Sunday, December 21, 2014

Omar Mohamad wakil rakyat yang humble dan sedarhna

BELASUNGKAWA                                                                                          

Semalam merupakan hari paling malang buat Pas Bachok khasnya dan Pas Kelantan amnya apabila dua orang tokoh veteran Pas kawasan itu telah dijemput Allah kembali ke sisi-Nya hampir serentak. Malam tadi bekas Exco Idris Ahmad telah kembali ke Rahmatullah jam 10:30  malam manakala menjelang 12 jam kemudian disusuri pula oleh Omar Mohamad.
Allahyarham Omar Mohamad

Kedua mereka merupakan bekas Exco kerajaan Kelantan di era kedua pemerintahan Pas di Kelantan dari tahun 1990 hingga 2008. Idris Ahmad menjadi Exco tahun 1990 hingga 1995 manakala Omar menjadi Exco dari tahun 1995 hingga 2004. Omar juga pernah menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan kalau tidak silap mulai tahun 1990 hingga 1995.

Pada tahun 2013 beliau tidak bertanding bagi mengekalkan Dun Perupok yang dimenangi sebanyak lima penggal berturut-turut mulai tahun 1986 hingga tahun 2008.

Sepanjang penglibatannya dalam Pas, Omar pernah memegang jawatan Setiausaha Kerja Pas Kelantan dimana beliau adalah antara Setiausaha Kerja terbaik dan orang menghidupkan pejabat Pas Kelantan di Bangunan Dato' Pati Kota Bharu. Jawatan lain pernah dipegang beliau ialah selaku Ketua Penerangan Pas Kelantan. Beliaulah orang bertanggungjawab mengatur dan menggerakkan ceramah Pas sebaik Pas Kelantan kehilangan kerajaan negeri tahun 1978 hingga tahun 1982.

Omar mulai dikenali sebagai seorang pejuang Pas yang ulit sebagai penceramah di zaman Pas kehilangan kerajaan Kelantan tahun 1978 hingga 1990. Kebetulan saya beberapa kali menemani beliau ke majlis-majlis ceramah di beberapa tempat di seluruh Kelantan. Saya memesrakannya dengan memanggil Abang Mar.

Omar seorang yang mudah mesra dan disenangi ramai kawan dan lawan. Beliau tidak suka mengadu domba sesama sendiri dan akan mengelakkan diri atau tidak berpihak dengan mana-mana pihak yang berbebalah sesama sendiri. Beliau lebih suka menjadi pendamai antara mana-mana individu atau puak-puak berbalah. Beliau adalah orang yang tidak suka perbuatan adu domba sendiri.

Walaupun tidak lagi menjadi wakil rakyat tetapi Allahyarham masih aktif menghadiri program parti. Setiap kali ada pilihan raya kecil beliau jarang "absen". Beliau juga sering dipanggil mengkisahkan perjuangan Pas dizaman parti agama itu mengheret dada.

Kali terakhir berjumpa dan bersembang panjang dengan Allahyarham ialah semasa pilihan raya kecil Sungai Limau Kedah awal tahun kepas. Masih teringat antara tuturnya masa pertemuan itu beliau menyatakan hidupnya kini bebas dan lega apabila tidak lagi menjadi wakil rakyat.

"Ambo tidak pernah merasa lega seperti hari ini apabila tidak lagi menjadi wakil rakyat. Rasa beban terpanggung atas kepala tercabut. Sebenarnya tugas sebagai seorang wakil rakyat amatlah berat dan calang-calang orang boleh memikulnya," ujarnya yang menjadi wakil rakyat selama 27 tahun.

Sebagai seorang wakil rakyat Omar dikenali seorang yang suka membantu orang tidak kira siapa mereka dan darjah pangkat dan politiknya.

Bertanyalah kepada sesiapa di Bachok khasnya dalam kawasannya, apakah rahsia menyebabkan beliau mampu mempertahankan kawasan diwakilnya selama lima penggal berturut-turut orang akan memberi jawaban, tiada sebab lain melainkan kerana keramahan dan stail Allahyraham berpolitik.

Beliau sering menghulur bantuan kepada rakyat tanpa menyoal siapa mereka dan tidak pernah meletakkan perbezaan warna parti untuk dibantunya. Kadang kala juga beliau membantu rakyat dalam keadaan diam tanpa orang mengetahui siapa dirinya.

Beliau baik dengan sesiapa sahaja. Misalnya kalau kebetulan beliau berjumpa dengan murid sekolah sedang dalam perjalanan pergi atau pulang ke rumah akan ditumpanginya sehingga penuh keretanya, murid-muird tidak pun tahu yang orang beri tumpang itu adalah wakil rakyat. Tetapi apa dilakukan Allahyarham itu diperhatikan rakyat dalam kawasannya. Berbuat baik secara senyap inilah menjadi senjata ampuh kekuatan sokongan dan kasihnya rakyat kepada beliau.

Selain itu beliau juga seorang yang humble boleh bergaul dan memakan sireh bersama rakyat marhain. Boleh bermain haji dengan anak-anak muda di wakaf dan juga mengajak anak-anak muda ke masjid atau surau.

Saking hebatnya Allahyarham dalam tahun 2008 ketika berlaku pilihan raya beliau tidak dapat berkempen seperti biasa kerana mengalami sakit saraf belakang dan kaki yang teruk. Tetapi keadaan itu tidak memberi kesan apa-apa kepadanya. Beliau tetap juga menang dengan majoriti yang besar. Kemenangan itu menunjukkan Allahyarham masih tetap relevan sebagai calon Pas walaupun keuzuran.

Semalam orang yang dikenali baik dan seorang yang istiqamah dalam perjuangan, telah tiada lagi. MB Kelantan Ahmad Yaakob menyifatkan Omar Mohamad sebagai mujahid dakwah dalam Pas manakala Tokguru Nik Aziz pula mengakui orang seorang sahabat yang sukar dicari ganti. [wm.kl.9:22 am 21/12/14] 

No comments: