Tuesday, July 28, 2015

Apakah tindakan Muhyiddin seterusnya?

ULASAN MALAM

Rombak kabinet diumumkan Najib Razak tengah hari tadi dan penyingkiran Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri terus menjadi bahan percakapan umum. Kisah ini akan terus menjadi topik hangat seminggu dua ini. Walaupun pengumuman itu muktamad, tetapi ulasan dan pandangan terhadap kabinet baharu itu akan terus berlaku dengan berbagai pandangan dan persepsi mengenainya.

Ada beberapa perkara yang menunjal-ninjal kepala orang ramai khususnya pemerhati politik ekoran rombakan kabinet itu. Antaranya apakah Ahmad Zahidi Hamidi yang dilantik menjadi TPM mampu untuk memperkuatkan kedudukan Najib? Apakah Zahid dapat memastikan Najib dan Rosmah akan aman daripada dikritik? Dan ini penting, apakah isu 1MDB tidak akan timbul lagi.

Perlantikan Zahid saya tidak melihat kepada kemantapan dan menambah nilai kabinet Najib, tetapi ia lebih kepada menjadikan Zahid sebagai panglima untuk mengukuhkan kedudukan Najib. Zahid diharap menjaga Najib bukan kerajaan. Itupun yang dilakukan Zahid selama berada dalam kabinet selama ini.

Najib sudah tentu membuat penilaian dan juga kajian apabila dia menggugurkan Muhyiddin. Beliau sudah menjangkakan akan ada sebilangan ahli Umno yang tidak berpuas hati dan menentang keputusannya. Mereka yang berada di belakang Muhyiddin sudah tentu akan bangkit mempertahankan Muhyiddin dan mempertikaikan tindakan Najib.

Rasa tidak puas hati atas peyingkiran itu menyebabkan penyokong Muhyddin atau mana-mana Umno bahagian bersimpati dengan Muhyiddin akan membuat aksi tindakan membela. Walaupun kebangkitan itu tidak sama dengan kebangkitan ahli Umno semasa Anwar Ibrahim disingkir dari jawatan sama 17 tahun lalu, tetapi Najib tentu membuat persiapan dan mengira kejadian itu akan berlaku. Pengalaman dilalui Dr Mahathir Mohamad pasti dipelajari.

Di sinilah Najib sudah membuat perhitungan sebelum melantik Zahid bukannya Hishamuddin Hussein. Zahid dari perhitungan Najib mempunyai pengaruh akar umbi yang melata dalam Umno. Pengaruh dan pendokong Zahid lebih besar daripada Hishamuddin. Kelebihan yang Zahid miliki itulah yang mengajak hatinya untuk melantik Zahid sebagai TPM. Kesetiaan, bekas anak buah dan kawan sangat diperlukan Najib dalam keadaan kritikal begitu.

Persoalannya apakah Zahid mampu dan perlantikannya dapat dijadikan benteng mengukuhkan kedudukan Najib? Zahid tidak syak lagi mempunyai tugas berat dalam hal ini. Beliau perlu membuktikan kepada Najib yang dapat menggunakan pengaruhnya mempertahankan Najib dari digugat. Zahid telah membuktikan sebelum ini dia berjaya menjadi keldai kepada Najib. Masa Najib berhadapan dengan masalah di Kementerian Pertahanan dahulu, dia serahkan kepada Zahid untuk memikulnya. Dan sebagai boy Najib Zahid sedia melakukan apa sahaja asalkan diupah dengan jawatan.

Persoalan lain disebalik rombakan kabinet itu yang membelenggu kepala orang ramai, apakah tindakan Muhyiddin seterusnya. Apakah bekas TPM itu hanya mendiamkan diri dan berihat daripada politik. Apakah dia akan bersekongkol dengan mereka yang senasib dengannya. Dalam hal ini orang yang mungkin bersama Muhyiddin ialah Shafei Afdal.

Walaupun ada beberapa yang lain yang digugurkan tetapi mereka dilihat ikhlas dan redha menerima sebagai satu ketentuan. Tetapi Shafei yang berkedudukan sebagai Naib Presiden ada pengikutnya sendiri dan mempunyai pengaruh yang meluas di Sabah. Kedudukan itu boleh menyebabkan Shafei berfikir berlainan daripada mereka itu.

Pengikut dan pendokongnya tentu kesal dan kecewa dengan tindakan Najib itu. Apakah mereka akan melihat dan membiar begitu sahaja bos mereka itu. Dan apakah Shafei tidak akan bercantum dengan Muhyiddin untuk melakukan sesuatu sekurang-kurang menjelaskan kepada penyokong masing-masing menerusi satu gerakan. Apakah mereka juga akan mengikuti road show yang dianjurkan pengikut mereka?

Dan persoalan juga timbul apa kesudahan dan sikap Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir harus diletakkan ketanggungjawaban atas nasih diterima Muhyiddin itu. Bukankah Mahathir yang menjadi mentor kepada Muhyiddin yang menggerak serangan kepada Najib. Adalah tidak bertanggungjawab kalau Dr Mahathir menerima seadaknya.

Persoalan-persolan itu akan terjawab selepas ini. Saya yakin Muhyuddin maupun Shafei Afdal dan Dr Mahathir yang berasa sudah tewas dengan game untuk menjatuhkan Najib akan terus bertindak. Apakah tindakan itu, inilah yang menjadi persoalannya dan yang sama-sama kita tunggu. Ia akan terjawab dalam seminggu dua lagi.

Untuk mengira Muhyiddin akan menentang Najib dalam perhimpunan agung Umno, (PAU) ia masih terlalu lama. Najib sudah bertindak lebih awal untuk memastikan kedudukannya tidak tergugat apabila telah menangguhkan PAU sehingga tahun 2018. Perhimpunan itu mungkin diadakan selepas pilihan raya umum ke- 14. Ketika itu Muhyuddin dan yang lain sudah tidak mempunyai apa-apa kuasa atau aset lagi untuk menentang Najib.

Jadi hendak tidak hendak Muhyiddin atau Shafei dan Dr Mahathir atau sesiapa yang marahkan Najib perlu bertindak secepat mungkin. Mereka tidak perlu tunggu untuk berlawanan dengan Najib dalam perhimpunan agung Umno kerana keputusan itu sudah terlewat. Tindakan terbaik ialah sebelum PAU. Apakah mereka akan bergabung dengan entiti lain untuk menganyang Najib? Walahu'alam. [wm.kl.9:07 pm 28/07/15]

No comments: