Kalau dicari entri 'hukum hudud' atau 'hudud' adalah paling popular disebut oleh rakyat Malaysia hari ini. Perkataan ini tertebar ke dalam minda banyak orang khasnya orang-orang politik Pas dan Umno. Soal hudud rancak diperkatakan. Ia terhenti ketika Barack Obama datang ke sini dan akan bersambung sebaik beliau pulang hari ini.
Abdul Hadi perlu berterus terang. |
Sir dan muslihat politik, langkah kerajaan Kelantan itu bagi membolehkan mereka memiliki lesen untuk tidak laksanakan hukum hudud sahaja, apabila lesen sebelum ini sudah tamat tempoh. Surat bantahan Dr Mahathir Mohamad terhadap hukum hudud yang dihantar kepada Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dijadikan lesen untuk tidak laksanakan hudud, tidak dapat dijadikan lesen lagi sebab ianya sudah expired. Maka lesen baru diperlukan untuk memberi jawaban dan helah kepada rakyat.
Jadi kerajaan Kelantan perlukan lesen baru. Satu cara, ialah dengan meminta atau berbuat apa-apa yang tidak mungkin berlaku atau mudah berlaku. Caranya ialah meminta Jadual ke 9 Perlembagaan negara dipinda. Kenapa dikatakan begitu, kerana buat masa ini Pas tidak cukup suara di parlimen. Pas hanya ada 21 kerusi sahaja. Pas juga tahu bukan semua 62 orang ahli parlimen DAP dan PKR menyokongnya. Dan Pas juga tahu dan yakin tidak semudah itu yang Umno akan menyokong private bill berkenaan seperti mana dijanjikan.
Jadi private bill itu akan ditolak oleh Speaker atas alasan ia bukan sesuatu yang perlu disegerakan. Dan penolakan itu akan dijadikan peluru untuk Pas menyerang balik Umno dan juga jawaban kepada rakyat Kelantan. Itulah harapan double line Pas.
Namun rentetan yang berlaku tampaknya tidak semudah itu, ia bukan saja rumit tetapi membayangkan ada implikasi lain disebalik usaha tersebut yang bakal memberi bahaya kepada Pas. Apabila Umno Kelantan menyatakan sokongan kepada Pas untuk laksanakan hudud menyebabkan perjalanan maksud itu melencong. Lesen yang dihendak didapati secara mudah itu menjadi payah. Terpaksa melalui jalan berbongol-bongol seperti jalan Gua Musang ke Kuala Krai.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed secara gentlemen menyatakan pihaknya sokong Pas untuk laksana hukum hudud. Kata Mustapa tidak ada sebab Umno tidak menyokong sesuatu mengenai Islam. Mustapa memberi reaksi ekoran jaminan yang diberikan oleh Adun Kok Lanas Mad Alwi Che Amat di DUN Kelantan yang menegaskan pihaknya menyokong cita-cita Pas itu kerana ia adalah juga cita-cita Umno.
Lebih sedap lagi dan ini menyeronokkan ahli Pas, apabila Alwi berkata dia akan sedia keluar Umno kalau Najib Razak tidak menerima hudud. Pernyataan Alwi itu disambut dengan rasa syukur oleh ahli-ahli Pas tanpa membelek apakah maksud di sebalik kesediaan Alwi itu. Tampaknya janji Alwi itu sudah terlepas apabila Najib menjelaskan dia juga sokong hudud tetapi belum bersedia melaksanakannya. Itulah politik yang perlu difahami oleh budak-budak baru dalam Pas.
Keseronokan Pas itu juga adalah susulan pertemuan Ahmad Yaakub dengan Perdana Menteri Najib Razak dalam satu kunjungan 'mahabbah' beliau ke pejabat PM. Dalam pertemuan itu Ahmad menyuarakan hasrat Pas untuk laksanakan hudud kepada Najib. Tidak ada penjelasan mengenai sikap dan reaksi Najib ketika itu, tetapi penjelasan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Bahrum bahawa kerajaan sedia memberi laluan dan menyokong Pas di parlimen menjadikan kerajaan Kelantan bertambah 'gelenyer'.
Penerimaan secara lamsum janji-janji pemimpin Umno untuk menyokong hudud ini oleh Ahmad Yaakub adalah sangat naif dan dhaif sekali. Ahmad hanya nampak bingkai tetapi tidak nampak arca hitam dalam cermin.
