Friday, August 5, 2011

Tazkirah Jumaat

Jalinan Kerjasama Antara Penganut Agama
Perlu Bijaksana

PENYERBUAN (masuk secara mengejut) pihak penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap majlis makan malam di Gereja Methodist Damansara Utama dua hari lepas sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. Apa lagi kalau aktiviti yang berlaku ketika itu hanya majlis makan malam sosial untuk mengutip dana bagi membantu mereka yang susah.

Penyerbuan itu telah menjadi percakapan umum kini dan menimbulkan kekeliruan sejauh mana wajar atau tidak penyerbuan itu. Ini kerana hakikat sebenar di sebalik majlis itu tidak jelas apakah ianya sekadar majlis sosial atau bermotif tertentu. Justeru ada pihak yang beranggapan kejadian itu tidak menghormati hak asasi orang lain.

Di pihak gereja berkenaan seperti mana dijelas Pastor Daniel Ho majlis itu adalah majlis makan malam yang berkonsepkan 1 Malaysia. Ia dianjurkan oleh sebuah persatuan muhibah. Dalam penjelasannya tidak menampakkan ada unsur-unsur negatif di sebalik majlis berkenaan. Jauh sekali seperti mana tuduhan atau tanggapan di pihak Jais kononnya majlis itu ada motif negatif, untuk memurtadkan orang Islam.

Kalau benarlah ia setakat majlis makan malam, adalah kewajarannya kalau serbuan itu dipertikaikan. Tetapi apakah benar begitu? Penjelasan dan laporan penuh di sebalik kejadian itu hendaklah ditunggu. Jangan mana-mana pihak mengambil mudah membuat dakwaan dan pertuduhan yang boleh mengerohkan keharmonian hidup di negara ini. Jangan mudah menerima penjelasan pihak gereja itu yang majlis itu setakat makan malam saja tanpa niat dan nawaitu lain.

Logiknya Jais tentu ada alasan tersendiri kenapa mereka membuat penyerbuan itu. Tidak mungkin penyerbuan itu dibuat tanpa sebab. Sebagai badan penguatkuasa agama, yang bertindak menjadi pemantau untuk memastikan perkara mungkar tidak berlaku menjadi tanggungjawab institusi itu untuk membenteraskan apa saja kemungkaran. Cuma dalam hal ini Jais perlu bertindak profesional sejajar dengan ajaran Islam sendiri bagi mengelakkan ia ekstrem.

Seperti mana dijelaskan oleh Exco Kerajaan Selangor yang menjaga hal ehwal agama Islam, Dr Hasan Ali (foto) serbuan itu dibuat setelah adanya maklumat mengatakan di majlis makan makan itu ada kegiatan cuba hendak mengkrsitiankan orang Melayu. Antara bukti yang disebut beliau semasa ucapan di majlis itu ada menyebut al-Quran dan pray (doa).

Bukti-bukti lain sama ada risalah atau apa-apa dokumen yang boleh mensabitkan tuduhan itu tidak ditemui. Kegagalan menemui bukti lain menyebabkan dakwaan itu longgar.

Bagaimana pun apa yang mungkin menimbulkan keraguan di majlis itu terdapat kira-kira 12 orang Melayu. Kehadiran mereka itu yang dikatakan untuk berbuka puasa menimbulkan tanda tanya dan keraguan. Mungkin kalau tidak ada 12 orang Melayu itu Jais tidak akan membuat serbuan.

Harus difahami oleh semua orang termasuk media. Tindakan Jais itu dilakukan berdasarkan maklumat. Bila disebut maklumat sudah tentu Jais sendiri tidak dapat menentukan apakah berlaku usaha mengkristiankan Melayu dalam majlis itu. Serbuan itu merupakan langkah untuk menyiasat dakwaan berkenaan. Tiada apa-apa tangkapan yang dibuat.

Kejadian itu sudah mulai diperkatakan. Berbagai tanggapan juga sudah mulai wujud. Ada orang Islam sendiri nampak seakan kesal dengan tindakan Jais itu dengan berhujah tidak murtad seseorang Islam itu kalau dia hanya memasuk gereja. Kenapa harus membuat kenyataan itu yang seolah-olah cuba meremehkan tindakan Jais?

Memang benar seseorang Islam itu tidak akan jatuh murtad sekadar dia memasuki ke dalam gereja. Tuhan tidak pernah menegaskan demikian dan Muhammad s.a.w. tidak melarangnya. Bahkan rumah sembahyang bukan Islam boleh dijadikan tempat berlindung jika berlaku darurat. Demikian juga dengan surau dan masjid. Tidak menjadi masalah kalau mereka masuk ke dalam masjid hatta duduk di atas mimbar sekali pun.

