Friday, July 31, 2015

Najiib sedang cari idea untuk hadapi serangan balas Muhyiddin

SEBELUM JUMAAT

Petang ini Najib Razak akan mengadakan pertemuan tertutup dengan Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri yang mana ia dilihat sebagai penjelasan terperinci berhubungan tindakan mengejut yang dibuatnya memecat Muhyuddin Yassin sebagai TPM Selesa lalu.

Walaupun pengerusi perhubungan negeri-negeri sudah menerima hakikat yang berlaku lebih 72 jam lalu, tetapi ada yang berasakan tindakan Najib itu sebagai janggal. Makanya Najib perlu memberi justifikasi atas tindakannya.

Pertemuan petang ini juga dilihat sebagai langkah susulan sebagai menghadapi sebarang kemungkinan serangan balas daripada Muhyiddin dan penyokongnya yang tidak berpuas hati dengan tindakan Najib itu. Apa ditunggu Najib ialah gerak balas dari Dr Mahathir Mohamad. Sehingga kini Dr Mahathir masih belum berbuat apa-apa ekoran pemecatan Muhyuddin itu.



Walaupun Muhyuddin mengatakan beliau reda dengan tindakan itu, tetapi ia bukan satu kenyataan yang iklhas dan Najib boleh menerima ia sebagai jawaban Muhyiddin yang tidak perlu dipertikaikan. Kebimbangan bagi Najib juga kerana bukan sahaja dia terpaksa berhadapan dengan penyokong bekas TPM itu tetapi penyokong Shafei Afdal juga yang turut sama dipecat. Ketumbukan Muhyiddin akan menjadi lebih besar kalau ada gabungan dengan armada perang dari Shafei Afdal.

Kenyataan daripada beberapa ketua bahagian dan juga individu yang mezahirkan rasa terkejut dan bersimpati kepada Muhyiddin tentunya ditafsirkan oleh penasihat Najib ia sebagai protes kepada perdana menteri itu.

Apa lagi ada beberapa ketua bahagian yang secara terang-terangan mahukan Muhyiddin merasmikan mesyuarat bahagian mereka menunjukkan simpati kepada Muhyiddin. Apa diharapkan oleh Najib, sepatutnya semua bahagian Umno yang mengundang Muhyiddin merasmikan mesyuarat bahagian masing-masing dibatalkan apabila beliau (Muhyiddin) disingkir.

Dari kaca mata politik penyingkiran Muhyiddin sebagai TPM, secara automatik ia juga merupakan penyingkiran sebagai timbalan presiden. Ke situlah maksud sebenarnya. Tetapi disebabkan jawatan itu dibuat dalam perhimpunan agung Umno, maka ia perlu diuruskan oleh perwakilan. Perwakilan berhak dan mempunyai mandat menentukannya.

Situasi ini sedikit meresahkan Najib dan ia menyebabkan PM itu dan kabinetnya kini (Umno) tidak begitu licin untuk menguruskan parti. Yang pasti Najib kini berhadapan dengan situasi merungsing dan menyerabutkannya. Bayangan hitam hasil tindakannya itu sedang mengejarnya. Najib kini sangat terganggu. Justeru hendak tidak hendak Muhyiddin harus disingkirkan juga dari jawatan itu.

Ada dua kaedah sahaja untuk menyingkirkan Muhyiddin sebagai timbalan presiden Umno, pertama menerusi perhimpunan agung khas, kedua dengan memecat Muhyiddin sebagai ahli Umno. Najib boleh mengguna pakai teori kejam Dr Mahathir menyingkirkan Anwar 17 tahun lalu untuk menamatkan krisis beliau dengan Muhyiddin dalam Umno kini. Tetapi apakah Najib sedia berhadapan dengan demonstrasi mendesaknya turun?

Mungkin para penasihat Najib sedang mengkaji kesan dan implikasi kepada apa-apa tindakan yang akan diambil nanti. Terbaik bagi Najib untuk menyelesai dan menyelamatkan kedudukan dari tidak diganggu Muhyiddin ialah apabila Muhyiddin tidak lagi menjadi timbalan presiden. Dengan mengekalkan jawatan itu Muhyiddin masih boleh bersuara atas kapasiti jawatan itu.

Apakah akhirnya Najib akan memecat Muhyiddin? Memecat tanpa ada kesalahan besar satu kesilapan dan ia akan membakar diri Najib seperti mana yang menimpa Dr Mahathir. Dan waktu ini Muhyiddin pula sangat berhati-hati bagi mengelakkan beliau dianggap melakukan apa-apa kesalahan sehingga dipecat dari Umno.

Pertemuan Najib petang ini dengan ketua perhubungan adalah dalam rangka mencari penyelesaian dan jawaban serta akal fikiran macam mana untuk berhadapan dengan gelombang yang terwujud ekoran pemecatan Muhyiddin itu? [wm.kl.12:30 pm 31/07/15]
Post a Comment