Daripada apa yang dikira akan diperolehi dengan mudah, menjadi sebaliknya. Pas yang mulanya ada nawaitu hendak memerangkap Umno dengan isu hudud itu, terjadi sebaliknya, meletakkan dirinya dalam jerat. Pas sangat berharap Umno akan menolak, tetapi apabila kalangan pemimpin Umno khasnya dari Kelantan masing-masing memberi reaksi positif Pas mula gelabah. Hendak tidak hendak Pas terpaksa bergerak ke arah kesunguhan hendak melaksanakan hudud dan bukan saja untuk dapat lesen.
Saya katakan kenapa untuk dapat lesen, kerana kalau Pas serius dengan hudud ia boleh dilaksanakan sebaik ia diluluskan 21 tahun lalu (1993) dan tidak payah tunggu sampai ke hari ini. Menurut pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari hukum hudud boleh dilaksanakan tanpa meminda mana-mana peruntukkan dalam Perlembagaan sebaliknya hanya perlu melakukan beberapa pindaan terhadap beberapa peruntuk dalam undang-undang tertentu sahaja.
Tetapi kenapa tidak dilakukan? "Naik nyiur pakai cawat besi, sila tanya dan sila jawab sendiri." Nik Aziz mustahil tidak diberi maklum mengenai kelonggaran (ruang) ini dan juga mustahil tidak diberi tahu mengenai implikasi dan hambatannya sekiranya kerajaan Kelantan bertegas melaksanakan hukum hudud dalam keadaan yang serbi serbi belum sedia. Mungkin beliau mengambil jalan tengah menggantungkan hukum hudud sehingga 21 tahun. Gara-gara penangguhan itu jugalah memberi natijah Pas terus mendapat kemenangan di Kelantan dan PR di negeri-negeri lain. Itulah kebijaksanaanya sebagai seorang pemimpin siasah.
Adalah 'debek' sangat Nik Aziz sebagai menteri besar, kerana membiarkan hukum hudud tergantung, manakala Ahmad Yaakub belum sampai setahun menjadi MB sudah nampak bayangan keyakinaan hukum hudud dapat dilaksanakan. Ahmad membuat penegasan hukum hudud akan dilaksanakan tahun hadapan 2015, berserta dengan pengakuatan beliau akan letak jawatan kalau tidak berjaya. Ini bermakna sebelum siapanya lebuh raya rakyat yang dijangka akan siap tahun 2018. Sekiranya hukum hudud ini dijalankan sebelum siapnya lebuh raya, ia juga mendatangkan kesulitan untuk membawa pesalah hudud ke mahkamah kerana kebanyakan jalan raya di Kelantan tidak elok!
Bisa dan terror lah Ahmad dan timbalannya Nik Amar Abdullah kerana dapat membawa dua kejayaan dalam tempoh masa tidak sampai lima tahun. Kenapa dengan kasyafah yang Nik Aziz ada, beliau tidak melepaskan jawatan MB kepada Ahmad Yaakub 10 tahun lalu? Kalau dibuat begitu nescaya hudud sudah dilaksanakan di Kelantan. Bukan begitu?
Berbalik kepada isu hudud kini bergema ke seluruh negara. Ia telah meletakkan Pas mendapat perhatian dari semua pihak. Dua keadaan berbeza, Umno merasa seronok dengan Pas yang dianggap telah termakan umpan, tetapi rakan Pas dalam Pakatan Rakyat terjungkil dengan isu hukum hudud ini. Umno seronok kerana mereka telah berjaya menjinakkan Pas untuk dijadikan bahan serkas. Sebaliknya ia menggusarkan PKR dan DAP.
PKR dan DAP tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Kelantan itu. Bukan kerana tidak menghormati hak dan privacy Pas tentang Islam dan cita-citanya. Tetapi mereka lebih memikirkan mengenai kejaya politik bersama. Bagi mereka Pakatan Rakyat pasti mendapat mandapat penuh rakyat barulah masing-masing dapat melaksanakan dasar dan cita-cita masing-masing.