Bagaimana pun perkara yang kena difahami, untuk masuk ke gereja bagi orang Islam ada peraturan dan adat-adatnya. Begitu juga dengan mereka bukan Islam untuk memasuki ke surau atau masjid ada adat-adatnya. Kemuliaan dan kesucian rumah ibadat itu perlu dijaga jangan sampai ia menjadi fitnah dan menyinggung penganutnya.

Dalam kasus gereja Methodist di Damansara Utama itu ia boleh dielakkan kalau semua pihak memahami adat-adat dan peraturan tersebut. Tetapi kerana ada sedikit kelalaian di sini menyebabkan berlaku apa yang tidak sepatutnya itu.

Misalnya kejadian itu boleh dielakkan kalau pihak gereja memahami akan pantang larang orang Melayu di dalam beragama. Maksunya adat dan peraturan yang terpakai dalam masyarakat negara ini, orang Melayu dilihat canggung kalau mereka memasuk atau berada dalam gereja kerana perbuatan itu asing. Apa lagi kalau pada ia masuk itu sedang berlangsung majlis makan malam atau berbuka puasa baginya.

Bagi orang Islam untuk berbuka puasa lebih afdal di masjid. Kalau pihak gereja mengerti akan hal ini pengajur tidak akan mengundang orang Melayu 12 orang atau lebih itu kandati atas niat yang baik dan tidak ada pun unsur-unsur kristianisasikan sekalipun.

Begitu juga dengan orang Melayu yang berada dalam gereja pada waktu itu tidak wajar mereka berada di situ. Mereka sepatutnya tahu adat dan peraturan agama. Sekali lagi saya katakan dalam konteks sensitiviti masyarakat (sosial) negara ini. Mungkin mereka jahil dalam hal ini atau menganggap tidak mengapa kerana nawaitu mereka baik. Tetapi mereka perlu menyemak dulu perbuatan mereka itu apakah sempurna atau pun bakal menimbulkan masalah.

Begitu juga dengan Jais. Memang tugas Jais untuk menjaga kesucian Islam. Tetapi dengan membuat pemeriksaan ala-ala serbuan itu ia tidak berapa elok. Apa salah kalau Jais setelah mendapat laporan menghantar sekadar dua atau tiga orang pegawai untuk menyiasat dan memastikan apa yang berlaku.

Pegawai Jais boleh kenal pasti sesiapa yang berada di dalam majlis berkenaan kerana jumlahnya sekitar 150 hingga 200 orang saja. Selepas dipastikan memanggilnya kemudian. Lebih lunak lagi kalau pegawai Jais memanggil pihak penganjur dan mendapatkan maklumat terperinci kemudian 'atukkan' - disemak dengan maklumat yang diperolehi. Sekiranya apa yang didapati itu benar, lebih bijaksana kalau Jais mengeluarkan peringatan ataupun amaran.

Rasanya kalau semua pihak, gereja, orang Islam 12 orang dan Jais bijaksana dalam menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing kekalutan tidak timbul berhubung perkara itu. Tetapi kerana ada sedikit kelemahan dan kurang kebijaksana di sini maka kejadian tersebut sudah menjadi isu. Lebih parah dan kronik lagi bila ia ditarik ataupun diambil oleh orang politik untuk dijadikan modal dunia politik mereka. [wm.kl 2:20 pm 05/08/11]

12 comments:

Ku ingat Taqwa said...

salam. nampak macam jais nak sabotaj kerajaan PR jer. dah 2 kali kejadian yang tak sepatutnya berlaku. sekali dulu tentang penahanan dr asri kerana tidak mempunyai tauliah dan sekarang serbuan ke gereja.

Unknown said...

Kali ini saya agak bersetuju dengan tuan. Apalah harga 'ISLAM' sebagai agama rasmi Malaysia jika pihak berkuasa Islam sentiasa menjadi kritikan jika menjalankan tanggungjawabnya.
Apa yang lebih dikesalkan ialah, sang penganjur yang tidak langsung memikirkan sensitiviti umat Islam. Di mana kewajaran mereka mengajak Islam berbuka di Gereja? Ini satu bentuk provokasi terhadap Islam.
Jika mereka menganjurkan makan-makan sempenan Natal, mungkin kita boleh terima jika ada Islam hadir sebagai menghormati jemputan. Tetapi ini bulan Ramadhan. Bulan berkat umat Islam. Jika bukan kerana dakwah Kristianisasi,saya yakin dan percaya tiada satu pun umat Islam yang akan menerima pelawaan BERBUKA PUASA DI GEREJA.Wallahualam.

