Tuesday, July 28, 2015

Beranikah Najib gugurkan Muhyiddin? Tidak..

REAKSI                                                                                        

Kolam politik negara beralun sedikit hari ini ekoran spekulasi Najib Razak akan melakukan rombakan kabinet. Katanya, Najib sudah pun menghadap Yang diPertuan Agong menyerahkan senarai Kabinet baharu. Najib dilaporkan akan mengumumkan Kabinet baru hujung minggu ini.

Dalam desas desus itu timbul beberapa nama yang kononnya akan keluar dan yang akan masuk. Antaranya ialah nama Muhyiddin Yassin dikatakan akan digugurkan, bersama sekurang-kurang dua menteri lain, Shafei Afdal dan juga Hasan Malik.

Sehubungan itu muncul nama lain yang akan dinaikan pangkat menjadi menteri penuh, antaranya Ahmad Maslan, Mahadzir Khalid dan seorang ahli parlimen dibawa masuk menjadi timbalan menteri. Ada juga yang bertukar kementerian. Bagaimana pun nama Annuar Musa dan Tengku Razaleigh Hamzah tidak tersenarai dalam spekulasi ini.


Sesuai dengan nama Muhyiddin dibawa keluar, nama Ahmad Zahid Hamid disebut-sebut akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ada kemunasabahannya juga sebab Zahid adalah Naib Presiden terkanan kalau dikira dari urutan jumlah undi semasa pemilihan.

Persoalanya, apakah Najib berani untuk menggugurkan Muhyiddin? Apakah Najib rasa dia selamat dan gagah dengan Zahid Hamidi mengambil alih tempat Muhyiddin? Apakah Najib tidak bimbang akan berlaku "amokan" oleh Muhyiddin dan Dr Mahathir Mohamad. Menggugurkan Muhyiddin bermakna menggugurkan sama Dr Mahathir dan gengnya.

Pemerhatian kini tertumpu kepada jawatan nombor dua itu, walaupun memang dirasakan ada perubahan pada jawatan atau menteri-menteri lainnya. Kalau Najib berani bertindak memecat Muhyiddin bermakna Muhyiddin akan menjadi senasib dengan dua pemimpin Johor sebelum ini, Musa Hitam dan Dr Ismail Abdul Rahman.

Musa Hitam pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri akhirnya melepaskan jawatan kerana kecewa dengan Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad. Dr Ismail Abdul Rahman juga pernah meletak jawatan dalam kabinet. Perletakan jawatan kedua tokoh itu dikaitkan dengan sikap merajuk mereka kerana tidak berpuas hati dengan perdana menteri. Orang Johor dikenali sebagai kuat merajuk?

Musa tidak berpuas hati dengan Mahathir, manakala Dr Ismail tidak berpuas hati dengan Tunku Abdul Rahman mengenai isu pemisahan Singapura dari Malaysia. Sekiranya Muhyiddin dipecat dari kabinet, beliau tokoh ketiga dari Johor yang tidak sempat menuju punck dalam kerjaya politiknya. Bezanya Muhyiddin digugurkan tetapi Musa dan Dr Ismail kerana merajuk.

Namun saya tidak fikir Najib berani mencari fasal dengan menggugurkan Muhyiddin. Menggugurkan Muhyiddin seperti mana saya katakan tadi dia mencari gaduh dengan Dr Mahathir Mohamad juga. Apakah Najib sudah mengira nasab dan nasib politik Umno kalau dia berbuat demikian? Bahawa dalam tilikkannya nasab Umno baik.

Pilihan raya ke-14 sangat terdesak dan sukar bagi Najib Razak. Dengan beradanya Muhyiddin diluar yang bergabung dengan Mahathir sudah tentu akan wujud suasana politik baharu dalam negara ini. Tidak mustahil mereka akan meninggalkan Umno dan berkolobrasi dengan mana-mana kumpulan untuk menjatuhkan Najib.

Perjuangan Dr Mahathir kini ialah menjatuhkan Najib demi negara selepas menjatuhkan Abdullah Ahmad Badawi juga "kunu" demi negara?

Berdasarkan suasana dan senario itu saya tidak fikir nama Muhyiddin digugurkan dari Kabinet dan kalau Najib berbuat juga, bermakna Najib sudah menunjukkan keberaniannya dalam politik. Keberanian yang akan membawa padah besar kepadanya. Keberanian yang luar biasa dalam sejarah politik Najib kerana selama lebih 30 tahun terjun dalam kancah politik belum ada keputusan besar dan kritikal dilakukan Najib. Najib seorang play safe. 

Kecualilah Najib sudah bermain mata dengan Anwar Ibrahim menyebabkan dia berani untuk melupai Muhyiddin dan mengambil Zahid sebagai timbalannya. Telah bukan menjadi rahsia umum lagi kekuatan dan keistimewaan Zahid yang satu-satunya ialah mempunyai hubungan intim dengan Anwar. Mungkin Zahid sudah mendapat persetujuan Anwar agar membantu Najib sekiranya Muhyiddin dan Mahathir bertindak menyerang balas.

Semalam saya telah mengulas macam mana Muhyiddin telah membunyikan peliut untuk menyerang Najib. Mungkin Najib dan Rosmah Mansor mendengarnya.

Kita tunggu sahaja. [wm.kl.11:13 am 28/07/15]

No comments: