Friday, July 24, 2015

Kelahiran GHB hasil permukahan politik sesama sendiri

HURAIAN                                                                                   

[kemaskini] Perlancaran Gerakan Harapan Baru (GHB) yang akan muncul sebagai sebuah lagi parti politik baru di negara ini menggelisahkan beberapa pihak tertentu. Yang pastinya ialah daripada Pas sendiri kerana hampir seratus peratus mereka yang terlibat dengan GHB itu merupakan bekas pemimpin dan ahli Pas. Paling membimbangkan Pas, kerana tawaran atau bentuk perjuangan GHB ini bersifat progresif, peduli massa dan serasi dengan jiwa anak-anak muda.

Pakatan sudah relai? 
Memerhati kepada beberapa majlis membabitkan GHB kehadiran anak-anak muda telah memeriahkan suasana. GHB berpotensi menjadi sebuah gelanggang massa, masa depan yang ditangani anak-anak muda.

Kenapa mereka (bekas pemimpin Pas) mengambil keputusan yang mendukacitakan itu, dan satu situasi yang tidak menenangkan keadaan Pas; umum sudah sedia maklum, akan sebab musababnya. Saya tidak bercadang untuk menghuraikannya lagi di sini secara lebih mendalam dan tuntas bagi mengelak saya bias. Cuma apa yang hendak disebut tuduhan mereka kecewa sehingga membentuk wadah baru adalah subjektif sekali.

Umno turut gelisah

Bukan sahaja Pas, tetapi Umno juga gelisah dan tidak tenang dengan kewujudan GHB, walaupun ianya tidak sedukacita para pemimpin Pas dan pencinta Pas hari ini. Bagi Umno melihat kemunculan Harapan Baru, tidak menuntaskan segala kehendak dan perancangnnya selama ini. GHB telah memancung impi angan Umno sebelum ini untuk meletakkan parti itu terus di atas tunggak kekuasaanya.

Sejak wujudnya Pakatan Rakyat secara rasmi selepas pilihan raya 2008 dan membawa kepada saat berakhirnya riwayat pakatan itu (Jun 2015), ia memberi tekanan berat kepada Umno dan BN seluruhnya, Pencapaian Pakatan Rakyat dalam dua pilihan raya 2008 dan 2013 dimana hampir-hampir menenggelamkan kekuasaan UBN, menyebabkan parti itu terperagah begitu sekali.

Bentuk fraksi baru Pakatan.
Kejayaan menguasai empat buah negeri, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah serta mengekalkan Kelantan (2008) serta sekali gus menguasai majoriti 2/3 di parlimen menjadikan Umno tidak senang duduk. Sejak itu Umno menjadi patah tulang berlakang dan dikhuatir akan lumpuh. Ia menghampiri kepada kenyataan itu jikalau Pakatan Rakyat terus utuh.

Umno walaupun masih memerintah tetapi parti itu tidak tenang, resah gelisah sepanjang masa. Kemenangan tidak menjadi tilam dan bantal lembut buat mereka. Bayangan kekalahan menjelma setiap saat dalam mata parti berkenaan selepas itu. Kesan daripada keserabutan itu menyebabkan Umno berkecemukan dan bergasak sesama sendiri walaupun tanpa menggunakan siku dan lutut.

Tunding menunding berlaku menyalahkan antara satu sama lain. Umno dan BN kehilangan gah. Perbalahan bukan sahaja menimpa Umno tetapi kekecamukan juga melanda parti komponen BN yang lain. Sayangnya situasi ini tidak dapat dibaca oleh semua komponen Pakatan Rakyat, khasnya Pas, yang ia memberi peluang besar kepada masa depan Pakatan Rakyat.

Selepas pilihan raya umum tahun 2008, ekoran hentakkan kuat daripada Pakatan Rakyat menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi terpaksa melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno. Perletakan jawatan Abdullah itu ada hubung kait dengan kejayaan Pakatan Rakyat. Umno mengharapkan kelemahan yang disebabkan Abdullah dapat dipulihkan dan kembali kuat apabila Abdullah disingkirkan.

Malangnya apa diharapkan Umno itu tidak kesampaian. Penyingkiran Abdullah secara diplomasi berstrategi itu tidak menyelesaikan masalah. Umno bahkan menjadi lebih teruk lagi. Pilihan raya umum ke-13, 2013 yang dikepalai Najib Razak yang mengambil alih jawatan daripada Abdullah Badawi dan disokong kuat oleh bekas PM dan presiden Dr Mahathir Mohamad, ternyata tidak dapat mengembalikan kekuatan UBN. Patah tulang belakang yang menimpa Umno semakin parah.

