Monday, December 1, 2014

Malangnya dikau Najib...

ULASA PAU II                                                                                                  

Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-68 sudah pun berakhir dan seperti biasa setiap kali PAU ia akan meninggalkan berbagai kenangan dan peristiwa. Yang menjadikan PAU sebagai ruang dan medan untuk bertemu dengan sahabat lama, mereka akan datang ke ibu kota Kuala Lumpur lagi pada tahun depan, sekiranya masih sihat dan ada hayat.

PAU melakar ilusi ahli Umno. 
Pertemuan sempena PAU adalah rutin bagi sesetengah ahli veteran Umno. Kenapa tidak, pada hari itulah segenap lapisan ahli dari seluruh negara datang bertandang ke Kuala Lumpur. Apa lagi mereka diberi kemudahan tambang, penginapan, makan dan wang saku.

Seperti juga perhimpunan-perhimpunan sebelum ini, ahli parti Melayu itu berharap forum itu akan memberi manfaat dan berjaya mengekalkan kejayaan kepada parti itu. Mereka semua sudah tentu pulang dengan membawa harapan besar agar Umno tidak akan berkubur dan kerajaan yang digenggamnya selama lebih 59 tahun akan kekal setidak-tidaknya untuk lima tahun lagi.

Mengimbau kembali kepada PAU kali ini apa yang penting, ahli Umno perlu mengambil perhatian besar kepada beberapa perkara dibangkit dan resolusi diputuskan di sepanjang perhimpunan berkenaan. Ada berbagai ilusi harapan yang tercetus dalam perhimpunan kali ini. Bagaimana pun ada dua perkara yang saya kira sangat menyentuh hati nurani dan perasaan ahli Umno khasnya dan orang Melayu seluruhnya.

Bagi ahli Umno dan perwakilan pulang melenggang punggung, penuh kegembiraan dan puas hati apabila tuntutan dan desakan (sebenarnya), agar Akta Hasutan 1948 dikekalkan. Apabila Najib Razak mengumumkan akan memgekalkan akta berkenaan, perwakilan merasakan suara mereka didengari, dan menjadikan cadangan dan pandangan mereka tidak disia-siakan. Keputusan Najib mengumumkan akta itu dikekalkan dibuat pada ucapan dasar dan bukan pada penggulungan, satu sandiwara yang anti klimek sekaligus menjelaskan Najib sangat tertekan dengan isu berkenaan.

Bagi saya tindakan ini ia tidak menggambarkan kebijaksanaan Najib untuk meletakkan dirinya sebagai seorang pemimpin tegas. Sebaliknya beliau perlu mendengar perbahasan, teguran dan pandangan berhubungan akta itu (pro dan kontra) terlebih dahulu, sebelum beliau mengambil pendirian untuk mengumumkan ia kekal. Tidakkah Najib menghitung akan implikasi kepada reputasinya apabila beliau memungkiri janji?

Tidak mengapalah, Akta Hasutan 1948 yang dianggap sebagai zalim dan lapok itu sudah pun dimukatamdkan oleh ahli Umno dikekalkan. Ahli Umno sudah mendapat kemenangan kerana apa yang diperjuangkan telah diperolehinya. Hanya Najib berdepan dengan risiko politik disebalik tindakannya itu yang boleh menjejaskan popularitinya di mata umum khasnya jenerasi muda yang bersikap liberal dan berfikiran fleksibel.

Itu juga bukan perkara penting untuk dibahas. Tetapi apa yang menarik untuk dianalisa semula disebalik pengekalan akta berkenaan, apakah atau sejauh manakah ia memberi keuntungan kepada Umno dan politiknya. Apakah pengekalan itu menjamin kelangsungan kekuasaan Umno? Tidak ada guna kalau kalau ia hanya indah pada mata tetapi tanpa memberi kesan lumayan diharapkan.

Hakikinya pengekalkan akta itu bukan bermakna ia memberi kemenangan mutlak kepada ahli Umno. Kalau ahli Umno mengira akta itu akan menjadi benteng kepada kemerosotannya kemudian akan membawa Umno menang ia adalah satu kesilapan. Pengekalan akta itu ia tidak menjamin Umno akan abadi memerintah Malaysia. Pengundi pada PRU ke-14 tidak hanya akan mengundi berdasarkan kepada akta berkenaan tetapi banyak aspek dan juzu-juzu lain diperhitungkan.

Saya bersetuju dengan pandangan Najib, yang BN (Umno) memerlukan undi bukan Melayu untuk menang. Ertinya nasib dan masa depan kerajaan BN yang ditunggaki oleh Umno bukan sahaja terletak ditangan orang Melayu tetapi orang bukan Melayu juga. Apa lagi dengan menerima konsep negara ini bermasyarakat dan politik (idealogi) majmuk, maka penglibatan semua bangsa dan kaum bagi kejayaan sesuatu parti politik sangat diperlukan.