PemudaPC said...

dah lama islam tercabar dgn dakwah kristian,kenapa penguatkuasaan agama selalu di kritik oleh sesama islam...peribadi atau politik...harus positif....sebanrang kemungkinan boleh jadi.....saya puji sikap DDHA..BERTEGAS dalam bab agama..!!

Nor Azman bin Sukerman said...

Assalamu alaikum tuan. Saya hairan kenapa JAIS sering dikaitkandengan isu-isu seperti ini. Kenapa tindakan JAIS sering jadi pertikaian. Seingat saya tak kurang empat peristiwa di mana JAIS menjadi mangsa keadaan.

1. peristiwa penangkapan orang Islam dalam pertandingan ratu cantik.

2. Peristiwa minum arak di pusat hiburan di Damansara. (kedua-dua peristiwa ini di tahun-tahun 90an).

3. Penahanan Dr. Asri.

4. Yang sedang hangat sekarang iaitu operasi serbuan di gereja.

Bila berlaku peristiwa seperti ini maka hak asasi sering menjadi justifikasi. Sebenarnya itu sahaja hujah mereka untuk membenarkan tindakan golongan itu kerana hujah agama, adat budaya dan undang-undang memang sama sekali tidak menyebelahi mereka.

Jika bercakap soal hak asasi maka adalah tidak salah jika orang hendak berzina jika mereka suka sama suka walau pun berzina dengan isteri atau suami orang malah dengan anak atau ibu sendiri. Jika hak asasi mengambil tempat dalam hampir keseluruhan hidup kita maka tak perlu ada undang-undang dan penguatkuasaan kerana sebarang halangan akan dianggap sebagai melanggar hak asasi.

JAIS hanya bertindak berdasarkan maklumat. ia sama seperti bagaimana JAIS dapat maklumat ada pasangan yang masuk ke bilik hotel dalam keadaan yang mencurigakan. Oleh yang demikian tindakan perlu diambil dan apabila pintu diketuk maka pasangan berkenaan perlu membuka pintu dan tunjukkan dokumen yang sepatutnya bagi menjustifikasikan kewajaran mereka duduk dalam bilik hotel berddua. Jika dokumen itu memuaskan selesailah dan jika tidak lakukan tindakan seterusnya. Sama juga dengan yang berlaku di gereja tersebut. Ada orang Islam berbuka puasa di gereja.

JAIS bertindak bdikatakan melanggar hak asasi. Mengundang orang Islam berbuka puasa dalam gereja bukankah mencabuli hak eksklusif orang Islam.

Ingat, di samping kita menghormati hak asasi, kita juga perlu menghormati hak eksklusif individu, kumpulan, kaum, adat, agama dan budaya.. Apabila ada pihak yang mencabulnya maka akan ada pihak lain akan membalas.

ANAFAKIR said...

Mslhnya 12 org Islam yang pergi ke jamuan tu buat mende?.Takkan tak cair lagi dgn agama sendiri?.Entahlah makin maju dan moden makin nipis pengetahuan Islam dalam kalangan org Melayu...sdgkan buku2,majalah2 tentang Islam bersepah kalau tak nak pi dgr tazkirah atau majlis2 kuliah ustaz pun..entah la.Dalam gereja bukan tempat yang sesuai utk org2 Islam menjamu selera.Penolakan boleh dibuat dengan sopan dan beralas pun kecuali jiwa kita tidak lagi bersama Islam..itu tak tau la.

Jamaludin said...

Nak membantu org miskin pun takkan menjadi alasan berbuka puasa dlm masjid. Pihak gereja sepatutnya menghormati agama rasmi negara kita. Diharapkan Ku Ingat Takwa jangan campurkan urusan politik dlm urusan agama dgn menyatakan sabotaj. Beginilah caranya kaedah Yahudi jalankan utk mempengaruhi org lain. Orang2 macam Ku Ingat Takwalah biasanya tidak sedar disebabkan sedikit kuasa utk dipertahankan. Mana slogan PAS nak pertahankan agama sampaikan Nik Aziz tidak bangga dilahirkan sebagai Melayu. Tunjukan sekarang sebab bukan pasal bangsa tetapi pasal agama. YB Hassan Ali telah buktikan...

MKA said...