Kekuataan atau pun serangan daripada Pakatan Rakyat menjadikan Umno terkapai-kapai. Keadaan ini menjadikan Umno hilang formula dan berbagai penawar diguna tidak mujarab lagi. Umno seperti sudah kehilangan kompas dan kepandiran akal dan kebebalan tindakan. Umno berkeadaan seperti dimakan sumpah dan hukum karma alam.

Kali ini Pakatan Rakyat bukan sahaja menafikan majoriti 2/3 di parlimen tetapi undi popularnya juga melebihi 2 peratus berbanding dengan UBN. Pakatan Rakyat meraih 51% undi bersamaan (5.5 juta undi) manakala UBN sebanyak 47% undi bersama 5.2 juta undi. Keputusan atau pencapaian ini pertama kali dalam sejarah politik Malaysia dimana parti kerajaan kehilangan suara popular.

Kedudukan ini menyebabkan Umno bingkas dan membuat penilaian serta insaf mengakui sekiranya mereka hilang 4 peratus undi sahaja lagi dalam piihan raya akan datang, mereka akan hilang kerjaan dikuasai selama lebih setengah abad. Situasi inilah yang memanikkan Dr Mahathir menyebabkan orang tua itu tidak lena tidur memikirkan nasib dan masa depan Umno, yang mana kelangsungan kekuasaan Umno akan menyelamatkan jenayah dilakukannya.

Mahathir bimbang kehilangan kerajaan UBN bukan sahaja beliau tidak sempat meninggalkan legasinya, menakhtaikan anaknya, tetapi ia menjadi pintu penjara makin luas menghadapnya.

Itulah keadaan dan realiti dalam Umno. Menyedari itulah maka Umno mula merancang dan membuat persiapan untuk memulihkan keadaan. By hood or crook mesti dilakukan. Salah satau langkah yang diambil Umno ialah, mereka harus memecahkan perapaduan pembangkang dalam Pakatan Rakyat.

Umno percaya dan yakin, kekuatan dan perpaduan Pakatan Rakyat perlu digoncangkan kalau mereka ingin selamat dan terus menjadi pemerintah. Bermula pada tahun 2008 Umno tidak melengah-lengahkan terus mengatur strategi politik dan melakukan psywar untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Dalam usaha ini Umno melakukan apa cara yang termampu dan dalam hal ini parti itu menggunakan apa sahaja oportuniti yang ada dalam kerajaan. Semua agensi keselamatan, pusat perang saraf, badan kewangan, NGO digunakan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat. Apakah ia suatu tindakan halal atau sebaliknya, Umno tidak mempedulikannya.

Dalam usaha untuk memecahkan kepaduan Pakaran Rakyat, Umno meniru tektik peperangan untuk survive dilakukan singa dan harimau tatkala memburu kerbau atau lembu untuk dijadikan makanan. Bagaimana harimau dan singa akan mencari mangsa yang lemah untuk dikejarnya, begitulah Umno. Dalam Pakatan Rakyat Umno melihat mangsa yang lemah yang mudah dikejar ialah Pas, maka mereka menumpukan pemburuan kepada Pas. Mereka perlu mengasingkan Pas dari kumpulan itu kemudian melanyak dan meratahnya mentah-mentah.

Ilmu dan pengalaman yang ada, Umno sudah nampak Pas adalah parti yang mudah untuk disihir atau pun diperdayakan. Berdasarkan kepada chemistery keduanya ia memudahkan untuk Umno menarik Pas keluar daripada Pakatan Rakyat. Bagi Umno, Pas tak ubah seperti kumpulan Al Mamunah yang boleh diperdaya dan melembutkan hati mereka di Bukit Jenalik itu hanya dengan mendendangkan lagu P Ramlee sahaja.

Umno berkeyakinan sekiranya Pas sudah tidak bersama Pakatan Rakyat, maka riwayat pakatan itu akan relai atau tidak akan menjadi ampuh lagi, dan saat inilah ia boleh menjadi "mangak" kembali.

Untuk tujuan itu Umno mendekati Pas dan bermanis-manisan dengan Pas. Mauduk utama yang ditawarkan atau dimainkan Umno ialah sentimen bangsa dan agama. Umno arif mengenai kelemahan Pas atau keterpesonaan Pas ialah terhadap Islam dan bangsa Melayu. Pas begitu excited dengan Islam walaupun kadang kala terbabas menjadi ekstrim. Jadi Umno memainkan kedua isu ini untuk menuba permikiran Pas.

