KENYATAAN
Bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa hari ini menggesakan Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran negara sesegara mungkin daripada tangan Najib Razak.
Sehubungan itu juga Husam menggesa semua pihak melakukan sesuatu agar Najib berundur demi untuk menyelamatkan negara daripada menjadi lebih teruk.
Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada blog ini sekejap tadi, Husam menyebut; negara kini benar-benar dalam keadaan sangat kritikal pertama kali seumpamanya apabila Perdana Menteri selaku ketua pengurus negara dilingkari tanda-tanda penyalahgunaan kuasa yang amat dahsyat.
Tegas Husam kenyataan berani oleh Peguam Negara pada Sabtu lepas yang mengaku sudah melihat dokumen berhubung penyelewengan dikatakan membabitkan Najib dan mengarah siasatan dijalan sudah cukup untuk Najib berundur.
Dalam pada itu Adun Salor itu juga mencadangkan Muhyiddin segera menghadap Yang diPertuan Agong bersama Peguam Negara dengan membawa bersama dokumen berkaitan penyelewengan membabitkan Najib.
Berikut adalah kenyataan penuh Husam;
Muhyidin Perlu Segera Ambil Alih Negara
Negara kini benar-benar berada dalam keadaan sangat kritikal pertama kali seumpamanya.Ketika Perdana Menteri selaku ketua pengurus negara dilingkari tanda-tanda penyalahgunaan kuasa yang amat dahsyat, kemudi negara untuk membetulkan keadaan itu masih di tangan beliau sendiri.
Tidak mungkin pembetulan untuk meletakkan negara kembali ke landasan keluhuran undang-undang sebagai kunci perjalanan kerajaan di atas dasar jujur dan amanah serta menjamin keamanan dan kedaulatan negara dapat dilakukan.
Kenyataan berani dan terbuka Peguam Negara pada Sabtu lepas sebenarnya sudah cukup bagi seorang pemimpin yang bermaruah mengambil langkah mengundurkan diri. Segalanya telah tersimpul dalam kenyataan itu dan hingga petang ini, Isnin 6 Julai, empat hari selepas kenyataan itu, PM gagal mengeluarkan sebarang penjelasan terhadap kenyataan AG.
Ketika AG membuat kenyataan telah melihat sendiri dokumen-dokumen berkaitan dan mengarahkan serbuan dibuat ke atas syarikat berkaitan, negara kita sepatutnya telah pun diambil alih oleh seorang PM yang baru atau paling kurang Pemangku PM.
Ketiadaan sebarang reaksi dan tindakan ekoran kenyatan AG itu, hanya akan membuka jalan kepada penutupan jenayah dan pelbagai manipulasi politik.
Kenyataan oleh badan-badan mahasiswa UIA pada hari ini adalah sangat bermakna dalam situasi kritikal sekarang. Saya mengucapkan syabas kepada semua mahasiswa UIA khususnya pemimpin mereka Saudara Hanif Mahpa dan Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda dan lain-lain.
Sesuatu mesti dilakukan oleh semua pihak dalam negara kita untuk memaksa PM melepaskan tanggung jawab dan kuasanya setidak-tidaknya untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan tindakan yang bebas dapat diambil.
Saya bersetuju TPM mesti mengambil inisiatif utama untuk meluruskan langkah pembetulan negara.
TPM sewajibnya menemui DYMM YDP Agung bersama AG untuk menyembah maklum keadaan yang ada dan seterusnya mencadangkan pelucutan jawatan PM.
Ahli Parlimen seluruhnya perlu menunjukkan sikap patriotik mereka termasuk memberikan sokongan kepada TPM untuk mengambil alih negara dari DS Najib sekalipun mereka adalah dari parti-parti di luar kerajaan.
Tan Sri Muhyiddin juga perlu menjamin suatu tindakan undang-undang diambil tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Lebih banyak malapetaka akan berlaku jika tindakan segera tidak diambil.
Husam Musa
6 Julai 2015
19 Ramadhan 1436H
[wm.kl.7:17 pm 06/07/15]
No comments:
Post a Comment