Saturday, August 6, 2011

Sesudah Subuh

Calon: Pas Perlu Pakai Formula 40:30:30

[kemaskini] UMNO Kelantan khabarnya telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13. Umno negeri itu telah pun meminta kesemua 14 Umno bahagian menghantar nama-nama calon untuk dipertimbangkan. Senarai calon sudah pun ada dalam tangan Mustapa Mohamed.

Hakikat ini diakui Mustapa sendiri. Menurutnya dia sedang memikirkan dan sukar juga untuk memutuskan siapa yang paling layak. Untuk setiap kerusi baik Dun atau Parlimen ada sekurang-kurang dua calon yang dikirimkan oleh bahagian. Jelas, Umno sudah pun bersiap sedia.

Bagaimana pula dengan Pas? Baru-baru ini Pas telah mengadakan itjimak (himpunan) di Genting, Tumpat Kelantan. Itjimak itu adalah gerakan semangat untuk menghadapi pilihan raya ke-13. Khabarnya itjimak itu mendapat sambutan hangat, lebih 10,000 hadir. Semua pemimpin Pas tidak memecilkan diri. Pas sendiri mempercayai bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun ini. Persoalan kini sejauh manakah Pas Kelantan sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

Apakah Pas Kelantan sudah mengenal pasti calon-calon mengikut kedudukan kerusi Dun dan Parlimen? Atau Pas kini dalam proses membuat penilikan terakhir untuk menentukan calon-calon mereka? Atau sebahagiannya sudah dikenal pasti cuma ia menjadi pengetahuan pemimpin-pemimpin tertentu saja?

Pihak Pas Kelantan tentu ada formula tersendiri untuk membuat pemilihan calon kali ini. Sudah tentu Pas ada kayu pengukurnya sendiri untuk meletakkan calon atau pun untuk merihatkan mana-mana wakil rakyat yang dirasakan perlu diistirehatkan kerana berbagai masalah. Tidak dinafikan daripada 38 orang wakil rakyat Dun dan sembilan Parlimen ada yang cemerlang dan ada yang hanya setakat memanaskan kerusi saja.

Dari itu juga ada yang tidak dapat berkhidmat dengan baik kerana dirundung malang, sakit dan mengalami berbagai masalah termasuk isu-isu rumah tangga yang boleh menjadikan liabiliti kepada wakil rakyat berkenaan dan juga parti. Mungkin Pas Kelantan sudah mengenal pasti segala masalah ini dan tahu akan natijahnya jika mereka terus dipilih untuk menjadi calon.

Sebenarnya mereka yang demikian - bermasalah, tidak perlu menanti namanya dipangkah. Kalau mereka sendiri ikhlas mereka secara sukarela perlu berundur. Harus difahami sukar bagi Pas untuk membuang mereka kerana setengahnya ada yang menjawat jawatan Yang di Pertua Pas Kawasan ataupun mempunyai hubungan peribadi yang baik dengan pemimpin tertinggi Pas.

Apa yang hendak dikongsikan di sini sedikit pandangan mengenai kritria atau pun latar belakang calon yang akan dipilih atau diputuskan. Tidak dinafikan Pas mempunyai ramai calon berkelayakan. Ramai juga mereka yang sedang membersih janggut ataupun mempelajari sebutan terma dipakai oleh Pas. Sementara calon-calon yang sebelum ini 'monyok' dan selalu sakit kini sudah ceria dan menjadi sihat dengan tiba-tiba. Selalu menunjukkan kegagahan di khalayak. Semangat dan api plihan raya rupa-rupanya menjadi penawar mujarab buat mereka.

Seorang wakil rakyat yang sebelum ini agak liat untuk menegur dan mengenali orang tiba-tiba jadi aktif dan cerah bersinar biji mata. Semasa himpunan anak Kelantan di perantauan di Kelana Jaya baru-baru ini tatkala berjumpa dengan wakil rakyat ini, bukan main lagi rancak bualnya. Macam-macam idea yang ditumpahkan. Kita faham semua itu. Selalunya bila hampir pilihan raya semua wakil rayat jadi kenal orang, mengaku waris dan banyak bercakap.