Dua kaedah dilakukan Umno dalam menjinak Pas ini. Pertama secara tidak langsung melalui dialog dan perbincangan santai dan almiah antara orang tertentu dalam Pas dengan agen-agen Umno. Biasanya agen ini mereka yang kelihatan tidak berpihak ke mana mana-mana puak tetapi sebenarnya mereka adalah strategis Umno. Kaedah kedua ialah menerusi dialog atau pertemuan secara rasmi yang dibuat secara sulit. Ia diurus atau melibatkan beberapa kerat pemimpin sahaja. Saya ada simpan gambar dalam salah satu majlis dialog berkenaan.

Antara topik atau tema yang kemukakan Umno dalam pertemuan dan perbincangan untuk mempengaruhi Pas ialah;

1. Umno bersetuju dan menjanjikan untuk membantu Pas melaksanakan hukum hudud dan iktisas lain.
2. Meyakinkan pemimpin Pas bahawa DAP adalah sebuah parti chuvenis yang berjuang untuk kepentingan Cina, dan dalam masa sama mereka anti Islam.
3. Pas diperlukan untuk membantu Umno demi menyelamatkan bangsa yang akan lemah kerana perpecahan ekoran itu menyebabkan agama akan terjejas.
4. Menggunakan fitnah yang menimpa ke atas Anwar Ibrahim sebagai satu alat untuk mengurangkan keyakinan kepada Pakatan Rakyat kerana Anwar dinobat sebagai ketua dan roh Pakatan itu sendiri terletak ditangan Anwar.
5. Dalam pada itu menawarkan berbagai kemudahan kebendaan dan kewangan serta bantu Pas mengatur strategi macam mana untuk menguasai Pas, termasuk mempertahankan kerajaan Kelantan tanpa berkongsi dengan golongan profesional.
6. Dan, pemenjaraan Anwar Ibrahim selama lima tahun atas dakwaan liwat juga merupakan strategi memecahkan Pakatan Rakyat.

Melihat kepada beberapa langkah itu Umno serius dan melangkahi jauh ke dalam Pas demi mencapai matlamatnya. Untuk tujuan ini juga Pas dilayan dengan baik, tanpa menyedari layanan itu sebenarnya layanan Ali Baba kepada Kassim Baba sahaja.

Sayangnya tektik dan strategi Umno ini tidak terbaca oleh sesetengah pemimpin Pas yang mudah terulik dengan bacaan ayat-ayat Quran yang didendangkan dengan berbagai taranum, al Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikh dan Jirarkah dan sebagainya.

Hasil daripada bantuan dan strategi yang dibuat Umno itu, akhirnya mereka berjaya, fasal pertamanya membuang golongan profesional dalam Pas, dan membiarkan Pas dikuasai oleh golongan agama yang mudah dijinakan. Tindakan pertama dalam proses ini ialah menyingkirkan Husam Musa dari kerajaan Kelantan, kemudian diikuti tindakan dalam muktamar.

Selepas kejayaan itu ia membawa hasil besar apabila golongan ulama telah mengusulkan agar memutuskan hubungan dengan DAP. Perpecahan Pas dengan DAP adalah satu kejayaan besar Umno yang diharapkan mereka akan dapat menguasai semula kecemerlangan politik. Tindakan ulama itu boleh dianggap dewan ulama telah memainkan peranan Umno. Umno ketawa terbahak-bahak meraikan kejayaan ini.

Perlu disebut, perpcahan Pas dengan DAP, bukan sahaja disebabkan kelalaian dan kecetekan politik Pas membaca strategi Umno, tetapi DAP juga gelojoh dalam membuat keputusan. Tindakan Lim Guan Eng yang bertindak mematikan Pakatan Rakyat (tanpa Pas) hanya kerana usul daripada Dewan Ulama yang belum diputuskan sesuatu tindakan gelojoh dan tidak praktikal.

Sikap DAP ini juga disukai oleh Umno dan parti itu terus mengipas agar bara perpecahan dalam Pakatan terus menyala dan berasap. Umno kini sedang membaca talqin atas kematian Pakatan Rakyat.

Demikianlah senario yang berlaku dan memporak perandakan Pas hari ini. Justeru kalau diperhatikan kepada senario itu, ahli atau pemimpin Pas tidak perlu kesal dan marah dengan kewujudan GHB ini. Mereka perlu juga menyalahkan diri mereka sendiri sehingga GHB menjadi kenyataan. Mereka perlu mengingati apakah perbuatan tercela yang dilakukan sehingga memungkin GHB termengandung.

Sejak awal lagi saya sudah memberi bayangan akan masalah ini akan terjadi, dan musibah ini perlu dielakkan. Tetapi pemimpin Pas yang baru tidak mempedulikannya. Mereka "semabur" dengan kedudukan dan gila glamour. Hanya hari ini setelah kandungan GHB sudah membesar dan bakal dilahirkan baru menaruh kebimbangan dan mula berfikir bayi itu perlu dibunuh. Politik jahiliah tidak pantas lagi diamalkan di era ini.

