong oleh umat Islam lain. Tetapi apabila ada rakan sendiri yang skeptikal dengan usahanya inilah menyebabkan beliau kecewa dan sanggup untuk diambil tindakan oleh parti.

Semua yang Hasan lakukan itu betul, dari nawaitu kepada syariahnya. Cuma silapnya Hasan di sini menggunakan wadah milik parti lawan untuk meluahkan kekecewa dan membela diri. Sepatut beliau sedar akan realiti itu. Hasan boleh berkawan dengan wartawan atau penerbit, tetapi Hasan tidak boleh menerima atau berkawan dengan akhbar berkenaan yang ada agendanya sendiri. Inilah yang saya nampak satu kesilapan Hasan.

Apa yang hendak saya huraikan dan persoalkan di sini kenapa Hasan dan juga Nik Abduh memberi ruang kepada akhbar berkenaan untuk memberi semangat dan membela kepada mereka. Iya, mungkin kerana akhbar lidah parti tidak bersedia berkerjasama, memberi siaran kepada Hasan. Tetapi Hasan harus pandai menilai mana lebih menguntungkan dirinya dan politiknya dari MM yang menyiarkan kenyataan bersifat adu domba dengan akhabr lidah parti yang tidak menyiarkan kenyataanya, dan terlepas dari adu domba?

Kenyataan atau berita Hasan hari ini sudah tentu akan menjadi perhatian. Saya sangat merasakan tindakan MM memberi ruang begitu besar adalah untuk memerangkap Hasan dan juga Pas. Akhabr itu sudah tahu yang Pas akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa hari ini. Mesyuarat itu tidak akan terlepas membincangkan soal serbuan gereja oleh Jais itu. Jadi apa yang diharap akhbar berkenaan mesyuarat Pas itu akan menghimpit Hasan. Kemuncak harapannya ialah Hasan akan terpelanting dan kalau itu berlaku maka berjayalah akhbar berkenaan mencaing-caingkan Pas agar memudahkan Umno merampas Selangor.

Sama ada sedar atau tidak cara Hasan itu telah membantu musuhnya sendiri. Kalau kebetulan pula ada ahli jawatankuasa yang berkepala panas, mereka akan mengusulkan apa-apa cadangan yang boleh membawa kepada kemusnahan Hasan dalam politik dan juga Pas. Tetapi saya berdoa berkat Ramadhan al Mubarak ini tidak adalah apa-apa yang tidak baik dalam mesyuarat itu kelak.

Saya lihat kemesraan Hasan dengan akhbar Umno itu bukan hari ini saja, tetapi sudah lama. Beberapa isu-isu lain sebelum ini memperlihatkan akan kejinakan Hasan dengan akhbar itu. Hasan senang dan selesa menggunakan wadah berkenaan. Sikap Hasan ini bertentangan dengan partinya yang kurang selesa dengan akhbar itu.

Kemesraan inilah yang memberi liabiliti kepada Hasan. Menyebabkan parti mencurigai beliau. Betapa baik, ikhlas dan molek hasrat Hasan dan kenyataannya dalam akhabr itu, ia tetap akan diprejudis kerana ia disiarkan oleh akhbar itu. Walhal sepatutnya itu hak Hasan, tetapi itulah hukum alam yang patut diketahui oleh Hasan. Selagi beliau berada dalam jelumun politik beliau tidak akan terlepas dari hukum dan peraturan klasik itu. Politik itu penuh dengan persepsi dan sedikit sangat realitinya.

Untuk tidak terus dibaham delima dan rasa serba salah dan berdosa, elok kalau Hasan membuat mahasabah. Istikharah. Kalau sudah tidak betah untuk mengikut lenggang lengguk perlarian politik, bersaralah dengan baik. Undur saja secara sukarela dan carilah wadah yang lebih harmoni dan bukannya meminta parti untuk bertindak ke atas kita.