Dalam keadaan Pas dilihat akan dapat mengekalkan pemerintahan di Kelantan - mengikut perkembangan semasa, maka makin ramai yang menawarkan diri untuk menjadi calon. Perebutan kecil juga belaku dan lobi melobi secara diam juga terjadi. Tok Guru pula semakin kerap dijejaki, ke mana Tok Guru solat akan adalah bakal-bakal calon pilihan raya mengikutinya.

Keadaan berlainan dengan suasana tahun 1980-an dulu di mana ada setengahnya dipaksa untuk bertanding kerana situasi waktu itu tidak begitu menyakinkan. Hari ini berlainan. Sebenarnya bagus kalau situasi tahun 80-an itu menjadi amalan dan ikutan ahli Pas. Berjuang dalam Pas atau dalam mana-mana harakah sepatutnya tidak semestinya perlu jadi wakil rakyat. Wakil rakyat hanya kebetulan saja. Itu ikhlas namanya.

Bukan saja mereka yang lahir di Kelantan tetapi yang beranak dan luruh tali pusat jauh di negeri lain juga ingin sama bertanding. Orang luar menjadikan Kelantan sebagai kawasan selamat atau negeri yang akan menobatkan mereka menjadi wakil rakyat.

Apakah kali ini orang Kelantan masih terus menerima orang luar? Sebelum ini terdengar ada juga desakan supaya orang luar tidak lagi diberikan 'suaka' politik di Kelantan. Katanya, konsensus tidak rasmi menyebut mana-mana calon yang sudah dua penggal berkhidmat di Kelantan perlu dirihatkan. Atau pun kalau Kelantan ingin bermurah hati eloklah diambil untuk satu atau dua kerusi saja.

Saya ada sedikit cadangan berhubung pemilihan calon kali ini. Tok Guru Nik Aziz sewajarnya tidak menekan kepada calon yang boleh menang saja atau mereka yang berlatar belakang agama atau mirip ustaz dan ulama. Ciri-ciri lain hendaklah dipentingkan sama. Satu perkara yang perlu diingati Pas sudah memerintah Kelantan selama 21 tahun.

Justeru calon atau kerajaan yang akan dibentuk di masa depan ialah yang dinamik atau boleh mengangkat martabat Kelantan ke tahap lebih tinggi dan mampan lagi. Ertinya calon bukan saja boleh menang untuk meneruskan kepimpin ulama yang idealis tetapi dapat mengisi kemenangan 20 tahun itu dengan perlaksanaan program dan projek yang realistik.

Makanya kepada saya ada tiga kategori calon yang perlu diutamakan untuk tujuan itu. Pertama, calon yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pentadbiran, pengurusan dan iktisas. Mereka yang tahu tentang politik, ekonomi, budaya, perhubungan luar negara. Juga mereka yang bijak dan kreatif dalam membawa apa-apa perubahan dan membawa idea baru. Calon ini hendaklah mewakili 40 peratus dari jumlah calon-calon Pas.

Kedua, kategori yang berlatarkan pendidikan Islam, yang tahu mengenai hukum hakam Islam dan prinsip Islam. Tahu mentafsir al-Quran dan al-Hadith. Yang masak dengan budaya Islam. Yang zuhud dan tawadduk. Calon ini hendaklah mewakili 30 peratus dari keseluruh calon. Kategori inilah yang akan jadi pancang atau teras kepada perjuangan atau kepimpinan ulama. Mereka yang akan memastikan Pas berada dilandasan asal perjuangannya dan tidak mudah diresapi dengan elemen luaran.

Kategori ketiga ialah calon yang mesra rakyat atau pun mengambil peduli kepada rakyat tidak kira di mana mereka berada. Mereka akan bertindak menjadi duta Pas di mana saja tanpa mengira kawasan. Dalam erti kata lain mereka dikenali oleh seluruh rakyat. Menjadi wakil rakyat kepada seluruh Kelantan. Untuk calon jenis ini mereka tidak memerlukan kepakaran, kelulusan peringkat Phd atau tidak semestinya seorang ustaz. Kategori ini perlu mewakili 30 peratus calon Pas.

