PANDANGAN PAGI
Kerajaan Kelantan tetap berpegang kepada keyakinan azam dan kewajiban agama untuk melaksanakan hukum hudud di negeri itu. Walaupun ada bantahan dan kebimbangan hasrat itu memberi kesan negatif kepada politik Pas, tetapi ia tidak dipedulikan. Pas Kelantan nampaknya lebih percaya usahanya itu merupakan fardyu kifayah memenuhi kehendak Islam dan jika ia tidak dilaksanakan parti agama itu dan ahlinya akan berdosa.
Dalam kata lain Pas memberi keutamaan kepada agama menerusi kuasa yang diperolehi daripada politik.
Barang kali atas keyakinan apa yang dilaksanakan itu adalah amalan yang akan mendapat imbalan baik maka ia diteruskan juga walaupun berhadapan dengan risiko termasuk Pas akan kehilangan undi di mana-mana kawasan campuran seperti mana dianalisa oleh badan-badan pengkaji bebas dan juga oleh pemerhati politik.
Untuk mensukseskan cita-cita lama Pas itu, Dewan Undangan Kelantan akan bersidang 29 Disember ini untuk mengemaskinikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS II) untuk membolehkan ahli Parlimen Pas membawa usul persendirian (private bil) dalam Parlimen mengikut Perkara 76A Perlembagaan Negara.
Pas sangat berharap apabila bil persendirian itu diterima untuk dibincang di Parlimen dan diluluskan dengan suara 2/3 Enakmen berkenaan pun dapat dilaksanakan di Kelantan seperti mana dijanjikan kepada rakyat.
Melihat kepada keseriusan Pas Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud ini ia dibuat bukan bertitik tolak sangat atas tanggungjawab yang sepatutnya lama dilaksanakan itu. Kenapa saya mengatakan begitu, kerana kenapa di era Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB, usaha melaksanakan hudud tidak dilakukan seserius hari ini? Alasan digunakan ialah kerana Nik Aziz menerima surat ancaman daripada Mahathir Mohamad. Dan apakah surat atau bentuk ancaman sebegitu tidak ada lagi kini?
Memahami realiti itu, kesungguhan Pas Kelantan hendak laksanakan hudud hari ini kerana ianya terdesak dengan keadaan dibuatnya sendiri. Rakyat Kelantan sendiri pun yang faham dengan realiti masyarakat dan implikasi Perlembagaan Negara tidak membuat tuntutan agar hudud dilaksanakan. Saya yakin kalau diadakan referendum di Kelantan untuk memilih antara; hudud, pelabuhan, stadium, lebuh raya, perumahan rakyat, keutamaan kebersihan, tentu hudud akan terletak di nombor akhir.
Jadi keperluan untuk melaksanakan hukum hudud bagi mengelakkan ada orang dimakan sumpah sendiri. MB Ahmad Yaakob pernah berkata sekiranya hukum hudud tidak dilaksanakan tahun depan (2015) beliau akan letak jawatan sebagai MB.
Exco agama Nasaruddin Daud juga menegaskan hukum hudud akan dilaksanakan pada tahun 2015. Beliau berani membuat penegasan begitu sedangkan dia sendiri katanya tidak berada dalam jawatankuasa teknikal hudud? Ertinya kalau Ahmad Yaakob melepas jawatan beliau juga kena ikut berkorban sama.
Maka Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Nik Abdullah mengambil inisiatif mengatur kerjasama dengan Jakim untuk merealisasikan harapan dan cita-cita Pas dan Ahmad Yaakob itu. Apakah usaha Mohd Amar itu hendak mempertahankan kedudukan Ahmad atau pun sebaliknya? Ia sebagai satu helah politik?
Mohd Amar juga nampak yakin yang hudud akan dilaksanakan di Kelantan, tetapi beliau masih berlapik tidak mahu menjadikan dirinya sebagai gadaian dan tebusan, dimana beliau tidak berundur kalau pun hudud tidak dapat dilaksanakan. Keadaan ini menyebabkan Ahmad Yaakob telah meletakkan dirinya dalam keadaan tertekan dan menjadi tebusan. Dan sekiranya hukum hudud masih gagal dilaksanakan di Kelantan tahun depan maka MB nya pastilah berubah.
Saya bersetuju semua pihak perlu hormat kepada Pas Kelantan atau Pas Malaysia hendak laksnakan hudud sebab itu adalah sebahagian daripada cita-citanya. Sebagai parti agama menjadi keutamaan melaksanakan tuntutan agama. Kerana Pas menyakini hudud adalah tuntutan agama maka ia perlu diusahakan untuk melaksanakannya.
