Tuesday, July 14, 2015

Kerinduan Pas kepada Umno persis rindunya penagih kepada dadah

SUSUPAN TENGAHARI                                                                                    

Pimpinan Pas yang baharu menolak keras andaian mengatakan mereka akan membawa parti itu bergabung dengan Umno. (Diramalkan penggabungan ini paling lewat akan berlangsung dalam menghadapi pilihan raya akan datang). Dakwaan itu ditolak pagi dan petang walaupun gelagat dan sikap yang ditunjuk mencerminkan yang Pas kini lebih mesra dengan Umno berbanding dengan PKR. DAP sudah pun dihalau jauh.

Saya tidak tahu apakah kenyataan dan pendirian yang dibuat oleh ketua parti itu yang mempertahankan Najib Razak dalam beberapa isu termasuk isu 1MDB, atau seruan-seruan agar Najib diberi peluang dan berdoa untuk kesejahteraanya, bukan satu indikator positif ke arah membawa Pas untuk berkerja sama dengan Umno.

Saya mungkin naif dalam menilai gerak geri fizikal politik Pas ini, apa lagi merasai apa yang tertunjang dalam sanubari mereka. Misalnya situasi yang terpamer di Kelantan sangat menjelaskan kemungkinan itu. MB Kelantan yang mengganti Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ahmad Yaakub sudah lebih dua kali berjumpa secara rasmi dengan perdana menteri, Najib Razak.

Tidak cukup dengan aksi itu, perubahan sikap media massa seperti telivesyen dan akhbar "PB", yang sebelum ini menghentam dan menyerang Pas dan kerajaan Kelantan, malam siang tiba-tiba berubah angin dan perangai memberi ruang istimewa kepada pemimpin Pas. Menjadi mesra dan baik dengan kerajaan Kelantan. Mereka tidak lagi loket untuk memberi ruang kepada berita-berita positif mengenai Pas dan kerajaan Kelantan.

Apakah perubahan itu sebagai membuang tabiat buruk kerana ada undang disebalik batu?

Sekali lagi apakah perubahan itu kebetulan, atau ia berlaku kerana mengikut edaran cuaca yang tidak menentukan kini. Maksudnya ia berlaku secara alamiah yang tidak ada sangkut paut dengan semangat dan strategi politik Pas?

Walaupun anggapan saya naif, saya tetap mengira yang Pas ada hati dan keinginan kepada Umno. Pas merindui Umno seperti penagih rasa rindu dengan dadah. Ketiadaan dadah menjadikan mereka "terbawau-bawau" sepertilah Pas terngiau-ingau untuk bersama Umno. Keperluan itu kerana berberapa perkara untuk kebaikan ummah juga. Dalam konteks Kelantan adalah untuk kepentingan rakyat Kelantan. Kedudukan kewangan kerajaan negeri kini sangat terdesak kerana kurangnya pendapatan jadi salah salah satu faktor kenapa Pas mahu berkerjasama dengan Umno. Ia adalah demi survive kerajaanya.

Pemimpin Pas Kelantan kini bukan seperti Tokguru Nik Aziz. Mereka tidak ada "political will" untuk membangun Kelantan dengan keupayaan sendiri. Tiada ada idea dan tidak punya kreativiti bagaimana untuk menjana kewangan negeri. Jauh sekali mampu menjangkauan politik nasional.

Petunjuk bahawa kewangan negeri tenat, urusan sisa pepejal yang dulu dikendalikan oleh Majlis Tempatan (PBT) katanya hendak diswastakan kepada Alam Felora. Penswastaan itu yang memberi kesan politik kepada Pas tidak akan dilaksanakan kalau kerajaan mempunyai kewangan yang cukup. Orang tidak akan menggadai barang kemas kalau keperluan kewangannya mencukupi.

Demikian juga nafsu besar kerajaan Kelantan yang hendak membina lebuh raya rakyat dari Machang ke Kuala Krai, akhirnya terpaksa diserahkan kepada kerajaan pusat untuk diteruskan. Penyerahan ini sekali lagi menunjukkan kerajaan Kelantan ketandusan wang dan kebuntuan idea untuk meneruskannya.

Setelah dua tahun Ahmad Yaakub menjadi MB belum ada apa-apa projek yang menjana kewangan wujud di Kelantan melainkan ada atas kertas sahaja. Beberapa perjanjian persefahaman atau projek skala besar yang dirancangkan gagal. Pentadbiran hari ini hanya menghabiskan wang simpanan yang ada sebelum ini. Kelemahan itulah meletakkan kerajaan Kelantan dalam keadaan runcing dan memerlukan bantuan atau kerjasama dengan Umno.