Tetapi saya percaya, kehandalan dan kehebatan Hasan dalam pancak mempertahankan agama selepas ini tidak sebesar kuasa yang dimilikinya kini. Tidak percaya cubalah buat. Sudah banyak sejarah pejuang-pejuang agama (mujhidin) yang berada atas landasan politik, yang sebelum ini tersebut, tersohor tetapi setelah terkehel dari rahang politik mereka diam membisu menjadi ular air yang kesirnaan bisa.

Sesungguhnya hukum karma dalam buana politik sangat menakutkan. Tepatlah kata bidalan, politik itu membeliti seluruh sendi-sendi kehidupan. Politik itu bagaikan ular sawa yang sentimental menjerut dan mematahkan tulang temulang mangsanya sehingga lemah longlai. Wahalahu'alam. [wm.kl.7:04 am 07/08/11]

17 comments:

anakzaman said...

Tuan MSO.

Kita khuatir Hasan Ali dan beberapa pemimpin pembangkang yang lain akan menjadi mangsa akhbar resmi UMNO ini.

Mungkin selepas ini akan ada pula ruang temuramah khas Hasan Ali menyatakan pendiriannya sebagai hero islam.

Kiranya ini berlaku maka sudah hampirlah Hasan keranjang keluar parti.

firdaus said...

bukan nak memuji tetapi nukilan tuan kali ini memang menarik

benar tiada apa yang nampak benar/realiti dalam politik semuanya bergantung pada tanggapan semata-mata... dengan kata lain.. PAKATAN RAKYAT itu adalah wadah baru perjuangan untuk keseluruhan rakyat Malaysia tanpa mengira AGAMA mahupun BANGSA

kesimpulan mudahnya... perlulah lebih menumpu kepada kertas undi... itu sahaja bukan nak mengajar atau ada maksud lain.. tapi itulah politik

PERSEPSI TELAH MELAHIRKAN KEBENARAN BUKANNYA KEBENARAN ADALAH KEBENARAN !!!

iman dan keikhlasan kita cuma ALLAH YANG MAHA MENGETAHUINYA....dalam kubur masing-masing kita yang menjawabnya... wallahualam

akulah69 said...

Salam,

saya percaya Hassan Ali bercakap sebab ada kenyataan daripada dalam parti sendiri (PAS) yang menghentam beliau secara media, menerusi media terutama Khalid Samad. Terus menyerang Hassan tanpa ada selindung. Saya cadang, Khalid Samad n Hassan Ali x perlu diletakkan dalam saf kepimpinan di Selangaor. Perseteruan mereka merosakkan imej PAS. UMNO bertepuk gembira. Hassan Ali n Khalid Samad mampu mempengaruhi ramai penyokong. Kalau seteru tidak berkesudahan.... pkir pikirkanlah...........

KAPAKTAJAM said...

Tuan MSO dan pemberi komen di atas, kenapa masih mahu memikirkan perkara sampingan dan tidak memfokuskan terhadap kegiatan missionery yang sedang menjadi buah bicara selama ini. Dimanakah tahap keimanan kita tentang perkara ini? Jangan disebabkan kita condong terhadap satu2 parti politik maka tulisan kita menjurus kepada perkara2 tersirat dari kenyataan sebanar.

Sewajarnya kita turut tersentuh dan sama2 memikirkan dan memberikan pandangan positif terhadap penambahbaikan proses bantuan dan sebagainya.

Kepada sesiapa yang berkenaan pula perlualah berlapang dada bila teguran dan usul dikemukakan untuk penambahbaikan ini, kerana yang paling penting kita tidak lupa atas tanggungjawab bersama didalam pengukuhan syiar Islam.

Terima kasih.

Ibnu Ihsan, Terengganu said...

Salam

Saya agak bersetuju dengan AKULAH69. Nampaknya Khalid Samad tidak dapat menyembunyikan sikapnya terhadap Dr. Hassan dari dahulu lagi, yang mana buruk untuk keharmonian parti. Saya percaya kenyataan Dr. Hassan juga bertolak dari kenyataan awal yang dikeluarkan oleh Khalid dan MB Selangor, bagi saya tegas tidak bertempat.

tungkaran hati.blogspot said...

