Tuesday, July 21, 2015

Isu jatuhkan Najib sudah dispin

SUSUPAN PAGI                                                                         

Tampaknya para pendokong Najib Razak tidak mudah kekeringan idea dalam merekayasakan strategi untuk mempertahankan perdana menteri itu. Serangan Dr Mahathir Mohamad terhadap Najib juga bukan mudah untuk mencapai kemuncaknya. Mahathir diletakkan sebagai dewa penyabut nyawa Najib, tetapi sehingga kini masih gagal.

Satu-satu masa keadaan menunjukkan kedudukan Najib sangat mencemaskan, tetapi sekejap kemudian Najib seakan mendapat kekuatan baharu semula. Lantaran itu saya menyifatkan peperangan di antara Najib dan Mahathir tak ubah seperti perbalahan antara bokbon dengan ular senduk, di mana mereka sama handal dan punya senjata rahsia masing-masing.

Terbaharu berlaku pemanipulasian keadaan, atau pun spin - memusingkan keadaan sebelum ini kepada keadaan baharu yang menampakkan simpati kepada Najib Razak. Dalam usaha ini menyebabkan isu utama mengenai kehilangan wang 1MDB sebanyak RM42 billion dan juga "pencurian" wang dikatakan ada kaitan dengan 1MDB sebanyak USD700 juta (RM2.62 billion) sudah mulai hilang dengan tektik pemusingan isu ini.

Demikian juga kemasukan wang RM2 juta ke dalam akaun Rosmah Mansor yang diaanggap memelikkan (sebenarnya tidak pelik), sudah dilupai.

Kini orang mula tertumpu kepada persepsi baharu yang dibuat oleh pendokong Najib, kononnya ada konspirasi oleh pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan. Usaha ini dilakukan oleh orang tertentu di luar negara, kata mereka.

Sekurang-kurangnya dua bekas Ketua Polis Negara juga turut mengambil bahagian membuat tanggapan baharu ini bagi menyakinkan rakyat mengenai pusingan itu. Dengan strategi ini mengharapkan rakyat akan membela Najib dan membenci para konspirator itu dan pembangkan yang ditarik dalam permainan ini. Pusiangan isu ini meringankan kemarahan rakyat kepada Najib.

Plot ini direka cita hanya dengan mengambil kenyataan liar kononnya ada pemimpin pembangkang telah mendapat maklumat mengenai Najib dan juga kerajaan Malaysia di luar negara. Maklumat itu digunakan untuk menjatuhkan kerajaan. Walhal maklumat itu masih bersifat kabur dan prejudis. Pada saya pemberian maklumat kabur itu juga satu lagi bentuk perniagaan melumayakan.

Sebenarnya tidak timbul kalau isu yang menjadi riuh randah kini ia adalah satu konspirasi untuk menggulingkan kerajaan. Apa yang berlaku ialah usaha untuk menggulingkan Najib sebagai perdana menteri. Semua pihak kena memahami situasi ini dan tidak mudah dikelirukan dengan persepsi liar itu.

Isu-isu berhubung ketidaktelusan dalam 1MDB, pendedahan berlaku penyonglapan wang ke dalam akaun peribadi Najib dan isterinya, adalah isu untuk menyerang Najib sebagai PM. Isu itu mahu menggelupurkan Najib sebagai perdana menteri. Hakikat ini diakui sendiri oleh bekas PM Dr Mahathir Mohamad apa yang didesak ialah Najib berundur.

Menggulingkan Najib dengan mengguling kerajaan (UBN) dua perkara yang berbeza yang tidak boleh disamakan. Menggulingkan Najib menjatuhkan seorang individu manakala menggulingkan kerajaan menjatuh dan menukarkan sistem pemerintahan. Ia berbeza sama sekali. Apa yang berlaku kini usaha untuk menjatuhkan Najib.

Mahathir dan mereka yang sewaktu dengannya mahu Najib berundur kerana PM itu sudah hilang integriti dan gagal mentadbir negara dengan baik. Mereka mahukan Najib diganti dengan seorang tokoh lain yang boleh menyelamatkan keadaan negara.

Dr Mahathir dan mereka yang lain juga masih mahukan Umno dan BN kekal berkuasa. Ironisnya lagi kemahuan agar Najib dan isterinya berundur adalah untuk menyalamatkan kerajaan Umno-BN yang ditinggalnya itu. Mahathir perpendapat kalau Najib kekal di kerusinya, menyebabkan kerajaan UBN yang bertahan selama lebih 55 tahun akan ghuyub.

Jelas mereka yang spin isu yang berlaku hari ini kononnya wujud konspirasi untuk menggulingkan kerajaan dibuat oleh mereka yang barang kali sudah mendapat upah daripada "kerajaan" Najib. Apakah wang upahan untuk mempertahankan Najib itu diambil dari sebahagian RM42 billion wang 1MDB yang dikatakan masih ada tetapi entah di mana itu?  [wm.kl.10:29 am 21/07/15]

Post a Comment