Thursday, December 25, 2014

Najib anak bangsawan tak memahami penderitaan marhaen

SUARASA                                                                                                        

Pagi-pagi saya dikirimkan foto print skrin daripada facebook oleh seorang temanita menunjukkan Perdana Menteri yang kita kasihi Mohd Najib Razak sedang bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama di Hawaii.

Obama: Macam mana Kelantan Mr Najib?
Obama berada di pulau peranginan itu untuk menghabiskan masa cuti Krismas. Beberapa orang pemimpin lain juga turut hadir sama untuk bercanda dengan Obama.

Mulanya saya tidak mempercayai gambar yang dikirimkan itu. Mungkin sahaja ia satu perbuatan jahat untuk memburuk-burukan perdana menteri yang kita sayangi. Ia hendak memberi gambaran Najib kurang peka kepada masalah dalam negara waktu ini terutamanya bencana banjir yang melanda negeri Pantai Timur dan teruknya negeri "pembangkang" iaitu Kelantan.



Tetapi setelah mengskrol wall facebook banyak pula ditemui gambar-gambar perdana menteri yang kita kasihi bersama Obama. Berbagai versii menyakinkan. Ternyata gambar itu benar ianya disiarkan dalam Washington Post. Gambar Najib sedang bermain golf dengan Obama sudah menjadi viral di facebook.

Makanya apa yang berlaku dan dilaporkan itu tidak memelikkan. Seorang pemimpin berada di luar negara sewaktu negaranya diancam bencana adalah perkara biasa bagi pemimpin seperti Najib. Najib anak seorang bangsawan yang tidak memahami penderitaan rakyat bawahan.

Najib tidak pernah menghadam kesusahan dan kepayahan rakyat melainkan setakat mengunyah kemudian mengehek (luah) semula. Dia tidak pernah telan. Kalau dia menelan sudah pasti dia tidak tergamak untuk berada di Hawaii, tetapi dia sewajarnya berada di Kuala Terengganu atau Kuantan kalaupun alergik untuk singgah di Kota Bharu.

Lama sebelum beliau menjadi PM saya telah menulis dan menganlisa mengenai keupayaan Najib untuk menjadi pemimpin nombor satu negara ini. Malaysia sebuah negara sedang membangun dimana rata-rata rakyatnya miskin dan kurang berpengetahuan memerlukan seorang pemimpin dari rahim mereka yang benar-benar bukan sahaja berjiwa rakyat, tetapi bertelinga rakyat, berhidung rakyat, bermata rakyat dan juga berkepala rakyat.

Kerana pemimpin dari rahim mereka sahajalah yang mampu untuk menghadam kemiskinan dan pernah mengunyah pendeirtaan rakyat, memahami suka duka rakyat. Saya percaya seumur hidup Najib beliau tidak pernah bermain banjir dan tertelan air selut. Dia tidak pernah digigit nyamuk dan betisnya dihisap lintah. Atau pun kalau dia ditakdir menyeberang air selut dia akan didokong oleh pembantu ayahnya. Telapak kaki Najib tidak pernah terkena duri jauh sekali tahi ayam moner.

Dia tidak pernah tidur di bawah khemah berunggunkan api, memakan ubi kayu bakar. Yang dia makan roti bubuh kaya dan keju bersama "Ovealtine" atau "Milo" panas berasap. Jauh sekali untuk dia memakan ubi gadung, ubi keladi dan juga ikan haruan dan puyu panggang dibara api.

Jadi kalau seorang pemimpin tidak pernah merasai itu semua, apa dia peduli dengan nasib rakyat. Kesusahan mangsa banjir yang bertarung nyawa kini tidak pernah tersentuh oleh hati nuraninya.

Sebab itu kalau hendak memilih pemimpin pilihlah dari kalangan kita, rakyat marhaen yang memahami denyut nadi rakyat. Yang tahu kepedihan dan keperitan rakyat. Yang sanggup tidur dan bersama  rakyat dalam keadaan apa sekalipun.

Seorang pemimpn tidak lengkap dan ideal kehidupan dirinya sebagai pemimpin kalau setakat merasa atau mengetahui penderitaan rakyat itu menerusi audio video atau foto sahaja. Tidak cukup setakat membawa novel "Ranjau Sepanjang Jalan" untuk mengetahui pneritaan rakyat miskin, betapa sakitnya kaki dicucuk duri nibong, susahnya menghalau burung ciak atau bertarung dengan ulat memakan padi. Tidak cukup. Penderitaan bukan dapat dihayati menerusi sebuah lukisan bagai mana realistik sekalipun.

Makanya kalau hari ini disaat rakyat berdepan dengan kesusahan melawan arus banjir tetapi Najib bersedap-sedap bermain golf di Hawai dan berdakap dengan isteri di pulau itu, jangan salahkan dia, sebaliknya salahkan diri kita sediri kerana kitalah mengangkat dia menjadi perdana menteri negara kita. 

Saya tidak bersubahat kerana sudah lama tidak mempercayai orang bangsawan untuk jadi pemimpin. Mereka hanya memikir tembolok mereka sahaja dan menjadikan rakyat sebagai kaldai kurus untuk ditunggani memunggah harta pesataka mereka ke bukit kekuasaan. [wm.kl.12:01 pm 25/12/14]

No comments: