Thursday, July 2, 2015

Gara-gara tindakan tidak ikut peraturan Kias kena bayar RM200 ribu

LAPORAN LEWAT                                                                                          

Che Ibrahim dapat RM200 ribu sejuk-sejuk.
Gara-gara bertindak berdasarkan sentimen politik dan enggan berunding, Kolej Islam Sultan Ismail Petra (Kias) institusi pengajian agama milik kerajaan negeri Kelantan terpaksa membayarkan RM200,000.00 kepada bekas pekerjanya Che Ibrahim Mohamed apabila diarah oleh Mahkamah Perusahaan.

Bayaran kepada Che Ibrahim Mohamed bekas Penolong Pendaftar Kias itu hendaklah dibuat dalam tempoh 14 hari.

Che Ibrahim sebelum ini mendakwa hilang pendapatan ekoran tindakan bekas majikannya itu, bolehlah membelanjakan wang menang kes itu sebagai perbelanjaan untuk hari raya dan bersedekah. 

Che Ibrahim yang berkhidmat dengan Kias selama 14 tahun dipecat pada tahun lalu atas alasan melanggar tatatertib. Surat pemecatan itu ditanda tangani oleh Pengerusi Kias, Mohd Amar Nik Abdullah yang juga TMB Kelantan.

Che Ibrahim tidak berpuas hati dengan pemecatan itu akhirnya membawa kesnya ke Mahkamah Perusahaan untuk mendapat keadilan. Sebelum itu Che Ibrahim cuba mencari penyelesaian secara anak beranak termasuk mengadakan perundingan dengan MB Kelantan Ahmad Yaakub, tetapi gagal.

Beliau juga sudah memberi peringatan sekiranya kesnya tidak diselesaikan dengan baik, beliau tidak ada cara lain bagi mendapat pembelaan melainkan membawa kesnya ke Mahkamah Perusahaan. 

Penghinaan terhadap Che Ibrahim yang dibuat oleh pihak tertentu menyebabkan beliau serius membawa ke itu ke mahkamah.

Arahan yang dibuat oleh Mahkamah Perusahaan itu kepada Kias menyebabkan "tidak fasal-fasal" Kias yang sudah dalam ketenatan kewangan "kerugian" sebanyak RM200 ribu.

Kes Che Ibrahim itu tidak akan terhenti disitu sahaja apabila khabarnya beliau akan mengemukakan saman malu kepada pihak-pihak tertentu berhubung tindakan menghinanya bersabit perkara itu. Arahan Mahkamah Perusahaan kepada Kias itu tentu menjadi bukti yang beliau dipihak benar.

Kita tunggulah siapakah yang akan dinamakan oleh Che Ibrahim dalam samannya itu?

Apa yang berlaku itu seharusnya diambil iktibar oleh pihak kerajaan negeri. Jangan anggap mudah untuk bertindak ke atas mana-mana pekerja yang tidak sekapala dengan kita. Sebagai sebuah kerajaan seharusnya tindakan penyelesaian terhadap Che Ibrahim itu dilakukan dengan penuh beradab dan mengikut peraturan, apa lagi kerajaan PAS Kelantan dianggap sebagai kerajaan Islam.

Tindakan ke atas Che Ibrahim itu juga bukan sahaja satu penganiyaan tetapi sikap tidak mengenang budi beliau selama ini yang dicurahkan kepada kerajaan Kelantan. Ramai yang tidak mengetahui Che Ibrahim adalah Setiausaha Jawatankuasa deraf kanun Jenayah Syariat II Kelantan, hukum Hudud yang di"wawar"kan setahun dua ini.

Sudah pasti kejayaan Che Ibrahim dalam tuntutannya itu menjadi pendorong kepada mana-mana bekas pekerja lain yang menghadapi tindakan buang kerja sama seperti Che Ibrahim untuk membawa majikan mereka ke muka pengadilan.

Di sinilah kurang cerdik dan pekanya kerajaan terutamanya pihak berkuasa di Kias sehinggakan membuka satu peluang kepada pekerja untuk menyaman mana-mana majikan atau agensi kerajaan Kelantan.

Sekiranya Ahmad Yaakub sedia untuk menerima tawaran perundingan yang dibuat oleh Che Ibrahim sudah pasti kes-kes yang memalu dan menjatuhkan maruah Kias itu dan kerajaan negeri Kelantan dapat dielakkan. [wm.kl.6:01 am 02/07/15]
Post a Comment