Tuesday, December 2, 2014

Daeng Sanusi patut pupuk perasaan baik bukan lebarkan prasangka

BINGKAS MALAM                                                                                           

Kelmarin saya menerima SMS dari seseorang yang bertanyakan saya apakah sudah dengar atau tidak komen dan ulasan Dr Daeng Sanusi Daeng Meriok (Pak Daeng) terhadap Husam Musa. Begini bunyi SMS berkenaan; "Mso dengar dah ke apa kata Pak Daeng Sanusi kepada Husam, "parok" (teruk) juga. Guana lagu tu?" Saya yakin yang mengirimkan SMS itu daripada orang Kelantan, sebab bahasa digunakan itu, dialek Kelantan. Saya tak kenal nombornya maka saya tak balas dan mengabaikan begitu sahaja.

Husam Musa, tidak jawab.
Daeng Sanusi, tak wajar..
Sehinggalah saya terima satu lagi SMS hal yang sama daripada orang lain pula yang mempertikaikan tindakan Pak Daeng Sanusi. Bunyi SMS itu, "MSO kena nasihat Pak Daeng, orang tua kena dok diam diamlah, dan kalau nak tegur biarlah adil jangan berat sebelah...". Keras nada SMS itu menyebabkan saya sedikit terperagah. Saya kebingungan apa yang sudah Pak Daeng lakukan?


"Apa yang Pak Daeng buat?" tanya saya kepada pengirim SMS itu. Dia tidak menjawab dan mengirimkan saya audio suara Pak Daeng dalam satu majlis dan bersama dengan transkrip apa yang diucapkan. Selepas menghayati dan menilainya, wajarlah kalau orang mengirim SMS itu meminta saya ulas dan bertanya perihal Pak Daeng. Saya tahu dan faham kalau kenapa pengirim SMS itu marah-marah.

Memang tidak molek untuk Pak Daeng lakukan begitu. Ia boleh menambahkan keburukkan. Katanya ucapan Pak Daeng yang menyinggung hal Husam Musa itu dibuat dalam satu program Bersama Pak Daing Sanusi Daeng Meriok, yang diadakan pada 24 November 2014 di Pekan Banting, Selangor.

Daeng Sanusi diapik oleh mertua saya dikanan.
Apa yang mungkin kurang sedap didengari kata-kata Pak Daeng terhadap Husam, ialah apabila menuduh Husam terlibat disebalik penubuhan Ngo PasMa. Katanya walaupun Husam menafikan penubuhan itu bukan di rumahnya, Pak Daeng membayangkan, yang Husam berada di belakang PasMa.

Lebih teruk dan tentu menimbulkan kekesalan di kalangan penyokong Husam apabila Pak Daeng membuat kesimpulan Husam sudah terpinggir di Kelantan dan sudah tidak ada masa depan lagi. Pak Daing membuat andaian penglibatan Husam dalam PasMa kerana hendak mencari nama, menaikkan namanya. Dan kenapa Husam disingkirkan dari Kelantan, kata Pak Daeng ialah kerana Husam banyak melakukan kesalahan. Kesalahan apa?

Kenyataan dan rumusan dibuat Pak Daeng itu agak berat dan sesuatu yang tidak patut lahir dari mulut seorang veteran Pas berdarjat seperti beliau. Sehingga ini saya tidak nampak yang Husam membalas atau menjawab komen dan ulasan bekas Naib Presiden Pas itu. (Elok kalau Husam mendiamkan diri dan reda menerima apa yang Pak Daeng katakan).

Husam tidak terasa hati

Sebagai veteran Pas dan diagungkan ahli Pas sebagai orang tua bersepuh waja, Pak Daeng boleh memberi teguran dan nasihat kepada sesiapa juga. Saya percaya Husam tudak akan terasa hati kalau Pak Daeng sekali pun membuat teguran terhadapnya. Tetapi biarlah teguran itu berakhlak dan Husam ada sama dalam majlis. Apabila Pak Daeng membuat rumusan begitu di hadapan umum dan Husam pula tidak ada, ia bukan satu teguran dan kritikan berhemah yang sewajarnya dilakukan oleh beliau.