Pandangan insaf Najib itu sejalur dengan apa yang diucapkan oleh bekas Presiden Umno dan juga bekas PM, Abdullah Ahmad Badawi; Umno tidak akan menang dengan akta dan peguatkuasaan undang-undang, sebaliknya Umno akan menang apabila rakyat menyokong parti itu. Pandangan Pak Lah itu boleh disifatkan beliau juga tidak seronok dengan emosi lebih ahli Umno yang mahukan akta itu dikekalkan. Kerana di era Pak Lah sebagai PM banyak perubahan dan liberalisasi dilakukan.

Apa maksud Pak Lah?  Ertinya, desakan kepada Najib agar mengekalkan akta berkenaan tidak memberi impak besar kepada Umno, serta tidak menggambarkan dinamika politik Umno, bahkan boleh dianggap Umno gembira dalam duka apabila dinilai kata-kata Pak Lah itu yang Umno menang apabila rakyat mendokongnya. Mungkin juga Pak Lah tahu kenapa Najib dijadikan "mangsa tekanan" dengan akta itu?

Umum tahu yang suka dan cintakan Akta Hasutan 1948 adalah orang Melayu manakala kaum lain atau mereka yang bersikap liberal tidak menyukainya. Mereka menganggap akta berkenaan sebagai zalim dan mengokong serta sudah tidak mengikut peredaran zaman lagi. Akta berkenaan bagi mereka menyekat gerak geri dan kata-kata mereka.

Justeru, mentafsir agenda (membatalkan niat memansuhkan Akta Hasutan 1948) Najib sebenarnya telah kalah dalam pertarungan dan asakan daripada mereka yang tidak senang dengannya. Secara sedar atau tidak PAU kali ini telah memberi isyarat jelas kepada Najib bahawa kepimpinannya gagal dan beliau lemah untuk berdiri atas prisipnya sendiri.

Keputusan awal Najib untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 sebagai merealisasikan transformasi hendak dilakukan dilihat sudah tepat dan hebat. Tetapi apabila beliau tarik balik menyebabkan, maruah dan kredibiliti Najib sebagai PM, terjatuh beberapa mata. Saya yakin kalau ada badan kaji selidik seperti UMcedel buat bancian baru populariti Najib, angkanya akan merudum teruk.

Semantara itu ahli Umno bagi saya dalam hal ini terlebih emosi dalam soal mendesak Najib agar menarik balik nawaitunya. Mereka terpesona kepada suara-suara dengki Dr Mahathir Mohamad yang ingin menyalin Najib dengan orang yang menjadi pelantar kepada anaknya.

Ahli Umno mungkin tidak melihat kepada data (simulasi) kemampuan BN pada pilihan raya akan datang yang dibentangkan oleh Muhyiddin Yassin. Data yang dikemukakan oleh Muhyddin, sekiranya Umno kehilangan 2% sahaja pada pilihan raya umum akan datang, parti yang dianggap keramat itu akan kehilangan Kerajaan.

Sekiranya simulasi itu difahami benar-benar, saya kira ahli Umno tidak mendesak Najib menarik balik Akta Hasutan 1948 itu kerana penarikan balik boleh memberi peluang sokongan kepada Najib dan Umno. BN suka atau tidak akan berhadapan dengan kekuncupan sokongan apabila akta yang dianggap sebagai "tirani" kepada kebebasan itu dikekalkan. Pengekalannya membawa naas kepada Umno - BN.

Siapakah penasihat politik Najib? Para penasihat itu gagal untuk memahami makrifat Najib dengan desakan dan asakan yang diketuai oleh Muhyiddin Yassin itu. Mereka patut faham dan sedar kenapakan Muhyiddin beriya-iya mempengaruhi Pemuda, Wanita dan Puteri semasa ucapan perasmian serentak sayap-sayap Umno itu agar bersetuju dengan saranananya agar Akta Hasutan 1948 itu dikekalkan? Saya percaya Muhyddin juga fleksible dalam menilai keperluan akta berkenaan dalam zaman langit terbuka ini, tetapi kerana beliau mahu menjadikan modal untuk singkirkan Najib digunakan juga.

Dalam hal ini Muhyddin berniaga, bermin politik dengan Akta Haustan. Beliau mahu menjadikan desakan itu sebagai aset untuk menguji sejauh mana ahli Umno bersamanya dan menerima dendangan kononnya akta itu boleh menguatkan Umno. Toh, apabila Najib kemudian akur ternyata beliau merasakan pengaruhnya dalam Umno berakar umbi dan ini tentu menyeronokkannya.

