Sekitar Majlis Mahabbah Anak Kedah Perantauan
Aishah Ganti Azizan Razak?
Malam tadi saya hadir majlis Mahabbah Anak-Anak Kedah di Perantauan bertempat di Dewan Mohd Fadzil Noor kompleks KUIZM di Taman Melawar Gombak. Di backdrop tertera yang akan menjadi tetamu ialah MB Kedah Azizan Razak, Mahfuz Omar, Saifuddin Nasution Ismail dan Dr Mariah Mahmud.
Ingat boleh berjumpa dengan Azizan Razak untuk bertanya mengenai serangan anak muda ke atas beliau berhubung kenyataannya mempertahankan tindakan KUIN yang mengenakan tindakan AUKU untuk menggantung lima orang mahasiswanya yang tunjuk perasaan.
Tetapi mendukacitakan sedikit kerana Azizan tidak hadir. Seorang orang kuat Pas Kedah memberi tahu Azizan ke Terengganu berjumpa dengan presiden Abdul Hadi Awang. Katanya ada hal penting. Tetapi saya sudah boleh mengagak pemergian Azizan itu adalah untuk menyerahkan senarai calon Pas Kedah dan pembahagian kerusi dengan PKR dan DAP.
Nampaknya negeri Kedah menjadi negeri terawal telah finalize calon-calonnya untuk diletakkan bertanding dalam pilihan raya akan datang. Perkembangan ini menunjukkan Pas Kedah tidak ada sebarang masalah dan perebutan calon. Situasi ini memberi peluang cerah Pas dan PKR untuk mempertahankan kerajaan Kedah dalam pilihan raya akan datang.
Bukan saja Azizan, Saifuddin yang baru menerima gelaran Datuk yang dijangka hadir juga tidak hadir. Saifuddin ketika ini katanya berada di
Turki bersama Anwar Ibrahim, Mohamed Azmin Ali dan lain-lain. Saifuddin bersama rombongan Anwar akan pulang 11 Februari nanti. Sebelum itu mereka akan ke Makkah untuk mengerjakan umrah.
Pemergian Anwar ke Turki juga saya kira ada kena mengena dengan suasana hampirnya pilihan raya umum. Pasti pemergian itu akan dituduh UBN sebagai mencari sokongan termasuk belanja pilihan raya?
Allah itu maha adil. Walaupun dua tetamu yang ditunggu itu tidak hadir tetapi Dia telah mengganti dengan seorang tetamu istimewa yang tidak saya sangka sama sekali. Tetamu yang dimaksudkan itu ialah kehadiran penyanyi bersuara nyaring manja, Wan Aishah Wan Ariffin. Kehadiran artis ini seakan menjadi galang ganti kepada ketiadaan Saifuddin dan Azizan Razak.
Sudah lama saya tidak nampak kemunculan penyanyi yang terkenal dengan beberapa buah lagu termasuk, Camar Yang Pulang, Syurga Di bawah Telapak Kaki Ibu dan lain-lain ini. Dia datang bersama seorang anaknya. Saya mendapat tahu Aishah menjadi tetamu majlis makan malam itu.
Kedatangan Aishah itu sudah tentu menyemarakkan lagi majlis mahabbah itu. Ia dikatakan istimewa kerana Aishah duduk bersama di atas pentas pemimpin Pas yang lain. Aishah juga dijemput untuk memberi sepatah dua kata.
Saya tidak dapat mengagak apakah Aishah sudah berubah dan mendekati diri dengan Pas? Tidak pula kedengaran sebelum ini gosip-gosip itu. Tetapi yang nyata ia seakan berkebetulan buat saya. Beberapa malam sebelum ini saya telah mengikuti satu ceramah ringkas Catriona Ross menerusi you tube. Isi ceramah benar-benar mengejutkan saya. Bintang selebriti ini nampaknya cenderong kepada gerakan Islam.
Apakah Aishah juga begitu? Semasa memberi ucapan ringkas saya dapat menyelami yang Aishah juga seolah terpanggil untuk bersama Pas merubah kerajaan. Apa yang terdengar dalam ucapannya beliau memesan agar memilih pemimpin yang boleh memimpin rakyat ke arah kebaikan.
"Pilihlah pemimpin yang baik akhlaknya, yang isterinya juga baik..." begitulah kata Aishah. Minda politik saya terus membaca kata-kata Aishah itu tertuju kepada isteri perdana menteri Rosmah Mansor.
Selepas selesai majlis saya bertanya kepada Mahfuz Omar mengenai kedatangan Aishah. Kata Mahfuz memang penyanyi itu rapat dengan Pas Kedah. Sebelum ini Aishah pernah sama-sama menjaya satu program pendidikan untuk anak-anak muda bersama dewan pemuda.
Majlis Mahabbah semalam adalah anjuran Pas Kawasan Pokok Sena. Lebih 300 yang hadir kebanyakannya pemimpin dan bekas pimpinan Pas Pokok Sena. Ia termasuk Cikgu Mahmud iaini ayah kepada Dr Mariah Mahmud dan juga Abdul Halim Arshad bekas Setiausaha Agung Pas. Turut sama hadir Apandi Mohamad sebagai menemani isterinya Solehah Mahmud yang juga asal Kedah dan adik kepada Dr Mariah.
Sementara itu ucapan Dr Mariah malam tadi cukup bermakna buat saya kerana dapat mengenali serba ringkas kehidupan dan latar belakang keluarganya. Rupa-rupa Dr Mariah dilahirkan oleh sepasang pejuang Pas yang ulet dari Kedah. Ibunya bekas Naib Muslimat manakala ayahnya adalah bekas bendahari.
InsyaAllah saya akan membuat catatan khas mengenai detik-detik yang membawa Dr Mariah ke gelanggang politik. Paling menarik ialah kisah tentang Dr Mariah yang menjadi satu-satunya pelajar Kolej Kursiah yang memakai tudung dan diejek sebagai gadis tanpa telinga. [wm.kl.6:09 pm 05/02/12]
1 comment:
Tuan MSO, tidak keterlaluan jika saya nyatakan bahawa individu yang ikhlas mendekati dan mengambil Islam sebenar sebagaimana yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah saw akan mengikuti jejak Rasulullah untuk mempersaksikan Islam ke tengah masyarakat. Usaha ini tidak mungkin boleh dilakukan kecuali bersama gerakan Islam.
Post a Comment