Kalau pun Pak Daeng kurang senang dengan perwujudan PasMa, kerana ia boleh mengancam Pas, tetapi dengan menghalakan tuduhan berunsur fitnah bekas Exco kanan itu satu tindakan tidak tak bertokmaninah sekali dan melambangkan ia tidak dilakukan oleh orang semulia Pak Daeng. Pak Daeng telah merendahkan martabat dirinya sendiri.

Maaf di sini bukan saya hendak membela Adun Salor itu, tetapi setelah mendengar kata bicara Pak Daeng itu, saya merasakan ia sangat tidak patut dan wajar. Pak Daeng bukan tidak kenal siapa dia Husam Musa. Husam bolehlah dianggap anak didiknya juga. Kalau tidak silap Husam pernah berkerja dibawah seliaan Pak Daeng semasa Pak Daeng menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Harakah. Ketika itu Husam adalah wartawan Harakah. Hubungan itu sepatutnya tidak memisahkan Pak Daeng dengan Husam dalam konflik yang berlaku kini.

Kenapa Pak Daeng tidak mengambil kesempatan atas pengenalan dan hubungan itu untuk bertanya sendiri Husam berhubung PasMa secara ayah dengan anak? Kalau Pak Daeng meminta untuk berjumpa Husam mendapat penjelasan mengenai PasMa yang sudah tentu diberita Husam terlibat sama, Husam akan datang. Husam seorang yang gentlemen dan sanggup bersemuka dengan sesiapa sahaja.

Kenapa Pak Daeng tidak berbuat demikian. Apakah sudah hilang pedoman untuk Pak Daeng bertindak sebagai seorang abuya bersepuh besi kursani dalam Pas untuk bertanya khabar anak buahnya atau memberi nasihat demi kebaikan parti?

Difahamkan Pak Daeng baru dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Disiplin Pas mengganti Ahmad Buruk yang tidak berfungsi. Sebagai pengerusi kepada sebuah jawatan kuasa penting begitu beliau perlu bersikap adil dan saksama dan menjaga integritinya. Pak Daeng tidak seharusnya "memberi rona buruk kepada Husam dalam majlis umum begitu. Dari segi prinsip Islam tindakan Pak Daeng sebagai pengadil itu dikira sudah salah dan bercanggah dengan syariat Islam. Bukankah cara itu meruntuhkan akhlak Pas itu sendiri sebagai parti agama yang diagung-agungkan?

Seperti dinyatakan disini saya tidak mahu membela Husam, tetapi ingin menyatakan sesuatu yang bagi saya perlu untuk kebaikan bersama. Anggapan Pak Daeng yang Husam terpinggir dan tidak lagi ada pengaruh di Kelantan tidak benar dan satu prejudis jahat. Husam tidak dipinggirkan seburuk sangkaan Pak Daeng di Kelantan. Kalau Husam sudah dipinggirkan dan tidak dihingini, kenapa beliau masih dikekalkan bertanding di Salor. Mungkin Pak Daeng tidak ditayangkan filem sebenar politik Pas di Kelantan. (Saya rasa saya ada pengetahuan lebih sedikit daripada Pak Daeng dalam hal ini). Kalau benar Husam dipinggirkan secara total sepatutnya beliau perlu bertanding di Putrajaya sahaja, dan biar dia kalah kering begitu.

Apabila beliau masih diberikan kerusi Dun Salor dalam PRU lalu, maka jelas Husam masih diperlukan di Kelantan. Mungkin Pak Daeng tidak rajin membaca atau mengikut perkembangan politik semasa dalam negara. Sudah tidak melihat kepada senario hari ini dan dilindungi oleh para penuangan Husam Musa di dalam Pas. Mungkin juga Pak Daeng sudah putus maklumat tentang politik kronisme dan nepotimse di Kelantan?