Kenyataan Najib, yang BN memerlukan undi bukan Melayu untuk menang sepatutnya disuarakan sebelum perhimpunan. Najib sepatutnya telah menjelaskan implikasi dan impaknya semasa taaruf persidangan sehari sebelum itu. Di situlah Najib boleh memberi penjelasan dan mempengaruhi kepada perwakilan dimana perlu dan resionalnya akta itu dimansuhkan atau tidak. Najib khasnya para penasihat politiknya kena memberi tafsiran yang jelas dan konkrit berhubung tindakan itu. Tetapi sayang ia tidak dibuat dan ini satau kekhilafan besar.

Najib dan penasihat politiknya terlupa, dan kelapaan itu diambil kesempatan cepat oleh Muhyddin untuk meratah Najib Razak secara hidup-hidup dan sekali gus meletakkan dirinya atas "par" untuk disanjung dan dikatakan sedar Melayu oleh ahli Umno.

Kesimpulannya pengekalan akta dianggap belantara itu ia tidak memberi banyak laba kepada politik Najib. Sebaliknya kalau beliau berkeras untuk memansuhkan mungkin generasi muda atau mereka yang berada atas pagar yang menilai politik dengan seksama akal yang waras masih berpihak kepada Perdana Menteri itu. Pemansuhannya juga dikira Najib berbuat mengikut apa yang diucapkan. Malang dikau Najib... [wm.kl.7:01 pm 01/12/14]

3 comments:

Unknown said...

BEGITULAH terpancar pesona Najib sebagai PM atau Presiden UMNO yang terpaksa tunduk dengan seruan/amukan atau ugutan golongan ekstrem atau konservatif dalam partinya. Najib tak mungkin menampilkan kepimpinan seorang negarawan melainkan licik berpura-pura berlakon yang dia adalah seorang reformer pseudo atau palsu.Najib hebat berlagak sebagai jaguh kampung di audiens orang Melayu, lupa yang negara ini bukanlagi negara Melayu atau Persekutauan Tanah Melayu melainkan sebuah negara Malaysia yang ada signifikan 40% populasinya dari kalangan suku kaum bukan Melayu.Jadi jika Najib asyik alpa kewujudan dan memberi perhatian yang saksama maka akan terus ada konflik yang dia percaya dapat diselesaikan dengan menggunapakai akta usang kolonial seperti AKTA Hasutan 1948 yang di modify nanti.Najib dan PM-PM sebelumnya sebenarnya mahu mempertahankan golongan elit dengan menggunakan alasan memperjuangkan orang majoriti orang Melayu yang miskin. Malangnya ramai orang Melayu miskin tu tak sedar lagi kerana magis BRIM 1, 2, 3.....Najib dan UMNO terus mendendangkan isu-isu berkaitan dengan keistimewaan Orang Melayu, kedaulatan institusi Raja-raja Melayu dan dan kesucian Islam bagi dan kesucian aqidah orang Melayu bagi menakutkan orang Melayu sedangkan orang bukan Melayu benggong dan hairan kenapa UMNO tak habis-habis mainkan isu itu sementara orang Melayu tetap tergolong dalam kelompok miskin bandar/desa.

Nurhaziq Abdul Hafiz said...

Saya fikir Akta Hasutan itu bagus untuk dikekalkan. Ini.bagi membendung orang bukan Islam agar tidak lagi terus terusan menghina Islam di laman laman sosial. Menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk mempertahankan Islam.sebagai satu daripada maqasid syariah. Saya nak tanya MSO, kalau orang bukan Islam terus hina Islam tatkala akta ini dimansuhkan, apa tindakan MSO? Saya yakin MSO hanya akan tengok sahaja tanpa berbuat apa apa. Kalau ada pun tulia dlm blog ni sahaja. MSO kalau pandai sangat bagi satu cara kat Najib bagaimana nak kekang penghinaan terhadap Allah dan Islam bila akta ini dimansuhkan. Bukan pandai kritik sahaja. Semoga Allah sayangkan MSO kerana sanggup biarkan agama Allah terus dihina oleh bukan Islam. Moga selamatlah MSO dunia dan akhirat.

mohd sayuti omar said...

Rasanya tidak perlu saya melayani lebih2 sangat orang yang tak faham tulisan saya. Apakah saya menentang akta Hasutan ini? Saya mempertikaikan cara dan tindakan Najib membatalkan niatnya. Tidak ada dalam mana-mana tulisan saya, saya menyatakan pendirian saya yang bersetuju Akta ini dimansuhkan walaupun saya juga pernah menjadi mangsanya. Bahkah Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA) pun saya tidak setuju ianya dimansuhkan.
Kalau hendak komen dan nasihatkan saya, fahami tulisan dan pendirian saya mengtetahui sesuatu, baru komen. Tanpa wassalam.