Dr Mahathir dan isteri bersama pemimpin oposisi di atas Pentas Selamatkan Malaysia. |
Hadir sama ialah Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Husam Musa.
Kehadiran Dr Mahathir sekali lagi menunjukkan kesediaan dan kesungguhan bekas PM itu bergerak untuk menyingkirkan Najib.
Kesediaan Dr Mahathir turun ke kawasan Rafizi Ramli merupakan Naib Presiden Keadilan, bukan sahaja memberi petunjuk bahawa beliau bukan senang dengan keberanian Rafizi dalam menyuarakan hak rakyat, tetapi ada sesuatu yang harus difahami jauh tersirat dari itu.
Ceramah di Kampung Padan semalam disamping untuk menyelamatkan Malaysia ia juga dalam kempen reformasi untuk membebaskan Anwar. Dalam pemahaman Keadilan, Malaysia akan selamat sekiranya Najib jatuh dan Anwar bebas. Apakah Dr Mahathir tidak memahami mesej itu?
Apabila Dr Mahathir sudah sedia duduk di pentas sebegitu bermakna beliau bersetuju untuk membebaskan Anwar. Kehadirannya itu satu sokongan moral besar kepada pembelaan terhadap Anwar. Sepatutnya perkembangan itu diambil kesempatan oleh pada pendokong reformasi dan penyokong Anwar tanpa banyak soal dan kerenah.
Kita tahu ada orang yang marah dengan Dr Mahathir atas apa-apa yang berlaku sebelum ini. Namun marah itu tidak membawa apa-apa erti dan boleh menyapukan apa yang sudah berlaku. Yang afdal ialah membawa Dr Mahathir dan memberi peluang kepada untuk membela Anwar dengan gerakan selamatkan Malaysia dan bebaskan Anwar.
Dr Mahathir tidak menyebut secara berterus terang kalau pun beliau mahukan Anwar dibebaskan. Tetapi bahasa badannya harus difahami. Dr Mahathir tidak ada pilihan lain untuk mencapai tujuannya menjatuhkan Najib, kecuali menerusi Anwar. Politik mempunyai makna yang luas untuk ditafsirkan. Sebagai ahli politik veteran beliau masih ada maruah.
Bagi mereka yang kesal dan sedih dengan perbuatan Dr Mahathir yang memenjarakan idola mereka, inilah masanya untuk memulihkan hubungan antara keduanya. Penyokong Anwar tidak boleh melihat Dr Mahathir tidak berguna kepada mereka lagi. Masa dan keadaan hatta hati orang juga tertakluk dengan perubahan. Kalau Anwar boleh memaafkan Dr Mahathir kenapa tidak dengan kita? Yang memikul dan merasai ialah Anwar. Siapalah kita hanya mata memandang? Apakah kita akan bertindak lebih sudu dari kuah?
Terutamanya waris dan keluarga Anwar, seperti Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak perlu bersama Dr Mahathir. Hubungan yang baik sebelum ini tetapi terputus kerana politik, perlu dibaik pulihkan. Harus ada jalinan perasaan baharu antara mereka berdua. Apa yang berlaku lalu adalah sejarah yang hanya untuk dikenang dan bukan dimarahi sepanjang masa.
Perjuangan tidak akan berjaya kalau tidak ada persepakatan dan musuh dikurangkan. Semua pihak harus berpakat. Apabila musuh sudah berpaling tadah dan ingin mendekati kita, ia harus diterima dan diolah dengan baik. Perasaan takut kepada musuh akan melipat kita sekali lagi, lahir dari kebodohan dan kedangkalan kita dalam berlawan.
Suka disebut kalau Pas yang selama ini berseteru "mak anak" dengan Umno tetapi tiba-tiba mereka boleh melupainya, kenapa tidak para pendokong Anwar dengan Dr Mahathir. Apakah mereka lebih cetek bermain politik daripada Abdul Hadi Awang?
Jika ini difahami sebaik mungkin tidak ada salah kalau Dr Mahathir bersama dengan gerakan reformasi, kerana reformasi juga mahu menjatuhkan Najib. Sekurang-kurangnya niat dan matlamat Dr Mahathir sudah sama, untuk singkirkan Najib.
Dan semua orang kena setuju selagi Najib kekal, Anwar juga akan kekal dalm penjara. Pilihan terbaik berada dalam tangan dan minda siasah kita yang masak. Sesungguhnya mereka yang membenci Dr Mahathir yang kini dilihat terbuka hati untuk membantu mereka, adalah orang-orang yang telah terhasut dan termakan upah. [wm.kl.12:44 pm 29/03/16]
No comments:
Post a Comment