Apa lagi kalau Pak Daeng tidak merasai denyut nadi anak-anak muda yang menjadikan Husam sebagai idola mereka. Suka atau tidak, bagi anak muda mereka mengharap Husam akan muncul sebagai pemimpin masa depan mereka menerusi Pas. Hakikat ini boleh dilihat kepada sambutan acara dan majlis yang dihadiri Husam. Untuk melihat dengan kepala mata sendiri mungkin Pak Daeng boleh membuat kajian atau survey menerusi internet. Atau pun kalau masih daya, turun sendiri ke Kelantan lihat dan banding sendiri ceramah yang dihadiri Husam dengan yang dihostkan oleh pemimpin lain termasuk MM dan TMB.

Sekali lagi saya nak sebut, berdasarkan kenyataan dan ulasan Pak Daeng seperti di dalam audio itu, ia tidak menujukkan Pak Daeng bersikap adil dan bertindak sebagai seorang tua yang boleh menjernihkan keadaan sebaliknya memngeruhkan suasana. Campur tangan bias Pak Daeng itu menyebabkan timbul prangsangka buruk dan penghormatan kepada Pak Daeng juga hilang. Gara-gara itulah maka ada suara agar Pak Daeng duduk diam sahaja.

Mengenali Pak Daeng

Saya sendiri cukup mengenali sifat, sikap dan pendirian Pak Daeng. Saya rasa saya lebih awal mengenali dan bersalam dengan Pak Daeng berbanding Husam sendiri. Saya mengenali dan bertemu dengan Pak Daeng pada tahun 1979 lagi. Ketika itu beliau menjadi Pensyarah di UKM, Bangi. Saya pernah ke rumah sewanya yang terletak (kalau tak salah ingatan) di Jalan Mewah, Damansara Petaling Jaya.

Pengenalan saya dan dengannya lebih rapat dan akrab lagi apabila Pak Daeng menjadi ahli Parlimen Rantau Panjang selama dua penggal dari tahun 1990 hingga 1999. Bapa mertua  saya Allahyaraham Yaakub Awang Besar menjadi wakilnya (wakil calon) dalam pilihan raya berkenaan. Bapa mertua sahaja juga menjadi pegawai peribadinya. Bukan sekali Pak Daeng makan nasi di rumah bapak mertua saya di Kampung Bakat, Rantau Panjang.

Dari situlah saya mengenali keperibadian dan wibawa Pak Daeng serta cerita-cerita mengenai kebugisannya. Beliau keturunan Bugis, seorang yang berani, tegas dan berprinsip. Kerana memiliki sifat-sifat itu menyebabkan beliau disayangi oleh pengundi di Rantau Panjang. Saya sendiri menyanjungi Pak Daeng sebagai pembangun Pas Rantau Panjang bukan kerana terlalu lama mengenalinya tetapi kerana prinsip dan keberaniannya serta istiqamahnya dalam perjaungan menerusi Pas.

Lantaran itu saya mengira ulasan dan tanggapan Pak Daeng terhadap Husam seperti di dalam audio itu satu kritikan yang tidak terpeta di dalam hati, (harap begitu) dan Husam tidak perlu mengambil hati. Kalau ada rasa pedih tekanlah sendiri dengan penuh kesabaran. Diharap Pak Daeng boleh meralatkan kata-kata dengan berjumpa sendiri dengan Husam suatu hari nanti. Seorang ayah yang adil dan mulia itu sedia mendengar penjelasan daripada kesemua anak-anaknya secara bersemuka dan bijaksana. Tidak baik bagi orang tua menyemaikan benih kebencian sesama sendiri. [wm.kl.8:13 pm 02/12/14]

3 comments:

Noor Mohd said...

semoga Allah memberi kesabaran yg pjg pd husam.
sabar dihina murabi, sahabat dan rakan

wan amero said...

Tuan haji mso maafkan ambo sebab nak mintak tolong sampaikan salam ambo ko pakdaeng kita.Pesan ambo ko dia kalu tak tahu dok diam diam nanti tak dak pasal pasal orang nampak dia tak berapa cerdik.Sedarlah sikit pak daeng....t.kasih tuan haji.

zaffar said...

Ore tuo ni dah nyanyok bokali...