Ramai yang masih mengharapkan perjuangan PAS seperti dahulu, perjuangan yang jelas untuk diperjuangkan...tetapi kini dasar perjuangan PAS telah tersasar jauh....!
Berdirilah PAS dengan bermaruah tanpa PKR dan DAP yang anti-Islam terutamanya, janganlah diperbodohkan oleh mereka...!
kembalilah pada perjuangan asal semoga kita rakyat Malaysia dapat keberkatan daripada perjuangan PAS.
Jika UMNO itu jahil mentadbir negara maka sekarang inilah waktunya PAS membuktikan ianya lebih baik dari UMNO...bukannya sekadar ceramah dan tazkirah semata-mata.
Cuba lihat PAS di Selangor , PPinang dan Kedah adakah dihormati!!!
Kembalilah kepada perjuangan asal....sebuah Negara Islam yang berdaulat bukannya negara kebajikan seperti yang dikehendaki oleh DAP dan sekutunya!

Abd Rahman said...

Salam,
Tuan MSO,
Sepatutnya kita menyokong dan paling tidak berterima kasih kepada YB Dato Hasan Ali. Siapa yg tidak terasa jika belum apa dah minta maaf pada Paderi dan kata2, ini bukan Pandangan dan Tindakan PAS. YB Khalid Samad dah baca ke laporan dari JAIS?. Setiap kali mangsanya ialah YB Hasan Ali.
Apakah salah kita mesra dgn Pemberita dari akhbar yg kita tak setuju beritanya. Banyak sangat andaian. Sebagai Exco biarpun beliau dilantik Parti tetapi tanggung jawap terhadap Islam melebihi dari Parti, tak ambil tindakan pihak lain dan Tuan sendiri akan berkata apa yg Exco Agama buat, bila ambil tindakan ini jadinya. Berilah ruang dan keadilan kpd YB Dato Hasan. YB Khalid Samad jgn berdendam tak kesudahan. Jika perkara ini berlaku atas tindakan pihak pemerintah kita akan minta letak jawatan, apa salahnya jika YB Dato Hasan berkata beliau bersedia dipecat.
Ini kesudahannya kalau semua dilihat untuk kepentingan politik
nafsu nafsi sendiri.

PemudaPC said...

AMAT EBRSETUJU DENGAN AKULAH69....SOKONG PENDIRIAN HASSAN ALI...TEGAS DALAM HAL AKIDAH UMAT ISLAM...BUKAN NAK JAGA KERTAS UNDI SEMATA2.....PIKIR2 KANNNN!!!

firdaus said...

Kita sering menempelak bahawa usaha missionary ini satu ancaman kepada Negara tanpa kadang-kadang kita memikir bahawa Malaysia ini berbilang bangsa

Adakah kita mungkin tidak sedar bahawa kemungkinan usaha ini adalah sengaja dilakukan senantiasanya adalah untuk memprovok sekalian umat Islam

Artikel 11 (4) Perlembagaan Persekutuan, fahaman dan dakyah agama lain tidak dibenarkan sama sekali terhadap orang Islam mungkin dengan sengaja dijadikan sindiran pihak-pihak tertentu yang mungkinnya sekadar nak memberitahu bahawa orang islam ini yang jelasnya orang melayu terlalu emosional dan tidak berpijak dibumi nyata

Keadaan ini amat difahami memandangkan kurangnya bersatu antara kita menyebabkan pihak-pihak lain mulai mengandai sekiranya sebarang bentuk perubahan dilakukan orang melayu akan terpaksa menumpang dan ditumpang malah bergayut untuk satu pembentukan bangsa Malaysia yang sebenar…kununnya…

Kita sememangnya menolak sebarang bentuk usaha missionary ini kerana kita semua bangga dengan agama anutan kita.. tak melampau dikatakan agama ini adalah darah daging kita dan akan sedaya upaya kita lindunginya

Segalanya berserah kepada ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI….

tok senawi said...

