Tuesday, July 7, 2015

Anwar: Penjara Bukan Pusara

PROGLOG                                                                                                           

SUDAH lebih 100 hari Anwar Ibrahim meringkuk dalam penjara dihimpit keseksaan dan dimamah kehancuran. Beliau menanggung segala keseksaan dan derita bersendirian. Dia mengulik nestapa diri dan membangun kekuatan jiwa kesendirian. Namun, dia tidak pernah menyesal terhadap apa yang berlaku. Jauh sekali berputus asa dan kecewa. Suaranya tetap bergema dan memecah tembok batu memesankan salam dan menebarkan seruan jihad setiap masa terluang. Lawan tetap lawan...!

Anwar: Penjara bukan pusara.
Anwar tidak pernah pasrah kepada takdir, beliau tidak mahu sampai ke pita penamat (finish line) dalam perlarian juangnya yang sudah dilewati ribuan kilometer.

Reformasi membela rakyat diteruskan. Api refomasi yang dinyalakan 17 tahun lalu tidak akan mudah padam, selagi ia tidak membakar lumat menjadi debu segala penyelewengan, ketidakadilan, kezaliman pemerintah ke atas rakyat, ia diteruskan.

Ternyata, walaupun ramai kawan-kawan yang menjadi pemegang atau pembakar obor reformasi bersamanya sudah melarikan diri kerana tidak betah menahan panas api, tetapi ia tetap menyala dan hangat. Mereka yang lari itu adalah sang pengecut yang oportunis mencari sebuku dua gula dan setitik madu untuk memaniskan hidup.

Bara berunggunkan di jantung hati itu tidak akan dipadam, terus dihembus dan ditup ke segenap jagat nusa bangsa. Tiada kepayahan bagi seorang pejuang baginya untuk menyuntik semangat itu.
Jeriji besi dan tembok batu bukan jadi pelerai jiwanya dengan pejuang dan ia tidak bisa mematikan harapan berkobar rakyat. Semangat juangnya tetap terpanggung atas atmajiwa. Bagi Anwar penjara bukan penamat segalanya.

Dia tidak memperdulikan sakit. Sangsara baginya adalah makanan dan pencaroba bagi seorang pejuang. Dia tidak melayan rindu dendam kepada isteri, anak-anak dan lebih-lebih kepada cucu-cucunya. Usia sepertinya, cucu adalah permainan yang menghiburkan. Cucu adalah bunga-bungaan yang mewangi hidup seorang datuk dan nenak.

Keletah dan gelak tawa cucu-cucu senantiasa menyirai dimata dan menjadi pengubat kelenguhan dan lelah. Namun itu tidak pernah mengheretnya ke pinggir duka dan air matanya tidak tumpah kerana keranuman cinta. Mungkin juga kolam matanya sudah gersang disedup mentari cabaran dan dugaan perjuangan sepanjang zaman yang silih berganti.

Tetapi ada perkara yang tersumbat sendut dihatinya. Jiwanya menjadi lara dan lirih, apabila mengenangkan medan juang yang dianyamnya. Pergolakan di luar menyebabkan dia risau dan resah menyekang mata mencari makna dan ikhtiar penyelesaian. Doanya menjadi panjang bukan untuk kebebasan dirinya, tetapi demi menghentikan gelora yang memanjangkan musim pertapaanya yang membantutkan mengapai kemerdekaan rakyat.

Wadah berupa tikar terbang keramat bernama Pakatan Rakyat yang dibentangkan untuk rakyat hasil tajaanya kesekian lama, sudah robek dan carik. Dukanya untuk ini lebih dalam daripada kekesalannya atas kezaliman menimpa dirinya. Kalau dia tiba-tiba tersendu dan tersenguk dipalang pintu penjara, inilah isbabnya.