Dalam soal hudud ini Pas tidak melihat kepada untung rugi politik. Pas benar-benar mengambil kira berkat dan rahmat daripada Allah apabila hukum itu dilaksanakan. Kalau dikira dari sifir politik Pas akan mengalami suasana negatif dengan cita-citanya itu. Hal inilah yang diambil kira oleh DAP dan PKR yang menjadi rakan kongsi Pas. DAP dan PKR bimbang mereka akan kehilangan undi daripada golongan yang anti hudud apabila Pas tetap dengan pendiriannya.
Inilah konflit dan polemik politik Pakatan Rakyat. Perbezaan pendirian dan iltizam perjuangan ini meletakkan Pas dalam isu hudud ini seakan-akan tidak sekata dengan DAP dan PKR. Meneliti kepada perseselisihan ini, menjelaskan bahawa kerjasama dan hubungan Pas dengan DAP khasnya bermasalah dan tidak mustahil hubungan parti itu renggang dalam pilihan raya akan datang.
Mungkin kalau isu hudud ini tidak dapat diselesaikan dengan baik, sokongan untuk Pakatan Rakyat dalam pilihan raya akan datang tidak sehebat sebelum ini. Situasi inilah yang didoa dan ditunggu-tunggu oleh musuh Pakatan. Tetapi itu tidak menjadi masalah kepada sesetengah pemimpin Pas kerana bagi mereka melaksanakan apa yang Tuhan suruh sudah merupakan satu kejayaan walaupun dengan pelaksanaan itu mengalami kerugian.
Mereka yakin hudud tidak menjadi isu politik yang merugikan mereka. Mereka percaya pengundi Islam akan bersama mereka. Penyokong di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah, tidak memberi kesan kepada Pas. Jadi Pas Kelantan boleh berkeras dengan cita-citanya kerana ia tidak memberi kesan kepada Pas? Tetapi atas semangat kerjasama dan memelihara pengaruh Pas di luar negeri, Pas harus berfikir dua kali. Di sinilah tampaknya tidak ada pengertian politik matang daripada Pas Kelantan. Hal ini bukan sekarang tetapi sejak lama dulu di mana Pas Kelantan sangat ego dengan sejarahnya.
Persoalannya apakah Pas Kelantan berfikir untuk Kelantan semata-mata tetapi membiarkan rakan di negeri-negeri lain yang baru didekati pengundi terus diterkam masalah? Di sinilah memerlukan pandangan jauh dan kebijaksanaan dalam politik. Sudah pasti mana-mana calon Pas di luar Kelantan yang mengharapkan sokongan bukan Melayu akan terjejas gara-gara kegilaan Pas Kelantan hendak laksanakan hukum hudud.
Dengan menghormati keputusan Pas Kelantan itu, apakah Pas Kelantan mengira hasratnya tercapai. Apakah bil persendirian itu akan mendapat sokongan dan diluluskan oleh parlimen? Pas mungkin sedar akan hakikat kesulitan ini. Untuk membolehkan hudud dilaksanakan, Parlimen kena menerima dan meluluskan bil persendirian bertujuan meminda Perlembagaan dibawa oleh wakil Pas itu. Dan mana-mana perkara melibatkan Perlembagaan sokongan 2/3 diperlu.
Apakah Pas merasakan ia akan mendapat sokongan 2/3? Katakan kesemua anggota Umno seramai 88 orang menyokong usul persendirian Pas itu, ia masih lagi belum mencukupi. Bila dicampur dengan anggota Pas seramai 21 baru 109 undi masih tidak sampai 2/3 undi. Sudah pasti wakil daripada DAP dan PKR tidak akan memberi sokongan. Kalau ini berlaku bermakna bil persendirian itu menjadi sia-sia sahaja.
Sebab itu saya katakan Pas faham akan masalah ini. Kenapa ia tetap juga mahu bawa ke Parlimen kerana beberapa faktor yang mudah untuk diteka. Pas ingin menunjukkan yang mereka serius dengan hudud walaupun untuk melaksanakan dalam keadaan tidak memiliki kuasa amat mustahil. Dalam kata lain Pas hendak menggambarkan yang diri mereka Islami.
Selain itu pengemukaan usul persendirian itu juga sebagai untuk menguji pendirian ahli Parlimen Umno. Apakah mereka akan menentang atau pun menyokong. Bagi Pas, mereka suka kalau tiba-tita ahli Umno menentang kerana tentangan itu akan dijadikan modal politik. Oh, ertinya Pas juga berpolitik dengan hudud?
Saya yakin Speaker akan membenarkan usul persendirian itu dibahas pada penghujung sidang bagi mengelakkan kerajaan BN yang ditulangi Umno dianggap dan dicerca Pas sebagai anti Islam. Tetapi saya tidak yakin Parlimen akan menerima dan meluluskan usul berkenaan. Mungkin bagi Pas Kelantan kebenaran oleh Speaker untuk membaca usul itu sudah satu kejayaan. Setidak-tidaknya Ahmad boleh melepaskan dirinya dari kusut sumpah dan janjinya.