Perkara disedari ialah, kemenangan dicapai oleh Pakatan Rakyat kini adalah hasil pemaufakatan bersama. Pas tidak akan mendapat 21 kerusi atau mencecah hingga lebih 30 dalam pilihan raya 1999 kalau bukan kerana 'tahaluf syiasi'. Apa yang dikejar dan diharapkan Pakatan Rakyat kini ialah kepercayaan rakyat untuk memilih mereka sebagai kerajaan bagi menggantikan UBN.
Sokongan rakyat kepada Pakatan sehingga mencecah 52% dalam pilihan raya lalu bukan hanya bertunjangkan kepada hukum hudud. Tetapi rakyat menyokong kerana politik baru yang hendak dibawa oleh Pakatan Rakyat. Pas Kelantan pun turut mendapat rahmat atas maufakat berkenaan. Kita cukup yakin kalau 'kegelenyeran' Pas dengan hudud itu dimainkan dalam pilihan raya lalu Pakatan tidak memperolehi kemenangan seperti hari ini.
Dasar Pakatan tidak menghalang Pas untuk melaksanakan hukum hudud apabila sudah sampai masanya. Dan Pakatan menerima hudud adalah hak peribadi Pas dan hanya untuk Kelantan dan di kalangan orang Islam sahaja. Tetapi apa yang difikirkan mereka, pelaksanaan di Kelantan itu ialah kesannya kepada Pakatan Rakyat nanti. Apabila pelaksanaan hudud di Kelantan itu akan dipertikaikan maka kesannya terkena kepada Pakatan seluruhnya. Natijahnya sokongan rakyat kepada Pakatan akan terjejas. Ini yang dibimbangi maka hasrat Pas itu dipersoalkan tentang kerelevansinya.
Demikian juga cara Kelantan memohon pinda Perlembagaan itu memberi asakan minda hebat kepada pengundi bukan Islam. Mereka akan beranggapan Pas menjadi parti yang melanggar prinsip dan berkepentingan diri. Lebih jauh lagi mereka akan berfikir kalau Pas ditakdirkan memiliki kerusi lebih mereka akan berbuat lebih daripada itu mengikut fikrahnya sendiri tanpa berunding dengan masyarakat sivil yang lain. Lebih menakutkan kalau sampai yang ada Pas akan merampas hak-hak mereka yang dijamin Perlembagaan sebelum ini.
Kesan-kesan pemikiran dan persepsi negatif begini yang terbit dari isu hudud tidak menguntungkan Pakatan Rakyat. Perkara ini nampaknya tidak difikirkan oleh Pas. Walaupun ada pemimpin Pas yang berfikir dan menilai dari sudut untung dan rugi politik secara rasional, tetapi suara itu diketepikan begitu sahaja. Ia dilenyapkan oleh pandangan dan minat beberapa pemimpin lain termasuk presidennya sendiri yang hanya nampak hudud adalah segala-gala.
Jika tidak dibendung dengan fatanah, apa yang berlaku disekitar hukum hudud ini merisaukan dan boleh mengancam masa depan Pakatan Rakyat secara umumnya. Kerana itu kalau ia tidak ditangan dengan baik, hudud bukan saja boleh memusnahkan politik (kuasa) Pas tetapi juga masa depan Pakatan Rakyat. Mungkin ada di kalangan Pas mereka redha tidak mendapat kuasa politik asalkan dapat menyampaikan cita-cita Islamnya.
Melihat lebih jauh mengenai hal ini apakah Pas perlu mengadakan muktamar khas untuk mencari konsensus atau kata putus berhubung isu hukum hudud ini. Suatu kata putus mungkin perlu diambil mengenai isu hukum hudud ini untuk tidak membiarkan ia terheret lebih jauh yang akhirnya boleh mendatangkan bala. Selagi tidak dimajmukkan mengenai hal ini, selama itulah ianya akan menjadi polimek dan percakapan. Percakapan itu boleh mengembangkan berbagai idea dan cadangan yang subjektif baik atau tidak.
Membiarkan parti dalam kekecamukan isu adalah tidak baik. Dalam hal ini tanggungjawab utama dipikul oleh presidenya Abdul Hadi Awang. Selaku presiden beliau harus menentukan arah dan hala tuju Pas mengenai hal ini. Sekiranya dalam isu-isu sebegini penting beliau tidak dapat memasinkan air liurnya, eloknya beliau kembali ke laut semula menjadi nelayan dan menyadak sotong.