Sebelum ini pemimpin Pas memandang sepi dan menghina usaha golongan yang kalah ini. Apa yang mereka tidak kata dan luahkan. Ada yang mengucap selamat dan membayangkan GHB akan mati dalam kandungan dan kalau pun lahir akan cacat. Ada pula yang kata GHB boleh bertahan dua tahun sahaja. Nah, kalau begitu kenapa harus dibimbang dan dipedulikan?

Saking marahnya, sesetengah pemimpin Pas menggunakan apa sahaja untuk menghalang hasrat dan niat bekas pemimpin Pas itu. Paling akhir cuba pula menggunakan ayat-ayat Quran untuk memagar mereka agar tetap bersama Pas dan menjauhi GHB. Paling baharu isu ikrar bai'ah pula digunakan. Percayalah semua perkakas itu, (ayat-ayat Quran, ikrar dan janji, atau maki hamun dan sumpah seranah) tidak akan merubah keadaan. Mekanisme itu sudah tidak relevan di zaman era langit terbuka dan mata "terbahar" ini.

Konsep dan prinsip ayat-ayat Quran itu sendiri ia diturun dan terpakai kepada orang-orang beriman sahaja. Dalam politik sekular ayat-ayat Quran bukan menjadi satu pegangan atau bukti atau alat menakutkan. Dalam politik sekular, saksiah, komitmen dan tanggungjawab seseorang (pemimpin) itu yang akan dipedulikan. Manakala kejayaan yang diperjuangkan itu adalah kemuncak kepada kehebatan dunia politik sekular.

Bukankah kita semua hari ini bergelumbang dalam politik sekular? Sekular bukan sahaja kepada Umno, DAP, PKR atau GHB, sekular juga kepada Pas. Ayat-ayat Quran, hadith dan ijmak yang dibaca oleh pemimpin Pas, bukan menjadi pagar dan didengari lagi, bahkan ia tidak relevan dalam politik sekular. Lainlah kalau Pas meninggalkan sistem politik sekular dan kembali kepada politik haraki sepenuhnya, baharulah ayat-ayat Quran dan hadith yang lunak dibaca itu terpakai. Itupun berlaku kepada ahli Pas sahaja.

Sumpah dan janji tidak ada dalam politik. Perjanjian dalam politik bukan untuk disetiai, tetapi untuk dimungkiri. Tidak ada yang mustahil dalam politik. Dalam politik wang boleh mengabui wajah Tuhan.

Bertolak daripada frasa kata itu, paling afdal bagi ahli Pas yang kini mulai kepanasan dengan kewujudan parti baharu, ialah kembali ke dalam diri, perkuatkan organisasi sendiri, dan jangan peduli apa yang berlaku dalam rumah orang lain. Jagalah tepi jubah kita dahulu untuk mengatakan pelikat orang lain kontot.

Bekas pemimpin Pas kini sedang membina dan menempa rumahnya sendiri apabila mereka dihalau kejam, biarlah mereka hiasi rumah mereka mengikut kehendak dan citarasanya. Hormatilah mereka. Dan jika ia sudah siap sempurna nanti, kalau kita teringin untuk menziarahinya, atau makan kenduri naik rumah, silakan. Rasanya mereka takkan murih.

Saya jamin mereka tidak akan menghalau kerana orang Pas adalah darah daging mereka juga yang bertutur dalam loghat Melayu, beragama Islam, dan sama-sama suka makan ikan perkasam. Pas perlu ingat kelahiran GHB atau parti baru dari usaha GHB itu adalah anak hasil permukahan politik Pas sesama sendiri. Anak itu tetap suci dan mulia, melainkan bapak-bapak mereka yang berdosa dan perlu bertanggungjawab. 

Dan .. ini punch line, penubuhan parti baru yang diusahakan GHB ini telah menjadi anti klimeks kepada Umno yang mahu melihat Pakatan Rakyat hancur, tetapi apa yang terjadinya GHB bukan sahaja menjadi penyambung nyawa kepada Pakatan Rakyat, tetapi GHB akan menjadi tali yang akan mengikat kejap dan kemas Pakatan Rakyat untuk berdepan dengan UBN dalam pilihan raya akan datang. Ikatan kali ini mungkin menjadi lebih kuat dan kejap lagi, apabila komponen-komponen yang ragu-ragu seperti Pas sudah tidak ada bersama lagi. [wm.kl.9:59 am 24/017/15]
Post a Comment