Natijahnya sama usul itu lulus atau pun tidak, hudud telah menjadi liabiliti kepada politik Pas dalam berangkaian dengan Pakatan Rakyat. Kesimpulannya Pas Kelantan mendapat pahala akhirat tetapi terlepas kemewahan dunia dengan hudud. Dan Ahmad Yaakob tetap kena laksanakan sumpah dan janjinya kalau Dewan menolak usul berkenaan sekiranya ia diterima untuk dibahas. [wm.kl.8:30 am 16/12/14]
2 comments:
Sebahagian pepimpin PAS memang obses dengan HUDUD mungkin mempercayai yang HUDUD itu adalah satu mekanisme magis lagi undang-undang 'divine'yang akan menjamin kesejahteraan umat bukan saja umat Islam malahan termasuk yang bukan Islam meskipun belum ada satu contoh mana-mana negara/negeri yang telah menggunapakai HUDUD khasnya pada era abad 21 ini telah berjaya mencapai cita-cita murni itu.
UMNO pada terasnya tidak yakin pada HUDUD jika pun ia memberi dukungan adalah untuk tujuan berganding dengan PAS kerana nyawanya untuk berkuasa tanpa ada satu kuasa Melayu/Islam yang relatif kuat semakin tenat dan PAS mungkin tak sedar akan hakikat ini yang UMNO mula nak pancing PAS sejak ia menghadapi realiti pahit yang undi popularnya semakin merosot.
HUDUD pun tidak diperintahkan dengan sejelas-jelasnya dalam alQuran, ada banyak interpretasi dari kaum "ulama" dari luar Malaysia dan tiada kata sepakat dalam isu HUDUD. Tak dengar isu HUDUD diperjuangkan dengan pejal oleh mereka yang sedang dalam 'Arab Spring', ada segolongan yang dikira 'fanatik lagi konservatif' yang akan obses dengan HUDUD, mungkin mereka melihat kekompleksiti isu itu vis-a-vis persekitaran moden yang tuntutan HUDUD itu mungkin tak sesuai dengan persekitaran yang amat berbeza pada sekitaran 1400 tahun dahulu, namun HUDUD tetap diasosiasikan dengan undang-undang TUHAN bdan puratanya negara-negara Islam baik yang kaya raya atau miskin masih tidak dapat mengangkatkan rakyat majoritinya pada tahap yang membangun dalam banyak hidupan duniawi, termasuk negeri Kelantan dan Terengganu yang mana ramai rakyat jelatannya berada dalam kemiskinan dan golongan ini mudah diyakini bahawa HUDUD boleh memberi mereka satu hidup aman sejahtera.
PAS harus melihat gambaran yang lebih besar lagi akan konteks HUDUD dalam negara seperti Malaysia, apakah sudah tersedia sumber-sumbernya untuk dilaksanakan pada dunia realiti moden.
Saya rasa ada perkara-perkara yang pak MSO kurang faham tentang keutamaan perlaksanaan hudud ini daripada perkara-perkara lain.
Pemimpin-pemimpin golongan ulamak PAS sangat yakin bahawa pelaksanaan hukum hudud ini adalah strategi serampang dua mata dimana dengan terlaksananya hukum hudud ini maka selain daripada kejayaan melaksanakan perintah Allah ianya juga akan membawa kemakmuran kepada Malaysia dan Kelantan khususnya.
Kejayaan pelaksanaan hukum hudud akan meningkatkan ekonomi negara/negeri Kelantan, nilai ringgit akan melonjak naik secara, harga petrol akan merudum jatuh ke paras yang tak dijangka, harga makanan dan rumah kediaman akan murah semurahnya, kebersihan bandar Kota Bharu akan jadi comel berelik secara drastik, air dari AKSB akan mengalir jernih serta bersih ke semua rumah di Kelantan walaupun yang tiada paip. Semua rakyat akan hidup senang lenang sehingga tiada lagi golongan miskin, tiada lagi pengangguran di Kelantan kerana kerja kosong sentiasa sedia menanti.
Bijak sungguh pemikiran pemimpin-pemimpin PAS Kelantan.
Maaf pak MSO kalau coretan saya ini agak bengong.......
Sesungguhnya saya sangat kecewa dengan pendirian yang sombong serta tidak cerdik kebanyakkan kepimpinan PAS hari ini. Tanpa melaksanakan keadilan ekonomi dalam masyarakat terlebih dahulu sebelum hukum hudud dilaksanakan maka keindahan hukum Islam tidak akan dirasai oleh rakyat, ianya akan memberikan fitnah dan imej buruk kepada agama Islam. Akhirnya harapan dan nasib rakyat terus tidak dibela...yang jahat terus berkuasa...yang lemah akan tetap menjadi hamba
Post a Comment