Salam, Tuan,

Beginilah keadannya diMalaysia, setiap kali ada isu berkaitan agama semua pihak akan menunding jari antara mereka.Tidak kira JAIS, JAKIM, Mufti dan ahli2 politik.
Saya bertugas sebagai penurus sumber manusia di Batu Pahat. Dimana sya menguruskan pekerja asing yang berbilang agama. Untuk pengetahuan tuan, setiap hujung minggu Gereja dan Kuil Buddha akan meghantar wakil mereka menjemput pekerja asing yang beragama kristian dan buddha untuk dibawa keGereja dan kuil bagi menjalankan aktiviti agama mereka. Pada hari perayaan mereka, pekerja akan dibawa dengan bas untuk tujuan ziarah dan sembahyang di gereja dan kuil.Mereka berdakwah tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik
Pesoalannya disini;
1.Adakah Jabatan Agama Islam menjalankan aktiviti dakwah terhadap pekerja asing yang beragama Islam dan yang bukan Islam.
2. Adakah Jabatan Agama Islam mempunyai kakitangan yang cukup dan peruntukan untuk berdakwah.
3.Adakah Ibu Bapa, Imam, Ustaz, Kadi, Mufti dan Agong telah menjalankan tugas dakwah.
4. Adkah dakwah itu cukup dengan Tazkirah, kuliah agama sahaja.
5.Adakah Ibu Bapa, Imam, Ustaz, Kadi, Mufti dan Yang diPertuan Agong sebagai Ketua Agama tahu mengapa ramai orang Islam yang murtad?
Kesimpulannya kita tidak perlu menyalahkan antara satu dengan lain.
Disini saya ingin bertanya kepada diri saya sendiri, kepada Tuan2 Imam, Ustaz, Kadi, Mufti, Pemimpin2 dan Yang diPertuan Agong Sebagai Ketua Agama Islam di Malaysia adakh kita telah menjalankan dakwah untuk mengembangkan dan mendaulatkan agama Islam dibumi Malaysia yang tercinta ini.
sekain wassalam.

razali said...

setuju dengan komen Nim Yorza

firdaus said...

adakah disebabkan keterbukaan politik pakatan menyebabkan berlaku unsur-unsur sedemikian

memang benar bukannya menjadi satu kesalahan untuk mana-mana penganut agama lain mengadakan majlis makan dengan mengajak umat islam untuk memenuhi jemputan cuma dilakukan pada bulan puasa sebenanrnya amatlah tidak kena, 12 umat Islam yang memenuhi jemputan itu juga cuma memenuhi jemputan kerana menghormati jemputan yang datang kepada mereka, sudah pasti 12 orang melayu itu ada alasan mereka sendiri

akan tetapi kita semua tidaklah boleh juga memarahi dan terlalu skeptikal akan tindakan pihak Gereja Methodist Damansara Utama, mungkin bukan niat mereka itu untuk mencemari bulan mulia ini, sudah tentu mereka ada alasan sendiri, mereka juga adalah pasti dari kumpulan penganut ajaran yang baik-baik mereka tiada niat lain cumanya mungkin sedikit kelalaian sahaja tetapi mereka tidak boleh disalahkan sepenuhnya

cuma laporan kononnya terdapat usaha kristianisasi sahaja yang akhirnya tidak benar berlaku hari itu

setuju dengan pendapat tuan mso bahawa penyerbuan yang dilakukan oleh JAIS sebenanrya tidak nampak elok.. selok-eloknya sekadar hantar pasukan untuk kumpulkan risikan adalah lebih baik sebelum melancarkan 'perang'

Salleh - Putrajaya said...

Kristianisasi terhadap umat Melayu oleh pihak gereja sememangnya berlaku, saya khuatir ada parti politik yang membiarkan perkara ini semata-mata kerana sangat "bernafsu" dengan UNDI... Saya berpendapat EXCO Agama bertidak dengan tepat, cuma risau jika selepas ini pihak yang lebih tinggi menegur beliau kerana nak menjaga nafsu UNDI ini...
Wallahuaa'lam

kueh bakar said...

salam.

1.minta penulis 'bising' akan kotornya bandar baru bangi-bandar ilmu.menjaga kebersihan adalah perkara paling asas sesebuah kerajaan..

sampah berkurun tidak dikutip di tepi2 jalan.lalang tidak ditebas.rumput tidak dipotong.sangat sakit mata.

letak gambar bagi adun yang tidor itu bangun.


2.gelombang merah
pas kelantan kena buat 'kubu merah'. merah vs merah. apa ada hal.merah mungkin warna umno tapi merah juga milik semua rakyat kelantan.

umno cuba mengambil kesempatan di atas bola.tapi bola itu milik semua.jadikan merah vs merah..

-yg lama tak pergi bangi dan kelantan-

PemudaPC said...

sokong SALLEH PUTRAJAYA.....!!! KRN NK JAGA POLITIK AGAMA TERCALAR.....GUNAKAN KUASA POLITIK UNTUK AGAMA..!!!!