Dari tembok batu Sungai Buloh, orang tidak memahami apakah resah dan kesalnya paling besar, melainkan kepada kepunahan tikar hikmat itu. Bahtera yang dibina bersama yang menulang aspirasi rakyat kini sudah tercabut layar dan sauhnya putus menyebabkan teroleng-oleng ditengah laut tanpa bisa diistirehatkan, apa lagi untuk terus maju ke destinasi hujung. Tikar atau bahtera itu kini berjalan sendiri mengikut jalur kabur tanpa kelasi yang memandunya. Ia terserah nasib kepada alunan dan bedalan ombak ganas di samudera luas.

Itulah duka panjang dan dalam Anwar bin Ibrahim. Yang mengacakan rasa pilu di hujung hatinya. Kenapa semua itu harus berlaku? Apa dapat difahami, ini terjadi sesudah beliau "tiada", apabila fizikalnya "disendur" dalam penjara. Jadi ternyata sebelum ini beliaulah yang menganyam segala harapan rakyat, yang menjahit perca-perca cita rakyat kemudian disatukan atas sebidang wadah bernama Pakatan Rakyat untuk menjadi landasan menentang kezaliman penguasa.

Kalau bukan dia, mungkin tikar hikmat itu tidak wujud. Dan sesudah dia "tiada" ia musnah. Ini mencerminkan pakatan itu dibentuk bukan atas kesatuan hati dan kepaduan harapan luhur, tetapi kerana elemen kepuraan-puraan. Ia bersatu lantaran menghormati gamitan beliau. Pantaslah Tuhan tidak membenarkan tikar hikmat itu melayang mengapai kemenangan pada pilihan raya lepas.

Di sinilah menimbulkan persoalan tanpa terjawab olehku. Apakah pengorbanaan beliau selama ini, bermula daripada meninggalkan jawatan, kedudukan, kerana membela rakyat dibiarkan begitu sahaja. Pengorbanan kubranya, sehinggakan dipukul, diterajang dan diaibkan tidak terasa oleh orang lain.
Kemudian meringkuk dalam penjara selama empat tahun dan kini diulang tambah selama lima tahun. Apakah pengorbanan dan balasan untuk beliau? Apakah sumur budi kita sudah gersang?

Anwar tidak mahu apa-apa daripada rakan-rakananya. Dia tidak meminta jasanya dibalas, tetapi mahu budinya dikembalikan kepada rakyat. Dia hanya mahu kepada sebuah perpaduan menjatikan perjungan untuk rakyat. Dia tidak meminta, untuk menjaga keluarganya, hatta nyawanya sendiri tidak dipedulikan. Tetapi hasrat dan impian rakyat hendaklah dihormati dan dipelihara. Dia tidak mahu apa yang dilakarkan demi rakyat dan negara itu disia-siakan.

Anwar berpuas hati kalau dia terus menjadi dian membakar diri memberi sejalur cahaya buat semua. Cuma apa yang diharapkan, tepislah angin dan ribut dari meliuk lintukkan cahaya yang beliau nyalakan agar rakyat dapat menikmatik sorot itu sewajarnya.

Dan semalam Anwar masih menghantar mesej dari celah-celah batu penjara agar rakan diluar memupuk semangat juang berlandasakan aspirasi Pakatan Rakyat. Katanya kandati pun pakatan itu sudah tidak wujud secara formal tetapi bingkai persefahaman yang telah membuahkan hasil harus diteruskan.

Mesej itu menunjukkan kesungguhan dan iltizam beliau kepada perjuangan membela rakyat menerusi Pakatan Rakyat. Ia menzahirkan keyakinan bahawa kemenangan dapat dicapai apabila tangan-tangan tergenggam erat.

Demikian Anwar yang tidak pernah kalah dan kecewa dalam apa pun keadaan. Dan baginya PENJARA BUKAN PUSARA, yang mengabadikan segala cita-cita dan azamnya di dalam gubuk kezaliman yang penuh kesepian itu. Bagi Anwar dia tidak pernah termimpi nisan menandakan perjuangannya demi rakyat akan tercacak di sisi jasadnya. Tidak. [wm.kl.11:55 am 07/07/15]

No comments: