Monday, July 13, 2015

Harapan saya biarlah mereka berjumpa di pintu syurga

DERAIAN RASA                                                                                          

Kebimbangan dan ingatan saya agar tiada perbalahan dalam Pas, serta seruan saya supaya tidak ada orang mengucapkan selamat tinggal kepada Pas selepas muktamar ke-61 di Kuala Selangor awal Jun lalu, tampaknya akan menjadi kenang-kenangan sahaja. Rasa bimbang dan seruan itu tidak dipedulikan, dan peringatan saya tidak membawa apa-apa makna.

Sidang media perlancaran GHB, foto "curian" dalam facebook.
Hari ini kumpulan yang kalah dalam perebutan jawatan dalam muktamar itu kemudian disingkirkan terus dari kepimpinan parti telah melancarkan wadah baharu untuk mereka meneruskan perjuangan yang dinamakan Gerakan Harapan Baru (GBH). Perlancaran GHB itu dilihat ke arah penubuhan parti baharu bagi kumpulan berkenaan. Ia akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat.

Saya yakin dan percaya kesungguhan kumpulan ini dengan usaha mereka itu. Sekiranya proses mendaftar parti baharu menghadapi masalah dengan RoS, mungkin kaedah yang pernah diguna pakai oleh Parti Keadilan Rakyat semasa menubuhkan Parti Keadilan Nasional dulu diguna pakai. PKR pun asalnya dari sebuah parti yang tidak aktif kemudian ditukarkan nama menjadi Parti Keadilan Nasional kemudian bertukar pula menjadi PKR, dengan penggabungan PRM.

Maksudnya sebuah parti akan diconvertkan menjadi parti baharu mendokong GHB itu. Sekurang-kurangnya ada dua parti yang berkemungkinan akan digunapakai ataupun diambil alih bagi merealisasikan kewujudan GBH itu. Biarlah namanya dirahsiakan dahulu dan diumumkan oleh pihak GHB.

Sedap juga apabila mendengar maksud, tujuan dan matlamat penubuhan GHB seperti mana dilafazkan dan digariskan oleh pengerusi penajanya Mohamad Sabu hari ini. Antara lain katanya GBH menjadi pemangkin kepada Pakatan 2.0 yang diwujudkan selepas "ketiadaa" Pas.  GHB merupakan tulang belakang kepada penyatuan dan maufakat beberapa buah Ngo terkemuka, ini termasuklah Ikram, Abim dan Pasma. Mungkin pemimpin utama Ngo ini akan menjadi pemimpin utama parti baharu?

Pendekatan parti baharu itu juga nanti menjadi sebuah wadah yang progresif dan profesional yang mengguna pakai tagline, amanah, progresif, peduli yang mengutamakan kepentingan rakyat. Ini bersesuaian dengan latar belakang dan pegangan sebahagian besar pendokongnya yang bersifat terbuka dan pro, dimana ia kurang serasi dengan kepimpinan baharu Pas kini yang konsevertif dan kolot politik.

Kesediaan GHB untuk menjadi rakan kepada Pakatan 2.0 memberi gambaran bahawsa Pas selepas ini tidak lagi akan bersama Pakatan yang kini didokong DAP dan PKR di satu keadaan dan PKR dan Pas dalam satu keadaan lain. Walaupun Pas tidak mengikhtiraf yang Pakatan masih ada, tetapi desakan mewujudkan GBH ini memberi gambaran daripada minda peneraju GHB bahawa Pas sudah tiada dalam Pakatan.

Yang menajdi tanda soalnya ke manakah Pas selepas ini. Apakah Pas akan bergerak bersendirian seperti sebelum ini atau pun parti itu juga akan mencari pakatan baru yang lebih bererti lagi dalam memaknakan perjuangannya, mencapai keredhaan Allah. Secara jujur saya mengira dan berharap Pas akan berkolobrasi dengan Umno.
 
GHB akan mengadakan road show mulai selepas raya ini, yang bermula di Perlis dan menjelajah ke seluruh Malaysia mungkin menjangkau ke Sabah dan Sarawak. Menurut Mohamad Sabu keperluan penubuhan segera sebuah parti baharu adalah kerana tuntutan ramai yang mahu menyatukan para pengikut bekas-bekas pemimpin itu dalam satu wadah bagi meneruskan perjuangan mereka untuk menentang kezaliman dan kerakusan penguasan kerajaan BN. Parti baharu itu juga menjadi wadah berhimpunnya mereka khasnya golongan muda yang kecewa dengan pendekatan Pas kini.

Hampir semua mereka yang kalah dalam perebutan jawatan dalam muktamar lalu kelihatan hadir dalam upacara pelancaran rasmi GHB di sebuah hotel di ibu negara itu. Melihat kepada gambar yang dipostkan dalam facebook, hanya beberapa orang sahaja tidak kelihatan. Antara mereka ialah bekas Naib Presiden Husam Musa, Mahfuz Omar, Mazlan Aliman, dan juga bekas Ketua Dewan Muslimat Siti Zailah Mat Yusuf. Maaf kalau saya tersilap pandang.

Manakala mereka yang hadir, Ahmad Awang, Dr Mohd Hatta Ramli, Dzulkefly Ahmad, Suhaizan Kaiat, Salahuddin Ayub, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dr Mariah Mahmod, Atirah Aiman, Asmui Awi dan lain-lain. Turut sama hadir memberi sokongan dengan langkah itu ialah bekas MB Selangor Muhammad Mohd Taib dan bekas Ahlijawatan kuasa Pas, Kamaruddin Jaaffar.

Pembentukan kumpulan itu sudah pasti akan memberi pukulan hebat kepada Pas. Yang pastinya Pas kini terbelah dua. Walaupun ia bukan sesuatu yang baik kepada pembangkang, tetapi sesiapa pun tidak boleh mempertikaikan kehendak mereka. Apabila mereka atau sesiapa sahaja sudah tidak ada kepercayaan kepada parti asalnya, mereka tidak ada pilihan lain, melainkan keluar dan menubuh wadah baharu.

Seorang pejuang mereka tidak boleh berhenti berjuang dan apabila kehilangan pengkalan mereka akan membina pengkalan baharu. Putus asa, kecewa dan berpatah harapan tidak ada dalam kamus hidup mereka. Sunnah orang berjuang ialah menghadapi cabaran dan ujian. Perjuangan juga merupakan satu perjudian dalam mencapai kejayaan. 

Pas itu dahulu pun ditubuh hasil dari perbezaan pendapat pengasasnya yang ketika itu berada dalam Umno. Dalam kata lain Pas juga merupakan parti compingan.

Saya tidak mahu menyebut kembali apa yang telah saya sebut dan zahirkan apa yang terbuku dalam hati saya menjelang muktamar Pas sebelum ini. Semua pihak baik kepimpinan baharu Pas dan juga mereka yang sudah berkerat rotan dan berpatah arang dengan Pas harus menanggung apa-apa risiko yang bakal dipikul Pas dan diri mereka masing-masing selepas ini.Sekiranya ulah mereka itu mengundang dosa kepada ummah, agama dan negara, mereka akan bertanggungjawab.

Bagaimana pun di penghujung Ramadhan ini ini saya masih berharap semoga akan ada penyatuan dalam bentuk yang unik antara bekas peimpin Pas dengan partinya. Kalau benar GHB membawa aspirasi untuk menumbangkan BN, dan Pas juga masih istiqamah dengan janji dan ikrar yang sama untuk rakyat dan negara, walaupun bersendirian mereka (Pas) tetap melawan BN, GBH dan Pas ini boleh berkerjasama bagi mencapai matlamat yang sama itu.

Inilah keunikan yang mengkagumkan kalau ianya berlaku. Walaupun jalan ke syura itu banyak dan bercabang-cabang tetapi GHB dan Pas tetap jiuga akan berjumpa di pintu masuk ke syurga kerana apa yang dinamakan syurga itu hanya satu. Cubalah. Dan kita semua berhentilah prejudis atas tindakan dan keputusan mereka dan cubalah berfikir secara positif. [wm.kl.4:59 pm 13/07/15]
Post a Comment