Kerjasama dengan Umno sebagai sebuah parti tunggak kepada kerajaan BN sesuatu yang pratikal. Semisal kita hendak berkawan dan berpakat dalam perniagaan mestilah dengan orang yang mempunyai kewangan yang banyak atau setidak-tidak mendapat jaminan bank. Tetapi dalam hal ini apa kita berasakan ada yang tidak kenal dengan tindakan Pas Kelantan itu, ialah mereka seakan tersilap membaca peta politik.

Apakah mereka yang menjadi tukang fikir dan menyusun strategi dalam Pas Kelantan ketika ini masih percaya kepada kekuatan Umno? Apakah mereka tidak terfikir, kemungkinan Umno akan kehilangan kuasa dalam PRU akan datang. Kalau ini berlaku bukankah Pas Kelantan silap besar dalam membuat perhitungan? Tindakan berkerjasama dengan Umno itu boleh memakan diri sendiri?

Ataupun kerjasama itu sebenarnya kerana Pas ingin membantu menyelamatkan Umno yang ketika ini dalam keadaan nazak? Saya katakan ini kerana saya tidak nampak kalau kerjasama itu hanya berlaku diperingkat Kelantan sahaja. Kelantan adalah pengkalan kepada penyusunan dan langkah kerjasama itu. Kalau kerjasama berlaku ia mesti melibatkan diseluruh negara.

Keadaan hari ini - dengan masalah kewangan dan terbaharu tindakan bekas-bekas pemimpin Pas hendak menubuhkan parti baharu menjadikan Pas makin terdesak dan perlu menyegerakan hubungan dengan Umno. Pas tidak perlu tunggu lama apa lagi saat menjelang pilihan raya.

Saya bersetuju dengan pendapat Haron Din seperti mana diluahkan kepada seorang rakan saya, kalau Pas hendak kerjasama dengan Umno jangan ditunggu lama. Ia perlu diproseskan dari sekarang tidak menunggu saat parlimen dibubarkan. Sebab kalau kerjasama itu dibentuk menjelang pilihan raya ia menimbulkan masalah.
Tegasnya para pemimpin Pas tidak boleh menafikan lagi kemungkinan kerjasama itu tidak diadakan. Sebenarnya kedudukan Pas sehari dua ini dalam bahaya, sehinggakan ia kemungkinan kehilangan pegangan dalam kerajaan di Selangor. Justeru tindakan cepat perlu dilakukan. Pas harus menjaga maruahnya, kena bertindak sebelum orang menjuahnya.

Kegagalan kerjasama dengan Umno juga besar kemungkinan Pas akan kehilangan kerajaan Kelantan. Mahkota kekuasaan yang dibangun dan ditinggalkan oleh Nik Azi akan hancur. Apabila Pas tidak menjalin kerjasama dengan Umno, Pas akan menghadapi pilihan raya secara bersendirian. Manakala sudah tentu parti baharu akan ikut sama meletakkan calon.

Apabila berlaku pertandingan tiga penjuru di Kelantan; antara Pas, UBN dan parti baharu, Pas akan kalah. Perpecahan undi Pas kerana kehadiran parti baharu membawa kehancuran kerajaan Pas di Kelantan. Makanya, bagi mengelak kehancuran itu Pas harus segera membentu kerjasama dengan Umno. Bertanding menggunakan lambang Dacing seperti tahun 1974.

Pas Kelantan jangan peduli kepada pesan dan pendirian Tokguru sebelum ini yang enggan berkerjasama dengan Umno. Beliau sudah tidak ada, dimensi baharu dalam Pas ini perlu diwujudkan berdasar dengan perubahan masa serta kehendaki dan naluri orang berkuasa terhadap Pas ketika ini.

Jadi kalau ada mana-mana pemimpin Pas menafikan akan berlaku atau terbentuknya kerjasama itu, ia hanya sebagai helah untuk tidak membangkitkan kemarahan mana-mana ahli Pas yang alergik dengan Umno. Penafian itu tidak lebih daripada sebahagian satu tindakan politik sahaja, sedangkan hakikatnya mulut berkata tidak tetapi hati berkehendak. [wm.kl.12:42 t/hari 14/07/15]
Post a Comment