Hadi boleh mempengaruhi jawatankuasa agung untuk memanggil muktamar khas. Cari dan fikirlah kata putus. Dan sekiranya dalam muktamar itu Pas sedia untuk menerima sokongan Umno untuk laksanakan hudud, adalah elok Pas menceraikan PKR dan DAP, senang cerita. Politik munafik mungkin sudah tidak laku lagi hari ini. Segala-gala kena berterus terang dan tegas baru dihormati orang. [wm.kl.11:01 am 28/04/14]
3 comments:
Dalam isu hudud, Pas secara tak sedar telah dipermainkan oleh UMNO yang
kelihatan seperti menyokong hudud. Sebenarnya tujuan mereka untuk memecahbelahkan Pakatan Rakyat. Pas yang teruja hendak melaksanakan hudud telah mengeluarkan kenyataan bodoh terutama melalui TMB Kelantan yang ingin menggunakan khidmat doktor pakar untuk memotong tangan. Hal ini sudah tentu menimbulkan persepsi negatif seolah-olah perundangan Islam membawa risiko banyak yang akan kehilangan tangan. Sedangkan jika kita lihat tidak ramai yang kudung kerana mencuri di negara yang melaksanakan hukum Islam. Kita lihat golongan fakih agama hanya mencari keuntungan politik untuk menarik sokongan Melayu-Islam. Tapi percayalah, nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran. Tapi tak apalah kerana Presiden Pas sudah bersedia untuk berjuang tanpa sokongan parti lain...
Tuan,
2 perkara yang menarik perhatian ambo yang tuan nukilkan diatas: pertama, keperluan kerajaan PAS Kelantan kepada mandat baru pasca Nik Aziz. Kedua, laluan yang diberi oleh rakan didalam Pakatan kepada PAS untuk melaksanakan hukum Hudud agaknya di Kelantan dan negeri dikuasai PAS SETELAH berjaya ke Putrajaya.
Jika lesen baru diperlukan, ambo rasa tidak perlu sebenarnya. Lesen yang diberi kepada TGNA melalui surat rasmi oleh Mahathir dulu masih laku sampai bila-bila selagi perl3mbagaan sediaada masih wujud. Selain itu, setup politik semasa lesen besar itu dikeluarkan dulu masih tidak berubah : Kelantan masih lagi diperintah oleh PAS dan kerajaan persekutuan masih lagi didominasi oleh UMNO melalui BN.
Sebagai seorang Islam ambo menyokong perlaksanaan hudud. Tetapi jika dilihat perjalanan kerajaan negeri Kelantan pasca PRU 13, kekecohan pimpinan baru bermain politik puak dan melihat telatah tohor pimpinan negeri terutama Nik Amar - ambo bimbang ( berharap sangat2 kebimbangan ambo ni xbetol), cerita hudud ini adalah tindakan terlebih cerdik untuk m3nutup kelemahan dan "ketokrokan" kepimpinan negeri terutama NA dalam m3mimpin dan membangun negeri. Jenih Stail ala UMNO untuk menutup kelemahan dengan m3ngalih perhatian rakyat dari isu itu dengan isu lain yang lebih sensasi....harap2 dok sebab ini cara ore bodo kerana implikasi dari isu hudud ini amat besar kepada seluruh perjuangan PAS jika bidah k3lik....
Percayalah UMNO dan BN tidak mungkin merelakan HUDUD terlaksana di mana-mana bumi Malaysia. Semuanya sandiwara yang cuba mengabui perhatian rakyat. Tujuan untuk mengekalkan pemerintahan BN. Untuk itu anwar wajib disumbat ke penjara, Pakatan rakyat harus dipecahkan dengan isu HUDUD. Rakyat harus disuapkan BRIM. Apa motif sebenar MB dan TMB baru kelantan beria-ria benar hendak melaksanakan HUDUD sekarang..mengapa tidak dahulu. Atau PAS melihat Pakatan sudah mulai rapuh selepas melihat PKR yang berantam sesama sendiri. Apakah TGNA telah mula berlembut menerima kerajaan perpaduan UMNO. Tidak salah berkawan dengan bukan Islam tapi tidurlah dalam perut orang seagama kerana melayu akan lebih selamat disitu.
Post a Comment