Dalam pada itu Pas Kelantan atau Tok Guru Nik Aziz juga perlu memberi peluang lebih banyak kepada calon-calon muda yang berbakat atau pun tergolong dalam kategori berkenaan. Calon-calon yang sudah berusia lebih 55 tahun tidak perlu diperbanyakan. Adun yang sudah tiga penggal berkhidmat mungkin tidak diperlukan lagi melainkan mereka ada keistimewaan dan dapat membantu kemenangan. Kesempatan yang seluasnya harus diberikan kepada orang muda kerana ditangan merekalah negeri atau negara ini akan diserahkan.

Satu hakikat yang kena sedar dan insaf Pas sudah memerintah Kelantan selama 21 tahun. Hampir suku abad. Satu tempoh yang agak lama. Kerajaan Pas Kelantan sudah matang sebenarnya. Jadi sebagai sebuah kerajaan yang matang, Pas tidak lagi perlu menerangkan dasar dan matlamat parti. Kerja menerangkan dasar dan matlamat perjuangan Pas sepatutnya sudah berlalu. Era kini ialah era mengisi kemenangan dengan matlamat yang syumul. Jadi tumpuan yang perlu diberikan ialah pembangunan fizikal yang berlandaskan prinsip-prinsip perjuangan Pas.

Rakyat hari ini perlu disogokan (dibuktikan) kesan kepimpinan ulama itu bukannya setakat membaca ataupun menyebutnya saja. Salah satu aspek yang penting diberi perhatian kepada Pas dalam pilihan raya akan datang ialah menjadikan pembangunan fizikal melibatkan seluruh jajahan hingga ke luar bandar. Pembangunan iktisas biarlah menyeluruh dan jangan tertumpu di Kota Bharu saja.

Misalnya Pas boleh menjadikan kebersihan di seluruh jajahan di Kelantan sebagai agenda utamanya. Dalam pilihan raya akan datang molek kalau pembangunan atau soal kebersihan di PBT dijadikan fokus dan manifestasi jihad parti. Sudah sampai masanya bukan saja Kota Bharu perlu diorentasinya dengan budaya dan tradisi Islam tetapi jajahan dan daerah lain juga.

Untuk melaksanakan inilah rasionalnya calon profesional atau mempunyai pengalaman dalam aspek pengurusan dan pembangunan perlu diperbanyakan iaitu mewakili 40 peratus dari keseluruhan calon Pas. Sesungguhnya pilihan raya ke-13 adalah pilihan raya kritikal buat Pas Kelantan dalam usaha menyakinkan rakyat khasnya 30 peratus pengundi atas pagar memberi sokongan kepada parti berkenaan. [wm.kl.7:00 am 06/08/11]

3 comments:

Jashamsulnizam said...

Segelintir pemimpin2 tertinggi Pas dilihat bagaikn 'lebih sudu dari kuah' dlm memberi komen berkenaan isu ini, kenyataan mrk seolah2 'melebih2' spt mempolitikan isu yg serius ini, tak trfikirkah mrk kesan drp apa yg mrk ulas ttg isu membabitkn 2 agama ini, apapon pandangan sy biarlah pihak Jais serta pihak gereja menjelaskn apa yg brlaku sebenar serta mencari jalan penyelesaian krn isu murtad dikalangan org2 melayu-Islam ini bkn baru, sy yg jg sbg ahli Pas jgk tak mahu terikut2 dgn gelagat pemimpin2 yg suke trbawa2 dgn isu ini.

akulah69 said...

salam,

Ajal maut di tangan Allah swt. Harapannya ialah, calon PAS di mana-mana sahaja hendaklah disahkan sihat walafiat dan tiada sakit kronik. Kalau dah tahu seperti slalu dapat rawatan luar negara, kerap berkunjung ke hospital kerana diabetis hingga nak potong kaki, wajarlah menawarkan diri tidak bertanding (bg ADUN n AP sedia ada). Tak kira lah sama ada YDP Bahagian ker, Cawangan. Tak mau la dengar, bila dh jadi calon, sebulan lepas tu masuk spital smpi x smpt urus kawasan.

akulah69 said...

Sokong Jashamsulnizam, isu JAIS menampakkan dendam peribadi antara Khalid Samad n Hassan Ali. Baca kenyataan Khalid Samad... mmg hentam Hassan Ali. Klu nak gaduh pun jgn dalam media, dlm miting parti jer la. Ini menampakkan budaya UMNO pun wujud dalam PAS. Jika ini berterusan, penyokong atas pagar akan lari.....