Manakan sama perjuangan politik dan Agama! Agama mengatasi segala-galanya. Antara politik dan agama, Agamalah yang perlu diutamakan, antara bangsa dan agama, Agama jugalah yang perlu diutamakan biar dalam apa keadaan sekalipun.
Biar samada dalam kuasa atau tidak perjuangan mendaulatkan syiar agama itu hebatnya mengatasi sempadan sebuah parti politik yang kononnya memperjuangkan Islam.
Akidah dan Agama bukan isu parti, ia adalah isu umat Islam. Jangan terlalu taksub dengan parti dan kuasa sehingga agama tergadai apatah lagi dikompromi demi kepentingan politik.

juan montoya said...

Media lawan TIDAK pernah senang dngan PR, mmg kerja mereka nak mnjahanamkan PR, pelik nya nape bika ade perselisihan...ade YB2 PR yg meletak kan leher mereka tuk disembelih oleh Media2 pro BN...

sblum ni serbuan terhadap golongan Syiah di Malaysia nape tak heboh mcam ni ?

Brahim Nyior said...

Salam MSO,

Saya setuju pandangan Abdul Rahman.

Persoalan kini saya lontarkan kepada pimpinan PAS, di manakah pendirian PAS dalam melindungi agama, seperti mana matlamat asal PAS pada awal penubuhannya di Gunung Semanggol dulu?

Saya kira tindakan JAIS dan Hasan Ali harus dilihat dari sudut mempertahankan survival Islam, bukan kerana political millage.

Akhir sekali, saya rasa tuan MSO agak skeptikal dan tidak adil dalam penilaian terhadap Hasan Ali, berdasarkan ayat-ayat tajam yang dinukilkan di atas.

juan montoya said...

tapi yg pasti, umno dan BN bersyukur dngan isu ini, kerana dapat meredakan isu pendaftaran pemegang kad pengenalan bertaraf penduduk tetap (PR) kepada warganegara

Al-Mukhtar said...

MSO terlalu fanatik terhadap politik sehingga tidak dapat membezakan hak ugama dan politik kepartian...minta maaf MSO...ini pandangan ambo

mohd sayuti omar said...

Al Mukhtar... Saya rasa sdr tak dapat memahmi apa yg saya tulis. Tak mengapa asakkan hakikatnya ada kebenaran.

ezzadi said...

saya setuju yg tuan MSO dah mabuk dengan dunia politik kepartian sehingga hilang pertimbangan antara hal aqidah ummah dgn politik sempit beliau.
kenapa segalanya perlu dilihat dari sudut politik?
Tuan perlu belajar banyak dengan hasan ali dan nik abuh dalm hal ini.

mohd sayuti omar said...

Sekali lagi saya jelaskan khas kepaqda mereka yang tidak memahami maksud dan mesej apa yang saya hendak sampaikan. Saya jelaskan usaha untuk menyelamnatkan akidah umat Islam dilakukan Hasan dan sesiapa bukan saya tidak sokong, tetapi apa yg ditekankan ialah bijaksana dan jangan sampai parti terheret dan dimanipulasikan. Jenis-jenis otat kemetot inilah yang saya memberi ingatan dan menyuruh supaya belajar memahami dan menyelami apa yang termaktub dalam tulisan. Bukan tak boleh komen tetapi biarlah komen itu menampakkan keintekeltualan kita. Kalau saya bengis saya takkan lepaskan komen sebegini.

Kalau orang cerdik dia akan memahami apa yang saya tulis dan kritik tindakan Hasan dan Nik Abduh itu. Saya suruh elakkan dari jadi mangsa kepada media yang tak adil dan ada agenda. Bila berdepan dengan media tak adil, mereka akan pusing dan spain apa yg kita cakap. Mungkin kita cakap betul tapi ia akan dipusingh. Bila dipusing ia akan menjadi masalah kepada parti, jadi celaru. Ituah yg media itu mahukan.