Wednesday, December 31, 2014

Anwar, Husam ziarahi Nik Aziz

TERKINI                                                                                                            

Semasa banjir memuncak di Kelantan Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat berada di hospital, keuzuran dialaminya kebelakangan ini sama sekali tidak memberi kesempatan untuknya meninjau keadaan banjir dan menemui mangsa banjir.

Anwar memperkatakan sesuatu kepada Tokguru.
Apa yang dapat dilakukan oleh Tokguru hanya berdoa dari atas katil dalam ward agar banjir lekas surut dan rakyat Kelantan bersabar menghadapi ujian daripada Allah.

Betapa terkilannya Tokguru kerana tidak dapat meninjau keadaan banjir seperti biasa hanya Tuhan saja yang tahu. Sebelum ini bila berlaku banjir, beliaulah antara orang pertama turun padang menemui rakyat.

Kali ini dengan keuzuran agak serius dialaminya, beliau hanya dapat mendengar laporan dari mereka yang menziarahinya.

Jam 4:00 petang tadi Tokguru dikunjungi Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim di rumahnya di Pulau Melaka bersama Husam Musa. Bekas MB Kelantan itu sudah keluar dari hospital. Kunjungan Anwar itu adalah simbolik bahawa penghormatan beliau kepada tokoh spritual itu tiada kesudahannya dan sudah tentu menjadi penawar kepada Tokguru itu.

Husam dan Anwar dan rombongan dengar taklimat banjir.
Kebetulan kedatangan Anwar ke Kelantan untuk meninjau keadaan banjir. Anwar bersama Husam dan rombongan dalam lawatan di Kuala Krai diberi taklimat banjir oleh pihak berkuasa tentera. Mungkin hasil taklimat itu turut disampikan Anwar dan Husam kepada Tokguru.

Anwar baru berada dalam tanah air malam tadi dan hari ini terus ke Kelantan dan mengambil peluang menziarahi Tokguru dalam tugasannya meninjau keadaan banjir.

Ternyata akhlak politik dan penyanjungan Anwar kepada Nik Aziz sesuatu yang tidak dibuat-buat. Beliau mengambil berat mengenai hubungan beliau dengan Mursyidum Am Pas itu bukan ke belakangan ini tetapi sejak dulu lagi.

Bukan saja kebetulan sesama berada di Kelantan tetapi Anwar akan terbang ke Kota Bharu semata-mata untuk berjumpa dengan Nik Aziz apa lagi kalau diketahui bekas MB itu uzur.

Pernah dalam satu kunjungan, Anwar berada di Kelantan tidak sampai tiga jam, sebaik saja berjumpa dan menziarahi Tokguru beliau terus terbang pulang.

Agak menyesalkan dan kontras rasa hormat yang ditunjukkan oleh Anwar itu sebaliknya tidak berlaku kepada Muhyiddin Mohd Yassin dan Mohd Najib Razak. Semasa Muhyiddin dan Najib berkunjung ke Kelantan untuk meninjau keadaan banjir, bekas MB Kelantan itu sudah terlantar di hospital tetapi kedua pemimpin tertinggi itu tidak menjengok untuk bertanya khabar Nik Aziz.

Sikap dan akhlak ini ternyata sekali berbeza dengan apa yang menjadi amalan Anwar dan juga para pemimpin politik PR lain. MB Selangor Mohamed Azmin Ali semasa turun ke Kelantan untuk menghulurkan bantuan banjir RM1 juta, sempat menziarahi dan bertanya khabar Tokguru. Azmin juga dilihat pemimpin yang menghormati golongan veteran.

Begitu juga dengan Penasihat DAP, Lim Kit Siang juga menyempatkan diri menziarahi Tokguru bersama Mohamad Sabu. Kenapa tidak dengan Najib dan Muhyiddin?

Apa hendak dibuat mungkin Muhyiddin atau Najib Razak tidak mempunyai masa untuk meluang bagi menjenguk Tokguru itu, atau pun tidak ada sesiapa yang menunjukkan jalan ke Pulau Melaka kepada Muhyiddin seperti apa berlaku sebelum ini Muhyiddin pernah "diculik" untuk bertemu mata dengan Tokguru. [wm.kl.8:49 pm 31/12/14]

No comments: